Sunday, August 15, 2010

Ramadhan: Setiap Tahun Ada Ramadhan

Entri ini aku tuliskan menjelang Ramadhan tahun lalu. Tahun ini aku tidak tahu hendak tulis apa. Lalu aku poskan sekali lagi untuk renungan aku sendiri.

Ramadhan datang lagi. Hari ini sudah empat hari kita berpuasa. Sudah menjadi kelaziman pada awal ramadhan akan berlakulah pertelingkahan umat Islam. Memang itulah kerja umat Islam pun sejak dari dahulu. Memang suka sangat bergaduh dan berselisih pendapat. Tetapi bukan orang Islam sahaja. Kalau orang Islam setakat berselisih pendapat dua tiga hari tetapi ada juga orang bukan Islam yang hari raya mereka pun berselisih sampai dua minggu. Aku pun hairan juga semasa di Jordan dulu apabila rakan aku, Philip yang menjadi imam di gereja Orthodox tidak menyambut Krismas pada 25 Disember. Rupanya mereka menyambut Krismas pada 7 Januari. Tetapi perbezaan mereka itu tidak diperbesar-besarkan pun. Semenjak hari itu aku merasakan sama seperti Pak Pandir yang memberitahu Mak Andih "Bukan anak kita sahaja yang mati. Anak orang lain pun mati jugak. Tetapi mereka lagi teruk. Anak kita aku kebumikan jugak. Anak orang lain dicampaknya sahaja di tepi jalan."

Dahulu aku merasa terganggu jugalah dengan perbezaan itu seolah-olah umat Islam tidak bersatu. Tetapi kini aku merasakan bahawa sekiranya kita mula berpuasa pada hari yang sama pun, adakah kita dikatakan bersatu? Apakah kita seantero dunia mesti berpuasa pada hari yang sama? Adakah kita perlu berhari raya pada hari yang sama? Selama ini pun kita di Malaysia berpuasa pada hari yang sama, berhari raya pada hari yang sama, berlumba-lumba pergi mengerjakan umrah di Kaabah yang sama, tetapi masih ada juga yang menyokong gerombolan dan menyokong kuasa rakyat. Mereka tidak bersatu pun.

Perbezaan anak bulan adalah perkara lumrah berlaku dan memang itulah sunnatullah pun. Keinginan aku untuk menyingkap rahsia anak bulan ini membawa aku supaya mendaftar subjek Pengenalan Kepada Ilmu Falak semasa di universiti dahulu. Biarpun pada masa itu baru semester dua dengan kemampuan bahasa Arab yang terhad serta pensyarah yang bercakap `ammi Mesir pulak dan diselangi dengan bahasa Rusia pulak, kefahaman aku hanyalah di tahap minima dan lulus cukup makan sahaja. Kemudian ketika di Maktab Perguruan Islam, aku pernah dibawa menyertai perbincangan tentang masalah melihat anak bulan di Malaysia di Pejabat Mufti Negeri Melaka. Dari situ aku tahu sedikit sebanyak tentang anak bulan ini.

Ketika melihat anak bulan, beberapa perkara yang harus dipertimbangkan. Pertama tentang kemungkinan anak bulan kelihatan. Misalnya pada tahun ini, di Malaysia anak bulan tidak mungkin kelihatan kerana anak bulan muncul lebih awal daripada matahari terbenam. Manakala di Amerika Latin, perkara sebaliknya berlaku. Di Santiago misalnya matahari terbenam pada pukul 6.17 petang manakala anak bulan pula terbenam pada pukul 6.51 petang. Justeru anak bulan kelihatan selama 33 minit dan ketinggiannya daripada ufuk adalah sebanyak 5 darjah. Begitu juga dengan Peru di mana mataharinya terbenam pada pukul 6.05 petang manakala bulan pula terbenam pada pukul 6.31. Anak bulan kekal kelihatan di ufuk barat selama 26 minit dan berada pada ketinggian 6 darjah.

Kedua, keadaan cuaca. Di Malaysia, walaupun terdapat kemungkinan anak bulan kelihatan seperti yang berlaku di Lima dan Santiago, tetapi cuaca Malaysia yang lembab menghalang anak bulan daripada dilihat. Ditambah pula dengan aktiviti perindustrian dan pembakaran terbuka. Sebaik sahaja matahari terbenam, permukaan laut dan juga pergunungan akan kelihatan wap air atau asap yang menghalang anak bulan daripada kelihatan. Sebab itulah di Malaysia, kita jarang mendengar anak bulan kelihatan. Cuma yang biasa kita dengar adalah bahawa anak bulan tidak kelihatan, tetapi ia tetap ada.

