Monday, November 16, 2009

2012

Semalam gua pergi tengok wayang. Sudah lama gua tak tengok wayang pun. Gambar terakhir gua tengok wayang adalah gambar Free Willy tahun 1993 masa lepas SPM dulu. Lepas tu gua tak pernah masuk tengok wayang lagi. Panggung tu pun dah jadi Restoran Pizza Hut dan Kentucky Fried Chicken.

Gua bukan pergi seorang. Bukan juga pergi dengan awek seperti gua tengok Free Willy dulu. Gua pergi dengan kawan gua yang tiba-tiba datang setelah 2 tahun tidak berjumpa. Selepas minum di Old Town tempat kegemaran dia, dia ajak gua pergi tengok wayang. Gua pergi solat semasa dia pergi beli tiket. Bila gua datang, gua tengok orang ramai bukan main. Semua remaja-remaja lagi. Gua dengan kawan gua sahaja yang dah tua. Rambut dah beruban perut dah jauh ke depan.

Masuk dalam cinema, bukan macam cinema zaman dahulu. Zaman dah berubah. Tiada lagi iklan Carlsberg dengan skrin kelabu dan juga amaran supaya jangan buang kulit kuaci. Gua lihat semua orang beli pop corn yang dijual di luar panggung. Sudah tidak boleh bawa kuaci dari luar macam dulu lagi. Kulitnya boleh dituih merata tempat. Tempat pun dah elok. Kusyen lebih elok daripada kusyen di rumah gua. Gua duduk perlahan-lahan. Gua usha kalau-kalau ada orang buat wayang, tetapi takde pun. Mana ada makhluk nak buat wayang lagi zaman sekarang. Mereka boleh bikin wayang di apartmen mereka tanpa gangguan pun. Dulu bolehlah kawasan terhad. Sekarang sudah tidak ada siapa yang nak pedulikan pun. Hendak mengendap, tok nikah kahwin dah tidak benarkan.

2012 mengisahkan penduduk dunia diancam satu mala petaka besar. Kesan kepanasan matahari menyebabkan larva di dalam perut bumi membuak-buak lalu mencetuskan huru-hara dunia. Memang adalah seakan-akan kiamat. Sekiranya hendak membicarakan filem ini, kita ketepikan dahulu soal agama. Kiamat pasti terjadi. Macam mana, Allah punya kuasa. Allah hanya beritahu bahawa ketika itu rakan sudah meninggalkan kawan seperti mana jutawan Russia itu meninggalkan gundiknya. Ibu bapa terpisah dengan anak-anaknya. Manusia menjadi seperti rama-rama berterbangan.

2012 adalah gambaran kepada peristiwa tersebut. Tetapi itu cuma gambaran. Jangan kaitkannya dengan agama. Kenapa kita harus mengukur karya orang yang bukan beragama Islam dengan Islam? Apa yang mengharukan ialah perasaan kasih sayang. Bagaimana seorang anak yang bekerja membuat bahtera besar itu membuat perancangan untuk menyeludup masuk keluarganya ke dalam bahtera besar. Bagaimana jutawan Russia itu sanggup mengorbankan dirinya asalkan anaknya selamat. Bagaimana gundik Russia sanggup melengahkan waktu semata-mata untuk menyelamatkan anjingnya.

Selain dari kasih sayang, juga sikap pentingkan diri sendiri pemimpin dunia untuk menyelamatkan diri mereka sahaja. Mereka sanggup tinggalkan rakyat mereka untuk menyelamatkan diri mereka. Jasa mereka hanyalah sedikit iaitu ketika mengundi untuk membenarkan penumpang yang ketinggalan yang sudak sampai ke dek bahtera. Kecuali Presiden AS yang sanggup terkorban bersama-sama rakyatnya. Amerika sahajalah yang bagus!

2012 juga adalah filem kerjasama. Setiap manusia tidak kira apa agama bersatu untuk menyelamatkan diri. India yang menjumpai mala petaka itu. Amerika membuat kajian. China membina bahtera penyelamat. Filem ini ada unsur adaptasi daripada peristiwa Nabi Nuh yang membina bahtera besar di pergunungan membawa setiap makhluk pasangannya. Kebetulan terdapat seorang watak yang bernama Noah. Semua dibawa di dalam bahtera ini tetapi yang mempunyai kad ahli sahaja. Sementara yang tidak berdaftar ditinggalkan. Penduduk India yang miskin, Afrika serta negara-negara kecil tidak dipedulilan lagi. Yang mengikuti rombongan itu adalah pemimpin-pemimpin G7 sahaja.

