Sunday, August 15, 2010

Facebook dan Yahudi

Sudah lama aku mendiamkan diri mendengar komen-komen berkaitan Facebook dan Yahudi. Dan aku membiarkan komen-komen itu menjadi seperti puing-puing dibawa angin. Sudah lama orang-orang Islam diperbodohkan. Sepertilah gerombolan memperdohkan orang-orang Melayu semenjak sebelum merdeka sehinggalah sekarang. Pemikiran golongan yang ketinggalan seriangkali begitulah. Aliran pemikiran seperti ini bukan hanya lahir di zaman Facebook ini sahaja. Menurut Irfan Abdul Hamid di dalam beberapa buah bukunya termasuklah Dirasat fi al-Firaq, Dirasat Fi al-Fikr 'Arabiy, al-Madkhal ila 'Ilm Falsafah dan Dirasat fi al-Tasawwuf al-Islamiy, aliran pemikiran seperti ini sudah terdapat di dalam pemikiran al-Khawarij, al-Muktazilah serta pemikiran golongan-golongan Tasawwuf. Mereka mengambil jalan meninggalkan aliran perdana kerana mereka tidak mampu melawan kemajuan yang bertentangan dengan kehendak mereka.

Di dalam menghadapi ancaman, manusia mempunyai dua pilihan. Melawan atau berundur. Melawan bererti mempersiapkan diri dengan tenaga fizikal dan mental serta strategi yang jelas. Berundur pula tidak memerlukan apa-apa strategi. Tetapi di kala berundur, jiwa yang sombong dan tidak mahu mengaku kalah akan meuar-uarkan bahawa musuh berlaku khianat dan tidak adil ketika berperang. Dan dengan senang pula menuduh bahawa musuh terkeluar daripada daerah lingkungan orang-orang Islam seperti mana tuduhan puak Khawarij terhadap kepimpinan Saidina Ali dan Muawiyah. Begitu juga dengan perlakuan pengunduran diri golongan tasawwuf yang tidak dapat menerima perubahan yang berlaku ketika itu. Daripada masyarakat badwi yang menghuni khemah, mereka terpaksa mengubah cara hidup mereka. Namun, kemampuan ekonomi yang terhad, mereka gagal untuk menempatkan diri mereka di dalam perubahan tamaddunn baru lalu melakukan penarikan diri daripada arus perdana.

Inilah juga aliran pemikiran golongan pelampau dan pengebom berani mati di negara-negara Islam. Keadaan ekonomi negara Islam yang mundur menyebabkan mereka merasa rendah diri. Mereka iri hati dengan pelabur-pelabur, pelancong dan syarikat asing yang masuk menjadi pelabur di negara Islam. Tetapi mereka tidak mampu menyaingi disebabkan oleh kegagalan mereka menempatkan diri bersama-sama dengan pelabur-pelabur serta pelancong asing tersebut. Bukan setakat menjadi pelabur, menjadi pelancong ke negara asing pun mereka tidak mampu. Akhirnya mereka menuduh golongan pelabur dan pelancong asing ini adalah kafir dan musuh Allah yang apabila dibunuh mereka mendapat syurga. Mereka mencari syurga akhirat kerana tidak mampu mendapatkan syurga dunia.

Kemunduran umat Islam di dalam era internet ini juga mencetuskan tuduhan-tuduhan karut ini. Ada yang menuduh Facebook ini dicipta oleh Yahudi untuk menjahanamkan umat Islam. Bukan setakat Facebook, malah televisyen, radio, telefon, kapal terbang, seluar jean, t-shirt, bra dan coli juga pernah dituduh sebagai alat untuk merosakkan uat Islam. Sedangkan selama ini perkara-perkara tersebut telah membawa pelbagai kemaslahatan kepada manusia. Perkara-perkara ini telah membawa berjuta-juta kebaikan kepada dunia. Untuk menutup kelemahan umat Islam di dalam penciptaan ini, mereka menuduh bahawa Facebook menjadi alat Yahudi untuk menjahanamkan orang-orang Islam. Kononnya pejuang Hamas telah dibunuh oleh perisik Yahudi yang telah mengklon maklumat peribadi seorang warga Australia lalu membunuh pejuang tersebut di Dubai. Bermacam-macam lagilah tuduhan. Kononnya Facebook mengumpulkan maklumat orang Islam untuk dibunuh beramai-ramai.

Mark Zuckerberg, pengasas Facebook pun tidak pernah terfikir untuk membunuh orang-orang Islam. Walaupun dia berketurunan Yahudi, dia lebih rela digelar seorang atheis kerana tidak yakin dengan agama Yahudinya. Tuduhan-tuduhan sedimikian hanyalah sebagai helah untuk menutup kelemahan orang Islam yang tidak mampu mencipta apa-apa untuk kemaslahatan dan ketamaddunan manusia masa kini. Umat Islam hanya bernostalgia mendendangkan lagu tamaddun lama yang sudah luput ditelan zaman. Menggunakan alat ciptaan Yahudi, berniaga dengan Yahudi tidak pernah menjadi kesalahan di dalam syariat Islam. Pengharaman ini dilakukan oleh ulama-ulama Arab yang kecewa kerana mereka tidak mampu melawan Yahudi yang menjajah tanah air mereka. Bagaimana mereka hendak melawan Yahudi sedangkan mereka juga adalah Yahudi?

