Sunday, December 26, 2010

Syiah

Aqidah Syiah

Diterjemahkan daripada buku Dirasat fi al-Firaq wa al-Aqaid al-Islamiah, Almarhum Dr Irfan Abdul Hamid Fattah.


1. Kajian-kajian lama yang dilakukan terhadap aqidah Syiah yang terkumpul di dalam buku-buku al-Firaq menuduh Syiah sebagai sebuah mazhab yang terkeluar daripada ijmak orang-orang Islam. Adalah menjadi satu kesilapan seandainya kita berpegang kepada buku-buku ini untuk menggambarkan aqidah Syiah tanpa memeriksa dan membuat pertimbangan dengan apa yang tertulis di dalam buku-buku Syiah sendiri. Hal ini demikian kerana apa yang tertulis di dalam buku-buku al-Firaq ialah pandangan seteru Syiah. Kaedah am berkata: Pandangan seteru tidak boleh dipegang (Jamal al-Din al-Qasimi, Tarikh al-Jahmiah wa al-Muktazilah).

Pandangan ini ada kalanya merupakan pandangan yang terlalu jauh daripada realiti dan ada kala orang-orang yang membuat tuduhan ini mempunyai kepentingan tertentu. Kaedah di sini pula mengatakan: Satu pendapat yang memenuhi keinginan para mujtahid tidak harus dijadikan pendapat (Jamal al-Din al-Qasimi, Tarikh al-Jahmiah wa al-Muktazilah).

Contoh yang paling nyata tentang tuduhan-tuduhan ini umpamanya al-Khiyat al-Muktazili (912M/300H) yang berkata: Dan ia serupa dengan kesalahan al-Rafidhah yang berpendapat dengan al-Tasybih dan baharunya ilmu Allah. Sesungguhnya Allah tidak berilmu kemudian berilmu. Dia memaksa hambanya menjadi kufur dan berdosa. Mereka berpendapat dengan kepulangan ke dunia sebelum tiba akhirat. Dan al-Quran telah diubah, ditambah dan dikurangkan. Kewajipan dan al-Sunnah pula telah diubah, diganti dan ditambah. Dan seluruh ummat telah murtad selepas kewafatan Nabi dan telah menjadi kufur selepas mereka beriman (al-Khiyat, Kitab al-Intisar).

Al-Malti (377H) berkata: Di dalam al-Rafidhah ada golongan yang mengamalkan homoseks. Mereka ialah orang-orang yang bodoh bodoh, peminum arak, menuduh orang-orang beriman berzina, penipu dan pendusta. Mereka adalah sampah dan tidak mempunyai syariat dan agama (al-Malti, al-Tanbih wa al-Rad ala Ahl al-Ahwa wa al-Bida’).

Al-Isfarayini (1178M/471H) pula berkata: Dan ketahuilah, semua firgah al-Imamiah bersepakat mengkufurkan para Sahabat, mendakwa al-Quran telah diubah, ditambah dan dikurangkan oleh para Sahabat. Mereka menyangka ada nas tentang Ali yang sepatutnya menjadi Imam tetapi telah disembunyikan oleh para Sahabat. Mereka juga menyangka bahawa tidak perlu berpegang kepada al-Quran dan sesuatu yang diriwayatkan tentang Nabi Muhammad. Mereka menyangka tidak harus berpegang kepada syariat yang dipegang oleh orang-orang Islam. Dan mereka menunggu seorang Imam yang dinamakan sebagai al-Mahdi yang akan mengajarkan mereka syariat (al-Isfarayini, al-Tabsir fi al-Din).

Pada ketika yang sama, saya melihat ulama-ulama Syiah sebagai contoh Ibnu Babawaeh al-Qummi (3381H) berkata: Kepercayaan kami di dalam tauhid ialah sesungguhnya Allah itu esa. Tidak ada yang menyerupainya. Dia bersifat Qadim. Telah, masih dan akan mendengar, melihat, bijaksana, hidup, berdiri dengan sendirinya, mulia, suci, mengetahui dan berkuasa. Dia tidak mempunyai jauhar, tidak juga berjisim dan berupa (al-Qummi, Aqaid al-Syiah al-Imamiah di dalam bab Kepercayaan Imamiah).

Seterusnya dia berkata lagi: Kepercayaan kami terhadap al-Quran pula, ia merupakan kalam Allah dan wahyunya yang diturunkan dan merupakan kitabNya. Di dalamnya tidak terdapat sedikit pun kebatilan. Al-Quran yang diturunkan kepada NabiNya pada pendapat kami ialah apa yang terkandung di celah dua kulitnya yang terdapat di dalam tangan orang-orang Islam dan tidak lebih daripada itu. Sesiapa yang mengatakan bahawa kami berkata al-Quran lebih daripada itu, sesungguhnya dia telah berdusta (al-Qummi, Aqaid al-Syiah al-Imamaiah. Di dalam bab Nuzul al-Quran. Lihat juga Muhammad Redha, Aqaid al-Imamiah).

