Monday, June 14, 2010

Ibu bapa Tuntut Layanan Istimewa

Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
2010/06/14


INSTITUSI pendidikan di negara maju kini berdepan krisis serius apabila ramai pihak terutama ibu bapa mula mempertikaikan kemampuan guru dan institusi pendidikan mendidik anak mereka.

PERLU BERSEDIA...graduan yang mengambil keputusan menjadi pendidik harus bersedia menghadapi pelbagai tekanan dalam dunia kerjaya.

PERLU BERSEDIA...graduan yang mengambil keputusan menjadi pendidik harus bersedia menghadapi pelbagai tekanan dalam dunia kerjaya.

CUBA FAHAMI...ibu bapa perlu bersikap rasional dan cuba memahami masalah dihadapi guru serta anak di sekolah.

TERBEBAN...guru hanya manusia biasa tidak lepas daripada tekanan sewaktu menjalankan tanggungjawabnya.

TENANG...krisis yang melanda bukan saja boleh menjejaskan mutu pendidikan malah boleh mendatangkan tekanan sama ada kepada pelajar mahupun bakal guru.

BANTU...bukan saja guru malah pelajar juga harus saling membantu dan memahami supaya dapat mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada.

Soal keupayaan dan kelayakan turut dipersoal sekali gus memberi tanggapan buruk terhadap kerjaya golongan itu yang sebelum ini dianggap terhormat di kalangan masyarakat.

Meskipun mereka cuba mempertahankan pendirian dengan menyatakan masih mampu memberi perkhidmatan terbaik, kebanyakan ibu bapa dan masyarakat tetap tidak berpuas hati dan menganggapnya sebagai janji kosong.

"Bagaimana kami mahu percaya sedangkan anak-anak merungut guru di kelas kurang beri perhatian, tidak menyemak buku dan gemar menghabiskan masa menyelesaikan masalah peribadi? "Perlukah kami percaya kata-kata mereka?" kata seorang ibu yang berang apabila anaknya yang berusia 12 tahun menceritakan keadaan yang berlaku di sekolah.

Krisis pendidikan itu bukan saja disebabkan rasa tidak puas hati kepada guru malah kemudahan di sekolah berat sebelah terutama kepada golongan kurang berkemampuan. Bagaimanapun, kekalutan dan ketegangan itu ditangkis sebahagian pakar pendidikan yang menganggap ibu bapa terlalu menuntut layanan istimewa daripada institusi pendidikan.

Mereka menganggap guru terlalu dibebankan dengan tanggungjawab lain namun tiada siapa prihatin sebaliknya hanya tahu membuat tuduhan melulu.

Pakar pendidikan Pusat Statistik Pendidikan Kebangsaan Amerika Syarikat, William Hussar, berkata ibu bapa dan masyarakat terlalu mendesak, inginkan kesempurnaan dan gagal memahami masalah orang lain.

"Mereka mahukan yang terbaik tapi jangan biarkan keinginan itu terlalu menguasai diri malah tiada sesiapa yang sempurna.

"Guru manusia biasa yang ada pelbagai masalah. Mereka mahu memberikan komitmen tapi kadang kala bukan semua mampu memenuhinya. "Tidak adil hanya kerana masalah itu mereka perlu menerima kecaman dan dihentam tanpa peluang membela diri," katanya.

Meskipun sikap masyarakat negara maju lebih terbuka, ada segelintir enggan menerima penjelasan dan menjadikan isu sedia ada lebih panas.

Memburukkan keadaan apabila isu taraf institusi turut diheret dengan ibu bapa melabelkan sekolah awam sebagai tidak profesional berbanding swasta.

Menurut Hussar, perbandingan itu bukan saja akan melemahkan semangat guru dan menjatuhkan standard institusi awam tapi memburukkan lagi keadaan.

"Apabila taraf institusi dipertikaikan, komitmen guru akan tergugat, tiada keadilan, kualiti pembelajaran merosot sekali gus merencat segala usaha direncanakan selama ini.

