Thursday, May 6, 2010

TATACARA DISIPLIN MURID PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN ( DISIPLIN SEKOLAH ) 1959

TATACARA DISIPLIN MURID PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN ( DISIPLIN SEKOLAH ) 1959

1.0 PENDAHULUAN


Sekolah bukanlah sebagai badan pengajar sahaja.
Ia mempunyai tujuan mendidik dalam ertikata yang lebih luas.
Murid-murid sepatutnya mendapat bukan sahaja pengetahuan dan kebolehan intelektual yang diuji melalui peperiksaan, tetapi juga kebolehan intelektual, mutu moral dan social secara amnya, di mana ketiga-tiga aspek ini tidak diuji secara formal.

2.0 PIHAK BERKUASA DISI
PLIN

Peraturan 4, dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, Guru Besar adalah orang yang bertanggungjawab ke atas disiplin sekolah dan bagi maksud itu, mempunyai kuasa ke atas guru-guru dan murid-murid di sekolah itu.

Walau bagaimana pun, di bawah peraturan-peraturan tersebut Guru Besar diperuntukkan untuk menurunkan kuasa disiplin dan kuasa menjalankan hukuman kepada guru-guru lain yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu dan dalam menurunkan kuasa itu tertakluk kepada syarat-syarat atau had-had yang difikirkannya patut.

Selain Guru Besar, Pendaftar Sekolah atau Pendaftar Besar juga diberi kuasa bagi menjaga disiplin di sekolah-sekolah.

Apabila menerima perintah bertulis sama ada dari Pendaftar Sekolah atau Pendaftar Besar, Guru Besar di bawah kuasa yang diberi oleh Peraturan 6 dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, hendaklah segera mematuhi perintah itu.

3.0 PERATURAN YANG HARUS DIPATUHI DALAM MENJALANKAN KUASA DISIPLIN


3.1 Di samping kuasa dan budi bicara yang diberikan kepada pihak berkuasa disiplin sepertimana yang diperuntukkan dalam undang-undang kecil, dalam pelaksanaannya, pihak berkuasa disiplin haruslah mengamalkan keadilan.

Peraturan-peraturan yang lazimnya disebut sebagai ‘natural justice’ hendaklah juga diberi perhatian.

3.2 Hak untuk didengar (hearing).

Peraturan ini menentukan bahawa seseorang itu mempunyai hak untuk dibicarakan iaitu hak untuk membela diri dan ini merangkumi keseluruhan maksud prosedur yang adil sehinggalah dalam hal-hal mengendalikan masalah kanak-kanak.

3.3 Peluang yang diberi haruslah munasabah.

Seseorang itu haruslah mendapat peluang yang menyatakan kesnya dan dia juga belum boleh didapati bersalah atas sebarang salah laku yang membolehkan dia dihukum atau hukuman berkenaan yang dicadangkan itu lebih berat dan melampau daripada apa yang sepatutnya dia terima.

3.4 Walau bagaimana pun, pihak berkuasa disiplin tidaklah diharapkan bertindak seperti di mahkamah.

Sesuatu kes itu boleh didengar secara lisan atau dimaklumkan secara bertulis dan ini bergantunglah kepada sifat dan beratnya tuduhan itu.

4.0 LANGKAH-LANGKAH YANG HARUS DIAMBIL

4.1 Langkah Pertama bagi tindakan disiplin adalah menerima aduan.

Tanggungjawab Guru Besar adalah mempastikan kebenaran aduan itu dan mempastikan sama ada kes itu bersabit (prima facie) atau tidak.

Langkah berikutnya adalah membuat siasatan awal serta mengumpul bukti serta menentukan kebenaran dan bukti-bukti tuduhan.

4.2 Langkah Kedua membuat kesimpulan dari bukti-bukti untuk menjawab kes bersabit (prima facie) itu.

Sebelum mengenakan sebarang perintah hukuman, peluang yang munasabah hendaklah diberi kepada murid itu untuk menafikan kesalahannya dan menegakkan kebenarannya.

4.3 Langkah Ketiga haruslah diambil untuk membolehkan murid beri sebab ( To Show Cause ) jika murid itu menafikan kesalahannya.

Maksud beri sebab di sini adalah pihak berkenaan itu diberi peluang untuk menyatakan kesnya, iaitu untuk membela diri dan memberi bukti bahawa tuduhan-tuduhan yang dihadapkan itu tidak betul.

4.4 Langkah Keempat mestilah diambil untuk membuat keputusan dan dapatan Guru Besar.

4.4.1 Dapatan Guru Besar Sekiranya murid itu boleh memberi keterangan yang memuaskan dan dia dapat membebaskan dirinya daripada tuduhan yang dihadapkan kepadanya, maka Guru Besar boleh membuat keputusan bahawa tuduhan itu tidak ada bukti dan tindakan selanjutnya adalah tidak perlu.

4.4.2 Pengakuan atau Didapati bersalah

Jika murid mengaku melakukan salah laku, sebagai alternatif, selepas mendengar keterangan Guru Besar mendapati bahawa tuduhan itu mempunyai bukti-bukti, maka dia hendaklah membuat keputusan terhadap hukuman yang hendak dikenakan terhadap pesalah itu.

5.0 FAKTOR ASAS YANG PATUT DIRANGKUMKAN DALAM DASAR GURU BESAR TERHADAP HUKUMAN


Mengenai kesalahan-kesalahan yang terkumpul di bawah undang-undang jenayah umum di mana jenayah yang diadukan itu tidak dilakukan dalam kawasan sekolah, walau pun mengambil tindakan disiplin tidak dilarang, adalah lebih baik bagi Guru Besar menunggu hasil keputusan mahkamah sebelum tindakan disiplin dikenakan.

5.1 Masalah Hukuman

Adalah jelas berbagai-bagai salah laku mungkin berlaku di sekolah, di mana hukuman-hukumannya tidak dapat ditentukan dengan berpandukan kepada undang-undang sebab undang-undang telah meletakkan kuasa mutlak kepada Guru Besar untuk memilih hukuman yang sesuai.

Setelah mendengar sesuatu kes itu, Guru Besarlah orang yang lebih memahami akan fakta-fakta dan keadaan-keadaan dalam masa salah laku itu terjadi.

Dialah yang lebih menyedari akan sifat dan latar belakang murid yang melakukan kesalahan itu.

Dengan itu, Guru Besarlah juga orang yang amat sesuai menentukan apakah hukuman yang paling setimpal bagi sesuatu salah laku yang berkaitan.

Tindakan-tindakan disiplin kerana kesalahan yang dilakukan hendaklah bersifat adil dan tegas supaya dengan tindakan-tindakan itu, murid dapat dibimbing ke jalan yang menghindarkannya dari melakukan perbuatan-perbuatan salah laku yang sama.

Dengan demikian dapatlah murid itu memahami perlunya ia berbudi bahasa, bermurah hati, mempunyai keluhuran diri dan juga mempunyai sifat merendahkan diri dan juga mempunyai aturan dan disiplin yang baik.

Faktor-faktor penting yang patut dijadikan asas dalam dasar Guru Besar menyeragamkan tindakan mengenakan hukuman adalah seperti berikut ;

5.1.1 Beratnya Kesalahan

Lebih serius salah laku itu maka lebih beratlah hukuman yang dikenakan.

Cara pemeringkatannya bergantung kepada tujuan orang yang membuat kesalahan itu dan setakat mana perbuatan itu membahayakan.

Lebih kuat tujuan sesuatu perbuatan salah laku itu, lebih meningkat bahaya yang didatangkan, maka lebih beratlah pula hukuman yang patut diberikan.