2. Kebanyakan penulis tentang Syiah lupa untuk mendirikan sempadan yang jelas di antara Syiah al-Imamiah al-Ithna Asyariah yang menjadi majoriti puak Syiah dengan Syiah-syiah lain yang termasuk juga di dalamnya al-Ghulat (pelampau) sehingga kita melihat seorang intelek seperti Wellhausen berkata: al-Sabaiah ialah nama lama. Dan al-Rafidhah pula nama barunya. Tetapi kedua-duanya ialah satu. Demikianlah mereka mencampur-adukkan di antara al-Rafidhah, al-Imamiah, al-Zaidiyyah, al-Kisaniah dan al-Sabaiah. Mereka berkata: Dan ghulat mereka al-Imamiah al-Muntadhariah – al-Imamiah adalah satu kelompok daripada ghulat -. Mereka juga berkata: al-Kisaniah adalah pengikut al-Mukhtar bin Abu Abid. Bagi saya al-Kisaniah adalah satu golongan daripada al-Zaidiyyah. Mereka berkata lagi: Antara firqah-firqah al-Rafidhah ialah al-Zaidiyyah, al-Kisaniah dan al-Imamiah. Al-Rafidhah menurut mereka merupakan salah satu firqah al-Zaidiyyah dan al-Kisaniah (Lihat Taj al-Arus - al-Samaani, al-Ansab - Ibnu Hazem, al-Fisal - al-Baghdadi, al-Farqu bain al-Firaq – al-Isfarayini, al-Tabsir fi al-Din –al-Asyaari, Maqalat Islamiyyin – Ibnu Khaldun, al-Muqaddimah – al-Razi, Iktiqadat Firaq al-Muslimin dan Wellhausen, Die religios-politischen opposition spartein im atten Islam).

Sebab-sebab utama berlakunya kecelaruan yang menyebabkan kesamaran yang bahaya ini ialah kerana mereka gagal membezakan di antara Syiah sebagai sebuah pergerakan politik dengan Syiah sebagai sebuah mazhab pemikiran dan agama. Syiah bermula dengan hala-tuju politik yang melingkungi sekitar hak Ali sebagai khalifah (Bernard Lewis, Islam and History: Ideas, Men and Events in The Middle East dan Wellhausen, Die religios-politischen opposition spartein im atten Islam).

Kemudian ia terbabas lalu menjadi satu parti politik pembangkang bagi penduduk Iraq ke atas kerajaan Syam. Seterusnya, ia berkembang lalu menjadi sebuah mazhab agama pula. Walaupun demikian, unsur politik di dalamnya kekal untuk menentukan seseorang itu Syiah ataupun bukan. Untuk menggambarkan keadaan ini, bolehlah kita melihat kepada kata-kata al-Mufid: Sesiapa yang mengaku dan percaya bahawa Saidina Alilah yang paling berhak menjadi Imam, dia berhak memikul nama Syiah sepertimana yang telah kami terangkan sekalipun dia mencampur-adukkan ke dalam kepercayaannya apa yang dinafikan oleh Syiah sendiri (al-Mufid, Awail al-Maqalat).

Demikianlah manusia menjadi Syiah hanya kerana kata-kata mereka tentang kelebihan Saidina Ali. Ibnu al-Murtadha pula menerangkan: Abu Hudzail dahulu merupakan seorang Syiah bagi Banu Hasyim. Dan Abu Hudzail telah memuliakan Ali daripada Othman. Syiah pada masa dahulu memuliakan Ali daripada Othman (Ibnu al-Murtadha, Kitab Tabaqat al-Muktazilah).

Mereka juga boleh menjadi Syiah walaupun mereka pada masa yang sama menjunjung aqidah lain yang pelik dan terkeluar dari landasan aqidah Syiah. Untuk lebih jelas, cuba perhatikan pula kata-kata al-Mufid: Hisyam bin al-Hakam adalah seorang Syiah walaupun dia menyalahi Syiah di dalam Nama-nama Allah dan makna-makna sifat Allah (al-Mufid, Awail al-Maqalat).

Demikianlah kalau kita lihat melekatnya pendapat-pendapat yang merupakan pendirian individu ke atas permukaan Syiah. Hisyam bin al-Hakam umpamanya dituduh dengan al-Tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk) lalu jadilah al-Tasybih sebahagian daripada aqidah Syiah pula. Al-Syahrustani berkata tentang mereka: Asal al-Tasybih ialah daripada Syiah (al-Syahrustani, al-Milal wa al-Nihal).

Al-Khiyat berkata: al-Rafidhah berkata bahawa Allah mempunyai bentuk, gambaran dan batasan, bergerak dan diam, merendah dan menjauh, menjadi ringan dan berat (al-Khiyat, al-Intisar).

Pada masa yang sama Syiah Ithna Asyariah dan al-Zaidiyyah mengikut al-Muktazilah dari segi sifat ketuhanan dan mengatakan Allah tidak mempunyai jisim dan bentuk. Ibnu Babawaeh al-Qummi berkata: Sesiapa yang berpendapat dengan al-Tasybih maka dia telah menjadi syirik. Sesiapa yang mengatakan sesuatu yang Imamiah tidak berkata demikian, dia telah menjadi pendusta (Ibnu Babawaeh al-Qummi, Aqaid al-Syiah al-Imamiah).

