Tuesday, July 27, 2010

Pesta Belon dan Napoleon

Aku perhatikan dia betul-betul. Rasa macam aku kenal. Tetapi di dalam khalayak ramai sebegitu, mungkin orang lain. Aku renung matanya. Dia memandang aku dengan pandangan yang tawar sahaja. Tanpa ada perasaan. Tanpa ada zauq yang mendalam. Yang ada hanya perasaan aku hendak membuang air kecil yang teramat sangat. Aku terus berjalan menuju ke kontena yang menjadi tandas sementara. Orang beratur bukan main panjang bagaikan sekawan burung yang terbang dari kutub utara ke kutub selatan. Aku gagahi juga beratur.

Selesai membasuh burung dan mengelapnya baik-baik, aku kembalikan dia ke sarangnya. Aku berjalan kembali ke arah orang ramai. Sambil kaki mencampak langkah dan mata mendongak ke atas melihat belon-belon udara panas yang cuba terbang di angkasa. Aku cuba singgah dan meninjau gerai-gerai yang berderet di pesta belon itu. Dia masih di situ. Masih ayu seperti dahulu juga. Seperti kali pertama aku temuinya ketika di sekolah rendah dahulu. Dan semakin ayu lagilah sekarang. Semenjak zaman bertimbun-timbun alat mengelupaskan kulit. Semenjak ada botox dan juga vitamin C. Makin bertambah ayulah sesiapa yang mementingkan kejelitaan.

Sedangkan yang dahulunya kulit kelabu asap boleh menjadi seperti telur rebus, inikan pula dahulu yang sudah putih melepak dan sering menjadi bahan perbualan di antara kami. Ada yang sudah berbini pun menyimpan rasa terhadapnya sehingga bergaduh dengan rakan sekuliah kerana berebut untuk keluar dengannya semasa di Maktab Perguruan Islam dahulu.

"Encik, silalah masuk. Lihat lukisan-lukisan ini. Kalau tidak mahu membeli pun, masuklah menjamu mata," dia mempelawa aku melawat galerinya.

"Minta maaf. Kalau tidak silap saya, ini Rosniza, kan? Ustazah Rosniza." Aku melangkah masuk ke galeri lukisan itu sambil bertanya untuk memastikan bisikan naluriku.

"Awak kenal saya ke?" Dia menarik tangan aku ke dalam. Aku membiarkan tangan aku dicengkam lembut oleh jari-jemarinya.

"Pasai apa hang panggil aku Ustazah? Kalau orang lain dengar, malu aku. Dah la aku pakai macam ni. Seluar jeans dengan baju-T ketat aku ni. Kalau orang tahu aku ustazah!" Dia berbisik kepada aku seakan-akan memberi peringatan.

"Aku cuma serkap saja. Tidak tahu pulak ini memang Ustazah Rosniza."

"Hang ni. Ustazah lagi. Aku dah tak jadi Ustazah dah la ni. Aku dok jual lukisan pulak. Aku dah jadi pelukis." Dia menjawab.

Dia mengajak aku minum air kelapa di gerai sebelah. Aku duduk mengadapnya. Aku memerhatikan wajahnya yang merah bagai udang dipanggang itu. Memang ayu lagi.

"Lepas maktab dulu hang posting mana?" Aku membuka mulut ketika menunggu air kelapa tiba.

"Aku sebenarnya malas bila fikir bab posting-mosting ni. Takkan hang tak tahu masa kita nak posting dulu, para pensyarah kita dok gempak nak hantaq kita pi Sarawak dan Sabah. Aku masa tu fikri hantaq la pi mana pun. Sabah ka Sarawak ka bagi aku sama sahaja. Jiwa guru aku ini memang melekat macam chewing gam yang melekat di gigi palsu. Susah hendak tanggalkan. Aku depa hantar pi Negeri Sembilan sahaja. Bukan jauh sangat pun." Dia bercerita sambil menghirup air kelapa yang baru sampai.

"Habis, tu yang jadi macam ni pasai apa?" Aku bertanya kehairanan.