5.1.2 Perwatakan dan latar Belakang Murid.

Dalam menentukan apa hukuman yang sesuai, Guru Besar tidak sepatutnya berpuas hati setakat menyesuaikan hukuman dengan kesalahan.

Pertimbangan hendaklah diberi kepada perwatakan, sejarah dan latar belakang murid yang melakukan kesalahan.

Hukuman yang dikenakan tidak sepatutnya disesuaikan dengan kesalahan tetapi juga kepada yang melakukan kesalahan itu.

5.1.3 Kekerapan Kesalahan dan kesungguhan Murid Yang melakukannya.

Lebih kerap kesalahan itu berlaku atau lebih bersungguh-sungguh murid itu melakukannya maka lebih beratlah hukuman yang boleh dikenakan.

6.0 PENGERTIAN HUKUM

Hukuman boleh diertikan sebagai kuasa mengenakan hukuman yang menyakitkan bagi sesuatu salah laku.

Terdapat tiga unsur utama dalam pengertian hukuman ;

6.1 Ia hendaklah merupakan aspek hukuman yang bersifat memberi balasan kepada sesuatu kesalahan yang telah dilakukan.

6.2 Hukuman hendaklah dikenakan oleh seseorang yang berkuasa ke atas yang dihukum.

6.3 Hukuman melibatkan sesuatu yang tidak menyenangkan dikenakan ke atas yang bersalah, ia boleh jadi tindakan fizikal bersifat positif yang menyakitkan, atau menafikan sesuatu yang disukainya.

7.0 NILAI HUKUMAN

7.1 Pertimbangan hendaklah dibuat oleh Guru Besar tentang keperluan mengenakan sesuatu hukuman yang boleh memberi kesan mencegah bukan sahaja kepada mereka yang berkemungkinan melakukan kesalahan yang serupa, tetapi juga kepada yang melakukan salah laku itu sendiri supaya mereka tidak mengulangi salah laku itu.

Satu system hukuman bersifat mencegah adalah bergantung kepada beratnya hukuman itu.

7.2 Guru Besar juga hendaklah menimbangkan pemulihan sebagai satu unsur hukuman iaitu hukuman yang dikenakan sesuai dengan yang bersalah.

Dalam memberi pertimbangan kepada hal ini, Guru Besar hendaklah jangan lupa akan perlunya hukuman untuk salah laku yang telah dilakukan dan perlunya hukuman itu menjadi sebagai pencegah kepada murid-murid lain yang mungkin melakukan kesalahan yang serupa.

8.0 HUKUMAN YANG BOLEH DIKENAKAN


8.1 Pembuangan

Seseorang murid yang telah melakukan salah laku atau tingkahlaku yang mengganggu berulang-ulang kali dan didapati tidak berubah selepas tindakan memulihnya diambil oleh Guru Besar atau tingkah lakunya mendatangkan gangguan yang serius kepada murid-murid lain dan terhadap keseluruhan disiplin sekolah, tindakan yang sesuai diambil ialah mengarahkan pembuangannya dari sekolah.

8.2 Penggantungan

Dalam keadaan di mana seorang murid itu berkelakuan liar dan mengganggu sehingga perlu ia diasingkan dari sekolah manakala menunggu hasil siasatan mengenai cara yang paling sesuai untuk menghadapinya, Guru Besar boleh mengarahkan penggantungan persekolahan murid itu.

Penggantungan merupakan satu arahan di mana seseorang murid itu dilarang dari memasuki kawasan sekolah atau menikmati sesuatau kemudahan sekolah.

Penggantungan adalah bersifat sementara sahaja dalam jangka masa yang berpatutan.

8.3 Lain-lain Hukuman Biasa

Dalam hal ini, Guru Besar dikehendaki menggunakan budi bicaranya dengan bijak dalam mengenakan sebarang hukuman yang difikirkan sesuai.

Hukuman yang pada hemat orang ramai tidak sesuai seperti yang berbentuk penyeksaan, cacian di khalayak ramai atau lain-lain hukuman yang liar hendaklah dielakkan.

Di antara hukuman-hukuman biasa yang boleh dikenakan adalah seperti berikut ;

8.3.1 Hukuman Dera ( corporal punishment )

Hukuman dera ( rotan ) boleh dikenakan ( kecuali ke atas murid-murid perempuan ) tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959.

Di bawah peraturan ini [ Subperaturan 5 (1) ] menjelaskannya dengan syarat bahawa ;
( a ) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang ; dan
( b ) hukuman dera kepada murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah dijalankan hanya oleh Guru Besar atau pun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.

8.3.2 Penahanan ( detention )

Penahanan adalah untuk mengawal murid-murid yang jahat ( delinquent ) supaya tingkah lakunya pada masa akan dating diharap dapat dipengaruhi dan dibaiki dengan cara menafikannya dari menikmati dan menggunakan masa lapangnya.

Arahan penahanan itu hendaklah menentukan masa dan jumlah jam seseorang itu ditahan.

8.3.3 Denda

Dalam hal sama ada denda sebagai satu hukuman terpulanglah kepada Guru Besar ingin mempertimbangkan secara teliti hubungan antara denda dengan kemampuan seseorang murid untuk membayar denda itu.

8.3.4 Amaran

Amaran adalah sesuai apabila Guru besar, setelah mempertimbangkan keadaan, jenis salah laku dan kelakuan murid yang telah melakukan salah laku itu, berpendapat bahawa adalah kurang wajar dikenakan hukuman yang lebih berat lagi.

9.0 HUKUMAN DERA ( CORPORAL PUNISHMENT )


Hukuman Dera yang dimaksudkan adalah Rotan, di mana boleh dikenakan ( kecuali ke atas murid-murid perempuan ) tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959.

Hukuman Dera atau Rotan adalah sangat berguna dan berkesan apabila dijalankan sebaik-baik sahaja sesuatu salah laku itu dilakukan oleh murid.

Namun begitu ianya hendaklah dibuat setelah sesuatu salah laku itu telah dapat disahkan.

Kesan hukuman dera bukan hanya sebagai pencegah kepada yang lain tetapi yang penting ialah kesannya ke atas yang melakukan kesalahan itu sendiri.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, hukuman dera hendaklah dijalankan oleh Guru Besar sendiri atau oleh seorang guru yang berdaftar yang telah diberikan kuasa oleh Guru Besar sama ada secara nyata atau khas iaitu mengikut keadaan.

Adalah mustahak bagi Guru Besar yang menurunkan kuasa hukuman dera kepada guru lain mempertimbangkan hubungan antara murid berkenaan dengan guru yang menjalankan hukuman dera itu.

Dalam hal mengenakan hukuman yang menyebabkan rasa sakit seperti yang dibuat melalui hukuman dera, hukuman hanya dapat diterima jika murid itu mempunyai perasaan suka atau sekurang-kurangnya hormat kepada guru yang menjalankan hukuman itu.

Murid yang berkenaan hendaklah diberi kesedaran bahawa hukuman dera itu adalah dibuat untuk kepentingan dan kebajikannya sendiri.

Hukuman Dera hendaklah dijalankan dengan menggunakan rotan ringan dan pukulan rotan hanya boleh dibuat pada tapak tangan atau di bahagian punggung yang dilapik dengan pakaian. Guru Besar mestilah mencatatkan hukuman dera yang dikenakan dalam satu buku rekod khas dan menyatakan bilangan pukulan yang dikenakan, bahagian anggota dirotan ( tapak tangan atau punggung ) tarikh dan tandatangan Guru Besar dan seorang Guru yang menjadi saksi.

Hukuman Rotan merupakan salah satu pilihan hukuman yang boleh dibuat oleh Pengetua dan Guru Besar bagi mengawal disiplin murid di sekolah.

