Monday, June 7, 2010

Mengawal Emosi

Dunia pekerjaan ketika ini bukan lagi diperjalankan dengan otak atau kudrat semata-mata seperti dahulu. Dahulu kita bisa sahaja mengeraskan otot untuk berjaya di dalam hidup dengan membanting tulang pagi dan petang. Keluar pagi ke bendang membawa kerbau. Kudrat pada ketika itu sama seperti kerbau. Dan perangai pun perongos seperti kerbau jugalah. Hendak tahu keperongosan manusia yang berkudrat mencari rezeki, bacalah Gelong Terpokah di dalam Antologi Cerpen Debu Merah oleh Shahnon Ahmad. Dunia berubah lagi meninggalkan keperongosan. Dunia dioperasikan oleh manusia yang kuat otak pula. Sesiapa yang berjaya di bangku persekolahan, dialah yang mampu merubah nasib diri dan keluarga. Mampu menjawat jawatan di sektor awam dan swasta. Mampu memakai kot dan bertali leher dalam cuaca sejuk dan panas seperti orang putih. Ketika itu kita merasakan diri kita adalah insan yang bertuah dan berjaya di dunia ini.

Namun, jalur itu sudah berubah. Dunia ini dipenuhi ancama, globalisisi, perkembangan dan berbagai-bagai perubahan. Dalam perkembangan dunia ini manusia juga berubah. Manusia jujur sudah tiada. Penghormatan sudah hilang. Di dalam organisasi pekerjaan sudah dipenuhi oleh anasir-anasir fitnah, berlumba-lumba naik bagaikan enau di dalam belukar melepas pucuk masing-masing, berlumba-lumba memijak kawan untuk mendapat anugerah dan pengiktirafan yang berharga RM1000 dan sekeping sijil.

Kita yang menyangka layak mendapat pengiktirafan itu kadang-kadang berputih mata melihat orang lain yang yang dirasakan kurang layak mendapat anugerah yang sering menjadi rebutan. Organisasi yang kononnya bergantung kepada gerak kerja berjamaah akhirnya tumbang dengan anugerah yang bersifat peribadi juga. Anugerah peribadi yang bersifat individualistik itulah yang akhirnya dikira sebagai sumbangan. Terkini, organisasi hendak disusun semula berdasarkan mata kecemerlangan pelanggan. Organisasi yang mampu menaikkan mata kecemerlangan pelanggan akan diberi hadiah galakan wang tunai berjuta-juta jugalah. Kekecewaan jugalah yang akan melanda organisasi yang inputnya rendah dan sederhana. Sedangkan organisasi yang inputnya bertaraf A akan berlumba merebut tawaran tersebut. Di dalam merebut tawaran tersebut, berapa jiwa yang terluka ditekan dan dipaksa. Kekecewaan akan sekali lagi melanda.

Mereka hendak memberi anugerah apa pun berilah. Mereka hendak membai'ah apa pun bai'ahlah. Biarlah aku menusuri jalan lain pula. Aku mula hendak percaya bahawa dunia ini bukan lagi didominasi oleh orang-orang yang pintar. Orang-orang yang berjaya mengumpul 5A, 11A dan 20 A di dalam peperiksaan yang mereka hadapi. Mereka mempunyai idea yang cemerlang, tetapi tidak diajar untuk memiliki emosi yang dan motivasi yang kuat untuk merealisasikan idea tersebut. Mereka tidak diajar untuk memiliki ketrampilan sosial lalu jadilah mereka ilmuwan yang aneh.

Gambar hiasan: Apabila tidak mampu mengawal emosi

Kebanyakan orang ketika marah mereka akan melepaskan kemarahan mereka. Ketika berkonflik di tempat kerja, mereka akan mengalah dan ingin berhenti kerja. Ketika tidak sependapat di tempat kerja, mereka ingin bertukar pejabat. Mereka fikir mereka akan lebih tenang dan tidak diganggu di tempat kerja baru. Sedangkan emosi yang dibawa adalah sama. Jiwa yang dibawa adalah sama. Akhirnya mereka akan berkonflik pula di tempat baru. Namun, orang yang memiliki emosi yang terkawal akan memahami susana hati dan bagaimana mengawal emosi dan motivasi agar terkawal ketika marah atau sedih. Ketika mereka memerlukan teman untuk membantu tugas-tugas mereka, mereka senang mendapat bantuan dan berjaya memujuk dan mempengaruhi orang untuk menolong mereka.

Mengurus emosi sendiri dan mempengaruhi emosi orang lain amat penting untuk berjaya di dalam alam pekerjaan. Orang-orang yang berjaya di dalam organisasi adalah orang yang mampu mengawal emosinya dan mampu pula memujuk rakan-rakannya supaya bersama-sama dengannya menjayakan organisasi.

Untuk mengawal emosi ini, kita memerlukan tiga domain kecerdasan emosi:

1. Kesedaran diri: Banyak orang yang tidak memahami apa yang dirasai saat dia marah ataupun sedih. Syarat utama untuk mengawal emosi ialah mengenali apakah emosi yang kita rasakan pada sesuatu masa.

2. Pengarahan diri: Orang cenderung menurut emosinya saat marah atau sedih justeru melakukan sesuatu yang boleh merosakkan. Sekiranya kita bersabar dan mengalihkan emosi itu, nescaya kita dapat melakukan sesuatu yang berfaedah. Di dalam sejarah cina misalnya, penduduk yang marah terhadap maharaja dan maharani yang zalim mengubah kemarahan mereka dengan mencipta sejenis kuih yang disebut Char Koay yang berbentuk manusia kembar dua lalu digoreng. Kuih ini mereka jual dan menjadi kegemaran rakyat yang marah terhadap maharaja dan maharani. Begitu juga dengan Picasso yang mengubah emosi sedihnya dan meluahkan emosi tersebut dalam bentuk lukisan dan sampai hari ini dia dikenali kerana kecerdasan emosinya.

3. Kemampuan Interpersonal: Seterusnya orang-orang yang berjaya mengawal emosi ialah mampu menguasai emosi orang lain. Di dalam organisasi, rakan sejawat tidak akan menurut perintah kita melainkan arahan itu datang daripada ketua organisasi. Namun pekerja yang berjaya akan dapat memujuk rakannya supaya melakukan sesuatu pekerjaan tanpa menimbulkan konflik dan melukakan hati rakan sekerjanya. Seseorang boleh mengarah, tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa kalau rakan sekerjanya tidak mahu mengikut arahannya. Langkah lain adalah meminta ketua mengarah rakannya melakukan kerja tersebut tetapi langkah tersebut hanya akan menimbulkan konflik yang tidak berkesudahan di dalam organisasi. Orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan interpersonal mungkin sinis dan menganggap mereka boleh mengarah rakan sekerja mereka melakukan sesuatu ibarat menekan suiz pada orang lain sehingga dapat memanipulasi orang lain melakukan sesuatu demi kepentingan diri mereka.

....

No comments:

Post a Comment