Saturday, February 13, 2010

Kreativiti dalam Pendidikan

Minggu lepas aku mengikuti Mesyuarat Penggubalan Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Setelah dua tahun berehat daripada menggubal kurikulum ini, aku dipanggil sekali lagi. Skill aku melakarkan kurikulum ini aku rasakan sudah tumpul. Kepenatan menggubal Kurikulum Semakan Semula Bahasa Arab Berasaskan Program j-QAF Kegunaan 2007 masih terasa. Pada mesyuarat itu pula satu konsep baru diperkenalkan iaitu unsur kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran. Setiap langkah pengajarannya mesti mempunyai unsur kreativiti. Jenuh jugalah hendak memikirkan fasa-fasa perkembangan kreativitinya. Bermula dengan fasa pemerhatian, analisis, kesepaduan dan fasa-fasa apa lagi yang aku pun ingat-ingat lupa. Aku cuba jugalah dengan kudrat yang Allah berikan kepada aku. Aku teringat kata-kata Dr. Taha yang mengajar aku Islam dan Pemikiran Semasa yang mengatakan berfikir itu sendiri mendatangkan pahala. Berfikir bagaimana untuk membahagiakan orang lain. Sekiranya berfikir dan mencari jalan bagaimana hendak menjatuhkan air muka orang, berfikir untuk berkonflik hanya sebab yang remeh temeh, berfikir bagaimana hendak menentang pendapat yang tidak sehaluan dengan orang lain, aku rasa bukan sahaja tidak mendatangkan pahala, bahkan mendapat dosa pun. Biarlah kalau mereka hendak berkonflik pun. Aku tidak kisah sedikit pun dengan terjahan-terjahan yang yang pongah yang tidak beralas dengan asas pengetahuan yang sebenar. Sekiranya bercakap boleh mendatangkan dosa, lebih baik berdiam diri sahajalah.

Kembali kepada pokok persoalan kreativiti. Kreativiti bukanlah perkara baru pun di dalam sukatan. Pada sukatan yang lama unsur kreativiti ini sudah dimasukkan. Unsur kreativiti ini muncul di dalam pelbagai bentuk seperti aktiviti nyanyian, memperkembanglebarkan dialog, menulis khat dan segala makneka aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan. Sekiranya hendak dilakukanlah. Sekiranya kita hanya berkreativiti dengan majalah Avon, berkreativiti dengan ibu kutu, berkretiviti dengan berpotpetpotpet, berkreativiti dengan tudung bawal dan tudung indon, berkretiviti dengan Hai-O atau upline dan downline, memang tidak sempatlah kita hendak berkreativiti di dalam kelas pun.

Unsur kreativiti ini telah disebutkan oleh William Jordan serta rakan-rakannya. Unsur kreativiti ini dugunakan untuk menyelesaikan masalah. Beliau telah mencipta beberapa aktiviti kreatif berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
1. Kreativiti adalah aktiviti yang penting di dalam kehidupan seharian kita.
2. Kreativiti bukanlah sesuatu yang kabur, tersembunyi dan tidak boleh dinyatakan dengan spesifik. Kreativiti boleh dijelaskan, ditentukan sifat-sfatnya, boleh diajar secara langsung untuk menambah kuasa kreativiti murid.
3. Kreativiti di dalam apa bidang sekalipun termasuklah di dalam bidang sains, matematik, bahasa, ekonomi, perubatan dan bidang-bidang lain mempunyai persamaam iaitu hasilnya mempunyai sifat kreatif apabila dijelmakan.
4. Kreativiti boleh dikerjakan secara individu, kelompok dan berkumpulan.

Kretiviti boleh diajar kepada murid dengan syarat-syarat berikut:
1. Kreativiti boleh dibangunkan secara individu dan berkumpulan. Tugas guru adalah membantu murid sedar akan kepentingan kreativiti dan membekalkan bahan-bahan serta menentukan bidang-bidang kreativiti dengan jelas.
2. Unsur emosi dan perasaan lebih utama daripada unsur kognitif di dalam kretiviti.
3. Perkara yang tidak logik lebih penting daripada perkara yang logik di dalam proses kreativiti.
4. Unsur perasaan yang tidak logik hendaklah diberi peluang untuk dijelaskan supaya menambah keberhasilan di dalam penyelesaian masalah.

