Friday, January 1, 2010

Allah Hak Milik Siapa?

Sejak bermulanya kontroversi berkenaan penggunaan nama Allah, aku mengikuti dengan penuh hati-hati. Namun, aku malas hendak membuka mulut atau mengetuk papan kekunci ini meluahkan pendapat aku. Aku takut aku dituduh tidak punyai jati diri Melayu lagi. Atau takut dituduh tidak berpesaka, berpewaris, dan berpuaka lagi. Aku takut sifat-sifat atau kata nama khusus untuk bangsa Melayu itu hilang. Yang lebih aku takutkan kalau-kalau ada di kalangan mereka yang tahu rumah aku lalu diarak kepala lembu pula datang berdemontrasi di depan rumah aku. Lagi haru.

Aku juga membaca pendapat di kalangan rakan-rakan aku yang telah mengeluarkan pun pendapat mereka. Dan aku telah menelanlah pendapat mereka itu bulat-bulat, sebaris demi sebaris aku baca dan aku belek. Dan hari ini aku lihat pula di kaca tv terdapat orang-orang yang berdemonstrasi membantah perkongsian kalimah Allah buat 1Malaysia. Baguslah mereka berdemonstrasi. Sekurang-kurangnya mereka tahu berdemonstrasi itu seronok dengan bersongkok tinggi begitu. Malang jugalah mereka tidak merasa seronok pula bermandi air gatal dan menyedut air pedih yang menjolok mata dan kerongkong. Mereka memang malang kerana tidak dapat merasai nikmat itu.

Tuhan adalah terjemahan daripada perkataan God. God adalah perkataan transliterasi daripada perkataan Yunani iaitu Zeus. Perkataan Zeus disebut di dalam bahasa Peranchis sebagai Deux dan Dios di dalam bahasa Sepanyol. Menurut lagenda Yunan, Zeus atau Zephes merupakan penghulu segala tuhan orang-orang Yunani. Zeus adalah Tuhan Kilat yang menurunkan hujan dan juga mengirimkan petir. Ayahnya adalah Choronos manakal ibunya adalah Riya. Choronos adalah seorang ayah yang selalu menjadikan anak-anaknya sebagai mangsa. Dia menelan anaknya hidup-hidup. Riya yang amat sayangkan Zeus telah melarikannya ke pulau Crete dan menukarkan Zeus dengan patung batu berupa Zeus.

Apabila agama Kristian sampai ke Rom, mereka telah menterjemah perkataan Allah sebagai Zeus untuk memberi kefahaman kepada penduduk Rom yang selama ini mengenali Zeus dengan dekat. Zeus telah dibunuh oleh Thepheson yang merupakan makhluk berkepala manusia berbadan ular. Sebagai peringatan kepada Zeus, orang-orang Yunani telah mengadakan keramaian sukan Olimpik. Para peserta sukan olimpik yang kalah akan dikorbankan dan diserahkan kepada Zeus.

Di kalangan orang-orang Kristian sendiri pun tidak gemarkan perkataan God yang merujuk kepada Zeus ini. Bagi mereka Zeus adalah simbol kepada berhala. Bagi golongan Kristian Timur teruatamanya Kristian Koptik di Mesir, mereka tetap merujuk kalimah Allah dengan perkataan Allah juga.

Hubungan di antara orang-orang Kristian dengan orang-orang Islam amat akrab. Rasulullah sendiri ketika ditindas oleh kaum keluarganya, mengarahkan orang-orang yang tidak mampu menahan kezaliman Pertubuhan Kebangsaan Quraisy Bersatu supaya berpindah ke Habsyah. Habsyah ketika itu diperintah oleh Najjasyiy yang merupakan seorang raja beragama Kristian. Ketika golongan Quraisy menghantar wakil untuk mengembalikan orang-orang Islam yang berhijrah itu ke Mekah, Najjasyiy berkata: Adakah kamu membawa ajaran daripada Allah? Jaafar yang merupakan ketua rombongan menjawab dengan membaca permulaan surah Maryam. Mendengar ayat tersebut, air mata Najjasyiy mengalir dan berkata: Sesunggunya apa yang dibaca tadi dengan apa yang dibawa oleh Isa adalah daripada satu sumber. Kamu berdua baliklah. Demi Allah! Aku tidak akan serahkan mereka kepada kamu berdua.

Kata-kata Najjasyiy ini disebut oleh buku-buku sejarah. Sekiranya perkataan Allah itu hanya untuk orang-orang Islam atau hak eksklusif orang-orang Islam sahaja, nescaya kata-kata Najjasyiy itu sudah dipadamkan atau buku-buku dibakar supaya tidak menjadi tatapan kita pada hari ini.

