Sunday, January 17, 2010

Menjawab Keraguan

Aku ingat isu penggunaan nama Allah ini telah reda dan berakhir. Namun, apinya masih panas. Baranya masa ada. Aku sudah menulis tentang hal itu. Menggunakan hujjah daripada al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi sumber perundangan Islam. Menggunakan al-Quran dan al-Sunnah kerana itulah pun yang dianjurkan oleh Islam apabila kita berbeza pendapat. Al-Quran menganjurkan "apabila kamu berselisih pendapat, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan RasulNya (al-Sunnah). Hujjah aku menggunakan al-Quran dan al-Hadis tidak pernah disanggah. Dan mereka tidak pula menggunakan hujjah daripada al-Quran dan al-Hadis sebaliknya hanya hujjah ketakutan dan juga `urf.

Ketakutan mereka adalah menjaga sesitiviti umat Islam di Malaysia yang sudah lama menggunakan nama Allah ini. Mereka bimbang kalau terjumpa gereja yang tertulis Bayt Allah, Rumah Allah, Gereja Allah. Mereka bimbang kalau orang Kristian mengajak "Marilah kita kembali ke Jalan Allah!". Aku sudah sebutkan di dalam Facebook dengan memetik firman Allah: Sekiranya tidak terdapat gesaan Allah kepada manusia (untuk melakukan Jihad), nescaya akan dimusnahkanlah sawa:mi` (biara golongan Sa:bi:n), biya` (biara Kristian), Salawa:t (biara Yahudi dan masjid (yang menjadi tempat) menyebut nama Allah dengan meriahnya (al-Haj:40). Mereka yang tidak puas hati dengan terjemahan yang aku terjemahkan di sini, bolehlah merujuk mana-mana terjemahan dan tafsir pun dan kemudian sila beritahu aku maksud dan tafsir ayat ini. Mereka takut gereja ditulis nama Allah, tetapi tidak takut pula dengan Kedai Sports Toto, Magnum 4D, Bank Ribawi Berhad, Mahkamah Sivil, HillCity Health Centre dan pelbagai papan tanda lagi yang menganjurkan aktiviti yang ditegah oleh Allah.

Mereka juga takut Kristian menggunakan nama Allah dalam bentuk TRINITY. Mereka takut berdosa dengan perbuatan Kristian yang menyekutukan Allah. Mereka akan berdosa besarlah kalau mereka benarkan Kristian menyebut nama Allah. Bukan mereka sahaja takut berdosa, bahkan mengeluarkan fatwa gila dan bodoh dengan mengatakan sesiapa yang membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah akan kafir. Hukumnya sama seperti mempalang dada ketika terkejut dan berdoa. Aku malu sebab aku datang dari daerah Kulim. Emak aku dan bapa tiri aku tinggal di daerah Kulim. Dalam pilihanraya 12 dahulu aku tahu mereka memangkah Ahli Parlimen tersebut. Walaupun undi adalah rahsia, tetapi emak aku adalah pengundi tegar pembangkang sejak dulu lagi. Aku pun kerana taatkan emak aku mengikut jejak langkahnya. Aku pernah ke hulu ke hilir mendengar ceramah bakal calon ketika itu. Pernah aku masuk ke restoran Cina untuk mendengar ceramah beliau. Tetapi sekarang aku malu. malu kerana berwakil rakyatkan seorang Ahli Parlimen yang bodoh dan sombong pula. Menuduh aku kafir pula. Aku tidaklah mempunyai apa-apa pengaruh pun di dalam kampung aku. Tetapi sekurang-kurangnya emak aku akan dengar cakap aku kalau aku bagitau dia jangan sokong lagi ahli parlimen yang bodoh. Bapa tiri aku juga aku yakin akan dengan cakap aku. Begitu juga dengan adik-adik beradik tiri aku. Aku akan meminta mereka supaya jangan sokong wakil rakyat yang tidak memahami al-Quran. Yang tidak bertoleransi dengan penganut agama Samawi. Itu pun kalau beliau dipilih menjadi calon sekali lagi. Aku harap beliau dipilih menjadi calon gerombolan pulalah. Senang aku dan seluruh keluarga aku hendak memangkah muka beliau.

