Saturday, January 15, 2011

Dari Mana Hendak Bermula?

Bukan senang untuk membuatkan orang yakin dan menerima pendapat kita. Ada ketika berlaku ketegangan.

Keputusan 6 Tahun Bahasa Arab PMR di SAM Bandar Baru Salak Tinggi


15 Januari 2011: Mendapat jemputan daripada SAM Hisamuddin Sg Bertih (Bertik? Aku konfius betul) untuk berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pandangan tentang bagaimana cara meningkatkan prestasi pendidikan di sekolah mereka.

Aku cubalah berkongsi beberapa langkah yang pernah dibuat di BBST. Pertama sekali adalah mewujudkan kumpulan kerja yang bersatu. Kita pun tahulah di sekolah. Terdapat berbagai-bagai golongan dengan mazhab dan pegangannya. tetapi janganlah pegangan individu menjadi tembok penghalang kepada kemajuan organisasi. Sekolah tempat kita bekerja bukanlah dibina oleh ibu dan bapa kita. Sekolah hanyalah tempat kita datang dan pergi mencari rezeki yang halal. Justeru, menegakkan batang sendiri dengan tidak menghiraukan pendapat orang lain adalah faktor penghalang utama kepada kejayaan sekolah.

Kedua: Sekolah adalah organisasi yang besar. Seorang individu tidak mampu mencipta kejayaan sendirian. Kejayaan sesebuah sekolah bukanlah adalah hasil usaha individu tertentu. Seagung-agung Nabi Muhammad pun, baginda tidak mampu untuk berhijrah sendirian. Baginda juga perlukan bantuan Ali untuk mengelirukan musuh, bantuan Abu Bakar untuk menemani di sepanjang perjalanan bahkan bantuan kaum musuh untuk menunjukkan jalan ke Madinah. Allah juga utuskan burung merpati, labah-labah dan segala binatang lain yang menunjukkan kepada kita bahawa kita adalah saling memerlukan.

Perbincangan pertama adalah mengenai sukatan, sama seperti yang pernah dibuat di SAMBBST. Seperti di mana-mana pun, kebanyakan guru tidak merujuk pun sukatan dan huraian sukatan mahupun ketika menyediakan rancangan ataupun membuat persediaan untuk aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Bahkah terdapat jurulatih utama pun pernah mengatakan kepada saya (maaf ... sudah lama menggunakan aku, terpaksa ubah menggunakan saya. "Aku" itu nampak angkuh benar dalam catcatan ini) bahawa mukaddimah SP dan HSP itu bukanlah penting sangat pun. Yang penting adalah kandungannya. Selepas saya memujuknya dan menerangkan kepadanya maksud sukatan dan huraian sukatan, barulah dia menyedari akan kepentingan Mukaddimah SP dan HSP dahulu. Di SAM Hisamuddin ini samalah seperti yang pernah berlaku di BBST, kepada guru-guru di daerah Sepang bahkan di dalam satu ceramah kepada guru-guru Bahasa Arab di seluruh Negeri Selangor di Kem Ampang Pecah pada tahun 2007 dahulu pun, inilah juga yang berlaku. Mereka tidak mempunyai sukatan dan huaraian sukatan pun. Yang menjadi panduan mengajar mereka adalah buku teks semata-mata.

Mempunyai buku teks semata-mata adalah umpama mempunyai kitab Taurat sahaja. Taurat tidak menyentuh keseluruhan aspek kehidupan kaum Yahudi. Mereka perlu ada Talmud. Begitu juga dengan al-Quran. Membaca al-Quran tanpa ada ulum Quran, tafsir, ulum hadis, hadis, usul fikh dan fikh tidak akan menjadikan seseorang itu faham akan isi kandungan al-Quran. Buku teks adalah sumber pengajaran, adalah bahan mentah, bukannya objektif dan hasil pembelajaran. Oleh itu, perkara yang utama untuk mencapai kecemerlangan pendidikan ini adalah dengan memahami tuntutan sukatan dan huraian sukatan pelajaran.

