Sunday, March 14, 2010

Membina Kerjasama


Telur untuk digoreng

Menggoreng sambil berfikir. Johan menggoreng telur.

Membisikkan arahan di telinga rakan.

Ikat tangan, kaki dan mata

Bekongsi kejayaan menggoreng telur

Sabtu 13 Mac 2010: Badan Amal dan Kebajikan Tingkatan Enam SAM Bandar Baru Salak Tinggi telah mengadakan satu lawatan ke Sungai Gabai, Hulu Langat. Lawatan itu telah disertai oleh seramai 30 orang palajar dan 4 orang guru pengiring. Ujian pertama bermula kerana bas tidak dapat masuk ke Sungai Gabai. Justeru, ahli rombongan terpaksa berjalan kaki dari luar sejauh 3 kilometer jugaklah. Apabila sampai di sana, masing-masing membuka bekalan yang dibawa dan membelasah dulu apa yang ada.

Sesudah makan dan berehat melepaskan penat, aktiviti bermula. Para peserta diminta memilih pasangan masing-masing. Telur, lilin, mancis, minyak dan garam siap diatur. Seorang peserta diikat tangan. Seorang lagi diikat mata. Kedua-dua kaki mereka diikat. Mereka diminta membasuh telur, mencari tungku, kayu api dan menggoreng telur. Hanya 'si buta' yang boleh membuat kerja. Pasangannya dengan tangan berikat memberi arahan dan memandu arah.

Aktiviti ini bertujuan mendidik para peserta supaya patuh kepada arahan. Patuh kepada arahan adalah ciri yang utama di dalam hidup bermasyarakat. Sebagai individu di dalam masyarakat, kita tidak dapat hidup dengan ego kita sendiri. Kita mestilah bersedia menerima keputusan yang telah diputuskan secara konsensus dan tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar keputusan ramai.

Selain daripada itu, aktiviti ini juga bertujuan mendidik para peserta bahawa kegagalan dan kejayaan adalah hak milik bersama kumpulan. Seseorang tidak layak mendakwa kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha dirinya seorang. Kejayaan menggoreng telur adalah kebijaksanaan sang pemberi arahan dan kepatuhan si buta. Kejayaan haruslah dikongsi bersama-sama. Si buta tidak harus makan telur goreng itu bersendirian tetapi haruslah disuap kepada sang pemberi arahan juga. Hadiah yang dicapai di dalam satu kejayaan misalnya haruslah diagihkan kepada Jawatankuasa yang bertungkus-lumus bekerja bukan hanya dilahap oleh individu tertentu sahaja.

Untuk mencapai kejayaan, sang pemberi arahan haruslah pandai mengarah. Arahan mestilah betul. Terdapat peserta yang lambat menggoreng dek kerana sang pemberi arahan yang pendiam. Sang buta pula haruslah patuh kepada arahan. Ketidakpatuhan kepada arahan akan mendatangkan kecelakaan kepada kedua-duanya seperti terjatuh ke dalam sungai, terbakar tangan atau telurnya pecah berderai.

Tahniah diucapkan kepada para peserta. Semua mereka berjaya menggoreng telur dan berkongsi telur goreng tersebut. Cuma satu kumpulan sahaja yang telurnya pecah ketika memanjat tangga. Sesungguhnya aktiviti ini memang susah. Sekiranya kita bersabar dengan arahan dan berhati-hati, pasti kita dapat melakukan aktiviti tersebut dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment