Wednesday, July 21, 2010

Selamat Tinggal Dunia

Ya Allah! Tuhan Yang Maha Penyayang. Pada hari ini, hambaMu ini telah pergi menemuiMu meninggalkan sanak-saudara, kaum keluarga, sahabat handai, harta benda dan anak pinak. Engkau Maha Adil yang akan menghisab segala amal kebajikan beliau. Namun, hisabkanlah hambaMu ini dengan kasih sayangMu, bukan dengan keadilanMu. Beliau telah pergi meninggakan bumi yang terang benderang ini lalu masuk ke dalam liang yang gelap lagi sempit. Sinarilah kubur beliau ini dengar cahaya hidayahMu agar beliau merasa tenang.

Aku memaku langkahku di atas tanah perkuburan itu. Sayup-sayup kudengar suara Pak Cik Din membacakan talkin. Lututku masih bergetar akibat perjalanan jauh dari Bangi ke kampung. Aku cuba berdiri dan membaca surah al-Fatihah serta beberapa kali mengulangi Qulhuwallah. Lututku terus bergetar. Aku tidak mampu berdiri. Aku undur ke belakang. Di perdu pokok buku lima mati terdapat akarnya yang berbonggol seperti goh unta. Aku letakkan punggung aku perlahan-lahan sambil memerhati wajah-wajah sugul. Suara Pak Cik Din masih lagi bersipongang membacakan talkin. Aku merasakan Tok Wan aku masih ingin bercerita kepada aku.

“Madi! Ada berita tidak baik. Tok Wan sudah tiada.” Aku menerima panggilan telefon ketika kereta bersesak-sesak selepas tol Kajang. Pagi itu hujan renyai-renyai. Mulanya aku bercadang hendak ke Kem Ampang Pecah dengan kuda besiku. Malam tadi aku sudah isikan minyak penuh-penuh sebelum minum di Ayunie bersama-sama Ustaz Zaki dan Din. Namun hujan yang tidak putus-putus mematikan niat aku. Aku hulurkan kepala kereta aku sedikit demi sedikit di celah-celah lori. Takut juga aku kalau lori itu menyondol pula Proton Saga buruk aku. Aku bukan sayang nyawa aku. Tetapi aku takut aku tidak ada duit untukmembaiki kereta aku. Kuda besiku sudah 6 bulan terlantar sebelum aku dapat tukar plugnya yang hanya berharga RM30. Kesan kemekan pada dinding kereta itu akibat hentaman kereta isteri aku pun aku ketuk sendiri sahaja. Pada zaman selaras menyelaras ini poketku benar-benar kering. Itu belum masuk bulan Oktober nanti. Cukai jalan Citra itu pula tamat tempoh. Saman kereta itu ada RM700 yang perlu dijelaskan sebelum dapat membayar cukai jalan baru. Insuran dan cukai jalan lagi. Kalau selaras dan rakyat didahulukan ini rakyat semakin senang, tidak mengapalah. Semakin selaras, semakin kehidupan menjadi susah. Bukan selaras lagi, tetapi dah berlaras-laras kesusahan. Sudah berlapis-lapis kemiskinan.

Aku raba poket aku. Ada RM100. Aku ingat kembali wang simpanan aku. Rasa-rasanya sudah tiada. Kalau ada pun hanya RM10 bagi setiap akaun. Aku hanya berserah. Balik tetap kena balik. Ceramah di Hulu Selangor itu aku terpaksa batalkan. Aku telefon Ustaz Nazmi. Minta maaf kerana terpaksa menghampakan permintaan beliau. Aku pecut. Hendak pecut setakat mana sahajalah dalam macet pagi. Setakat 40km/j seperti Mak Cik 40km/j di Jalan Jenderam itu jugalah.

