Tuesday, January 18, 2011

Kerja Rumah

Pada entri yang lepas, saya menuliskan tentang penggunaan buku teks. Di dalam entri kali ini, saya akan menulis pula kerja rumah. Kerja rumah di Malaysia disebut kerja rumah. Tetapi di negara-negara Arab, kerja rumah disebut kewajipan murid di rumah, aktiviti di rumah dan nama-nama lain yang mengatakan suruhan dan arahan itu adalah wajib. Samalah seperti solat juga adanya. Sekiranya solat tidak dilakukan akan dimaukkan ke dalam neraka yang apinya marak membara. Justeru, murid-murid yang tidak melakukan kerja rumah akan diazab demikian juga. Antara azabnya ialah perutnya dipulas, bukunya dibaling ke muka murid, tangannya dipukul dengan pembaris. Terdapat juga azab yang menjatuhkan maruahnya yang tidak melibatkan kesakitan fizikal tetapi kesakitan hati dan mental seperti berdiri di atas kerusi, berdiri di atas meja atau berdiri di luar kelas.

Apakah sebenarnya kerja rumah? Kerja rumah adalah kerja yang diberikan oleh guru kepada murid untuk dilakukan di rumah dan disempurnakan di sekolah. Atau kerja yang dilakukan oleh murid di rumah sebagai persediaan kepada pembelajaran akan datang. Kerja rumah mestilah bermatlamat dan disemak bersama-sama murid dari masa ke masa.

Sekarang mari kita lihat pula realiti kerja rumah yang sedang berlaku di sekolah. Terdapat guru yang langsung tidak pernah memberikan kerja rumah kepada murid. Murid diwajibkan membeli 20 tau 30 buku latihan tetapi dari awal tahun hingga hujung tahun, hanya satu latihan yang diberikan. Terdapat pula guru yang memberikan kerja rumah bertimbun-timbun tetapi tidak pernah menyemaknya bersama-sama murid. Semakan pula hanyalah setakat tanda write besar ataupun perkataan DISEMAK. Murid hanya tahu mereka melakukan kesilapan tetapi tidak tahu bagaimana hendak membetulkan kesalahan tersebut.

Terdapat guru yang meminta menulis semula petikan di dalam buku teks, melukis peta yang terdapat di dalam buku teks, menyelesaikan latihan matematik yang terdapat di dalam buku teks, mengisi tempat kosong latihan tatabahasa yang terdapat di dalam buku teks. Kebanyakan latihan yang diberi tidak bermatlamat nahkan terdapat guru yang memberikan kerja rumah sebagai denda terhadap murid yang bising di dalam kelas. