Tuesday, January 18, 2011

Kerja Rumah

Pada entri yang lepas, saya menuliskan tentang penggunaan buku teks. Di dalam entri kali ini, saya akan menulis pula kerja rumah. Kerja rumah di Malaysia disebut kerja rumah. Tetapi di negara-negara Arab, kerja rumah disebut kewajipan murid di rumah, aktiviti di rumah dan nama-nama lain yang mengatakan suruhan dan arahan itu adalah wajib. Samalah seperti solat juga adanya. Sekiranya solat tidak dilakukan akan dimaukkan ke dalam neraka yang apinya marak membara. Justeru, murid-murid yang tidak melakukan kerja rumah akan diazab demikian juga. Antara azabnya ialah perutnya dipulas, bukunya dibaling ke muka murid, tangannya dipukul dengan pembaris. Terdapat juga azab yang menjatuhkan maruahnya yang tidak melibatkan kesakitan fizikal tetapi kesakitan hati dan mental seperti berdiri di atas kerusi, berdiri di atas meja atau berdiri di luar kelas.

Apakah sebenarnya kerja rumah? Kerja rumah adalah kerja yang diberikan oleh guru kepada murid untuk dilakukan di rumah dan disempurnakan di sekolah. Atau kerja yang dilakukan oleh murid di rumah sebagai persediaan kepada pembelajaran akan datang. Kerja rumah mestilah bermatlamat dan disemak bersama-sama murid dari masa ke masa.

Sekarang mari kita lihat pula realiti kerja rumah yang sedang berlaku di sekolah. Terdapat guru yang langsung tidak pernah memberikan kerja rumah kepada murid. Murid diwajibkan membeli 20 tau 30 buku latihan tetapi dari awal tahun hingga hujung tahun, hanya satu latihan yang diberikan. Terdapat pula guru yang memberikan kerja rumah bertimbun-timbun tetapi tidak pernah menyemaknya bersama-sama murid. Semakan pula hanyalah setakat tanda write besar ataupun perkataan DISEMAK. Murid hanya tahu mereka melakukan kesilapan tetapi tidak tahu bagaimana hendak membetulkan kesalahan tersebut.

Terdapat guru yang meminta menulis semula petikan di dalam buku teks, melukis peta yang terdapat di dalam buku teks, menyelesaikan latihan matematik yang terdapat di dalam buku teks, mengisi tempat kosong latihan tatabahasa yang terdapat di dalam buku teks. Kebanyakan latihan yang diberi tidak bermatlamat nahkan terdapat guru yang memberikan kerja rumah sebagai denda terhadap murid yang bising di dalam kelas. Atau kerja rumah diberikan hanyalah supaya mereka tidak bersenang-lenang di rumah.

Pemeriksaan buku latihan pula adalah berbentuk tradisional di mana guru akan bertanya siapa yang buat kerja rumah dan siapa yang tidak buat. Siapa yang buat boleh duduk dan siapa yang tidak buat sila berdiri. Sesiapa yang tidak buat dirotan atau didenda atau diisi merit kesalahan di dalam komputer sistem disiplin dan ditolak markah meritnya. Guru-guru menganggap kerja rumah adalah satu mekanisme untuk mendenda murid-murid dan bukan sebagai salah satu sumber pembelajaran yang menyeronokkan. Kemudian guru akan mengutip kerja rumah lalau dibawa ke bilik guru dan disemak bersendirian dengan menanda tempat-tempat salah. Dan murid-murid tidak tahu apa yang hendak mereka betulkan. Lazimnya kerja rumah diberikan selepas berlakunya syarahan guru tetapi kerja rumah tidak pernah diberikan sebagai induksi kepada pembelajaran akan datang.

Justeru, apakah yang perlu dilakukan? Apakah perubahan atau reformasi terhadap kerja rumah ini?

1. Kerja rumah seharusnya dianggap sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran.
2. Kerja rumah seharusnya diberikan berdasarkan kepada perbezaan individu murid. Bermakna murid yang berlainan aras diberikan latihan yang berbeza juga.
3. Kerja rumah seharusnya diberikan sebelum berlakunya proses pembelajaran supaya murid dapat melakukan explorasi dan belajar cara belajar.
4. Kerja rumah seharusnya terancang dan dicatat di dalam rancangan pengajaran.
5. Ganjaran seperti pujian, hadiah seharusnya diberikan kepada yang berjaya membuat kerja rumah. Kepada yang tidak berjaya, guru haruslah membimbing mereka menyiapkan kerja rumah kerana mereka tidak dapat memahami konsep atau kemahiran berkenaan.
6. Tidak disyaratkan kerja rumah yang sama diberikan pada setiap murid, bahkan kerja rumah haruslah dipelbagaikan berdasarkan aras, atau sebahagian kerja rumah diberikan kepada murid yang berlainan dan mereka membentangkan hasilnya di depan kelas pada sessi pembelajaran berikutnya.

Terdapat berbagai-bagai aktiviti pembelajaran menyeronokkan melalui kerja rumah. Di sini saya senaraikan aktiviti-aktiviti tersebut sebagai panduan:

1. Mencari soalan kepada petikan yang dibaca.
2. Mencipta soalan kepada peta yang terdapat di dalam buku teks.
3. Mencari soalan kepada gambar yang terdapat di dalam buku teks. Misalnya siapa? bila? di mana? dan meminta mereka berbincang pada sessi pembelajaran akan datang.
4. Menyatakan aktiviti-aktiviti ekonomi yang sama yang terdapat di tempat lain selain daripada tempat yang disebutkan di dalam buku teks.
5. Menyebutkan suasana lain di mana dialog yang sama diucapkan.
6. Menukarkan petikan kepada jadual.
7. Mengubah soalan matematik dengan menukarkan nombor atau menggunakan nombor yang sama dengan proses yang berlainan seperti darab kepada bahagi, campur kepada tolak dan membincangkan kesannya.
8. Menyusun kronologi kepada peristiwa-peristiwa sejarah.
9. Membuat laporan kepada aktiviti-aktiviti yang berlaku di sekolah sepanjang minggu di dalam bahasa Melayu, Arab dan Inggeris.
10. Membaca petikan dan menjawab soalan yang boleh dijawab dan menulis semual soalan yang tidak boleh dijawab.
11. Menyenaraikan nama orang, nama tempat, nombor yang terdapat di dalam buku teks.
12. Menyenaraikan jenis-jenis latihan yang terdapat di dalam buku teks.
13. Menyenaraikan jenis-jenis peta yang terdapat di dalam buku teks dan membading-bezakannya.
14. Menonton tv dan menyenaraikan berita dalam dan luar negara. Kemudian berbincang di dalam kelas bagaimana menyelesaikannya.
15. Melakukan lawatan ke tempat-tempat berkenaan di kampung dan mengambil gambar dan berbincang tempat tempat-tempat itu di dalam kelas.
16. Melakukan wawancara dengan jiran dan berbincang di dalam kelas dengan menulis karangan tentang jiran.
17. Melukis plan dari rumah ke tempat-tempat tertentu, atau dari rumah ke sekolah lalu meminta murid menceritakan bagaimana mereka boleh menjemput rakan-rakan ke rumah.
18. Menziarahi kedai, klinik, kedai makan, bengkel kereta dan meminta mereka menyalin perbualan yang mereka dengan lalu melakonkan semula di dalam kelas.
19. Menyertai aktiviti kematian, kenduri, majlis berkhatan dan menceritakan semula secara lisan dan tulisan.
20. Menyenaraikan peribahasa di daerah masing-masing dan membandingkan dengan peribahasa yang terdapat di dalam buku.
21. Menyenaraikan bahasa SMS dan menentukan perkataan asalnya atau membuat latihan menukar semula bahasa SMS kepada bahasa Melayu yang betul seterusnya menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab atau Inggeris.
22. Mengumpulkan tingkah-laku negatif dan positif di taman perumahan tempat kediaman, kampung halaman, di bandar dan berbincang di dalam kelas.
23. Meminta murid menceritakan kisah rakyat yang terdapat di kampung mereka.

Sekarang ulangi semula membaca petikan ini. Aktiviti manakah yang pernah anda lakukan dan aktiviti mana yang tidak pernah anda lakukan? Sila tuliskan komen anda di bawah petikan ini atau di kotak sembang di sebelah.

Daripada 23 aktiviti yang dicadangkan, sila tanya rakan-rakan guru di sekolah anda. Berapa aktiviti yang "ya" dan berapa pula yang "tidak".

Senaraikan juga aktiviti-aktiviti yang anda rasa mustahil dilakukan, sukar dilakukan, boleh dilakukan.

Anda boleh memikirkan aktiviti yang releva dangan aktiviti yang tidak relevan. Mari kita berbincang di sini.

Anda juga boleh mencuba aktiviti yang saya cadangkan ini dan lihatlah perubahan tingkah laku murid selepas beberapa bulan perubahan dilakukan.

Semoga apa yang saya senaraikan di sini dapat mengubah persepsi kerja rumah adalah sesuatu yang membebankan murid, bahkan kerja rumah adalah aktiviti yang menyeronokkan yang boleh mengeratkan kasih sayang guru-murid, dan kasih sayang murid kepada masyarakat, negara dan alam sekeliling.


Sunday, January 16, 2011

Penggunaan Buku Teks

Pengajaran bahasa berbeza dengan pengajaran subjek lain yang lebih menjurus kepada pengajaran fakta dan konsep. Pengajaran bahasa lebih kepada kemahiran. Namun, guru mengambil jalan mudah ketika mengajar bahasa dengan menggunakan pendekatan syarahan di dalam kelas walaupun pendekatan syarahan tidak termasuk di dalam kaedah pengajaran bahasa. Syarahan yang diberikan pula dalam bahasa Melayu yang menyebabkan murid tidak mempunyai kemahiran mendengar dan bertutur di dalam bahasa Arab. Teknik syarahan memang senang dijalankan oleh guru di dalam kelas. Teknik ini tidak memerlukan persediaan yang rapi. Cukup sekadar memasuki kelas dan membuka buku teks lalu memberi syarahan. Guru membaca petikan dan menterjemahkan kepada murid lalu murid diminta menjawab soalan kefaham yang terdapat di hujung petikan. Guru kemudian memberikan kerja rumah kepada murid yang merupakan latihan mengisi tempat kosong atau menyalin latihan yang terdapat di dalam buku teks. Latihan-latihan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai aktiviti penulisan kerana tidak bermatlamat, tidak memberi motivasi kepada murid dan tidak mencabar pemikiran mereka. Bahkan aktiviti penulisan itu digunakan oleh guru sebagai hukuman atau dendaan atau peluang untuk guru melakukan kerja-kerja lain ketika murid melakukan latihan di dalam kelas.

Terdapat juga keadaan di mana guru membuat nota ringkas daripada buku teks kemudian memberikan nota ringkas itu kepada murid sama ada dengan lisan atau tulisan di papan hitam. Justeru, buku teks tidak lagi dianggap sebagai sumber utama bahan pengajaran dan pembelajaran. Nota ringkas itu dibuat oleh guru dan bukan murid. Buku teks tidak digunakan secara maksima tetapi sebaliknya hanya digunakan untuk menyalin beberapa latihan yang terdapat di dalam buku teks seperti menyalin kaedah nahu atau makna kata-kata hikmat sahaja.

Buku teks sepatutnya digunakan sebagai sumber sebelum, ketika dan selepas pengajaran dan pembelajaran. Murid seharusnya digalakkan menggunakan buku teks untuk membuat kesimpulan, kritikan dan menjana idea-idea baru. Penggunaannya mestilah bermatlamat, berfokus dan dirancang dengan rapi. Buku teks harus diperkayakan dan bukan diringkaskan. Buku teks harus digunakan seiiring dengan penggunaan kerja rumah, perpustakaan, peristiwa semasa, statistik, melukis dan mentafsir data, jadual dan gambar.

Buku teks ialah sumber pembelajaran penting kepada guru dan juga murid. Kebanyakan guru tidak merancang untuk menggunakan buku teks tetapi memadai hanya dengan menggunakan buku teks sebagai tajuk syarahan di dalam kelas. Sesetengah guru merasakan satu keaiban pula sekiranya merujuk buku teks ketika proses pengajaran berlaku. Ada juga guru yang menganggap bahawa buku teks adalah kandungan maksimum sesuatu kurikulum sedangkan kurikulum sebenarnya lebih luas. Justeru, terdapat guru yang membuat ringkasan daripada buku teks. Guru lebih menumpukan kepada aspek perkataan yang tercetak di dalam buku teks. Jarang benar guru yang menggunakan soalan, gambar atau jadual yang terdapat di dalam buku teks sebagai sumber pengaharan dan pembelajaran baru. Guru juga tidak berani menyusun semula kandungan buku teks mengikut kesesuaian berdasarkan suasana, peristiwa dan tahap murid.

Buku teks mestilah dianggap sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran, sumber akses kendiri, terbuka untuk diperkayakan dan dikritik malah terbuka untuk pembaharuan maklumat. Penggunaan buku teks mestilah dirancang dan sekiranya perlu disusun semula berdasarkan logika dan suasana semasa.

Di antara contoh penggunaan buku teks ialah digunakan sebagai sumber kerja rumah, sumber kegiatan kokurikulum, sumber penulisan, sumber kajian tempatan dan sumber peristiwa semasa.

Petikan yang terdapat di dalam buku teks boleh dibaca bersama-sama dengan murid bukan mengarahkan murid untuk membaca. Guru boleh memberikan soalan yang terlintas di fikirannya dan berbincang jawapannya dengan murid. Guru juga boleh meminta murid memberi soalan dan berbincang jawapannya dengan rakan-rakan di dalam kelas. Petikan juga boleh digunakan untuk mengeluarkan kata nama, kata kerja, kata dasar bagi sesuatu perkataan dan kemudiannya menggunakan kata-kata itu untuk mengungkap frasa dan ayat lain dalam bentuk lisan dan tulisan.

Guru juga boleh berbincang dengan murid untuk menentukan tajuk baru bagi petikan dan juga meringkaskan petikan tersebut di dalam beberapa ayat. Selain daripada itu, petikan juga boleh digunakan untuk menggabung-jalin dengan pengajaran nilai seperti menyenaraikan nilai yang baik dan buruk yang terdapat di dalam petikan. Untuk membina pemikiran kritis dan kreatif, guru juga boleh meminta murid menyebut fakta atau konsep yang dianggap tidak betul bagi pendapat murid.

Petikan-petikan yang dibaca boleh diolah semula seperti meminta murid menuliskan semual petikan tersebut di dalam sepuluh ayat. Guru juga boleh meminta murid mengemukakan soalan bagi setiap frasa atau ayat. Di dalam petikan yang terdapat buku teks, guru boleh menggunakan semua petikan yang terdapat di dalam buku teks di dalam satu fasa, bukan membahagikan 10 petikan itu di dalam masa yang berlainan.

Berikut, saya senaraikan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan:

1, Membaca petikan atau beberapa petikan dan menjawab soalan yang dikemukan oleh guru sendiri. Soalan yang dikemukakan oleh guru tidak semestinya soalan yang terdapat di dalam buku teks.

2. Mambaca petikan atau beberapa petikan dan memnita murid menyoal berkaitan dengan petikan.

3. Menentukan unsur-unsur tatabahasa di dalam petikan yang dibaca.

4. Menulis semula petikan di dalam 2 atau 3 ayat.

5. Menulis isi penting daripada petikan.

6. Menentukan peristiwa yang telah dan akan berlaku atau peristiwa yang pernah dialami sendiri oleh murid.

7. Memberikan tajuk baru kepada petikan. Murid boleh mencadangkan tajuk-tajuk yang difikirkan sesuai. Strategi ini adalah untuk melatih murid berfikir supaya dapat menulis karangan tentang tajuk-tajuk berkenaan di dalam peperiksaan nanti.

8. Menentukan petikan-petikan yang mempunyai kesamaan unsur tatabahasa, kesamaan peristiwa, kesamaan masa, kesamaan tempat dan lain-lain.

9. Menentukan cakap ajuk dan cakap pindah daripada petikan.

10. Menentukan nilai positif dan nilai negati daripada petikan.

11. Menghubungkan budaya di dalam petikan dengan budaya kaum-kaum yang tredapat di Malaysia atau di dunia.

12. Menentukan perkataan-perkataan yang memerlukan penerangan atau perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna.

13. Menukarkan petikan atau maklumat dalam bentuk carta seterusnya membina ayat baru daripada carta.

14. Melakonkan dialog, peristiwa, cerita yang terdapat di dalam petikan.


Bagi soalan-soalan yang terdapat di dalam buku teks pula, guru bolehlah melakukan aktiviti-aktiviti berikut:

1. Menyusun semula soalan berdasarkan aras kesukaran bagi keseluruhan buku teks.

2. Menyusun semula soalan berdasarkan kesamaan bentuk. Misalnya mengumpulkan soalan suaikan, isikan tempat kosong, teka silangkata, memilih jawapan yang betul, soalan betul salah dan soalan-soalan lain.

3. Menjawab soalan secara lisan sebelum tulisan.

4. Menyoal dalam bentuk lain.

5. Memudahkan soalan atau menukarkan bentuk soalan kepada yang lebih mudah.

6. Mengklasifikasikan soalan yang memerlukan fakta, konsep, pemikiran dan tekaan.

7. Menentukan soalan yang senang dan sukar.

8. Menetukan soalan yang tidak perlu dan boleh diabaikan.

9. Menambah soalan yang lebih penting yang patut dimasukkan.

Bahan petikan di dalam buku teks juga boleh digunakan sebagai sumber aktiviti seperti forum, penceritaan semula, lakonan. Murid yang berjaya melakukan aktiviti-aktiviti ini diberikan ganjaran, hadiah yang sewajarnya.

Saturday, January 15, 2011

Dari Mana Hendak Bermula?

Bukan senang untuk membuatkan orang yakin dan menerima pendapat kita. Ada ketika berlaku ketegangan.

Keputusan 6 Tahun Bahasa Arab PMR di SAM Bandar Baru Salak Tinggi


15 Januari 2011: Mendapat jemputan daripada SAM Hisamuddin Sg Bertih (Bertik? Aku konfius betul) untuk berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pandangan tentang bagaimana cara meningkatkan prestasi pendidikan di sekolah mereka.

Aku cubalah berkongsi beberapa langkah yang pernah dibuat di BBST. Pertama sekali adalah mewujudkan kumpulan kerja yang bersatu. Kita pun tahulah di sekolah. Terdapat berbagai-bagai golongan dengan mazhab dan pegangannya. tetapi janganlah pegangan individu menjadi tembok penghalang kepada kemajuan organisasi. Sekolah tempat kita bekerja bukanlah dibina oleh ibu dan bapa kita. Sekolah hanyalah tempat kita datang dan pergi mencari rezeki yang halal. Justeru, menegakkan batang sendiri dengan tidak menghiraukan pendapat orang lain adalah faktor penghalang utama kepada kejayaan sekolah.

Kedua: Sekolah adalah organisasi yang besar. Seorang individu tidak mampu mencipta kejayaan sendirian. Kejayaan sesebuah sekolah bukanlah adalah hasil usaha individu tertentu. Seagung-agung Nabi Muhammad pun, baginda tidak mampu untuk berhijrah sendirian. Baginda juga perlukan bantuan Ali untuk mengelirukan musuh, bantuan Abu Bakar untuk menemani di sepanjang perjalanan bahkan bantuan kaum musuh untuk menunjukkan jalan ke Madinah. Allah juga utuskan burung merpati, labah-labah dan segala binatang lain yang menunjukkan kepada kita bahawa kita adalah saling memerlukan.

Perbincangan pertama adalah mengenai sukatan, sama seperti yang pernah dibuat di SAMBBST. Seperti di mana-mana pun, kebanyakan guru tidak merujuk pun sukatan dan huraian sukatan mahupun ketika menyediakan rancangan ataupun membuat persediaan untuk aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Bahkah terdapat jurulatih utama pun pernah mengatakan kepada saya (maaf ... sudah lama menggunakan aku, terpaksa ubah menggunakan saya. "Aku" itu nampak angkuh benar dalam catcatan ini) bahawa mukaddimah SP dan HSP itu bukanlah penting sangat pun. Yang penting adalah kandungannya. Selepas saya memujuknya dan menerangkan kepadanya maksud sukatan dan huraian sukatan, barulah dia menyedari akan kepentingan Mukaddimah SP dan HSP dahulu. Di SAM Hisamuddin ini samalah seperti yang pernah berlaku di BBST, kepada guru-guru di daerah Sepang bahkan di dalam satu ceramah kepada guru-guru Bahasa Arab di seluruh Negeri Selangor di Kem Ampang Pecah pada tahun 2007 dahulu pun, inilah juga yang berlaku. Mereka tidak mempunyai sukatan dan huaraian sukatan pun. Yang menjadi panduan mengajar mereka adalah buku teks semata-mata.

Mempunyai buku teks semata-mata adalah umpama mempunyai kitab Taurat sahaja. Taurat tidak menyentuh keseluruhan aspek kehidupan kaum Yahudi. Mereka perlu ada Talmud. Begitu juga dengan al-Quran. Membaca al-Quran tanpa ada ulum Quran, tafsir, ulum hadis, hadis, usul fikh dan fikh tidak akan menjadikan seseorang itu faham akan isi kandungan al-Quran. Buku teks adalah sumber pengajaran, adalah bahan mentah, bukannya objektif dan hasil pembelajaran. Oleh itu, perkara yang utama untuk mencapai kecemerlangan pendidikan ini adalah dengan memahami tuntutan sukatan dan huraian sukatan pelajaran.

Di dalam sukatan terdapat konsep, fakta, kaedah pengajaran, strategi pembelajaran, nilai dan pengukuran. Sekiranya guru-guru tidak memahami apa kehendak dan roh sp dan hsp, keputusan yang diterima adalah seperti yang sudah-sudah sahajalah. Murid yang cemerlang akan cemerlang. Murid yang lemah tetap lemah begitulah. Apa yang diajar di dalam buku teks itu tidak membina pelajar secara holistik. Mereka hanya memahami buku teks tetapi tidak mampu menjadi murid yang boleh berfikir dan menyelesaikan masalah.

Seterusnya adalah kefahaman guru terhadap buku teks. Sama juga seperti di atas, guru-guru menganggap buku teks adalah sesuatu yang sudah sempurna. Buku teks dibuka satu muka surat diikuti oleh satu muka surat yang lain. Mereka tidak pernah cuba menyusun semula organisasi buku teks tersebut berdasarkan bidang, berdasarkan kebolehan murid, berdasarkan peristiwa yang berlaku di luar sekolah, peristiwa tempatan, disusun semula dari mudah kepada susah, daripada kongkrit kepada abstrak, menyusun semula latihan berdasarkan kesamaan bentuk latihan, menyusun semula gambar dan lain-lain aktiviti pembelajaran yang meyeronokkan. Hasilnya seperti kata Cikgu Shaharuddin, pelajar hanya bergantung kepada buku rujukan. Bukan kerana buku teks tidak menarik, tetapi kerana guru tidak pernah menghidangkan hidangan buku teks yang menarik kepada murid. Buku teks ibarat ayam mentah. Yang perlu disiat bulunya, dibuang urat perutnya, dikoyak pahanya, dipotong, dibasuh dan dimasak dengan resepi yang sedap-sedap. Apa yang berlaku adalah guru-guru menghidangkan ayam mentah kepada murid. Siapalah yang mahu makan ayam mentah?

Keempat adalah kerja rumah. Ketika ini berlaku sedikit ketegangan apabila saya memberitahu bahawa kerja rumah boleh diberikan berdasarkan aras murid. Setiap murid tidak disyaratkan untuk membuat membuat kerja rumah yang sama. Menurut Tawfiq Mar'ie (Pendekatan Pengajaran Am, 1995) kerja rumah diberikan sebelum berlakunya proses pembelajaran. Kerja rumah boleh diberikan kepada murid berdasarkan aras murid tersebut. Kerja rumah boleh diberi sebagai aktiviti berkumpulan. Murid yang membuat kerja rumah diberikan ganjaran, manakala yang tidak membuat kerja rumah tidak boleh didenda atau dimaki hamun dibaling bukunya. Kerja rumah bukan setakat menyalin teks di dalam buku atau memaksa murid melukis peta kerana melukis peta bukanlah satu kemahiran yang terdapat di dalam sukatan pun.

Pada kesempatan itu, saya juga bercakap mengenai kaedah-kaedah pengajaran termasuklah kaedah penyelesaian masalah, inkuiri, ekplorasi, pembelajaran yang diprogramkan dan kaedah-kaedah lain.

Penutupnya turut disentuh sedikit tentang unsur kompetensi guru yang merangkumi ilmu, kemahiran dan emosi. Pengajaran yang berkesan dipengaruhi oleh emosi guru juga. Saya telah menyebutkan bagaimana mengawal emosi dengan cara mengenali emosi, pengawalan emosi serta melakukakan pengarahan agar rakan-rakan tidak berkecil hati atau tidak mahu melaksanakan arahan kita. Kecualilah yang jenis tidak mahu mengikut arahan dan peraturan kerana semua orang tidak betul. Peraturan juga tidak betul dan menyusahkan walaupun sering berceramah dan berforum mengenai undang-undang Islam di masjid.

Itulah yang mampu saya lakukan pun. Saya bercakap dari lubuk hati sanubari, dari jiwa yang beraga dengan tulus dan iklhas. Maaflah andai bahasa dan ungkapan yang saya gunakan agak keras dan mengeraskan. Terima kasih Ustazah Suharni.

Kepada rakan-rakan yang mahu berkongsi pengalaman, saya menyerahkan jiwa raga saya kepada anda semua sekiranya ada waktu-waktu yang terluang.

Thursday, January 13, 2011

Hidup Biar Berjasa Mati Menjadi Mulia

Terjemahan syair Mutanabbi 'ish 'azi:zan aw mutt wa anta kari:mun

Berapa ramai manusia
yang menemui syahid
namun mereka mati kerana azab cinta
dan aku mati mempertahankan nilai mulia
hari muda mereka dihabiskan dengan berpoya-poya
di kampung halaman
pernahkah kamu melihat
purnama menyinar di permulaan bulan
zaman muda
hanya dihabiskan dengan melontar panah
mengenyit mata
menikam hati sebelum kulit dilukai
menggaya rambut
menghembus asap
menyiram wangian ke seluruh badan
lalu tersenyum menampakkan gigi
putih bersih tersusun rapi

Begitulah aku dahulu pun
dengan aksi gila zaman remaja
kini rambutku sudah menjerit keputihan
namun darah cintamu yang pernah mengalir di urat sarafku
masih berdenyut lemah
aku pernah tinggal di kebun kurma ini
yang begitu asing
bagaikan Nabi Isa yang terasing di kalangan Yahudi

Kini
tilamku adalah pelana kuda
baju adalah perisai besi
seperti yang pernah ditempa oleh Nabi Daud

Dadaku semakin sempit
terus berusaha mencari rezeki
keluar sehingga tidak pernah duduk di rumah
meletakkan punggung di atas tanah
aku merentas negeri
sehingga menggapai bintang di angkasa
namun masih belum puas mengecap bahagia
moga aku sampai jua
menggenggam cita-cita
dengan bantuan Maha Pencipta

Aku akan terus berusaha
untuk tiba ke destinasi
walau bajuku kusam berdebu berpasir
moga hidup aku bahagia
kalau tidak pun dikenang sebagai insan mulia
selepas kematianku nanti
aku akan dikenang sebagai insan yang telah berusaha
kerana panah yang pergi meninggalkan busurnya
lebih mulia daripada panah yangtersimpan di dalam sarung
lalu menusuk dada
orang yang iri hati dan suka berdusta.

Usahlah kau terusan hidup
tanpa berbakti
tanpa jasa dan tanpa budi
pergimu nanti tidak akan ditangisi

Carilah kemegahan
walau di atas bara api neraka
walau di dalam syurga pawana
usahlah menjadi pengecut
yang tidak pernah berusaha di dalam hidupnya
aku tidak mahu dikenang kerana keturunanku
tetapi kerana jasa dan pengorbanan
biarlah Arab yang lain berbangga dengan bahasanya
dengan hak istimewanya
kebanggaan terhadap bangsa tidak memberi sebarang erti
tanpa pengorbanan serta jasa dan bakti yang dicurahkan

Aku akan menjadi seorang yang pemurah
menabur cinta
bagai embun yang turun di malam hari
dan aku juga akan menjadi racun
kepada sesiapa yang menghalangku
kepada sesiapa yang mendakap kemarahan dan kedengkian
biarpun aku menjadi asing di kalangan kaumku
seperti nabi Salleh di tengah-tengah Kaum Tsamud.

Sunday, January 9, 2011

Hijrah Lagi





















Kad Perakam Waktu Terakhir di SAM Bandar Baru Salak Tinggi.

Aku berhijrah lagi
dengan perasaan bercampur-campur
sedih
pilu
suka
marah
geram
dendam
kesal
untuk menuju destinasi
hutan belantara
yang entah apa isinya
entah apa margastuanya
ranjau dan durinya.

Moga
ada tangan menghulur bantuan
ada rotan tempat berpaut
ada akar tempat bertaut
ada titisan-titisan air
buat membasah tekak ketika kehausan
meredah denai yang kelam berbalam di depan.

Di sini
datang tidak beralu
pergi tidak dihalang
menumpang sementara
mencari kelebihan
yang ditaburkan Maha Esa
buat hambaNya.

Yang melompat suka, bersukalah ...
yang menangis hiba
aku rasa tiada
dunia ini terus berjalan
kerana dunia ini dicipta
bukan kerana Adam sahaja
perlu ada Hawa
perlu ada Idris
ada Nuh yang menangis mengenang nasib umatnya
perlu ada insan-insan durhaka
supaya terjelmalah kekuasaan Maha Pencipta.

Selamat tinggal ...

Saturday, January 8, 2011

Sejauh Mana Langkah Ini

Masyarakat memerlukan guru supaya dapat meningkatkan taraf hidup dan mencapai kemajuan supaya menjadi masyarakat yang makmur dan bertamaddun. Kemajuan dan kemakmuran negara bergantung kepada kualiti guru yang menjadi tempat masyarakat menyerah tanggungjawab mendidik anak-anak mereka. Guru tidak mampu memikul beban ini sekiranya mereka tidak mempunyai ilmu, kemahiran dan pengawalan emosi yang sempurna. Menyediakan guru yang berkompetensi adalah bermaksud meninggikan kualiti pengajaran. Manakala meninggikan kualiti pengajaran adalah bermaksud meningkatkan pencapaian sekolah. Peningkatan prestasi sekolah akan menguatkan generasi masa hadapan yang akan menentukan maju mundurnya sesebuah negara.

Sarjana pendidikan mengatakan bahawa kebanyakan masalah pendidikan adalah berpunca daripada kekurangan guru yang mahir. Guru yang mahir adalah roh kepada sukatan pelajaran. Merekalah yang berhubung langsung dengan murid. Akhlak, akidah, kemahiran dan kemampuan mereka menentukan kejayaan proses pendidikan.

Terdapat berbagai-bagai aspek yang menetukan kejayaan seseorang guru di dalam profesionnya. Menyediakan guru yang berkompetensi adalah aspek terbesar di dalam menentukan kejayaan ini. Selain daripada itu, penyediaan infrastruktur sekolah yang mencukupi juga menjadi faktor yang menetukan kejayaan pendidikan di negara ini. Guru yang berkemahiran dan kreatif sedikit-sebanyak dapat menampung kekurangan infrastruktur dengan menyediakan sumber alternatif dan gantian untuk menjayakan proses pengajaran.

Sekolah juga haruslah memainkan peranan untuk menyediakan murid yang mampu berfikir untuk membangunkan masyarakat dan negara. Masyarakat juga memerlukan guru yang mempunyai rasa tanggungjawab yang dapat membina negara menjadi negara yang maju, guru yang menyayangi murid dan disayangi oleh mereka. Guru juga haruslah dapat menyelami dan memahami kehendak emosi dan pemikiran mereka supaya mampu untuk membina suasana mesra dan harmoni di dalam dan di luar bilik darjah.

Saya cuba menyenaraikan sifat-sifat yang perlu ada pada seseorang guru.

1. Mengetahui keperluan murid dan falsafah masyarakat.
Tugas guru bukanlah mengajar sukatan pelajaran di dalam kelas semata-mata. Sebelum guru memasuki bilik darjah, guru sepatutnya sedar dan mengerti keperluan dan falsafah masyarakat. Kemudian, sebelum guru dapat memulakan sessi pengajarannya, seharusnya dia mengenali murid-muridnya, sedar akan kepelbagaian sosiao-ekonomi, hubungan kekeluargaan dan kecenderungan murid-muridnya. Untuk memcapai hasrat ini, seseorang guru haruslah memahami sejarah negara ini, bagaimana negara ini dibina serta visi dan misi negara menuju negara yang bersih, aman dan makmur. Guru seharusnya juga memahami perkembangan kanak-kanak dari segi fisiologi dan emosi serta kaitan di antara kedua-duanya. Falsafah negara adalah berdasarkan kepada nasionalisme demokrat. Justeru, guru haruslah menanam di pemikiran murid roh nasionalisme dan juga prinsip demokrasi. Misalnya, dari segi pemilihan ketua kelas serta ahli-ahli jawatankuasa seharusnya dipilih berdasarkan suara ramai.