Thursday, May 6, 2010

PROSEDUR GANTUNG DAN BUANG SEKOLAH

PROSEDUR GANTUNG DAN BUANG SEKOLAH MENGIKUT PERATURAN 4 DAN 8 PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN ( DISIPLIN SEKOLAH ) 1959

1. Tujuan

1.1 Tujuan kertas ini ialah untuk menjelaskan tatacara gantung dan buang sekolah mengikut Peraturan 4 dan 8, Peraturan-Peraturan Pelajaran Disiplin Sekolah ) 1959 yang diwartakan sebagai LN 61/59, bertarikh 20.2.1959, Ordinan Pelajaran 1957.

2. Latar Belakang

2.1 Banyak Pengetua dan Guru Besar yang kurang jelas mengenai perlaksanaan tatacara tindakan disiplin sekolah dengan hukuman berat terhadap murid mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa sekarang.

3. Peruntukan Undang-Undang

3.1 Undang - Undang yang berkaitan bagi mengendalikan kes-kes perlanggaran disiplin di sekolah-sekolah ialan Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, yang telah diwartakan sebagai LN 61/59 bertarikh 20.2.1959. Mengikut peraturan tersebut, Kerajaan telah memperuntukkan melalui Peraturan 4, bahawa pihak berkuasa disiplin di sekolah ialah Guru Besar / Pengetua. Peraturan 4 yang berbunyi seperti di bawah ini menegaskan kuasa disiplin tersebut adalah di tangan Guru Besar / Pengetua.“4. Guru Besar sesebuah sekolah adalah bertanggungjawab atas disiplin sekolah dan bagi maksud itu hendaklah mempunyai kuasa ke atas guru-guru dan murid-murid sekolah itu.”

3.2 Kerajaan juga memberi kuasa menggantung dan membuang murid dari sekolah kepada Guru Besar / Pengetua. Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959 seperti di bawah ini menjelaskan peruntukan tersebut. “8. Pada bila-bila masa sahaja didapati dengan memuaskan hati Guru Besar sesebuah sekolah :

a. sebagai perlu atau dikehendaki bagi maksud menjaga disiplin atau ketenteraman di mana-mana sekolah yang seseorang murid patut digantung persekolahannya ataupun dibuang sekolah;

4. Implikasi Peruntukan Undang-Undang Mengikut Peraturan 4 dan Peraturan 8.

4.1 Adalah jelas dari kedua-dua peraturan ini, iaitu Peraturan 4 dan 8 Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, bahawa pihak berkuasa disiplin ke atas murid ialah Guru Besar / Pengetua. Tegasnya hanya Guru Besar / Pengetua sahaja di bawah peraturan tersebut yang diberi kuasa menggantung atau membuang murid dari sekolah apabila beliau berpuas hati bahawa demi untuk mengekalkan disiplin dan ketenteraman di sekolah seseorang murid itu patut menerima hukuman sedemikian. Ini bermakna tidak ada kuasa lain selain Guru Besar / Pengetua di sesebuah sekolah dari segi menjatuhkan hukuman menggantung dan membuang murid dari sekolah.

4.2 Adalah di luar kuasa undang-undang jika penggantungan atau pembuangan pelajar dari sekolah diputuskan oleh Lembaga Disiplin ataupun Jawatankuasa Tatatertib Sekolah. Peraturan 4 dan 8 tidak memperuntukkan mengenai kewujudan Lembaga Disiplin Sekolah. Maka itu Guru Besar / Pengetua hendaklah tidak terikat dengan pandangan atau nasihat Lembaga Disiplin sekolah. Dengan perkataan lain keputusan menggantung atau membuang pelajar dari sekolah hendaklah keputusan Guru Besar / Pengetua sendiri.

4.3 Jika keputusan menggantung atau membuang murid adalah merupakan keputusan hasil nasihat dari Lembaga Disiplin Sekolah maka keputusan yang dibuat itu `void and of no legal effect.’ Sebarang keputusan penggantungan atau pembuangan pelajar tersebut jika dicabar di mahkamah maka ianya tidak boleh dipertahankan.

4.4 Secara tegas juga Peraturan 4 dan 8 berkehendakkan surat-surat tindakan tatatertib gantung atau buang sekolah ditandatangani sendiri oleh Pengetua / Guru Besar.

4.5 Keperluan-keperluan “teknikal” yang lahir dari peruntukan undang-undang berdasarkan Peraturan 4 dan 8 perlu diberi perhatian sewajarnya dan begitu juga bagi setiap prosedur dan surat-surat tatatertib yang dikeluarkan kepada tertuduh. Jika prosedur dan tatacara yang sepatutnya tidak dipatuhi, keputusan hukuman jika dicabar di mahkamah , ianya sukar dipertahankan.

5. Perkara-Perkara “Teknikal” yang perlu diberi perhatian dalam melaksanakan Peraturan 4 dan 8.

5.1 Setiap aspek teknikal hendaklah diberi perhatian sewajarnya semasa melaksanakan tindakan disiplin gantung dan buang sekolah.

5.1.1 Gantung sekolah mengikut Peraturan 8 membawa maksud sebagai hukuman disiplin ataupun sebagai membolehkan siasatan lanjut sesuatu kes dibuat sebelum keputusan hukuman disiplin dijatuhkan.

5.1.2 Bagi kedua-dua keadaan ini prosedur yang berlainan hendaklah dipatuhi.

5.1.3 Tindakan disiplin buang sekolah pula adalah langkah terakhir setelah kegagalan langkah-langkah tatatertib terdahulu, termasuk sesi kaunseling yang kesemuanya sepatutnya mempunyai dokumentasi lengkap dan teratur.