Hukuman ini yang kadang-kadang dilihat sebagai keterlaluan oleh sesetengah pihak, namun ianya masih diperlukan dalam keadaan-keadaan tertentu.

Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran ( 1979 ) juga telah memperakukan hukuman ini di mana dalam Perakuan 76 jawatankuasa tersebut menjelaskan ; No. Perakuan 76 ;

Adalah diperakukan bahawa :

( a ) Langkah-langkah yang positif hendaklah diambil untuk menyemai dan mengawas disiplin murid-murid di sekolah dengan melibatkan semua guru, dan bukan setakat Guru-Guru pengawas disiplin dan pengawas murid-murid sahaja.

( b ) Hukuman Dera kepada murid-murid seperti merotan hendaklah dikekalkan.

Guru Besar dan Guru-Guru lain yang tertentu diberi kuasa untuk merotan.

Di samping itu Guru-Guru tersebut hendaklah diberi garis-garis panduan dalam menggunakan hukuman dera serta cara dan bila hukuman itu boleh dikenakan.

Bagi menjelaskan lagi tatacara yang perlu dipatuhi dalam melaksanakan hukuman rotan, peruntukan dalam Peraturan 4 , 5 ( 1 ) dan 5 ( 2 ) serta ( 6 ), Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959 yang digubal di bawah Ordinan Pelajaran 1957 perlu dirujuk.

Peraturan 4 , memperuntukkan ; “ Guru Besar sesebuah sekolah adalah bertanggungjawab atas disiplin sekolah dan bagi maksud itu hendaklah mempunyai kuasa ke atas Guru-Guru dan murid-murid sekolah itu. ”

Peraturan 5 ( 1 ), memperuntukkan ; “ Bagi maksud menjaga disiplin di kalangan murid-murid, Guru Besar hendaklah mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana perlu atau bermanfaat :

Dengan syarat bahawa –

( a ) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang ; dan

( b ) hukuman dera kepada murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah dijalankan hanya oleh Guru Besar atau pun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.

Peraturan 5 ( 2 ), pula memperuntukkan ; “ Satu rekod mengandungi semua hukuman yang dijalankan di bawah perenggan ( 1 ) hendaklah disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh Pendaftar. ”

Peraturan 6, memperuntukkan ; “ Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari semasa ke semasa, tertakluk kepada apa-apa syarat dan hal yang difikirkannya patut, mewakilkan kuasa disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukum kepada guru-guru lain di sekolah itu atau kepada murid-murid yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu; tetapi kecuali yang disebut di atas tidak seorang pun Guru atau murid boleh menjalankan kuasa itu melainkan dengan arahan tertentu:

Dengan syarat bahawa kuasa menjalankan hukuman dera tidak boleh diwakilkan kepada mana-mana orang selain daripada guru berdaftar. ”

10.0 RUMUSAN


Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapatlah dirumuskan kuasa dan tindakan merotan seperti berikut ; Pengetua dan Guru Besar mempunyai kuasa bagi mengawal organisasi sekolahnya dan bagi menentukan disiplin, mereka mempunyai kuasa menjalankan hukuman rotan kepada murid di sekolahnya.

Oleh yang demikian juga mereka adalah bertanggungjawab sepenuhnya dan memastikan usaha-usaha dijalankan bagi meningkatkan lagi mutu disiplin di sekolah masing-masing.

Dalam melaksanakan hukuman rotan, pengetua atau guru besar dan guru-guru yang diturunkan kuasa hendaklah sentiasa menyedari bahawa merotan adalah sebahagian daripada proses pendidikan.

Tindakan yang dikenakan mestilah difahami sebagai alat untuk mendisiplinkan murid dan bukan sebagai alat yang akan merosakkan fizikal dan mental murid.

Hukuman Dera yang dimaksudkan oleh peraturan ini hanya melibatkan hukuman rotan sahaja.

Hukuman ini menggunakan rotan yang ringan.

