Saturday, March 13, 2010

Indahnya Cinta Yang Gagal

"Kalau kau tahu kau akan meninggalkan aku, kenapa kau memerangkap aku dengan cinta palsumu?" Widad menghempaskan punggungnya di atas kerusi batu yang keras di bawah pokok tanjung di tebing sungai. Air sungai mengalir deras kerana hujan baru sahaja reda. Air dari hulu melompat menghentam batu-batu yang menghalang perjalanan tanpa belas kasihan.

"Siapa kata cinta aku cinta palsu? Cinta aku cinta yang tulus. Cinta aku adalah cinta yang kudus." Safwan membalas dengan nada yang biasa. Nada seperti orang tidak bersalah.

"Habis, kalau cinta kamu cinta tulus, lurus dan kudus, kenapa kau harus pergi meninggalkan aku? Kau datang lalu kau semai benih cinta di dalam lubuk hatiku. Kau siram segala kebaikan kepada aku. Kau biar cinta di hatiku ini berbunga. Lalu kau biarkan aku mekar sendirian."

"Widad, cinta yang indah adalah cinta yang gagal. Cinta yang tidak bernoktah. Cinta yang akan diingati sampai bila-bila. Cinta akan mati dengan penyatuan. Penyatuan umpama pisau belati yang memutus segala urat saraf cinta. Izinkan aku pergi. Aku ke sini bukan dipinta pun. Kedatangan aku ke sini adalah kebetulan sahaja. Semua itu kuasa Allah. Kuasa Allah bukan sesiapa dapat melawan. Allah Maha Kuasa. Cinta itu adalah kehidupan. Kau teruskanlah hidup tanpa aku. Kau jangan salah faham. Aku semaikan cinta bukan di lubuk hatimu sahaja. Malahan aku ingin menyemai cintaku di setiap hati insan di dunia ini. Dunia ini banyak sangat perseteruan, perselisihan faham. Dunia tidak aman kerana cinta telah mati. Kau lihatlah. Hanya kerana kalimah Allah sahaja pun mereka boleh bergaduh. Mereka sudah tidak kenal kawan dan lawan. Mereka sanggup menyaman kawan kerana mempertahankan kebatilan yang mereka anggap haq. Mereka mempertahankan kalimah Allah untuk diri mereka sahaja, tetapi mereka tidak faham pun firman Allah. Mereka menjadi keras kepada rakan sedangkan Allah perintahkan mereka keras kepada musuh dan mengasihi sesama Islam. Mereka mempertahankan kalimah Allah kononnya tetapi sifat kasih sayang yang Allah perintahkan untuk disuburkan mereka pekakkan begitu sahaja."

"Kalau sudah takdirnya aku pergi, aku pergi jugalah. Kau jagalah dirimu baik-baik. Teruskanlah perjuanganmu dengan rakan-rakanmu. Apa yang boleh aku baktikan, aku telah berikan kepadamu. Aku sudah ajarkan kamu berenang di lautan puisi yang ombaknya amat ganas. Semua itu aku sudah ceritakan kepadamu. Teruskanlah berenang di lautan-lautan. Akhirnya kau akan tiba ke destinasi. Kenalilah depan dan belakang perahu yang akan membawa kamu belayar. Kenalilah dadanya dan buritannya juga. Selidikilah bahan-bahan yang tidak boleh diletak di belakang kapal. Semua itu terdapat di dalam khazanah yang aku tinggalkan kepada kamu."

