Wednesday, April 14, 2010

40 km/j

Mak Cik 40 km/j sedang berfikir untuk mengambil selekoh


Ustaz! Sila jumpa saya di pejabat.

Begitulah kata-kata guru besar ketika aku baru hendak melangkah menuju ke pejabat mengetik kad perakam waktu aku. Entah dari mana dia tiba-tiba sahaja terjengul dari belakang aku. Aku ingat aku lewat hari itu tiada siapa yang melihat.

Baik, tuan! Aku menjawab dengan nada yang takut bercampur nada kesal. Seribu lagi perasaan berkecamuk dan berperang dalam hati.

Aku bukan sengaja lewat pada hari itu. Aku bangun sebelum bilal di masjid belakang rumah aku mengumandang azan lagi pun. Kaset mengaji Koran yang sering dipasang pun belum berlagu. Aku bangun kerana memang jarang benarlah aku boleh lena nyenyak pada piama ini. Rumah aku panas membahang bukan main. Aku bangun awal. Aku mengambil wuzuk lalu solat tahajjud dua rakaat. Kemudian aku bersengkang mata pula mengadap facebook melihat komen-komen yang ditinggalkan di dinding serta gambar-gambar perjumpaan kami bekas-bekas pelajar SMKAK93.

Aku siapkan diri pun awal jugak. Anak kembar itu aku kejutkan. Memang biasalah pagi-pagi mereka menangis. Ada sahaja tindakan mereka yang menyebabkan aku hendak menjadi marah kadang-kadang kerana berperang dengan waktu. Kadang-kadang kelucuan pun ada juga. Tingkah laku mereka sukar dijangka. Ada kala mereka tidak mahu membasahi rambut ketika mandi kerana ummi mereka tidak membasahkan rambut. Kadang-kadang mereka hendak mengikat rambut dulu sebelum mandi. Aku layan sahaja dan aku pekakkan telinga kalau mereka menangis lalu aku jempung ke bilik air. Kalau mood aku baik aku peluk dahulu sehingga mereka diam lalu menabur janji untuk memberikan gula-gula ketika hendak ke sekolah nanti.

Aku keluar awal jugalah. Perjalanan meredah belantara dengan jalannya yang berliku lipat bagai ular dipalu harus ditempuh. Membelah kesejukan pagi ketika matahari masih malu untuk memperlihatkan wajahnya yang cantik dan menawan itu setelah merah kemarahan petang semalam. Ketika ini hujan asyik turun sahaja. Aku malas hendak menunggang kuda besiku. Sementelahlah dia membuat perangai lagi. Kakinya pun sudah terkoyak menampakkan benang yang berselirat. Aku hidupkan saga merahku lalu mendesup laju meninggalkan isteriku yang masih mengangkut segala makneka barang ke dalam kereta.

Ketika sampai di simpang Jenderam aku mengambil selekoh tanpa menekan brek. Darahku berdesup kerana tiba-tiba sahaja aku rasa keretaku bagai hendak terbang. Darah yang mendesup ke kepala memaksa aku memperlahankan kereta aku. Setelah darahku kembali tenang aku tekan lagi dan tiba-tiba terdapat beberapa puluh kenderaan beratur panjang. Aku menyumpah. pasti backhoe yang keluar mencari makan pada waktu pagi ini. Kereta terus berderet panjang. Seorang pun belum cuba menjadi wira memotong di jalan yang berliku itu.

Jam sudah pukul 7.20. Aku masih terhegeh-hegeh di depan Masjid Jenderam. Kereta di depan masih berekor naga. Di belakangku pula lori tanah yang asyik menderam bagai hendak menghentam belakang. Aku terus menyumpah. kalau hendak keluar mencari makan pun, keluarlah lewat sedikit. Biar aku sampai ke sekolah dulu. Aku terus mengikut sehingga sampai di UniKL. Beberapa kereta sudah mula terkinja-kinja untuk keluar. Aku rasa mereka juga berperang dengan waktu untuk sampai ke tempat kerja. Apa salahnya kalau backhoe itu berhenti sekejap memberi laluan kepada kami untuk pergi dahulu.

Apabila sampai di persimpangan Desa Vista, semua kereta menjenguk kepala lalu menderam memotong backhoe itu. Aku juga cuba menekan pedal minyak. Ada kenderaan dari depan. Aku ambil lorong kiri di kaki lima. Cis! Bukan backhoe. Tetapi sebuah kereta Perodua Kelisa yang dipandu oleh seorang makcik dengan muka tidak berdosa bermulut muncung yang mukanya lagi 2cm hendak menyentuh stereng sedang menumpukan perhatian terhadap pemanduannya. Dia tidak peduli walau seratus kereta di belakangnya pun. Dia tidak peduli kereta di belakangnya hendak lewat pun. Dia tidak peduli sumpah seranah orang di belakangnya. Mulutnya tetap muncung juga. Aku teringat sebuah hadis yang menyuruh kita membuang halangan di jalan. Tetapi mak cik ini bukan setakat tidak membuang halangan di jalan, bahkan dia menjadi penghalang yang maha hebat. Berapalah sangat cukai jalan yang dibayarnya untuk sebuah Kelisa sehingga merasakan jalan itu hak miliknya.

Sekarang bahananya aku yang merasakan. Hendak aku ceritakan kisah ini kepada guru besar yang memanggil aku ke pejabatnya? Akan simpatikah dia kepadaku? Biar aku fikir cerita lain yang lebih hebat untuk aku yakinkan dirinya.

Aku langkah longlai memasuki bilik guru besar.

Cikgu! Saya memohon maaf kerana lewat hari ini. Memang salah aku pun. Aku perlu mohon maaf. Mak cik yang menyusahkan aku yang menyebabkan aku lewat aku letak jauh-jauh. Walau bergantang aku menyumpah dia, aku amat yakinlah esok dia akan perlahan lagi. Dia akan memuncungkan mulutnya lagi. Dia tidak peduli walau aku honkan dengan hon kapal terbang sekalipun.

Aku lihat guru besar memegang surat lalu menghulurkan kepada aku.

Ustaz. Pengarah dah setuju hendak hadir majlis anugerah cemerlang sekolah kita.

Terima kasih, cikgu. Aku ambil surat itu lalu meninggalkan bilik guru besar. Tidak mengapalah mak cik. Mak cik boleh bawa kereta mak cik slow lagi. Esok mak cik bawalah 20km/j pula. Dunia ini sudah memahami mak cik. Pandu cermat jiwa selamat.

Baba! Baba! Bangun! Sudah pukul 10.00. Hari ini bukan Hari Anugerah Cemerlang sekolah baba ka? Alamak. Bagaimana ni? Ini semua mak cik mulut muncung 40km/j punya pasal la ni. Aku ingat aku sudah sampai di sekolah. Kemarahan aku kepada dia membuatkan aku termimpi-mimpi. Habis lagi aku kali ini. Lewat lagi.

No comments:

Post a Comment