Di dalam hadis dan peninggalan baginda Rasulullah, kita menemukan suatu hadis Bukhari berkenaan urusan Nabi Muhammad SAW dengan orang-orang Yahudi. Di dalam Saheh Bukhari disebutkan

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ قَالَ تَذَاكَرْنَا عِنْدَ إِبْرَاهِيمَ الرَّهْنَ وَالْقَبِيلَ فِي السَّلَفِ فَقَالَ إِبْرَاهِيمُ حَدَّثَنَا الْأَسْوَدُ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَاأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اشْتَرَى مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا إِلَى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ

Nabi SAW pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dan juga pernah menggadai perisainya kepada mereka.

Hadis ini jelas menunjukkan keharusan berurusan di dalam bidang perniagaan dengan sesiapa pun. Urusan perniagaan dengan orang-orang Yahudi, Kristian, Cina dan India bukanlah menjadi suatu kesalahan. Justeru. Menggunakan produk hasilan Yahudi bukanlah menjadi satu kesalahan, bahkan lebih baik menggunakan produk Yahudi untuk mengeratkan perhubungan daripada menjadi ejen pemecah belah masyarakat walaupun digelar alim ulama dan mufti sekalipun.

Facebook selama ini banyak mendatangkan kebaikan kebaikan kepada aku. Aku tidak tahulah kepada orang lain. Banyak sahabat yang selama ini aku cari sudah kutemui. Hasil dari Facebook ini aku bertemu rakan-rakan di SK Buluh Lima, Maktab Mahmud, SMAP Kajang, SMKA Kedah dan juga rakan-rakan ketika belajar di Jordan dahulu.

Seperti juga benda-benda lain yang wujud di dalam dunia ini, kalau disalah gunakan akan membawa mudarat. Cuma, berhati-hatilah menggunakannya. Umpamanya, kalau kita merasakan maklumat profil kita perlu dirahsiakan, tidak perlulah mengisi profil kita sepenuhnya. Bukannya wajib pun mengisi benda-benda tersebut. Selepas bertemu dengan rakan-rakan sedangkan waktu sudah berubah, jagalah tangan daripada menaip atau memberi komen yang boleh menyakitkan hati orang yang membacanya. Mungkin ketika kita bersekolah dahulu, kata-kata sebegitu boleh diterima. Tetapi zaman sudah berubah. Ada di antara kawan-kawan yang sudah tidak dapat menerima lagi gurauan zaman remaja dahulu. Sekiranya hendak menulis komen, cubalah menulis dengan akal dan bukan dengan tangan.

Begitu juga Facebook yang digunakan oleh perompak yang mengambil kesempatan mengkaji pergerakan orang-orang yang meninggalkan status mereka seperti menyebarkan bahawa mereka pergi bercuti, out station di mana status ini diambil kesempatan oleh perompak untuk merompak rumah yang ditinggalkan. Terdapat juga masalah di mana suami atau isteri mengabaikan tanggungjawab rumahtangga kerana asyik berfacebook. Ada juga yang kembali menjalinkan hubungan setelah bertemu kekasih lama apatah lagi kekasih lama itu sudah berstatus ibu tunggal. Mengabaikan tanggung jawab atau menjalin hubungan dengan kekasih lama bukanlah kerana facebook ini. Kalau tiada Facebook pun mereka akan menjalinkan hubungan juga. Kalau sudah keturunan ulat bulu, mana mungkin menjadi siput babi.

Menakutkan murid-murid dengan Facebook akan menyebabkan umat Islam terus mundur. Di kala Facebook menjadi medan meluaskan empayar ekonomi dan jaringan sosial, kita tidak menggalakkan mereka menerokanya. Kita nanti hanya melahirkan manusia jahil yang tidak tahu berinteraksi dengan dunia sedangkan syarikat-syarikat besar mula memasar dan memperkenal produk serta menarik minat pembeli menggunakan Facebook. Sepatutnya murid-murid sekolah diajar mengguna Facebook dan juga aplikasi web yang lain untuk terus berhubungan dengan guru dan rakan-rakan untuk perkongsian ilmu secara berterusan bukan menakutkan mereka dengan auta-auta yang tidak benar.

1 comment:

  1. Bila membaca komen ini, saya kagum dengan pemikiran Tuan. Sebagai umat Islam yang kini ditekan dan ditindas (tanpa sedar) oleh masyarakat agama lain, sepatutnya keupayaan FACEBOOK ini digunakan sepenuhnya oleh umat ISLAM dalam usaha melawan kembali anasir negatif mereka kepada agama SUCI ini serta menggunakan FACEBOOK sebagai MEDAN JIHAD yang GLOBAL

    ReplyDelete