"Sekolah hang tahu sahajalah. Aku ingat di sekolah kita hanya mengajar. Itulah sahaja pun yang kita diajar di universiti dan di maktab dulu pun. Habis kuat kena ajar kokurikulum. Lepas tu mai masa sukan pakai tudung cina jurus sayur dok di padang jaga garisan pelepas dan garisan penamat. Yang tu aku tak heran. Memang boleh buat. Di sekolah, sebenarnya aku tertekan. Aku cuba curahkan jasa dan bakti aku kepada sekolah. Hang tau, aku tumpukan perhatian aku kepada kerjaya aku sehingga aku kembali single macam ni."

"Hang single lagi ka? Kah! kah! Kah! Aku ingat hang dah jadi macam aku. Anak dah tak muat MPV. Nak kena beli bas."

"Hang nasiblah menikah dengan sama-sama ustaz dan ustazah. Sama-sama faham. Aku menikah dengan jurujual. Dia sibuk dengan kerja dia. Aku pula sibuk dengan sekolah. Akhirnya kami membawa haluan masing-masing. Sejak itu aku fikir, apa yang aku dapat dengan menumpukan perhatianku kepada sekolah. Aku berikan komitmen aku kepada sekolah. Tetapi apa yang aku dapat? Datang pegawai-pegawai PPD, mereka komen macam-macam dalam buku rekod aku. Suruh tulis refleksi selepas pengajaran sedangkan kita harus biarkan mereka merenung, menghayati dan mengulangkaji untuk menyerap pengajaran kita. Awal tahun suruh buat kontraklah, carta gantlah. Kemudian beri duit perkapita. Bila hendak guna, suruh buat kertas kerjalah. Sedangkan benda-benda itu aku tak pernah belajar pun ketika di univerisiti dan maktab. Banyak standard of operation yang tidak jelas di sekolah ini. Suruh kita kendalikan badan sukan, persatuan akademik tetapi aku tidak pernah melihat pun garis panduan yang jelas tentang pengendalian badan-badan dan persatuan ini. Pelajar ditahan pada hari Rabu kononnya untuk mengikuti kokurikulum. Kemudian dipaksa mendengar syarahan entah apa-apa. Oleh kerana aku pun tidak tahu apa aku hendak buat, aku pun bersyarahlah. Apa lagi tugas guru kan selain menjual air liur. Aku juga rimas apabila setiap tahun dikehendaki mengisi ruang buku badan-badan berkenaan dengan perlembagaan. Aku sendiri pun tidak faham perlembagaan apa yang aku hendak tulis."

Aku diam sahaja. Dia melepaskan geramnya. Aku rasa dia tidak faham menjadi guru bukan sekadar mengajar di dalam kelas. Menjadi guru bermaksud menjadi pengurus manusia untuk melahirkan manusia. Melahirkan manusia yang tahu menghormati manusia lain. Menjadi manusia yang tahu menghargai orang lain. Menjadi manusia yang tahu erti kemanusiaan.

"Jadi, hang berhenti?" Aku bertanya.

"Masa itu aku boleh bersabar lagi. Kemudian aku mohon balik ke kampung. Aku mengajar di kampung. Aku ingat mengajar di kampung boleh meringankan kepala otak aku. Rupa-rupanya kepala aku bertambah serabut. Bayangkan sekolah kampung di mana kelas terakhir adalah kelas murid yang tidak mengenal huruf. Tetapi bagi aku itu bukanlah masalah besar. Yang menjadi masalahnya ialah pihak sekolah selalu menekankan sukatan hendaklah dihabiskan. Hendak habis sukatan apa kalau murid-murid itu membaca pun mereka tidak boleh?" Dia seolah-olah melepaskan geramnya kepada aku. Aku hanya menjadi pendengar yang setia, apa tah lagi dapat memandang wajah ayunya. Biarlah dia bersyarah panjang mana pun. Hatiku tetap sejuk merenung wajahnya yang merah jambu itu.

