Monday, October 18, 2010

Keperluan Pendidikan Seks

Ada beberapa persoalan bersipongang di benakku. Ingin aku coretkan tetapi terasa tangan ini semakin tumpul. Kesibukan kerja dan ketakutan sekiranya hilang kerja kalau aku terus menulis membungkam hasrat aku untuk terus menulis. Hidup di dalam negara yang bebas merdeka ini haruslah berhati-hati. Sebabnya mudah sahaja, kau zahirkan sahaja apa yang terbuku di benakmu, kau akan dihukum. Aliran peguasa akan mudah sahaja mengkeriok musuh-musuhnya seperti mana Makmun dan Muktasim mengkeriokkan ajaran Muktazilah suatu ketika ddahulu.

Ini bukanlah overgeneralisasi aku terhadap tindakanku yang kadang-kadang pongah tidak sabar melihat sesuatu di luar duga dan kemahuan diriku. Aku pernah dibisikkan oleh kawan-kawan supaya menutup blog ini dan aku pernah menutupnya pun. Tetapi desakan dalam bagaikan larva gunung berapi terus mendesak. Kadang-kadang bagai larva mendesak dengan keras. Kadang-kadang desakan itu mendesak dengan lembut bagai bayu. Adakalanya desakan itu aku rasa bagaikan titisan air yang kecil di anak-anak sungai di puncak bukit lalu menerjah di jurang menjadi air terjun.

Setelah keadaan menjadi selesa dengan aku beransur meninggalkan ketagihan kepada Facebook, aku meluangkan masa untuk menelaah kembali buku-buku yang menghalang pandangan ke penjuru dinding rumahku. Buku yang aku angkut apabila aku pindah ke mana-mana pun. Ada beberapa buah buku sudah aku habiskan. Yang terakhir adalah buku Tiga Esei Tentang Teori Seksual karya Sigmund Freud. Setelah membaca buku tersebut aku semakin sedar bahawa pendidikan seks ini sebenarnya tidak perlu. Pendapatnya sama seperti pendapat sarjana Islam yang lain iaitu seks adalah naluri, bukan pengetahuan.

Naluri ialah sesuatu yang lahir bersama-sama manusia. Naluri tidak perlu diajar. Naluri seks sama dengan naluri makan dan naluri minum. Manusia makan untuk memenuhi kehendak nalurinya. Ketika masih kecil, bayi akan menangis kerana merasa lapar. Begitu juga naluri seks. Naluri seks perlu untuk menenangkan perasaan. Menurut Sigmund Freud, naluri seks wujud pada manusia sejak azali lagi. Sejak dia dilahirkan. Cuma cara mereka mendapat ketenangan secara seksual adalah berbeza. Bayi mungkin mendapat ketenangan seksual dengan menghisap puting susu ibunya, menghisap ibu jari tangannya, mendapat kenikmatan ketika diurut dan dibelai, ketika proses membasuh selepas membuang air dan dengan cara goncangan atau ayunan buaian. Perlakuan ini berterusan tetapi dengan cara berbeza.

Ketika meningkat usia memasuki fasa kedua iaitu ketika berumur tujuh hingga 12 tahun, perlakuan-perlakuan ini terus dilakukan. Ketika inilah berlaku penyelewengan seksual di mana kanak-kanak mencari ketenangan seksual dengan cara tersendiri. Memang kalau aku hendak sebutkan di sini agak lucahlah. Kepada sesiapa yang hendak membaca buku ini, bolehlah merujuk di Google Books dengan menaip Three Essays on the Theory of Sexuality atau mendapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran. Buku ini amat penting untuk kita memahami tingkah laku seksual manusia. Sekiranya kita dapat memahami tingkah laku ini, barangkali kita dapat menghindari daripada berlakunya penyelewengan tingkah laku seksual di kalangan kanak-kanak.

Penyelewengan tingkah laku seksual adalah desakan naluri untuk mencapai ketenangan seksual. Pada peringkat remaja, remaja menjadikan anggota erotik di badannya untuk mencapai ketenangan seksual. Di antara tingkah laku seksual di kalangan remaja ialah dengan menghisap rokok, menggigit daun, kayu atau sesuatu di mulutnya, mengunyah chewing gum. Dan tingkah laku ini semakin hebat sekiranya kanak-kanak itu mendapat tekanan ketika menghadapi peperiksaan atau menghadapi tekanan daripada guru-guru di sekolah. Kanak-kanak ini akan mencari ketenangan seksual dengan menekan atau menggosok anggota erotik di badan mereka supaya terhasil ketenangan atau disebut oleh Sigmund Freud sebagai kelazatan seksual.

