Tuesday, January 5, 2010

Sedikit-sedikit Cukuplah

Aku merasakan aku tidak perlu lagi memanjangkan sensasi kalimah Allah ini. Aku tidak pasti setakat mana tulisan aku dapat diterima oleh rakan-rakan sekalian. Namun itulah yang aku fahami. Dengan ilmu yang aku terima daripada al-Marhum Dr Irfan Abdul Hamid Fattah melalui kelasnya di Al-Bayt dahulu mahupun lewat bukunya Dirasat fi al-Firaq, Dirasat fi al-Fikr al-Arabiy, al-Nasraniyyah, juga melalui kelas perbandingan agama oleh Dr Bahjat Habasyinah, itulah yang aku fahami.

Aku bukanlah beriya-iya hendak membenarkan golongan Kristian menggunakan nama Allah seperti tuduhan Ahli Parlimen kampung aku pun. Kebenaran adalah kebenaran. Kebenaran bukan boleh dibuat survey. Kita tidak boleh membuat survey untuk menentukan sesuatu kebenaran. Walaupun orang tidak suka, kebenaran adalah kebenaran. Ada hadis menyebutkan bahawa katakan benar walaupun pahit. Sekiranya dibuat survey, tentulah orang tidak mahukan kepahitan. Orang hanya mahukan yang manis-manis sahaja. Lebih-lebih lagi madu yang manis. Sebab itulah mereka suka menambah bini bila dah kaya sebab madu itu manis. Survey hanya boleh dibuat untuk sesuatu persepsi. Menurut Dr Irfan di dalam buku Madkhal Li Dirasat al-Falsafah al-Islamiyyah, persepsi ini termasuk di dalam al-Qiyam al-Nisbiyyah di mana seseorang mempunyai persepsi berbeza di atas sesuatu nilai. Nilai kecantikan dan keindahan misalnya. Ada orang yang suka wanita yang kurus dan ada pula lelaki yang suka wanita chubby yang berisi. Yang mewah dengan daging. Kalau sudah dapat daging yang mewah lagi gebu, hendak pecat daripada ahli majlis perundangan negara pun pecatlah. Kerajaan hendak tumbang pun tumbanglah.

Di dalam al-Quran juga dijelaskan bahawa walaupun sesuatu kita tidak suka itu kepada sesuatu perkara, tetapi itu adalah suruhan Allah, kita hendaklah menerimanya. Di dalam perkara Jihad misalnya, Allah mengatakan: Diwajibkan kepada kamu jihad, sedangkan jihad itu kamu tidak menyukainya. Manusia lebih suka hidup kerana naluri Hubb al-Baqa wa Karahiyat al-Mawt adalah naluri setiap manusia. Begitu juga ayat al-Quran yang mengatakan: Boleh jadi apa yang kamu tidak suka itu adalah lebih baik buat kamu. Sekiranya dibuat survey di atas perkara ini, tentulah survey itu menujurus kepada perlakuan yang disukai manusia.

Ahli Parlimen itu juga mendakwa orang yang memberikan pendapat keharusan menggunakan kalimah Allah buat semua manusia itu beriya-iya hendak menjual nama Allah. Seolah-olah Allah itu barang jualan pula seperti jualan kain khat bertulis Allah yang dijual di kedai-kedai frame dan juga kedai-kedai gambar. Bagi aku yang berpendapat tentang keharusan menggunakan kalimah Allah ini, aku bukanlah hendak menjual apa-apa pun. Berapalah sangat yang aku untung pun. Kecualilah orang-orang politik yang mendapat habuan kalau melompat. Boleh menyetel segala hutang kereta, rumah dan kredit. Boleh membeli banglo berjuta-juta. Boleh pergi ke luar negara memberi penerangan tentang indahnya membuat lompatan. Aku ulangi sekali lagi bahawa aku tidak akan menjual kebenaran. Kebenaran adalah kebenaran walau tidak dijual sekalipun. Walau disimpan di muzium, kebenaran adalah kebenaran.

