Sunday, January 3, 2010

Allah Maha Esa

Kali ini aku hanya ini menyorot sejarah penggunaan kalimah Allah. Mengikut YB Zulkifli Nordin:

Kalau kita bercadang nak mengheret sejarah dalam isu ini, kita boleh mempertikaikan agama Kristian dan Yahudi itu sendiri dari segi nama ketuhanan mereka. Apa yang jelas, Nabi Isa yang Kristian angkat menjadi anak tuhan bukan orang 'Arab, sebaliknya dia adalah seorang Yahudi bani Israel berbangsa Hebrew. Sudah tentu nama beliau bukan dalam bahasa 'arab. Jadi bagaimana pula golongan Kristian boleh mendakwa nama "ALLAH" sebagai tuhan mereka telah diguna sejak awal ujudnya agama Kristian. Sebaliknya nama asal Nabi Isa dalam kitab Hebrew ialah Yehwah. Malah nama "Jesus" sendiri pun adalah sebenarnya ciptaan barat, berasal daripada perkataan Greek kuno "Yeosus" kemudian diubah menjadi "Yesus" dalam Inggeris lama sebelum menjadi Jesus dalam Inggeris moden!! (http://zul4kulim.blogspot.com/2010/01/menyanggah-yb-khalid-samad.html)

Di dalam bahasa Hebrew, banyak perkataan digunakan merujuk kepada pencipta. al-Quran juga merujuk Allah dengan kata nama lain seperti Ila:hiy, Rabb, Ila:hukum serta al-Asma al-Husna yang lain. Aku membandingkan Kitab Taurat dan al-Quran bukan untuk menyamakan ajaran Islam dengan Yahudi dan Injil. Aku hanya akan menyoroti dari segi sejarah pembentukan kata Allah itu sendiri.

Di antara perkataan yang disebut oleh Taurat ialah
אלוהים yang berbunyi Elohim. Manakala Yehwah yang disebut oleh YB Zulkifli bukanlah nama asal Nabi Isa. Sebaliknya Yehwah yang ditulis יהוה bermaksud Dia (lihat persamaan bunyi fonetik di antara Wah dengan Huwa yang bermaksud dia di dalam bahasa Arab). Yehwah adalah kata nama lain bagi Allah di dalam kitab Taurat. Begitu juga dengan kata Syuday (di dalam bahasa Parsi dan Urdu disebut Khuday) yang bermaksud al-Rab (Pemelihara). Kembali kepada perkataan Elohim, perkataan ini juga disebut Eloah atau Allah. Di dalam Sifir Kejadian, surah pertama Taurat disebutkan: בראשיתבראאלהיםאתהשמיםואתהארץ yang berbunyi "bereshith bara Elohim eth hashshamayim veeth haarets" yang bermaksud Pada permulaannya Allah menjadikan langit dan bumi. (Sifir Kejadian: 1).

Manakala Kitab Injil pula diturunkan di dalam bahasa Suryani yang sama keluarga dengan bahasa Aramiy. Di dalam bahasa tersebut, Allah disebut sebagai Eloy, Ili, Ilu. Di dalam Markus 15:34 disebutkan
Ελωΐ, Ελωΐ, λαμμα σαβαχθανι yang berbunyi Eloy! Eloy! Lama Syabakhtaniy? Maksudnya: Allah! Allah! Kenapa Kau tidak datang menolongku?

Kesamaan sebutan fonetik di antara Hebrew, Suryaniy dan Aramiy adalah kerana ketiga-tiga bahasa ini berasal dari kelompok bahasa yang sama iaitu bahasa Semitik. Mengatakan bahawa perkataan Allah adalah perkataan Arab adalah pendapat yang singkat dan tidak menepati susur galur sejarah bahasa yang sebenarnya.

Di dalam bahasa Arab sendiri, perkataan Allah sudah digunakan oleh para penyair Jahiliyyah. Di antaranya ialah Umru al-Qays di dalam syairnya:

فَقالَتْ: يَمينََ اللَّهِ ما لَكَ حِيْلَةٌ ... وما إنْ أَرَى عَنكَ الغَوَايةَ تَنْجَلي

Wanita itu berkata: Demi Allah
kau tidak mempunyai helah lagi
helahmu akan tersingkap tidak lama lagi

Begitu juga dengan kata-kata Zuhayr bin Abi Sulma:

فَلاَ تَكْتُمُنَّ اللَّهَ ما في صُدُورِكُم ْلِيَخْفَى وَمَهْمَا يُكْتَمِ اللَّهُ يَعْلَمِ

Usahlah kamu melindungi apa yang ada di dalam dada kamu
bagaimana kamu sembunyikan pun Allah akan mengetahuinya.

Kepada pembaca yang tidak mempelajari syair Arab, Umru al-Qays dan Zuhayr adalah dua orang penyair Arab yang hidup pada zaman Nabi Muhammad lagi. Dikatakan bahawa Umru al-Qays hidup 200 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad.

Semoga YB Zul akan dapat menulis dengan fakta yang betul di dalam penulisan-penulisan beliau pada masa akan datang. Semoga berjaya. Adios amigos.



1 comment:

  1. Syeikh. artikel bagus. Bila boleh mula mengajar Bahasa Arab Komunikasi PMR Tingkatan 3 tempat ana? Ramai peminat anta sudah tunggu ni. <http://arabic2u.my/

    ReplyDelete