Sigmund Freud juga menyebutkan bahawa tingkah laku seksual kanak-kanak lelaki berbeza dengan tingkah laku seksual kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak lelaki mempunyai banyak cara untuk mencapai ketenangan seksual. bagi kanak-kanak perempuan, mekanisme untuk mencapai ketenangan seksual amatlah terhad. Justeru, sekiranya mereka berpeluang, mereka akan menggunakan peluang itu sehabis mungkin. Misalnya ketika bertemu bayi, mereka akan mencium bayi itu dan memeluknya. Sebaliknya kanak-kanak lelaki tidak suku mendukung bayi serta mencium bayi tersebut. Justeru, murid perempuan lebih banyak dilanda histeria terutama ketika hampir peperiksaan kerana tekanan mereka tidak dapat dikurangkan seperti mana kanak-kanak lelaki.

Perkara ini bukanlah dikatakan oleh Sigmund Freud sahaja. Perkara ini pernah disebut oleh Timbalan Rektor Universiti al-Azhar di dalam Multaqa Guru Pendidikan Islam di PICC suatu ketika dahulu. Itu pun kalau hadirin masih ingat dan mengerti ucapan beliau. Menurut beliau, objektif pendidikan Islam adalah untuk mengawal tiga naluri manusia iaitu naluri suka kehidupan bencai kematian (hub al-baqa wa karahiyat al-mawt), naluri untuk memiliki (hub al-tamalluk) dan naluri keibubapaan (al-ubuwwat wa al-umumat). Naluri ini memang terdapat di dalam diri manusia dan pendidikan Islam haruslah mendidik manusia mengawal naluri ini dan melampiaskannya dengan cara yang betul. Naluri keibubapaan ini memang sudah wujud di kalangan manusia. Dan pendidikan Islam haruslah menekankan bagaimana perhubungan itu harus terjadi. Perzinaan itu adalah haram dan cara membolehkannya adalah melalui perkahwinan. Begitu juga dengan naluri ingin memiliki. Untuk memiliki sesuatu mestilah dengan cara yang halal, dengan bermuamalat secara secara halal, bukan dengan cara menipu, merompak dan merasuah atau memaksa suami meluluskan peruntukan untuk projek peribadi. Manakala naluri hub al-baqa pula mendorong manusia berlumba-lumba untuk terus hidup, mendapatkan pakaian, makanan dan tempat tinggal. Untuk memenuhi tuntutan ini, perlu juga dilakukan secara berakhlak. Jangan berebut tempat tinggal dan makanan sehingga mencabut nyawa orang lain.

Pendidikan seks yang ingin diajarkan bukanlah dengan mengajar melakukan seks dengan tidak melahirkan anak dengan memakai kondom yang pelbagai perisa yang terdapat di kedai-kedai serbanika 24 jam, tetapi dengan mengajar membendung nafsu dan naluri agar tidak merosakkan sistem ekologi manusia. Pendidikan seks di dalam pendidikan Islam haruslah juga menerangkan maqasid syariah Islam iaitu memelihara akal, harta, nyawa dan keturunan. Membendung nafsu amat penting. Bukan orang Islam sahaja yang berpendapat demikian, bahkan menurut pakar pembangunan sumber manusia seperti Rob Yeung juga berpendapat bahawa manusia yang berjaya adalah manusia yang dapat mengawal emosinya. Manusia yang tidak dapat mengawal nafsu marah, nafsu serakah, nafsu ego sombong dan bongkak adalah manusia-manusia yang gagal sejak di muka bumi lagi. Begitu juga pendapat Louis Janda di dalam bukunya Career Tests untuk menilai tahap penguasaan individu terhadap diri sendiri supaya berjaya di dunia ini.

Sekiranya dihubungkaitkan dengan ibadat yang difardukan kepada manusia, nescaya kita akan dapat melihat bagaimana Allah SWT telah memfardukan ibadat tujuannya agar manusia dapat membendung nafsu. Puasa misalnya adalah mekanisme membendung nafsu di bawah perut seperti mana yang disebut oleh Rasulullah: Wahai orang muda. Sesiapa yang sudah mampu berkahwin, berkahwinlah. Sekiranya tidak mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu adalah wija. Wija' bermaksud penghalang yang kuat, pembunuh. Begitu juga dengan solat di mana Allah Taala menyebutkan bahawa: Sesungguhnya solat itu dapat menghalang al-Fahsya dan al-Mungkar. Beberapa buku tafsir menyebutkan bahawa al-Fahsya adalah perlakuan seksual, zina dan juga perlakuan seks songsang termasuklah liwat. Justeru, pendidikan seks haruslah disepadukan dengan pendidikan Islam yang menekankan maqasid syariah Islam iaitu memelihara akal, keturunan, nyawa dan harta. Pengajaran pendidikan Islam bukan hanya setakat pengetahuan tetapi lebih kepada amalan yang dapat mengekang perlakuan. Amalan ini misalnya memberi markah atau merit kepada murid yang solat, murid yang berpuasa sunat dan pada Isnin dan Khamis, menutup aurat di dalam dan di luar sekolah serta amalan-amalan lain yang boleh mengekang nafsu perut dan di bawah perut. Ini bukanlah satu tugas yang mudah kerana ramai lagi yang kencing berdiri. Hasilnya ....lu fikirlah sendiri.

Sebarang komen dan pendapat anda terhadap tulisan ini adalah dialu-alukan.