"Sepatutnya, semua pihak bekerjasama untuk mengatasi kemelut ini kerana jika tidak ditangani segera, ia akan meninggalkan impak lebih parah kepada masyarakat dan negara," katanya.

Pada masa ini, Amerika Syarikat (AS) mempunyai 3.2 juta tenaga pengajar pelbagai institusi dan lebih separuh daripada mereka mempunyai kelayakan tinggi seperti profesor dan pensyarah manakala ada juga berpengalaman luas seperti bekas guru.

Menurut Hussar, meneliti kelayakan sedia ada, tidak mungkin timbul pertikaian mengenai kemampuan guru mendidik pelajar dan beranggapan isu berkenaan sengaja diperbesarkan.

"Apabila isu remeh diperbesarkan, ia pasti menyebabkan keseluruhan institusi guru dipersalahkan.

"Jika ada masalah, berbincang secara berhemah, tidak perlu tuduh menuduh atau melakukan provokasi kerana tiada siapa yang sempurna," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas pakar kajian sosial dan pendidikan, Dr George Capple yang menganggap Hussar terlalu membela guru dan tidak mahu memahami masalah dihadapi pelajar, ibu bapa dan masyarakat.

"Kenyataan itu berat sebelah. Salahkah jika ibu bapa dan masyarakat mahukan pendidikan berkualiti.

"Ibu bapa dan masyarakat bukan mahukan kesempurnaan tapi komitmen.

"Malangnya guru lalai dan sibuk dengan agenda peribadi sehingga mengabaikan tanggung jawab mendidik pelajar," katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibubapatuntutlayananistimewa/Article

Wednesday, June 9, 2010

RMK10 - Pendidikan

* Nisbah guru siswazah di sekolah rendah akan ditingkatkan daripada 28 peratus kepada 60 peratus untuk meningkatkan lagi kualiti pelajar.

* Prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal, terutamanya bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, akan juga dipertingkatkan dengan menambah bilangan guru berkualiti.

* Syarat kelayakan pelantikan guru prasekolah akan ditingkatkan kepada Diploma dan Sarjana Muda.

* Calon lulusan Unified Examination Certificate (UEC) dengan sijil SPM akan dipertimbangkan untuk mengikuti pengajian di institut pendidikan guru bagi program bahasa Cina bagi memenuhi keperluan guru bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina serta Sekolah Kebangsaan.

* Pertimbangan yang sama kepada calon lepasan Sijil Menengah Agama atau Sijil Tinggi Agama kelolaan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang telah memiliki SPM untuk menjadi guru program pendidikan agama Islam dan J-Qaf.

* Bilangan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) akan ditambah kepada 100 buah pada akhir tahun 2012 terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah harian dan sekolah berasrama penuh.

* Sekolah Amanah atau Trust Schools, akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian awam swasta dalam pengurusan sekolah-sekolah kerajaan yang terpilih dan akan diberi autonomi.

* RM280 juta bantuan disalurkan kepada sekolah bantuan modal bagi tempoh 2011 dan 2012. Setiap satu kategori sekolah bantuan modal, iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangssan Tamil, sekolah agama dan sekolah mubaligh akan menerima peruntukan tambahan RM70 juta setiap satu dalam tempoh 2011 dan 2012.

* Kerajaan akan memberi bantuan berdasarkan bil elektrik dan air sebenar sehingga RM2,000 sebulan bagi setiap daripada hampir 1,900 sekolah bantuan modal.

* Penyertaan kanak-kanak berumur antara empat dan lima tahun di peringkat prasekolah akan dipertingkatkan daripada 67 peratus pada tahun 2010 kepada 87 peratus pada tahun 2012.

* Insentif RM10,000 akan diberi kepada sektor swasta yang menubuhkan institusi prasekolah swasta.

* Kerajaan sedang menimbang mengurangkan umur persekolahan formal daripada enam tahun kepada lima tahun pada akhir tempoh Rancangan tertakluk kepada kemampuan kerajaan.

* Komposisi pekerja berkemahiran tinggi perlu ditambah kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang tahun 2015 untuk menjadi sebuah negara maju.

* RM500 juta akan disediakan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran untuk latihan sekurang-kurangnya 38,000 pekerja.

* Tabung pembiayaan bersama kerajaan dan majikan akan ditubuhkan untuk membiayai pekerja melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang yang berkaitan.

*Peruntukan kewangan kepada universiti bergantung kepada pencapaian KPI dan universiti diberi autonomi secara berperingkat bagi mengukuhkan peranan dan prestasi universiti.

* Kualiti staf akademik berkelulusan PhD sebanyak 75 peratus bagi universiti penyelidikan atau research university, dan 60 peratus bagi universiti awam lain.

* MyBrain15, iaitu program pembiayaan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran, akan digiatkan bagi meningkatkan jumlah pemegang PhD kepada 18,000 pada tahun 2015.

* Pakej penggajian akan dikaji semula untuk menarik minat pensyarah asing dan staf akademik yang telah bersara.

* Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diiktiraf sebagai universiti penyelidikan selepas Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.

Monday, June 7, 2010

Mengawal Emosi

Dunia pekerjaan ketika ini bukan lagi diperjalankan dengan otak atau kudrat semata-mata seperti dahulu. Dahulu kita bisa sahaja mengeraskan otot untuk berjaya di dalam hidup dengan membanting tulang pagi dan petang. Keluar pagi ke bendang membawa kerbau. Kudrat pada ketika itu sama seperti kerbau. Dan perangai pun perongos seperti kerbau jugalah. Hendak tahu keperongosan manusia yang berkudrat mencari rezeki, bacalah Gelong Terpokah di dalam Antologi Cerpen Debu Merah oleh Shahnon Ahmad. Dunia berubah lagi meninggalkan keperongosan. Dunia dioperasikan oleh manusia yang kuat otak pula. Sesiapa yang berjaya di bangku persekolahan, dialah yang mampu merubah nasib diri dan keluarga. Mampu menjawat jawatan di sektor awam dan swasta. Mampu memakai kot dan bertali leher dalam cuaca sejuk dan panas seperti orang putih. Ketika itu kita merasakan diri kita adalah insan yang bertuah dan berjaya di dunia ini.

Namun, jalur itu sudah berubah. Dunia ini dipenuhi ancama, globalisisi, perkembangan dan berbagai-bagai perubahan. Dalam perkembangan dunia ini manusia juga berubah. Manusia jujur sudah tiada. Penghormatan sudah hilang. Di dalam organisasi pekerjaan sudah dipenuhi oleh anasir-anasir fitnah, berlumba-lumba naik bagaikan enau di dalam belukar melepas pucuk masing-masing, berlumba-lumba memijak kawan untuk mendapat anugerah dan pengiktirafan yang berharga RM1000 dan sekeping sijil.

Kita yang menyangka layak mendapat pengiktirafan itu kadang-kadang berputih mata melihat orang lain yang yang dirasakan kurang layak mendapat anugerah yang sering menjadi rebutan. Organisasi yang kononnya bergantung kepada gerak kerja berjamaah akhirnya tumbang dengan anugerah yang bersifat peribadi juga. Anugerah peribadi yang bersifat individualistik itulah yang akhirnya dikira sebagai sumbangan. Terkini, organisasi hendak disusun semula berdasarkan mata kecemerlangan pelanggan. Organisasi yang mampu menaikkan mata kecemerlangan pelanggan akan diberi hadiah galakan wang tunai berjuta-juta jugalah. Kekecewaan jugalah yang akan melanda organisasi yang inputnya rendah dan sederhana. Sedangkan organisasi yang inputnya bertaraf A akan berlumba merebut tawaran tersebut. Di dalam merebut tawaran tersebut, berapa jiwa yang terluka ditekan dan dipaksa. Kekecewaan akan sekali lagi melanda.