Di dalam sukatan terdapat konsep, fakta, kaedah pengajaran, strategi pembelajaran, nilai dan pengukuran. Sekiranya guru-guru tidak memahami apa kehendak dan roh sp dan hsp, keputusan yang diterima adalah seperti yang sudah-sudah sahajalah. Murid yang cemerlang akan cemerlang. Murid yang lemah tetap lemah begitulah. Apa yang diajar di dalam buku teks itu tidak membina pelajar secara holistik. Mereka hanya memahami buku teks tetapi tidak mampu menjadi murid yang boleh berfikir dan menyelesaikan masalah.

Seterusnya adalah kefahaman guru terhadap buku teks. Sama juga seperti di atas, guru-guru menganggap buku teks adalah sesuatu yang sudah sempurna. Buku teks dibuka satu muka surat diikuti oleh satu muka surat yang lain. Mereka tidak pernah cuba menyusun semula organisasi buku teks tersebut berdasarkan bidang, berdasarkan kebolehan murid, berdasarkan peristiwa yang berlaku di luar sekolah, peristiwa tempatan, disusun semula dari mudah kepada susah, daripada kongkrit kepada abstrak, menyusun semula latihan berdasarkan kesamaan bentuk latihan, menyusun semula gambar dan lain-lain aktiviti pembelajaran yang meyeronokkan. Hasilnya seperti kata Cikgu Shaharuddin, pelajar hanya bergantung kepada buku rujukan. Bukan kerana buku teks tidak menarik, tetapi kerana guru tidak pernah menghidangkan hidangan buku teks yang menarik kepada murid. Buku teks ibarat ayam mentah. Yang perlu disiat bulunya, dibuang urat perutnya, dikoyak pahanya, dipotong, dibasuh dan dimasak dengan resepi yang sedap-sedap. Apa yang berlaku adalah guru-guru menghidangkan ayam mentah kepada murid. Siapalah yang mahu makan ayam mentah?

Keempat adalah kerja rumah. Ketika ini berlaku sedikit ketegangan apabila saya memberitahu bahawa kerja rumah boleh diberikan berdasarkan aras murid. Setiap murid tidak disyaratkan untuk membuat membuat kerja rumah yang sama. Menurut Tawfiq Mar'ie (Pendekatan Pengajaran Am, 1995) kerja rumah diberikan sebelum berlakunya proses pembelajaran. Kerja rumah boleh diberikan kepada murid berdasarkan aras murid tersebut. Kerja rumah boleh diberi sebagai aktiviti berkumpulan. Murid yang membuat kerja rumah diberikan ganjaran, manakala yang tidak membuat kerja rumah tidak boleh didenda atau dimaki hamun dibaling bukunya. Kerja rumah bukan setakat menyalin teks di dalam buku atau memaksa murid melukis peta kerana melukis peta bukanlah satu kemahiran yang terdapat di dalam sukatan pun.

Pada kesempatan itu, saya juga bercakap mengenai kaedah-kaedah pengajaran termasuklah kaedah penyelesaian masalah, inkuiri, ekplorasi, pembelajaran yang diprogramkan dan kaedah-kaedah lain.

Penutupnya turut disentuh sedikit tentang unsur kompetensi guru yang merangkumi ilmu, kemahiran dan emosi. Pengajaran yang berkesan dipengaruhi oleh emosi guru juga. Saya telah menyebutkan bagaimana mengawal emosi dengan cara mengenali emosi, pengawalan emosi serta melakukakan pengarahan agar rakan-rakan tidak berkecil hati atau tidak mahu melaksanakan arahan kita. Kecualilah yang jenis tidak mahu mengikut arahan dan peraturan kerana semua orang tidak betul. Peraturan juga tidak betul dan menyusahkan walaupun sering berceramah dan berforum mengenai undang-undang Islam di masjid.

Itulah yang mampu saya lakukan pun. Saya bercakap dari lubuk hati sanubari, dari jiwa yang beraga dengan tulus dan iklhas. Maaflah andai bahasa dan ungkapan yang saya gunakan agak keras dan mengeraskan. Terima kasih Ustazah Suharni.

Kepada rakan-rakan yang mahu berkongsi pengalaman, saya menyerahkan jiwa raga saya kepada anda semua sekiranya ada waktu-waktu yang terluang.

No comments:

Post a Comment