Aku dapat rasakan denyut nadinya. Tetapi tidaklah sampai berhenti kerja. Kalau aku berhenti kerja, aku hendak buat apa. Berniaga memang aku tidak pandai. Bini aku kata aku pandai memasak. Mungkin boleh buka restoran kot kalau aku juga fedup dengan tugas-tugas di sekolah nanti.

"Hang masih boleh tahan no?" Dia tiba-tiba menghela bafas setelah berhenti sekian lama.

"Hendak buat macam mana. Aku nak kerja apa lagi." Aku menjawab.

"Di sekolah, kita bukan sahaja berhadapan dengan ragam murid. Ragam murid memang aku boleh hadapailah kerana tugas aku adalah mendidik mereka. Yang aku tidak tahan ialah kelaku kelayak rakan-rakan kita yang berlagak seolah-olah Napoleon Kecil." Dia menyambung syarahannya.

"Hang juga dah jadi orang politik. Sudah pandai menyebut Napoleon Kecil." Aku menjawab sambil renunganku merenung lagi ke arah wajahnya. Terasa bagai air terjun yang menerjah batuan di pergunungan.

"Hang kenai ka Napoleon Kecil?"

"Bukan kata Napoleon Kecil. Napolen Besar pun aku tak kenai. Kah kah kah." Aku ketawa.

"Aku ingat hang tau. Yang aku tau dulu hang memang minat politik ni. Aku masih ingat hang pernah lekatkan stiker parti di motor kapcai hang dulu. Kah kah kah." Dia pula ketawa.

"Itu dululah. Masa aku ingat ketulusan orang politik. Kejujuran mereka memperjuangkan agenda rakyat. Tetapi kini mereka semua pengkhianat rakyat. Parti A dan Parti B sama sahaja. Asal dapat kuasa sahaja, mereka bermaharajalela." Aku berterus terang.

"Napolen adalah nama maharaja Perancis yang memerintah pada kurun ke-19. Dia pernah membawa bala tenteranya menyerang dan menakluk Mesir. Napoleon Kecil pula adalah gelaran kepada makhluk-makhluk yang tidak berkuasa tetapi berlagak hebat. Takkan di sekolah hang tiada makhluk-makhluk macam ni?" Dia menduga aku.

"Ramailah. Tapi aku apa peduli. Nak jadi Napoleon Kecilkah, Firaun Kecilkah, mereka punya pasallah. Biarlah mereka mengampu, membesarkan kesilapan kita untuk menunjukkan mereka lebih hebat. Namun aku sedar Allah lebih hebat. Aku hanya buat kerja. Selebihnya aku serahkan kepada Allah. Yang memberi pahala dan ganjaran adalah Allah. Bukan mereka." Aku hanya berserah kepada Allah. Kalau hendak mendengar cakap orang, satu apa pun tak jadi.

"Pasal Napoleon Kecil inilah aku berhenti dan menjual lukisan aku di mereta tempat. Aku rasa bebas. Bebas berkarya dan bebas menjual karya aku di merata tempat. Aku pernah membuat pameran soloku di Paris, Oslo, Iskandariah dan juga di Anhui. Kalau setakat mengharap gaji menjadi cikgu, aku ingat Pontian pun aku tidak sampai. Ada Napoleon-napoleon ini yang tidak mempunyai kuasa secubit habuk pun, tetapi mereka mendekati Napoleon Besar. Mereka anggap Napoleon Besar melindungi mereka. Kita yang hari-hari akur dengan arahan dan tatacara, menghadiri perhimpunan, menulis buku persediaan mengajar, masuk kelas keluar kelas, menanda buku kerja murid, menanda kertas peperiksaan, membuat kelas tambahan haram sebelah mata pun tidak dipandang. Napoleon-napoleon kecil ini bukan sekadar tidak masuk kelas, buku latihan murid pun mereka tidak kenal. Tetapi Napoleon-napoleon Kecil inilah yang berkuasa mengatur kita. Mereka mengarah bagaikan mereka Napoleon Besar. Silap sikit mereka mengadu kepada Napoleon Besar atau Napoleon Perut Besar. Hang bayangkan sampai hendak membuat kelas tambahan pun kena minta izin daripada Napoleon Kecil ini. Murid-murid aku mengadu bahawa Napoleon Kecil tidak membenarkan mereka mengikuti kelas tambahan waktu malam kerana tidak mendapat kebenaran daripadanya." Dia memesan segelas lagi air kelapa. Syarahannya cukup panjang seperti khutbah Jumaat pula. Bezanya mendengar khutbah Jumaat aku terlena tetapi mendengar ceramah Ustazah Rosniza ini aku suka pula. Aku asyik memandang mulutnya yang merah menyala dengan gigi putih tersusun rapi. Tidak pula seperti lagak pelukis lain yang selekeh.