William Jordan menambah bahawa unsur kreativiti ini diserapkan kepada murid melalui kaedah majas atau personafikasi supaya wujud perkaitan di antara dua perkara. Misalnya meminta murid membandingkan kerusi dengan air batu atau kasut atau sekirnya kerusi iatu dapat bercakap apa yang akan dia adukan sekiranya murid duduk di atasnya dalam tempoh masa yang lama.

Aktiviti-aktiviti majas ini boleh dilakukan dengan pelbagai bentuk:
1. Perbandingan kendiri: Membandingkan diri mereka dengan tumbuh-tumbuhan, benda hidup dan benda bukan hidup, haiwan tertentu atau individu tertentu. Mislanya dengan meminta mereka menerangkan kesan yang akan berlaku sekiranya mereka merupkan huruf-huruf Hijaiyyah. Atau sekiranya kamu nombor Wahid, apa yang kamu akan lakukan?
2. Perbandingan langsung: Membandingkan dua benda yang padz zahirnya berbeza. Misalnya membandingkan pisau dengan pen. Atau membandingkan air dengan rumah.
3. Perbandingan Kontras: Membandingkan dua benda yang nampak berlawanan seperti membandingkan musuh dengan kawan, air dengan api, madu pahit dan siang malam.

Di antara strgategi yang boleh digunakan untuk mengajar kreativiti adalah dengan menjadikan sesuatu yang biasa itu luar biasa. Misalnya apa yang berlaku sekiranya kamu diminta datang ke sekolah pada waktu malam? Strategi yang kedua ialah menjadikan yang pelik itu biasa seperti meminta murid mencari persamaan di antara kapal terbang dan nasi.

Setiap strategi ini mengandungi langkah-langkah tertentu.
1. Langkah pertama: memberikan maklumat asas.
2. Langkah kedua: menggunakan perbandingan langsung.
3. Langkah ketiga: menggunakan perbandingan majas.
4. langkah keempat: membuat kesimpulan.

Guru tidak berperanan sebagai pengkritik apatah lagi menghina pendapat murid. Setiap pendapat diterima dengan tangan dan hati yang terbuka. Murid diberi kebebasan mutlak menentukan hasil. Di dalam pembinaan idea kreativiti ini hubungan murid dan guru merupakan hubungan di alam permainan yang diselaputi oleh semangat cinta dan kasih sayang.

Teknik ini boleh digunakan oleh guru untuk mengajar penulisan, penyelesaian masalah, mencari konsep baru, meletakkan konsep nahu baru menurut kefahaman murid, murid menulis semula konsep saraf, murid menyusun semula tajuk-tajuk nahu dan saraf mengikut kefahamannya, mencipta semula konsep hubungan manusia dengan alam serta pencipta menurut idea mereka.

Sebagai kesimpulannya, murid harus diberi kebebasan untuk menentukan apa yang ingin dipelajari. Pengajaran haruslah menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Kesilapan dan kealpaan murid tidak harus dijadikan sebab untuk mendenda kerana denda mematikan langsung minat murid untuk belajar. Murid yang melakukan kesalahan tidak harus didenda bahkan dibimbing. Mendenda murid menyalin buku teks kerana bising atau tidak mahu murid membuat bising adalah kaedah pengajaran yang paling buruk dan tidak membina kreativiti murid. Begitu juga mendenda murid menyalin semula kesalahan matematik yang dilakukannnya sebanyak seratus kali sehingga habis buku latihannya. Kreativiti tunjangnya adalah emosi, perasaan dan kasih sayang. Tanpa emosi, cinta kasih dan sayang kreativiti itu hanyalah garis-garis hitam di dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Menengah yang tidak dapat direalisasikan pun.

No comments:

Post a Comment