Friday, September 11, 2009

Kaubertamu Lagi

Semalam kaubertamu lagi. Bukan sekali. Bukan dua kali. Malah berpuluh-puluh kali. Kupusing ke kiri, kaudatang membisikkan ke telinga kananku. Aku pusing ke kanan, kau datang dan membisikkan ke telinga kiriku. Kutekapkan kedua-dua telingaku, kau tersenyum di depan mataku. Aku sembamkan mukaku, lalu jari-jemarimu galak memicit-micit dan memijat-mijat belakangku.

Bukan aku yang meminta. Bukan aku yang mengemis. Tetapi kau tetap datang. Sudah aku katakan dahulu bahawa aku tidak akan menjemputmu lagi. Sekiranya kau hendak datang, datanglah. Datanglah sesuka hatimu. Tetapi semalam, setelah setahun menyepikan diri tanpa hantaran SMS atau missed call, kau datang secara tiba-tiba sahaja. Waktu kau datang semalam aku sudah hampir terlelap. Semalam baru aku rasakan badanku sihat sedikit. Dua hari lepas aku diserang sakit perut memulas-mulas. Sakitnya bukan main-main. Mungkin kau datang untuk menziarahiku yang sakit, Azimah.

Azimah, mengapa semalam kau tidak berkata walau sepatah pun? Kau tidak melorek sekuntum senyuman pun? Kau hanya datang dan kemudian pergi begitu sahaja. Datanglah lagi kalau kau sudi, Azimah. Aku tidak pernah tidak membuka pintu kepadamu. Datanglah. Masuklah melalui tingkap kalau pintu bertutup. Ahlan wa sahlan. Adelante.

No comments:

Post a Comment