Syeikh al-Mufid pula berkata: Aku berkata bahawa Allah Azzawajalla itu esa dan azali. Allah tidak menyerupai sesuatu dan tidak layak pula sesuatu menyerupainya (al-Mufid, Awail al-Maqalat).

3. Kebanyakan penulis, pengkaji dan pengkritik Syiah juga gagal mantara istilah Syiah sendiri. Hal ini demikian kerana perkataan Syiah apabila diletakkan begitu sahaja tanpa ada penetapan ataupun sempadan bermaksud Syiah Imamiah Ithna Asyariah. Realiti ini sudah pun dikatakan oleh ramai penulis seperti Kasyif al-Ghita (Kasyif al-Ghita, Asl al-Syiah wa Usuluha), Asif Faidhi (Asif Faidhi, rencana yang bertajuk Shia’s Legal Theory di dalam majalah Law in The Middle East), Rudolf Strothmann (Encyclopaedia of Islam di dalam tajuk Syiah) dan lain-lain.

Maka muncullah pandangan yang agak keterlaluan ke atas Syiah serta gambaran yang bertentangan dengan realiti. Hal ini dapat kita perhatikan dengan jelas di dalam karya-karya Goldziher, Nebridge, Friedlander, Ahmad Amin dan penulis-penulis lain tentang Syiah.

Goldziher berkata: Syiah atau lebih tepat ialah satu kawasan yang menumbuhkan kuman-kuman pelemah fikiran yang merungkaikan teori ketuhanan di dalam Islam (Ignaz Goldziher, al-Aqidah wa al-Syariah).

Di dalam al-Muqaddimah buku al-Intisar, Nebridge berkata: Syiahlah yang menjadi punca bercampurnya unsur animisme di dalam Islam. Kebanyakan pendapatnya adalah bertepatan dengan pandangan animisme. Contohnya al-Tajsim adalah saduran daripada animisme. Kemudian adalah jelas mereka mencampurkan pendapat al-Rafidhah dan al-Zindiq (Nebridge, Muqaddimah buku al-Intisar).

Friedlander pula berkata: Keluarga Nabi yang meminta hak mereka di dalam khilafah kerana berpendapat merekalah pengasas Islam, merekalah sebenarnya alat untuk menghancurkan apa yang telah dibina pada sepanjang hayatnya (Friedlander, The Heterodoxies of The Shites).

Di dalam Fajar Islam, Ahmad Amin berkata: Sebenarnya Syiah adalah medan yang paling sesuai untuk sesiapa yang ingin menghancurkan Islam kerana permusuhan dan kedengkian. Dan juga sesuai bagi sesiapa yang ingin memasukkan pandangan datuk nenekmereka daripada Yahudi, Nasrani, Zoroaster dan Hindu. Begitu juga dengan orang-orang yang ingin membebaskan Tanah airnya. Mereka menjadikan cinta kepada Ahli Bait sebagai syiar yang diletakkan di belakang mereka dan hawa nafsu mereka (Ahmad amin, Fajr al-Islam).

Ada satu perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika mengkaji sejarah aqidah Islam secara amnya dan Syiah khususnya. Syiah seperti juga firqah-firqah lain yang berkembang di dalam Islam. Ada kalanya dipengaruhi oleh unsur Parsi, Kristian dan Yahudi. Tetapi pengaruh ini tidak pernah terhad kepada penerimaan semata-mata. Pengaruh ini ada kalanya terjadi di dalam perkara-perkara yang positif yang boleh dijadikan contoh seperti kata Otto Bertzal: Seandainya kita melihat kepada beberapa perkara, kita dapat membuat satu gambaran bahawa aqidah Islam bukan hanya sekadar masuk ke dalam unsur-unsur luaran ini, bahkan ia semakin menjauh secara beransur daripada pemikiran Kristian, Manichean dan Gnosisme serta setiap apa yang bersangkutan dengan pendapat-pendapat di dalam bidang falsafah (Otto Bertzal, rencana di dalam majalah berbahasa Jerman - Islam yang diterjemahkan oleh Abdul Hadi Abu Redah yang diletakkan di akhir buku Mazhab al-Zarrah ‘ind al-Muslimin).

Mazhab Syiah berkembang secara beransur-ansur lalu muncullah beberapa pemikiran yang bercanggah dengan roh Islam. Namun begitu, amat malang kerana para penulis dan pengkaji gagal memahami pula zaman penapisan yang dilalui oleh Syiah. Pendapat-pendapat ini kekal di dalam buku-buku tentang Syiah terutamanya pendapat-pendapat yang melampau seperti ketuhanan Imam, penjelmaan dan penjelmaan semula yang berlegar di sekitar pendapat puak pelampau lalu diletakkan di bawah istilah Syiah.

No comments:

Post a Comment