Di dalam Surah al-Ma:idah ayat 73 Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang yang telah berkata bahawa Allah adalah satu daripada tiga." Allah yang mereka tigakan itu adalah Allah kitalah. Mereka kafir kerana mensyirikkan Allah kitalah. Kalau mereka mensyirikkan Gautama Buddha, apa kes Allah hendak menegah mereka. Memang tidak ada kena mengena dengan kita pun. Kalau mereka hendak menigakan tuhan sepertimana iktikad beberapa orang India yang mengatakan oknum tiga Brahma, Siva dan Visnu, tentulah Allah tidak menyebutnya di dalam al-Quran pun sebab tidak ada kena mengena dengan Allah pun. Mereka memang menyekutukan Allah dengan iktikad trinity mereka itu. Kalau mengaitkan trinity dengan Allah pun dikira berdosa dan terkeluar daripada Islam, apa hukumnya pula al-Quran yang menyebutkan bahawa orang-orang yang mengaitkan Allah dengan Trinity adalah kafir?

Ketakutan orang-orang ini ada kalanya tidak berasas. Mereka mengandaikan apa pula nanti kalau Gudwara, Kuil Hindu atau Tokong Cina hendak menggunakan nama Allah pula di premis mereka. Ketakutan ini bagi aku tidak berasas. Sikh, Hindu dan Cina tidak menyembah Allah. Sejarah agama mereka berbeza. Kaum Sikh mempercayai ajaran Guru Nanak. Manakala Hindu pula berasal daripada kepercayaan kaum Touran, Dravedia dan Aryan. Tuhan mereka banyak sekali sehingga tidak dapat dihitung. Agama mereka sama seperti agama pagan yang lain yang mempercayai unsur alam semula jadi seperti tuhan Greek juga. Sebelum ada tuhan Brahma, Siva dan Vishnu, mereka telah menyembah Yama dan Andra. Orang-orang Cina juga mempunyai berbagai-bagai agama. Yang utama adalah pengikut Buddha. Pengasas agama ini adalah Sidharta Gautama Buddha. Justeru, kenapa mereka hendak letakkan Allah pula di tempat-tempat ibadat mereka. Memang tiada kaitan pun. Dan aku fikir, pemikiranb mereka tidak akan mencapai kemuncak kebodohan pemikiran orang-orang yang berfikiran karut ini.

Perlu aku sebutkan di sini alasan mereka adalah 'urf al-Balad. Di dalam buku al-Nazariyyat al-Fiqhiyyah, Muhammad Zuhayli (1993) menyebutkan, 'urf itu mestilah bersyarat. Syaratnya ialah hendaklah uruf itu adalah uruf semua manusia. Justeru, tidak boleh dikatakan uruf kalau uruf itu hanyalah uruf di Semenanjung Malaysia sahaja, manakala di Malaysia Timur dibenarkan penggunaan kalimah Allah. Uruf mestilah syamil, merangkumi semua tanpa pengecualian. Uruf juga mestilah tidak bertentangan dengan nas Quran dan Hadis. Kalau al-Quran pun membenarkan, begitu juga Hadis dan tinggalan Rasulullah seperti surat baginda kepada Mauquqis dan Najjasyiy, uruf itu tidak terpakai. Banyak lagilah perbahasan berkenaan dengan uruf ini. Aku harap mereka tidak pandai sebut atau menjadi burung tukang yang menyipongang kata-kata orang lain sahaja. Mesti tahu dan mesti menguasai perkara tersebut sebelum dituliskan di dalam blog atau sebelum berkokok di mana-mana pun.

Kebodohan bukanlah satu dosa atau kesalahan. Seseorang tidak boleh dikatakan bodoh kalau dia tidah tahu. Tetapi sekiranya diberitakan ayat al-Quran dan Hadis serta pendapat ulama pun dia masih lagi mempertahankan kebatilan dan kebodohannya, apa lagi yang boleh kita katakan. Kita hanya mengharapkan Allah memberi hidayah kepadanya. Aku pasti kalau kebodohan itu masih menjadi kokokannya, pastilah dia akan kalah terkerjung begitu sahaja.

No comments:

Post a Comment