Thursday, March 4, 2010

Etika Berjamaah

Manusia adalah haiwan sosial. Aku pun tidak tahu siapa yang berkata dengan kata-kata ini. Maksudnya pun aku kurang jelas. Apakah manusia ini binatang yang suka hidup berkawan? Kalau manusia ini adalah binatang yang hidup berkawan, memang selalulah manusia ini mengkerkah kawannya sendiri kalau ada peluang. Samalah seperti kucing jantan yang menokak kucing betina kalau ada peluang. Atau seperti kerbau jantan mengkerabat kerbau betina apabila sudah naik syeh.

Berkawan manusia tidaklah sama seperti berkawan binatang. Binatang tidak mempunyai akal sedangkan manusia dikurniakan akal fikiran. Kata-kata ini juga aku rasa kurang betul juga. Siapa yang pertama mengucap kata-kata ini pun aku tidak tahu juga. Kadang-kadang binatang lebih setia daripada manusia. Anjing walaupun mengkerkah orang tidak akan mengkerkah tuannya sendiri. Monyet juga mempunyai akal dan tahu menjaga keselamatan diri. Apabila hendak melintas jalan, dia memandang juga kiri dan kanan. Binatang juga mempunyai akal fikiran.

Menurut al-Jahiz, yang membezakan di antara manusia dan haiwan adalah dari segi kata-kata. Manusia adalah hayawa:n na:tiq yang bermaksud haiwan yang boleh berkata-kata. Keupayaan bertutur membezakan di antara binatang dan manusia. Justeru, tiada beza pun di antara manusia dengan binatang kecuali di dalam bidang pertuturan inilah.

Manusia adalah haiwan sosial dan haiwan yang berupaya bercakap. Di dalam dua perkara inilah yang menyebabkan manusia menjadi binatang dan binatang menjadi manusia. Binatang yang menunjukkan kasih sayangnya, hidup di dalam kelompok tertentu, membuat keputusan secara berjemaah seperti kumpulan gorilla yang saling melindunginya dianggap seperti manusia. Begitu juga gajah yang saling berhubung menggunakan gelombang khas untuk menyampaikan maklumat supaya rakan-rakannya terhindar daripada mara bahaya dianggap seperti manusia juga.

Sebaliknya manusia akan menjadi seperti binatang sekiranya tidak pandai hidup berjamaah. Hidup berjamaah adalah perkara yang dituntut oleh Islam. Di dalam sebuah hadis gharib diriwayatkan oleh al-Tirmizi bahawa "Tangan (pertolongan Allah) ke atas orang-orang yang hidup berjamaah". Al-Hakim pula meriwayatkan bahawa "Kamu mestilah hidup berjamaah. Serigala akan membaham kambing yang hidup berasingan."

Kehidupan berjamaah manusia bukanlah seperti kehidupan berjamaah binatang. Kehidupan jamaah manusia mempunyai etikanya yang perlu dipatuhi. Segala ketetapan yang dibuat oleh jamaah dan disepakati bersama haruslah dihormati dan diikuti. Walaupun kadangkala terdapat individu yang merasakan pendapatnya lebih hebat, tetapi apabila jamaah telah memutuskan sesuatu perkara, perkara itu wajib diikuti. Individu yang hebat itu tidak boleh mengubah keputusan dengan berflip flop atau membuat keputusan lain berdasarkan hawa dan nafsunya semata-mata.

Apabila jamaah telah memutuskan individu melakukan sesuatu misi, para anggota jamaah harus menghormati misi individu tersebut. Pilihan individu tersebut tidak harus dipertikaikan kerana menghormati amanah yang telah dilakukan. Jamaah haruslah menghargai jasa individu tersebut walaupun pilihan individu tersebut tidak kena dengan hawa dan nafsu insan kamil yang lain.

Segala tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada individu tertentu hendaklah diserahkan dengan penuh kepercayaan. Biarlah dia melakukan kerja yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab. Kita sebagai anggota jamaah pula harus melakukan kerja kita dengan penuh tanggungjawab juga. Bukannya dengan mengganggu tugas orang lain dan meninggalkan kerja buat kita.

Berakhlak dalam jamaah ini haruslah dipatuhi supaya hidup diberkati Allah. Berakhlak dengan akhlak Islam bukan hanya dengan berserban berjubah tidak kira musim panas atau sejuk sahaja. Dr Bakhir yang aku temui di Kaherah lewat liburan aku pada tahun lepas pernah berkata bahawa dia pernah berjumpa dengan individu yang berjubah terlajak ini sehingga mandi pun berjubah berserban. Juga bukan hanya dengan bertudung labuh sehingga buku lali dan mengharamkan bibir mulut bertabarruj sehingga bibir mulur pucat lesi bagaikan mumia Kleopatra. Berakhlak dengan akhlak Islam ialah dengan menjaga adab-adab berjamaah juga.

No comments:

Post a Comment