Tiba-tiba aku teringat janji aku dengan Ustazah Kauthar. Aku telah berjanji untuk pergi memberi sedikit taklimat di sekolah beliau. Akalku ligat memikirkan bagaimana aku hendak jelaskan keuzuran aku. Aku cuba telefon beliau. Aku jelaskan perlahan-lahan. Ustazah! Saya minta maaf. Saya tidak dapat ke sekolah Ustazah esok. Saya terpaksa balik kampung. Datuk saya meninggal dunia. Sekarang saya dalam perjalanan.

Boleh tak ustaz cari ganti? Katanya. Otak aku ligat kembali. Siapa yang akan menggatikan aku?

Sekejap lagi saya telefon ustazah semula, kataku. Aku terus memecut. Aku sambar tiket tol di Jalan Duta. Hendak menggunakan Smart Tag, kredit hanya ada RM23. Tidak cukup sehingga ke Juru. Aku cuba hubungi Ustazah Jamriah. Telefonnya berdering sahaja. Aku telefon pula Ustazah Syakirah.

Ustazah apa khabar? Ustazah sedang buat apa? Aku mulakan bicara aku berbahasa-bahasi. Hendak minta tolong orang mesti merendah diri. Kalau hendak meminta tolong tetapi macam mengarah, siapalah yang akan menghunuskan bantuan.

Nampak Ustazah Jamriah tak?
Ada di sebelah kelas saya ini.
Boleh saya bercakap dengan dia sekejap.
Sekejap.

Aku merayu sungguh-sunguh supaya Ustazah Jamriah dapat menggantikan aku. Aku berikan taklimat ringkas sahaja kepada Ustazah Jamriah. Aku pun bukan mahir sangat pun memberi ceramah ini. Aku rasa dia lebih mahir lagi.

Aku terus memecut. Aku berhenti sekejap di Rawang mengisi minyak. Aku berkira-kira kereta aku akan mengkomsumsi minyak RM50. Aku tuang RM50. RM50 lagi duit tol dari Jalan Duta ke Juru. Dari Sungai Dua aku boleh menggunakan Smart Tag.

Selepas mengisi minyak, aku terus memecut. Aku terbayang kembali cerita-cerita yang Tok Wan aku sering ceritakan kepada aku semenjak aku kecil sehingga dewasa. Semasa dia sakit pun apabila aku melawatnya, dia sering bercerita kisah-kisah silam yang mendukacitakan, menggembirakan dan ada yang menggelikan hati. Sehingga kadang-kadang aku ketawa sendirian. Ada cerita-cerita itu aku kongsikan dengan kawan-kawan aku. Mereka yang tidak kenal Tok Wan aku pun terasa seolah-olah dia pernah hidup dan mesra dengan mereka.

Ustaz Akram lebih-lebih lagilah. Ketupat yang Tok Wan aku bawa ketika hendak ke Mekah pada tahun 2002 dahulu masih terasa kenyang. Mana tidaknya. Ketupat sebesar tapak tangan beruang itu dibawa untuk dibawa bekalan ke Mekah. Ketika dia singgah di rumah aku, ketupat itu dibukanya. Nah aih! Kena sebiji sudah kenyang sampai sekarang. Ketika balik pun dia singgah. Dia kata kepada Ustaz Akram, Pak Cik rasa kalau Pak Cik duduk lagi dua hari di sana, tentu Pak Cik dapat cakap Arab macam hampa semua. Ni pun dah boleh cakap Arab sikit-sikit ni. Aku gelak sakan.