"Hang bergaduhkan dengan mereka ini?" Aku bertanya.

"Kalau hang, apa hang buat?" Dia menyoal aku semula.

"Aku dulu pun macam hang. Sikit-sikit naik darah. Memang aku marahlah. Suka sangat mereka mencari salah kita. Memanglah mereka itu pun kadang-kadang guru agama macam kita jugak. Tetapi ajaran islam sepatah pun mereka tidak faham. Ketika ada hadis menyebutkan, sesiapa yang membuka aib saudaranya akan masuk syurga, mereka tidak segan silu bergosip membesarkan kemaluan kita. Sepatutnya sebagai rakan sekerja, mereka sama-sama menjadi aur dengan tebing, saling membetulkan kesilapan dan lengkap-melengkapi. Ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah ini memilih untuk membesar-besarkan perkara yang kecil. Mereka bukan menjadi penyelesai masalah, tetapi mereka memilih untuk membesarkan kudis sehingga membusung. Siapa yang tidak marah. Memang patut marahlah. Namun, ketika aku pergi Indonesia baru-baru ini aku membeli sebuah buku tentang kecerdasan emosi. Di dalam buku itu, dituliskan bahawa orang yang berjaya ialah orang yang pandai mengawal emosinya. Aku cuba kawal emosi aku. Walau aku marah, aku berkata kepada diri aku bahawa sesungguhnya aku sedang marah. Biar kita kenal perasaan kita agar kita mampu mengawalnya. Mereka hendak tabur fitnah aku tidak membuat kerja, biarlah. Aku tahu bukan mereka yang memberi ganjaran. Seperti aku kata tadi, hanya Allah yang tahu siapa yang jalannya betul. Rabbukum a'lamu biman huwa ahda sabiila." Aku berkata. Air aku pula habis. Aku hanya meminta air mineral sahaja. Aku takut gula dalam darah aku naik lagi.

"Tetapi hang perlukan kemarahan." Aku berkata kepadanya.

"Kenapa?" Dia bertanya kepadaku.

"Dengan kemarahan hang, hang dapat mencipta karya yang maha hebat seperti Picasso. Apa karya Picasso yang dilukis ketika dia sedang marah tu?"

"Oh. Pasa marah Picasso itu menghasilkan dua karya Guernica dan Parade." Katanya menunjukkan pengetahuannya yang mendalam tentang lukisan.

"Aku berhenti setelah aku dapat menjual lukisan aku tentang Napoleon Kecil. Kemarahan aku kepada Napoleon Kecil membuat aku menghasilkan beberapa karya. Setelah aku menyelesaikan pinjaman perumahan dan juga segala pinjaman yang ada, aku meletakkan jawatan. Dan sekarang aku bebas. Aku bebas berkarya." Katanya.

"Tetapi aku yakin hang tidak mampu melukis karya yang hebat lagi." Aku berkata dengan muka yang serius.

"Kenapa."

"Kerana hang tidak tertekan lagi. Hendak menjadi artis yang hebat, jiwa mesti tertekan. Barulah boleh menghasilkan karya yang baik." Aku berterus-terang.

"Hang tidak faham. Sekarang karya aku sudah sampai ke kemuncak kasih sayang dan cinta. Cinta dan kasih sayang juga mampu membenihkan karya yang indah." Dia menjawab.

"Dan, Rosniza ... cinta yang indah adalah cinta yang gagal. Seperti cinta aku terhadap hang."

Kah! Kah! Kah!

No comments:

Post a Comment