5.2 Surat tatatertib apabila dikeluarkan hendaklah mengandungi nama tertuduh yang rasmi mengikut kad pengenalan, nombor kad pengenalan ( atau jika tiada kad pengenalan, memadai nombor surat beranak ) dan kelas beliau belajar, agar surat itu tidak dipertikaikan kesahihannya. Maklumat-maklumat ini seharusnya sama seperti dalam jadual kedatangan sekolah.

5.3 Setiap surat tatatertib hendaklah jelas dan tepat dari segi waktu kejadian, tarikh kejadian tempat berlaku dan mereka yang terlibat dengan saksi-saksi yang boleh dipertanggungjawabkan. ( Dalam perkara ini Pengetua / Guru Besar sewajarnya mendapatkan laporan bertulis yang lengkap mengenai kejadian tersebut sebelum keputusan diambil ).

5.4 Peraturan sekolah yang bertulis yang dilanggar hendaklah dinyatakan dengan jelas mengikut bab atau seksyen yang berkenaan. ( Ini bermakna semua Pengetuan / Guru Besar harus melaksanakan saranan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1975 yang bertarikh 4.11.1975 mengenai perkara ini ).

5.5 Peruntukkan undang-undang mengikut peraturan 4 dan 8 Peraturan- Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959 hendaklah dirujuk bagi setiap kes.

5.6 Oleh kerana hanya Pengetua atau Guru Besar sahaja yang boleh menggantung atau membuang murid dari sekolah maka surat-surat tatatertib berkaitan hendaklah ditandantangani oleh Guru Besar / Pengetua.

5.7 Setiap surat tatatertib hendaklah disalinkan kepada Pendaftar Sekolah-Sekolah, Pegawai Pendidikan Daerah berkenaan dan ibu bapa / penjaga tertuduh.

5.8 Peruntukkan undang-undang bagi ibu bapa / penjaga untuk membuat rayuan di atas hukuman tatatertib yang dikenakan terhadap anak / jagaan hendaklah dimaklumkan dengan jelas.

5.9 Setiap surat tatatertib hendaklah diakui terima oleh tertuduh dengan dua orang saksi. Salinan surat kepada ibu bapa atau penjaga hendaklah mengikut prosedur yang sama.

5.10 Setiap murid yang akan dihukum hendaklah diberi peluang didengar dan membela diri bagi setiap pertuduhan. Hukuman tidak boleh dilaksanakan tanpa murid itu diberi peluang memberi pembelaan dirinya. Tempoh beliau menjawab pertuduhan hendaklah tidak kurang daripada 14 hari.

5.11 Sesuatu kesalahan disiplin apabila telah dijatuhkan hukuman, murid itu tidak boleh dihukum sekali lagi atas kesalahan yang sama. Contohnya seorang murid telah dihukum rotan oleh guru disiplin atas kesalahan mencuri. Pengetua / Guru Besar tidak boleh pula menggantung atau membuang murid tersebut atas kesalahan yang sama.

6. Keperluan menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Dalam Setiap Kes Gantung dan Buang Sekolah.

6.1 Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Bil. 4 Tahun 1991 bertarikh 19.5.1991, menegaskah supaya Pengetua / Guru Besar atau Penolong Kanan dikehendaki dengan serta-merta melapor segala kejadian yang tidak diingini seperti perlanggaran disiplin pelajar yang berat. Kes gantung dan buang sekolah sering menjadi berita dalam surat khabar. Oleh itu selepas pihak-pihak berkenaan dihubungi dengan telefon, laporan bertulis hendaklah menyusul kemudian dengan segera.

7. Contoh -contoh surat tindakan tatatertib dan carta aliran prosedur tatatertib dengan hukuman berat :

Untuk dijadikan panduan yang lebih jelas, dan supaya tidak berlaku kesilapan-kesilapan teknikal semasa mengambil tindakan disiplin gantung dan buang sekolah dokumen-dokumen berikut perlu disertakan dan diteliti :

7.1 Lampiran A : Ordinan Pelajaran 1957,Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.

7.2 Lampiran B : Contoh surat pertuduhan gantung sekolah sebagai hukuman tatatertib.

7.3 Lampiran C : Contoh surat keputusan gantung sekolah sebagai hukuman tatatertib.

7.4 Lampiran D :Contoh surat gantung sekolah utk tujuan siasatan hingga tindakan disiplin selesai.

7.5 Lampiran E : Contoh surat pertuduhan dengan tujuan buang sekolah sebagai hukuman.

7.6 Lampiran F : Contoh surat keputusan tindakan tatatertib buang sekolah mengikut peraturan 8

7.7 Lampiran G : Carta aliran prosedur tindakan gantung sekolah sebagai hukuman.

7.8 Lampiran H : Carta aliran prosedur tindakan disiplin gantung pelajar utk tujuan buang sekolah.

7.9 Lampiran I : Carta aliran prosedur tindakan disiplin buang sekolah.

7.10 Lampiran J : Contoh Surat Akuan Terima.

8. Penutup

Adalah diharapkan Pengetua dan Guru Besar selepas ini akan dapat menguruskan tindakan disiplin gantung dan buang sekolah dengan lebih kemas dan teratur.

1 comment:

  1. Adakah murid Sekolah Rendah yang terletak di bawah Akta Pendidikan Wajib tertakluk juga kepada Peraturan ini. BNolehkah dibuang sekolah?

    ReplyDelete