Saturday, December 5, 2009

Semoga Dikau Selamat

Aku sudah memadamkan blog aku. Selepas itu, aku sudah tidak punya tempat mengadu. Sudah lama aku pendamkan rasa ini. Sedih, geram, marah dan segala macam perasaan aku pendamkan sahaja di lubuk hati. Ada kala aku beritahu juga rakan-rakan ketika kami bertemu. Namun ada titik-titik hitam yang aku sahaja yang tahu dan mengerti. Hari ini, aku harus hidupkan semula blog yang sudah mati itu. Akan aku renjiskan air agar ia terus bertunas dan pucuknya kembali menjulur.

Semuanya adalah kerana sahabatku ini. Aku tutup blog inipun dahulu kerana dia dan aku hidupkan kembali pun kerana dialah. Sudah dua malam aku bermimpi. Aku bersama seluruh ahli keluarga aku termasuk datuk aku yang sakit di kampung kuangkut bersama-sama aku ke Jordan menziarahi Arman. Datuk aku dalam keadaan bertongkat berpapah pun mengikut aku ke sana. Aku pendamkan sahaja mimpi aku. Aku buka blog Arman. Mahu sahaja aku tinggalkan mesej aku mengatakan aku amat rindu padanya. Tetapi aku bimbang penjenguk blog beliau akan mengatakan aku gila. Malam besoknya aku bermimpi lagi. Kali ini mimpi itu samar-samar sahaja. Aku sudah tidak tertahan. Aku khabarkan mimpi itu kepada isteri aku. Apa lagi. mengamuk sakanlah isteri aku. Mahu ke Jordan lagi? Mahu tinggal kami sebulan lagi? Aku berkata itu hanya mimpi. Aku bukan mahu ke sana. Cuma wahyu Allah itu datang mengasak kepala aku dengan mimpi itu.

Ketika berada di Hotel Holiday Villa kerana menghadiri Konvensyen Inovasi Pendidikan Islam Kebangsaan, aku menerima mesej daripada Cikgu Din: Betul ka Arman strok? Biar betul Din ni. Hendak bergurau pun, berguraulah perkara yang baik-baik. Aku terus telefon Din.

"Ha, betul. Zainapi bagitau aku. Dia kata anak Cikgu Zaini telefon Cikgu Zaini." Jawab Din.
"Tak pa. Sat aku nak telefon dia." Aku menjawab.

Aku terus memukul telefon kepada nombor Arman. Isteri dia menjawab.

"Memang betul. Sekarang dia masih tidak sedarkan diri. Saya baru nak balik dari hospital hendak mengurus anak-anak ke sekolah." katanya.

Ketika itu pukul 12 tengah hari 1 Disember 2009. Aku bungkam. Tidak tahu apa aku hendak lakukan. Perlukah aku ke Jordan melawat beliau? Sudah pasti. Aku ingat balik. Duit simpanan aku ada sedikit lagi yang aku simpan untuk membeli peralatan sekolah anak-anak aku. Aku kira duit itu cukup untuk membeli tiket ke Jordan.

Aku kemudian menerima mesej daripada adik Arman. Kalau Ustaz hendak pergi ke Jordan, saya nak tumpang pergi sama.

"Paspor ada ke?" tanyaku.
"Tiada." jawabnya ringkas ketika aku menelefonnya.
"Pergilah buat kalau hendak pergi," kataku.
"Mak tak nak pergi samakah?"
"Susahlah nak tinggal rumah." Memang itulah pendirian orang tua-tua pun. Bukan mudah untuk meninggalkan kampung halaman. Emak aku pun sampai hari ini belum jejak kaki ke rumah aku kerana tidak sanggup meninggalkan kampung halaman. Datuk dan nenek aku pun sampai hari ini masih berkeras untuk tinggal di kampung walaupun mereka sudah renggeh dan tiada sesiapa pun mengurus makan minum mereka.

Aku terus memujuk mereka supaya pergi. Akhirnya dia setuju untuk pergi bersama dengan emaknya. Memang aku hendak pergi. Dan aku sudah berazam sungguh-sungguh akan pergi. Walau terpaksa bergolok bergadai. Walau anak aku terpaksa memakai baju sekolah lama. Walau anak aku terpaksa memikul beg yang sudah tembus dan sudah tidak bertali. Biar aku terpaksa bermasam muka dengan isteri aku kerana melancong tidak pernah membawanya bersama-sama aku. Aku tetap akan pergi. Biarlah. Orang bukan tahu hati dan perasaan aku. Aku sudah tidak keruan memikirkan nasib Arman. Aku tidak puas hati dengan laopran daripada SMS dan juga kotak jerit yang terdapat di dalam blog Arman. Aku mahu lihat sendiri dan merasa sendiri saat-saat genting yang beliau hadapi. Susah senang dia adalah susah senang aku juga. Sakit dia adalah sakit aku juga. Dia tidak sedar dan terlantar bagaikan denyut nadi dan jantung aku juga yang kerjung dan kering. Aku mesti pergi.

Sementara menunggu hari itu tiba hanya doa aku sembahkan kepada Allah agar beliau cepat sedar. Ya Allah! Aku bukan berdoa untuk diriku. Aku tahu aku banyak dosa yang tidak terampun. Humbankanlah aku ke ceruk mana yang Kau inginkan pun. Tetapi dengarlah permohonanku ini. Aku bukan berdoa untuk diriku. Aku berdoa untuk rakan aku. Sembuhkan dia. Kembalikanlah dia kepada aku. Kembalikanlah dia seperti sedia kala agar dia dapat menelefon dan bertanya khabar aku seperti detik-detik yang lalu. Sekiranya Engkau tidak mahu makbulkan permintaan, makbulkanlah permintaan insan-insan lain yang turut berdoa untuk kesejahteraan dirinya. Tidak ada lagi tuhan selain daripadaMu yang boleh aku pohon doa. Tidak ada lagi tuhan selain daripadaMu untuk aku merayu. Kembalikanlah dia kepada kami Ya Allah!.

2 comments:

  1. Salam ustaz hasmadi, rasa terharu baca entri ustaz ni...dan sedih mengenangkan kondisi ustaz arman sekarang..kita hanya mampu berdoa moga beliau selamat dan pulih seperti biasa...cikgu Rosni,UK

    ReplyDelete
  2. perasaan yg dilontarkan ternyata jelas dan ikhlas..tak pernah samar erti persahabatan ust hasmadi dgn ust arman..

    ReplyDelete