Perbezaan ini adalah realiti yang perlu diterima oleh semua orang. Namun demikian, prinsip falak ini ada kalanya dimanipulasi oleh sesetengah negara atau kumpulan demi kepentingan politik mereka. Ketika mana semua negara Arab berpuasa pada hari Sabtu, Libya telah mengumumkan bahawa permulaan puasa bagi seluruh daerah jajahannya adalah pada hari Jumaat walaupun tiada kemungkinan anak bulan untuk kelihatan pada hari Khamis. Ini bukanlah kerana kecanggihan teropong yang dimilikinya, tetapi kerana sengketanya dengan Arab Saudi yang telah mengumunkan permulaan puasa pada hari Sabtu. Sekiranya Arab Saudi mengumumkan permulaan puasa pada hari Jumaat, pastinya Libya akan mengumumkan permulaan puasanya pada hari Sabtu pula. Begitu juga dengan perbezaan disebabkan oleh kelainan mazhab. Puak Sunni di Lubnan misalnya mengumumkan permulaan puasa pada hari Sabtu. Oleh kerana tidak mahu dilihat bersama dengan puak Sunni, maka puak Syiah telah mengumumkan permulaan puasa mereka pada hari Jumaat. Mereka boleh melakukan apa sahaja dengan kuasa yang mereka miliki, sama seperti pemerintah kita atau bos kita di pejabat. Dengan sedikit kuasa yang Allah berikan kepada mereka, mereka amat mudah menjadi sombong dan menekan orang bawahan mereka dan melakukan kezaliman dan kemungkaran. Setakat mengubah hari berpuasa dan hari raya adalah perkara kecil buat mereka yang mempunyai kuasa. Apalah sangat setakat berbeza sehari dua hari berpuasa dan beraya. Yang penting duit. Kalau puasa lewat sehari berapa keuntungan yang boleh diperolehi. Kalau hari raya dilewatkan sehari berapa keuntungan yang dapat dijana. Dengan kuasa bukan setakat permulaan puasa dan hari raya boleh diubah, dengan kuasa hukum Allah pun boleh diubah ikut sedap hati dan ikut sedap rasa. Kuasa boleh membunuh Tuhan. Dengan kuasa seolah-olah Tuhan tidak wujud pun. Siapalah yang peduli pun dengan hukuman yang telah termaktub di dalam al-Quran. Dengan kuasa mereka boleh berkurang ajar dengan Allah kononnya hukuman sebat tidak boleh dilaksanakan kerana kerajaan tidak mempunyai tukang sebat yang berkelayakan.

Bulan puasa adalah bulan yang ditunggu oleh kita untuk mengecas semula iman. Itu falsafah dahululah. Falsafah kapitalis sekarang adalah bulan ramadhan adalah masa untuk menganjurkan pesta bazaar ramadhan untuk pertunjukan pelancongan dan menarik pelancong asing melihat kelainan Malaysia. Ramai juga orang yang berniaga di bazaar ramadhan. Tetapi ramai juga yang kaya dahulu kerana menjual bazaar ramadhan. Banyaklah bazar-bazar ramadhan dibuka untuk memberi peluang orang buat duit dan kemudian mereka berpesta pula memberi baju raya dan membuat berbagai jenis kuih untuk santapan para tetamu yang datang berkunjung. Semua ibadat dihubungkait dengan faktor ekonomi. Bayangkan berapa banyak negara Arab yang senang lenang mengekspot buah kurma ke negara-negara Islam kerana hadis yang menyuruh kita berbuka puasa dengan buah kurma. Begitu juga dengan ibadat-ibadat lain yang menjana ekonomi berjuta-juta ringgit dengan arahan agama. Berapa banyak keuntungan syarikat pelancongan dengan ibadat haji? Berapa banyak sejadah yang dijual dengan ibadat solat? Berapa banyak syarikat pembinaan yang membuat untung dengan membina masjid untuk bersolat? Tidak cukup dengan masjid batu, dibina pula masjid daripada kaca dan daripada besi untuk menunjukkan kemegahan masjid dan kecanggihan teknologi. Berapa banyak juga lembu yang ditumbangkan untuk ibadat korban. Maka beruntunglah penternak di Thailand yang mengekspot lembu ke Malaysia kerana kekurangan bekalan di dalam negara. Tidak cukup dengan lembu, unta dari Australia pun diimport untuk membuktikan ibadah korban kita paling hampir dengan ibadat Rasulullah.