Begitu juga dengan hubungan di antara Rasulullah dengan pemerintah Mesir yang bernama Mawquqis. Selepas menerima surat dakwah daripada Rasulullah, Mawquqis amat menghargai pelawaan tersebut. Sebagai balasannya, beliau telah mengirimkan dua orang wanita yang bernama Shereen dan Maria Simon. Sebagai menghargai pemberian itu, Maria Simon dijadikan isteri Rasulullah manakala Shereen dijadikan isteri oleh salah seorang sahabat baginda. Rasulullah pernah berpesan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi sabdanya yang bermaksud: Sekiranya kamu sampai di Iskandariah, bertemulah dengan mereka kerana mereka itu boleh memberi pelindungan kepada kamu dan mereka adalah golongan yang lemah-lembut.

Di dalam al-Quran juga disebutkan bahawa orang-orang Kristian adalah orang yang baik-baik kerana di kalangan mereka terdapat Priest (Qissisin) dan Monk (Rohban) dan mereka itu tidak sombong. (al-Maidah: 82).

Terdapat sesetengah kaum Quraisy yang digelar musyrik. Musyrik bermaksud sekutu. Selain daripada menyembah Allah mereka juga menyembah selain Allah iaitu perbuatan menyekutukan atau menyamakan Allah dengan makhluk yang lain. Misalnya mereka menyembah malaikat. Kata seorang Quraisy kepada Nabi: Kami menyembah malaikat kerana mereka adalah anak dara Allah. Lalu Allah berfirman yang bermaksud: Bagi kamu anak lelaki dan bagiNya anak perempuan. Ayat ini bermaksud anak perempuan kamu, kamu bunuh. Kamu tidak suka kerana tidak boleh memburu, boleh mendatangkan aib kepada kamu. Tetapi kamu jadikan pula bagi Allah anak perempuan sedangkan kamu sukakan anak lelaki. Perkara yang kamu sendiri tidak suka, kamu serahkan kepada Allah dan kamu ambil yang baik-baik sahaja.

Al-Quran dan Rasulullah hanya menegah mereka berlaku syirik iaitu tidak menyekutukan Allah dengan berhala-berhala dan kepercayaan yang lain. Bukannya menghalang mereka menggunakan nama Allah pun. Al-Quran mahupun Nabi tidak pernah berkata: Sekiranya kamu hendah menyembah selain daripada Allah, jangan guna kalimat Allah. Gunalah kalimah lain!

Mempertahan keSucian dan keKudusan Allah bukan dengan berdemo dan bertempik mengatakan ulama tidak mempertahankan kesucian nama Allah. Mempertahankan keSucian Allah adalah dengan tidak melakukan kezaliman, menunaikan amanah, mengurus hak rakyat dengan sebaiknya. Bertanggungjawab mengawal harta awam (baca sebagai harta rakyat) agar tidak hilang. Memelihara keSucian Allah juga dengan mengikut peraturan yang telah diturunkan olehNya. Mencari yang lain selain daripada titah perintahNya adalah ibarat orang Quraiys yang mengatakan malaikat adalah anak dara Allah. Ulama telah lama bertempik dan melolong agar masyarakat yang adil dan sejahtera ditegakkan. Tetapi siapa peduli?

Maaflah kepada sesiapa yang tidak setuju dengan pendapatanku ini. Aku tahu rakan aku Amir Fauzi anak guruku juga membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain. Beliau telah menulis di blognya. Begitu juga dengan Persatuan Peguam Muslim, YB Zulkifli Nordin kerana dia bimbang mereka menyamakan Allah dengan Jesus dan Holy Spirit (Roh Yang Suci). Bagi aku mereka hendak menyekutukan Allah itu adalah tanggungjawab mereka. Kita bebas daripada kesalahan dosa dan noda mereka. Tanggungjawab kita adalah menerangkan akidah kita yang sebenar bahawa Allah itu Esa. Tidak beranak dan tidak diperanakkan. Kita tidak terpalit secalit dosa pun kalau mereka menanggung salib sebesar batang nyiur di atas bahu mereka. Dosa kita tidak bertambah pun kalau mereka mempalangkan dada mereka dengan silang empat ketika terkejut. Allah adalah Tuhan sekalian alam. Sekiranya kalimah Allah adalah hak eksklusif orang Islam, siapa pula yang menjadikan alam mereka?

No comments:

Post a Comment