Hukuman rotan tidak boleh dikenakan ke atas murid perempuan.

Ini bermakna apa-apa bentuk deraan yang lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk dengan tangan atau menggunakan pembaris atau lain-lain alat atau lain-lain tindakan seumpamanya adalah tidak dibenarkan sama sekali di bawah peraturan ini.

Hukuman rotan tidaklah boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan perlu mematuhi peruntukan seperti dalam peraturan yang disebutkan di atas.

Hukuman rotan hendaklah seboleh-bolehnya dilakukan sendiri oleh Pengetua dan Guru Besar kerana merekalah orang yang diberi kuasa membuat keputusan terhadap hukuman tersebut.

Walau bagaimanapun Pengetua dan Guru Besar masih boleh menurunkan kuasa tersebut kepada guru-guru lain yang berdaftar dan perlu mematuhi tatacara yang telah ditetapkan.

Tempat yang boleh dirotan hanya melibatkan tapak tangan dan punggung yang berlapik dengan pakaian.

Ini bermakna kawasan lain daripada dua tersebut tidak dibenarkan.

Pengetua, Guru Besar atau guru-guru yang diturunkan kuasa dalam melaksanakan hukuman tersebut hendaklah melaksanakan hukuman ini bukan berdasarkan rasa marah dan dendam tetapi untuk memberi pengajaran bahawa setiap kesalahan ada hukumannya.

Hukuman rotan di khalayak sama ada di perhimpunan atau di bilik-bilik yang sedang berlangsung proses Pengajaran dan Pembelajaran adalah dilarang.

Tindakan sedemikian akan menjatuhkan maruah serta menimbulkan kesan negative terhadap perkembangan keperibadian murid berkenaan.

Hukuman rotan hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang guru sebagai saksi.

Hayunan rotan hendaklah dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi paras bahu orang yang melaksanakan hukuman supaya tidak melukakan kulit murid itu.

Selepas mengenakan satu rotan, orang yang melaksanakan hukuman hendaklah mengangkat rotan dan tidak menariknya.

Sekiranya pengetua atau guru besar hendak menurunkan kuasa kepada guru lain dalam melaksanakan hukuman rotan, maka surat penurunan kuasa hendaklah dikeluarkan kepada guru tersebut.

Hukuman Rotan bukanlah merupakan satu-satunya pendekatan untuk mendisiplinkan murid.

Ia hendaklah digunakan sebagai langkah akhir setelah semua usaha membimbing dan kaunseling telah dilaksanakan.

Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan
Bahagian Sekolah
Kementerian Pelajaran Malaysia

5 comments:

  1. Syukran, ana kena byk blajar lagi

    ReplyDelete
  2. banyak kekangan utk mendisiplinkan murid2... sampai ada guru yg tidak menghiraukan murid yg membuat kesalahan kerana hanya boleh menggunakan menasihati murid sahaja sedangkan murid langsung tidak berubah.. aku sebagai guru disiplin pun rasa ralat dgn keadaan sekolah yg kacau bilau... ibu bapa juga sentiasa menyoal tindakan sekolah.. apa lagi yg boleh dilakukan?

    ReplyDelete
  3. Sebagai ibu bapa mereka perlu lebih memberi kebebasan pada pihak sekolah untuk melaksanakan peraturan dan hukuman sekiranya anak-anak melakukan kesalahan disiplin. Sikap ibu bapa yang terlalu menyebelahi anak-anak akan menyebabkan berlakunya peningkatan masalah disiplin.

    ReplyDelete
  4. Rakan-rakan guru sekalian, inilah cabaran dan dugaan untuk menjalankan amanah , tanggung dan jawab.Hari ini psikologi kena digunakan untuk disesuaikan dengan generasi hari ini. Kita agak skeptikal dengan idea ini kerana kita dididik dengan fahaman berbeza berkenaan disiplin. Bijak sini vs bijak sana ?

    ReplyDelete