Aku tidak mengeluarkan pendapat berdasarkan kehendak Yahudi atau Kristian. Apa iktikad mereka kepada Allah tidak akan merubah pendapat aku. Yahudi misalnya mengatakan bahawa orang-orang Islam bukannya menyembah Allah yang mereka panggil Yehwah. Allah orang islam tidak sama dengan Allah mereka. Begitu juga dengan sesetengah golongan pelampau Kristian yang mengatakan bahawa orang Islam bukan menyembah Allah. Allah mereka atau Eloy tidak sama dengan Allah kita. Mereka menuduh bahawa Allah orang-orang Islam adalah al-Laata. Perkataan al-Laata itu telah diubah oleh Nabi Muhammad supaya serasi dengan ajaran Nabi Isa. Allah yang orang-orang Islam sembah adalah berhala Hubal yang bersimbolkan bulan sabit. Sebab itulah menurut mereka orang Islam menggunakan lambang bulan sabit di atas masjid-masjid kerana menyembah berhala Hubal. Itu tuduhan mereka yang sedikit pun tidak mempengaruhi aku untuk memonopoli kalimah Allah Pencipta dan Pemelihara sekalian alam ini. Mereka hendak menuduh, mereka hendak memfitnah, namun Islam lebih bertoleransi dan menerima mereka. Allah tetap menyifatkan mereka orang yang dekat dan berkasih-sayang dengan orang-orang Islam. Ajaran Nabi Isa supaya memberi pipi kiri sekiranya orang menampar pipi kanan tidak pernah pun diamalkan oleh orang Kristian. namun, ajaran tersebut diajar oleh al-Quran. Apakah kita ingin turut sama berkonfrantasi dengan orang-orang Kritian seperti mana terdapat beberapa golongan daripada mereka yang bersikap ganas terhadap orang-orang Islam.

Cari dan bacalah buku Abdul Wadud Syalabiy yang bertajuk al-Islam wa Khurafat al-Sayf. Lihatlah bagaimana orang Kristian bersikap ganas kepada pengikut Islam ketika mereka mengambil semula Sepanyol. Begitu juga penindasan kepada penduduk sekitar al-Quds ketika tentera Salib menduduki al-Quds. Sikap ganas mereka bukanlah ajaran Kristian tetapi sikap ganas mereka adalah sikap ganas golongan tentera yang tidak berpendidikan. Tentera yang merupakan rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan, penganggur di Jerman dan Eropah yang dikerah menawan al-Quds. Daripada membuat huru hara dan mendatangkan masalah di dalam negara dan tidak mampu lagi mengawal mereka, mereka dikerahkan ke al-Quds.

Aku bukan menyokong sikap golongan Kristian pun. Kristian ini samalah seperti sosialis yang pro rakyat apabila menjadi pembangkang, tetapi menjadi singa yang membaham rakyat pula ketika menjadi kerajaan. Mereka mengajar cinta, kasih-sayang sesama insan. Kerana kasih sayanglah kononnya father mengorbankan anaknya untuk menghapuskan dosa umat. Sedangkan di dalam Taurat sendiri menyebutkan: Setiap manusia menaggung dosanya sendiri. Bapa tidak memikul dosa anak dan anak tidak memikul dosa bapa. Tetapi mereka tidak berkasih sayang pun. Mereka menguruskan ekonomi kapitalis dengan tidak menaruh belas kasihan kepada negara miskin. Menjadi kuasa dunia yang ganas dengan menyerang negara kecil. Menakluki Afghanistan, membuat kekacauan di negara yang tidak sealiran dengannya seperti Cuba dan Iran. Semua itu angkara pemimpin mereka yang beragama Kristian. Di mana cinta mereka? Di mana kasih sayang mereka. Cinta mereka bagaikan cinta artis jugalah. Menyanyi lagu cinta mendayu-dayu, menjanji syurga di wajahmu, mengajak isteri berbulan madu di awan biru, menitis air mata di kuburan suami ketika berlakon. Tetapi perkahwinan hanya bertahan sebulan, dua bulan dan paling lama lima tahun. Lepas itu adalah kita dengar musim perceraian meraka. Cinta palsu mereka terus mereka dendangkan.

Aku rasa cukuplah. Aku mengajak semua supaya berkasih sayanglah bukan kerana Jesus mengajar kita supaya berkasih sayang, tetapi kerana Dengan nama Allah yang bersifat Al-Rahman dan Al-Rahim. Allah itu Maha Penyayang. Islam lebih berkasih sayang. Tetapi sayangnya ada juga makhluk yang suka menabur api kebencian, berkonfrantasi dengan rakan seperjuangan dalam satu pakatan. Rakan begitu adalah rakan yang khianat yang tidak tahu erti persahabatan.

No comments:

Post a Comment