Ramadhan menjelma juga. Tidak kiralah dengan buah kurma atau tanpa buah kurma. Aku berpuasa juga seperti tahun-tahun sudah. Pada masa kecil dahulu, aku ingat ramadhan atau tidak sama sahaja. Pada bulan selain ramadhan pun kami amat jarang boleh makan kerana kemiskinan keluarga kami. Kami pernah makan nasi dengan garam, makan nasi dengan kuah kari sahaja. Dan kadang-kadang pernah makan nasi dengan kelapa kukur sahaja. Memang tidak mampu untuk membeli lauk pun. menahan perut sudah menjadi lumrah buat keluarga aku yang kaya dengan kemisikinan itu. Justeru, ramadhan ataupun tidak tidak berbeza apa-apa. Yang aku ingat, berbuka mesti ada ais. Pada ketika rumah aku belum ada elektrik, belum ada peti sejuk, belum ada air paip, kami hanya membeli ais kilang yang dijual di pekan Kota Sarang Semut. Ais kilang itu disimpan di dalam serbuk kayu setinggi gunung di simpang pekan Kota Sarang Semut. Sesiapa yang membeli 20sen akan digergajilah dua jengkal. Siapa yang membeli 50sen akan digergajilah setengah bantal ais. Selepas membeli ais, cepat-cepat kayuh basikal balik ke rumah takut ais itu cair. Aku masih ingat Tok Wan aku paling suka air laici pada bulan puasa. Itu pun dua atau tiga kali sahaja sepanjang ramadhan. Bakinya adalah air sirap yang dimasak dengan pencelup merah dan dicampur dengan daun pandan. Kuih muih pula hanya satu jenis iaitu tepung talam. Kalau hendak rasa kuih lain, bawaklah tepung talam itu ke rumah jiran. Mereka akan membalaslah dengan kuih lain. Yang paling aku suka ialah membawa ke rumah Sarah Ali. Selalunya dia akan membalas dengan kuih lompang hijau. Aku amat suka kuih itu. Selain boleh makan kuih lompang hijau yang sedap itu, dapatlah juga melihat anak daranya yang muda setahun daripada aku itu.

Selepas berbuka, kami akan berterawehlah di surau Kampung Alor Serdang. Teraweh mesti 20 rakaat. Kalau balik awal, misslah more. More mana boleh miss. Sudahlah di rumah berbuka tidak cukup. Kalau balik, alamat besok puasa sekerat hari sahajalah. Morelah peluang hendak makan sehingga kenyang. Kami pun kena juga giliran moreh. Biasanya giliran kami adalah pada 14 atau 15 ramadhan. Pada masa itu bulan terang. Senanglah kami hendak hantar more itu ke surau. Kalau bulan gelap, takut basikal yang membawa periuk more itu jatuh dalam bendang. Kempunanlah semua jemaah kampung kami untuk makan more pulak.

Selepas balik berteraweh, ada pula budak-budak muda yang akan memalu gendang surau membuat konsert. Ada yang suka dan ada yang tidak suka. Pernah sekali orang yang tidak suka menoreh gendang itu sehingga pecah kerana anaknya tidak boleh lena diganggu oleh bunyi gendang surau. Selain daripada gangguan bunyi gendang, kampung kami juga terkenal dengan meriam kok. Meriam kok ini adalah meriam yang dibuat oleh kok gelung simen satu pemeluk sepanjang 5 meter. Kok ini direndam di dalam sungai di depan surau. Tiba waktu berbuka, meriam ini akan dibawa naik dan dipasanglah buat pengetahuan orang kampung bahawa waktu berbuka telah masuk. Menurut cakap orang pada waktu itu, sekali cucuh meriam ini adalah sekilo karbaid. Aku tidak tahu benar atau tidak. Tetapi akhirnya meriam ini tidak dipasang lagi kerana aku diberitahu polis tidak memberi kebenaran untuk memasangnya. Selepas itu kami hanya berbuka puasa dengan pedoman lampu yang akan menyala dan menujah langit di sebelah Alor Setar.

Selamat berpuasa. Ramadhan Karim. TaqabbalaLlaahu Taa`atakum/.

No comments:

Post a Comment