Barat mengkaji peristiwa-peristiwa yang telah dan akan berlaku. Walaupun idea itu melampau realiti sebenar, sekurang-kurangnya mereka berfikir bagaimana hendak menyelamatkan umat manusia apabila berlaku bencana. Sebelum bencana berlaku, mereka dapat mencadangkan beberapa langkah yang mungkin dapat meneruskan kesinambungan hidup mereka. Selain daripada itu, mereka juga boleh menjadi kaya dahulu sebelum bencana itu datang. Filem ini sarat dengan mesej kemanusiaan. Kasih sayang, kerjasama, pengorbanan serta ilmu merupakan elemen-elemen yang boleh menyelamatkan manusia daripada mala petaka.

Tetapi apa yang orang Islam boleh lakukan. Filem-filem kita penuh dengan tahyul, mempermainkan golongan agama seperti filem malam tadi juga Tak Sama Tapi Serupa, lawak lucu dan lucah, menyanyi melalak tak tentu pasal. Biar bodoh asalkan boleh menyanyi dan menayangkan dada berlurah, menayangkan paha yang gebu melepak. Kulit yang hitam diputihkan. Gigi yang jongang disamakan. Popularlah selepas itu dan ditabur pula dengan garam sensasi, fitnah dan gossip.

Agamawan pula tidak kurang hebatnya. Mencari pengikut dan populariti. Mengejar gelaran duniawi. Bergaduh sebab wahabi, asyaari, maturidi, syafei, hanafi, hambali dan mailiki. Itulah yang mereka tahu pun. Beriman dengan hari kiamat, tetapi persediaan bagaikan kiamat tidak akan berlaku. Berlagak dengan ijazah yang dimiliki. Seolah-olah ijazah itulah yang menyelamatkannya di dalam kubur nanti. Umat Islam dituntut berdakwah supaya meramaikan umat. Nabi sanggup berdakwah, menggadai nyawa, bermusafir dan berkelana untuk menyebarkan Islam, supaya umat Islam bertambah. Tetapi para agamawan ini pula hendak mengeluarkan sebahagian golongan Islam yang tidak sependapat dengan mereka daripada Islam. Menuduh mereka sebagai kafir lalu menghumbankan mereka dengan kata-kata mereka "setiap Biad`ah itu sesat, dan sesiapa yang sesat itu nerakalah tempatnya". Seolah-olah dia sudah kaya dan sudah membeli itu syurga untuk dia mendiaminya manakala neraka pun sudah dibelinya buat para penyanggah pendapatnya. Itulah sahaja yang mereka pandai.

Mereka belajar di Jordan, Mesir, Syiria, Algeria dan Yaman. Mengutip sampah di tanah Arab. Segala ajaran yang tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia dibawa dan cuba diterapkan di Malaysia yang harmoni dan aman damai ini. Hassan Saqqaf dan Albani bergaduh. Anak murid Hassan Saqqaf dan anak murid Albani pun turut bergaduh sama. Perseturuan mereka sampai ke sini. Dibawa balik sampai ke tanah air. Itu belum termasuk Ahbasy yang boleh terbang, yang semua orang salah kecuali mereka sahaja. Juga mereka membawa balik ajaran ini dan cuba menanam racun perpecahan di kalangan murid mereka di sekolah. Itulah sahaja yang mereka pandai.

Gua harap golongan agamawan ini dapat menanam kasih sayang sesama rakyat Malaysia. Usahlah mewujudkan garis pemisah di antara manusia. Setiap kamu dari Adam dan Adam dari tanah. Ijazah kamu tidak melambangkan apa-apa pun dengan sikap kamu yang pongah dan suka menghentam orang. Ingatlah bahawa kamu itu hina, yang keluar daripada lubang urin dan masuk kelubang urin lain dan keluar semula melalui lubang urin itu jugalah. Apa yang hendak kamu banggakan?

Pada hari kiamat nanti, apa yang kita hendak jawab di hadapan Allah? Apa yang hendak kita banggakan: Berapa ramai orang yang kamu Islamkan atau berapa ramai orang yang kamu bid`ahkan atau kafirkan? Lu fikirlah sendiri, bro!

No comments:

Post a Comment