"Aku sudah ceritakan kepada kamu sejarah perjuangan umat ini. Bagaimana kamu harus belajar sejarah supaya kamu menjadi insan yang sedar dan peka dengan dunia kamu. Sejarah bukanlah banyak sangat plotnya pun. Plotnya itu-itu juga. Cuma wataknya sahaja yang berbeza. Aku sudah memberitahu kamu nikmat dan azabnya penjajahan yang dialami oleh umat ini. Sebaik mana pun penjajahan, umat yang dijajah tetap berduka. Dalam berduka itu terimalah juga sedikit zauq nikmat yang ditinggalkan. Apalah gunanya meratapi sejarah yang sudah pergi. Kecualilah kamu memang suka mengekploitasi sejarah untuk mencari pengaruh dan kuasa suatu hari nanti. Masa itu gunalah sejarah. Ungkitlah kepada anak cucu kamu kesusahan datuk nenek dan moyang mereka yang makan ubi kayu. Dan takutkanlah mereka bahawa ini tanah air kamu dan mereka akan makan ubi kayu juga kalau mereka tidak memperkasakan bangsa mereka. Kamu pun lakukanlah seperti mana yang dilakukan oleh Jawhar al-Siqli yang membina Kota Iskandariah dan juga al-Jaami` di Kaherah. Kamu nanti ketika berkuasa pun binalah menara setinggi menara yang terdapat di Kota Kaherah supaya mendapat sokongan rakyat. Mereka ketika itu akan faham bahawa kamu memartabatkan Islam dengan membina banyak syiar Islam begitu. Jemaah yang datang pula jangan hirau sangatlah. Mereka itu bebas dan boleh memilih. Yang penting kamu dapat sokongan suara daripada mereka."

"Sayang! Sepeninggalan aku nanti, kau fahamilah kata-kata manusia juga. Belajarlah mengenal kata-kata orang. Kalau dia menyuruh bukan bermaksud kau mesti lakukan apa yang disuruh. Begitu juga kalau dia bertanya, menyeru dan melarang. Di sana adalah rahsia-rahsianya. Baca dan fahamilah. Faham juga di mana kata yang elok diberhentikan dan di mana kata kalau boleh dicantikkan. Ada kata yang elok dipendekkan dan dikontotkan. Ada kata yang elok dihiasi dengan wacana yang berjela-jela. Semua itu harus kau faham supaya orang tertarik dan cinta dengan kata-katamu. Walau kau pandai setinggi mana pun, fahamilah bahawa berdiam diri itu adalah lebih baik daripada berkata-kata. Banyaklah berfikir daripada berkata-kata. Banyaklah mendengar daripada menyakiti telinga orang dengan lidahmu yang tajam yang boleh menghiris hati orang lain. Bacalah dan mengertilah. Sekiranya kau berkata, kau hanya mengulangi apa yang kau tahu. Tetapi kiranya kau mendengar, kau akan mempelajari ilmu baharu."

"Perpisahan ini bukan kehendak aku, sayang. Mereka meminta supaya aku pergi. Bukan meminta tetapi memaksa. Aku memang selesa di sini di sisimu. Tapi kalau aku di sisimu lama-lama pun, suatu hari kau akan membenciku juga. Biarlah aku pergi ketika padi bunting. Biarlah orang lain menuainya. Aku tidak berkecil hati pun. Tuailah. Berbanggalah dengan hasil semaian yang aku semai dan aku jaga bagai menatang minyak yang penuh ini. Aku amat menyayangimu seperti juga aku menyayangi insan-insan lain. Cinta ini tidak perlu bersempadan. Cinta bagai senyuman yang harus diberikan kepada setiap insan. Hapuslah air matamu. Jangan kau curahi air matamu. Air mata yang gugur tidak mampu pun menghalang aku pergi seperti juga hujan yang cuba hendak menghalang perjalanananku ketika aku berkuda besi. Hujanlah selebat mana pun, aku teruskan juga perjalanan walau seluar dan bajuku basah kuyup. Kalau takdirnya aku pergi aku akan pergi. Kalau takdirnya aku masih bersama kamu aku bersyukur. Aku juga sebenarnya lebih selesa bersama kamu di sini."

"Sudahlah, Safwan! Aku membencimu. Aku belum pernah membenarkan pintu hatiku diketuk oleh orang lain. Kau datang bertenggek di tangga dadaku lalu apabila aku bukakan pintu hatiku, kau sudah hendak pergi tanpa menghirup setitik air kopi pun. Kau kejam, Safwan!"

"Maafkan aku, Widad! Kau tuduhlah aku. Kau salahkanlah aku. Kau bagiku umpama kanak-kanak yang melastik burung. Kanak-kanak begitulah apalah yang dia tahu tentang nyawa dan kehidupan. Biarlah aku pergi supaya kau tahu betapa indahnya cinta yang gagal. Bukan hari ini kerana aku yakin hari ini kau tidak akan mengerti apa maksudku. Tetapi suatu hari nanti. Pasti kau akan mengerti juga."

No comments:

Post a Comment