Mereka hendak memberi anugerah apa pun berilah. Mereka hendak membai'ah apa pun bai'ahlah. Biarlah aku menusuri jalan lain pula. Aku mula hendak percaya bahawa dunia ini bukan lagi didominasi oleh orang-orang yang pintar. Orang-orang yang berjaya mengumpul 5A, 11A dan 20 A di dalam peperiksaan yang mereka hadapi. Mereka mempunyai idea yang cemerlang, tetapi tidak diajar untuk memiliki emosi yang dan motivasi yang kuat untuk merealisasikan idea tersebut. Mereka tidak diajar untuk memiliki ketrampilan sosial lalu jadilah mereka ilmuwan yang aneh.

Gambar hiasan: Apabila tidak mampu mengawal emosi

Kebanyakan orang ketika marah mereka akan melepaskan kemarahan mereka. Ketika berkonflik di tempat kerja, mereka akan mengalah dan ingin berhenti kerja. Ketika tidak sependapat di tempat kerja, mereka ingin bertukar pejabat. Mereka fikir mereka akan lebih tenang dan tidak diganggu di tempat kerja baru. Sedangkan emosi yang dibawa adalah sama. Jiwa yang dibawa adalah sama. Akhirnya mereka akan berkonflik pula di tempat baru. Namun, orang yang memiliki emosi yang terkawal akan memahami susana hati dan bagaimana mengawal emosi dan motivasi agar terkawal ketika marah atau sedih. Ketika mereka memerlukan teman untuk membantu tugas-tugas mereka, mereka senang mendapat bantuan dan berjaya memujuk dan mempengaruhi orang untuk menolong mereka.

Mengurus emosi sendiri dan mempengaruhi emosi orang lain amat penting untuk berjaya di dalam alam pekerjaan. Orang-orang yang berjaya di dalam organisasi adalah orang yang mampu mengawal emosinya dan mampu pula memujuk rakan-rakannya supaya bersama-sama dengannya menjayakan organisasi.

Untuk mengawal emosi ini, kita memerlukan tiga domain kecerdasan emosi:

1. Kesedaran diri: Banyak orang yang tidak memahami apa yang dirasai saat dia marah ataupun sedih. Syarat utama untuk mengawal emosi ialah mengenali apakah emosi yang kita rasakan pada sesuatu masa.

2. Pengarahan diri: Orang cenderung menurut emosinya saat marah atau sedih justeru melakukan sesuatu yang boleh merosakkan. Sekiranya kita bersabar dan mengalihkan emosi itu, nescaya kita dapat melakukan sesuatu yang berfaedah. Di dalam sejarah cina misalnya, penduduk yang marah terhadap maharaja dan maharani yang zalim mengubah kemarahan mereka dengan mencipta sejenis kuih yang disebut Char Koay yang berbentuk manusia kembar dua lalu digoreng. Kuih ini mereka jual dan menjadi kegemaran rakyat yang marah terhadap maharaja dan maharani. Begitu juga dengan Picasso yang mengubah emosi sedihnya dan meluahkan emosi tersebut dalam bentuk lukisan dan sampai hari ini dia dikenali kerana kecerdasan emosinya.

3. Kemampuan Interpersonal: Seterusnya orang-orang yang berjaya mengawal emosi ialah mampu menguasai emosi orang lain. Di dalam organisasi, rakan sejawat tidak akan menurut perintah kita melainkan arahan itu datang daripada ketua organisasi. Namun pekerja yang berjaya akan dapat memujuk rakannya supaya melakukan sesuatu pekerjaan tanpa menimbulkan konflik dan melukakan hati rakan sekerjanya. Seseorang boleh mengarah, tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa kalau rakan sekerjanya tidak mahu mengikut arahannya. Langkah lain adalah meminta ketua mengarah rakannya melakukan kerja tersebut tetapi langkah tersebut hanya akan menimbulkan konflik yang tidak berkesudahan di dalam organisasi. Orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan interpersonal mungkin sinis dan menganggap mereka boleh mengarah rakan sekerja mereka melakukan sesuatu ibarat menekan suiz pada orang lain sehingga dapat memanipulasi orang lain melakukan sesuatu demi kepentingan diri mereka.

....