Sampai di Terowong Menora, kereta berhinjut-hinjut lagi. Entah kepala bana pula apakah yang melambatkan perjalan aku. Tok Wan aku bercerita lagi. Satu hari aku sakit perut amat sangat. Masa tu aku di Kota nak beli ikan. Aku masuk tandas di pasar Kota. Kotor bagai nak mampus. Terus tak jadi buang air di situ. Aku naik motor hendak balik buang air di rumah. Ketika sampai di selekoh berdekatan dengan rumah Cik Tok Yob, aku sudah tidak tahan. Aku berhenti motor di situ. Tongkat motor di tepi jalan. Aku lari masuk ke dalam hutan pokok kapal terbang. Aku londeh seluar. Aku rasa macam sudah mahu keluar. Seluar aku londeh terus. Tiba-tiba aku dengar orang menjerit. Tolong, Pak Cik! Jangan! Ini amoi kita punya. Pak Cik jangan lak kui dia. Haram jadah! Aku lihat seorang lelaki dan perempuan cina sedang berbogel tindih menindih. Si lelaki itu segera bangun menyembah aku yang juga hampir bogel setelah melondeh seluar aku untuk membuang air. Aku tidak jadi hendak buang air. Segala najis yang terkumpul di ambangan hilang lesap bagai terpandang iblis. Kalau hang punya, pasai apa hang mai lak kui tepi sungai ini. Hang ingat aku nak rogol dia ka? Aku sakit perut. Cis! Aku ketawa berdekah-dekah mendengar cerita Tok Wan aku.

Aku lihat di tepi jalan. Rupanya ada kemalangan. Sebuah bas dua tingkat terbakar. Aku telefon mak aku. Dia masih berada di Sungai Limau. Mutalib telefon aku. Mereka sudah sampai di Masjid Kampung Pisang. Aku terus memecut. Perut sudah mulai lapar. Tetapi aku tidak boleh berhenti. Pertama sebab aku mengejar masa. Kedua, kalau aku berhenti pun aku hendak beli apa? Duit yang ada hanya cukup untuk minyak dan tol.

Aku raba lantai kereta. Ada botol air sejuk bergolek di bawah kerusi kereta. Aku sambar lalu aku langgah. Aku terus memecut. Tol Juru aku lepasi. Nasib baik kereta tidak banyak. Sampai di Tikam Batu, indikator minyak sudah memberi amaran. Minyak sudah hampir habis. Aku hanya mampu bersubhanallah, beralhamdulillah dan berallahuakbar agar aku sampai tanpa perlu mengisi minyak. Sampai di Tol Pendang, Rushdan telefon aku. Dia kata jenazah sudah diturunkan ke liang lahad. Aku kata tidak mengapalah. Turunkanlah. Aku reda dengan segala ketentuan. Buat apalah hendak menatap wajahnya sesudah kematiannya. Seingat aku aku jaranglah buat perangai dengan Tok Wan aku. Bila aku balik aku hanya menjadi pendengar setia cerita-ceritanya. Kalau semasa masih hidup, langsung tidak pernah dijenguk walaupun jarak rumah hanya sepelaung, apa gunanya balik menangis bagai melihat polong.

Memang aku sedar dan sudah banyak kali jugalah timbul hero-hero yang akan menonjolkan diri pada majlis kondolensa ini. Masing-masing ingin menunjukkan bahawa merekalah juara yang menguruskan jenazah itu. Mereka cepat-cepat hendak menyimpan supaya mereka akan berkata bahawa tanpa aku pun mereka boleh menguruskan urusan kondolensa. Samalah dengan jenazah-jenazah lain di mana berbagai janji ditabur. Memberi pelbagai janji untuk menyelesaikan segala urusan berkaitan arwah kepada keluarganya dan akhirnya hanya menghembus angin. Juara-juara itu hanyut entah ke mana.

Dalam masa kejadian di Amerika boleh diketahui dalam masa seminit, aku hanya mengetahui bahawa Tok Wan aku meninggal lima jam selepas dia menghembuskan nafas terakhirnya. Masing-masing hendak jadi juara jugaklah. Supaya aku tidak sempat balik. Supaya mereka berkata aku tidak ambil peduli dan mereka sahajalah yang peduli.

Aku sampai ketika jenazah ditalkinkan. Aku mengaminkan doa lalu berlalu tanpa menegur sesiapa pun. Wan! Kalau jumpa Arman nanti, kiri salam kepada dia.

No comments:

Post a Comment