Sunday, March 7, 2010

Catatan Terpendam

Cuaca malam itu amat panas. Puas sudah aku mandi. Dua tiga kali mandi. Aku bangun dan aku mandi. Aku rebahkan badan di atas katil sebelah isteriku. Aku lihat dia tidur bagai banir merbau sahaja. Asam keping yang aku letakkan di atas dahinya jatuh di atas bantal lalu mengotorkan bantal. Sebelum tidur tadi dia mengatakan kepalanya pening. Aku turun ke bawah menyelongkar almari dapur mencari asam jawa. Aku letakkan asam jawa itu di dalam mangkuk. Aku masukkan sedikit air lalu kuramaskan sehingga danurnya kelihatan. Aku naik ke atas lalu kuaturkan asam jawa itu di atas dahinya. Kemudian aku ambil kain tuala dan meletakkan kain tuala itu di atas asam jawa. Kujiruskan kain tuala itu agar basah. Lalu dia memejam matanya.

Kurebahkan badanku di sebelah isteriku yang mula menarik nafas dalam. Aku terjaga ketika kurasa amat dahaga. Memang penyakit kencing manisku ini membuat aku merasa amat dahaga dan kerapp membuang air kecil pada waktu malam. Aku turun ke bawah membuka peti ais. Aku teguk air di dalam peti ais. Habis sebotol air satu liter aku langgah. Aku tutp lampu di stor yang menempatkan peti ais. Aku berjalan dalam kegelapan malam lalu singgah di ruang tamu. Aku duduk di situ sekejap. Biasanya di situlah aku tidur pun. Tidur di aras bawah lebih sejuk daripada tingkat atas yang membahang dan membara.

"Woi! Hang buat apa di sini? Hang sudah pergi tengok bini hang kat Seksyen 8 ka? Aku kesian kat dia. Nak tukar balik Kelantan tak dapat. Aku pun tak tahu apa nak buat. Setakat aku guru biasa ni apa sangat pun yang boleh aku lakukan. Aku hanya luahkan masalah. Dah mereka tak bagi tukar, aku nak buat apa. Aku minta maaflah daripada hang kerana tak dapat membantu dia. Sekarang hang sudah balik. Pergilah tengok dia." Aku bersyarah panjang kepada Arman yang tiba-tiba ada di sebelah aku. Dia duduk di atas sofa memandang aku. Seperti kedatangannya yang sudah-sudah, dia tidak banyak bercakap. Dia hanya tersenyum.

"Aku balik hendak jumapa hang sahaja. Aku hendak bawak hang pergi dengan aku. Aku sunyi dok di sana. Takdak sapa nak melawak dengan aku." Arman berkata perlahan-lahan.

"Huh! Aku tak bagi hang pi dulu, hang nak pi jugak. Hang nak pi hang pi sorang. Kalau aku ikut hang, sapa nak jaga anak-anak aku ni. Kalau hang yang pernah kerja di kementerian, pertukaran isteri hang nak balik kampung pun orang tak hairan, aku sementelahlah. Bolehkah bini aku survive kalau dia dok sini. Anak hang empat. Ana aku lima. Hang ada harta banyak. Aku hanya ada hutang banyak. Aku bimbang nasib mereka kalau aku ikut hang. Bukan aku tak mau ikut. Kalau ikut aku, memang aku hendak mati sekarang nak ikut hang pi sana. Tapi anak bini aku sapa nak jaga. Hussam nak ambik UPSR. Hajjaj macam dialah. Perlukan terapi dan perhatian. Hannan juga masih tidak dapat menguruskan diri dia. Hassiba dan Hassina yang selalu bermanja dengan aku apa akan jadi." Aku bersyarah panjang kepada Arman yang mengajak aku pergi menemaninya.

Arman masih dia. Dia masih tersenyum macam kedatangannya yang dahulu juga. Sudah berapa kali dia datang bercakap denganku. Kali pertama dia datang berbaju T Orlando berbelang kelabu. Baju yang dia pakai ketika dia berlari-lari anak kerana takut kami tinggal dia ketika hendak pergi ke Kuala Lumpur membayar duit CitiBank.

"Hang jangan sedihlah atas pemergian aku. Aku terpaksa pergi dahulu. Aku sudah jumpa tempat yang baik di sana. Aku sudah sediakan tempat hang di sebelah tempat aku." Dia bercakap sambil tersenyum juga.

"Aku pun tak sangka hendak pergi begitu cepat. Ketika mereka membawa aku ke hospital, aku masih sedar. Selepas setengah jam, aku sudah tiada. Betullah apa yang Mwaffaq bagitau hang tu. Tapi aku yakin hang tak percaya."

"Mana aku nak percaya cakap Arab ni. Mereka selalu menipu. Dia telefon aku hari Khamis dari hospital. Aku kata aku tak percaya. Aku habaq kat Din. Dia pun tak percaya. Dan akhirnya kami terpaksa terima hakikat bahawa hang sudah pergi." Itulah yang aku katakan pada Arman ketika dia menziarahiku beberapa hari sesudah dia pergi.

Seminggu selepas itu dia datang lagi. Kali ini dia pesan supaya aku, Mutalib dan Rushdan pergi menziarahinya di pusara. Dia meminta kami membaca talqin untuk dia. Memang pada malam itu mereka tidak membacakan talqin.

"Raya posa nanti hang, Mutalib dan Rushdan kena mai baca talqin kat aku. Biarlah depa tak baca tapi hampa mesti baca. Aku nak dengar." Bersungguh-sungguh dia pesan.

Aku menelefon Rushdan dan Mutalib. Mereka kata mereka akan buat di rumah. Tetapi aku tidak puas hati. Sebab dia pesan suruh buat di atas pusaranya. Takpalah. Aku akan pergi juga. tetapi tidak berani hendak berjanjilah bila aku boleh pergi.

Aku pun sunyi bila dia sudah tiada. Biasanya dia akan telefon aku dua kali sehari. Kali pertama pukul 8 pagi waktu Jordan bila dia sampai pejabat. Kali kedua dia akan telefon aku bila dia sampai di rumah dia. Waktu itu aku biasanya bersama-sama Din dan Zaki di Atima. Sekarang tiada siapa lagi yang menelefon aku. Telefon aku pun sudah jarang berbunyi. Memanglah hidup mati bertemu dan berpisah itu suratan takdir ilahi. Tetapi aku amat terkilan kenapa dia pergi terlalu cepat. Aku terpaksa terima suratan takdir itu. Namun aku amat yakin dia akan datang memberitahu aku apa yang perlukan. Dan dia akan datang dan duduk di ruang tamu rumahku bila ada sesuatu yang penting yang dia hendak katakan kepadaku. Datanglah sahabatku. Pintu rumah ini sentiasa terbuka. Dan kalau berkunci pun aku yakin kau boleh memasukinya. Di antara kita tiada rahsia. Kau pasti tahu di mana aku simpan kunci rumahku.

2 comments: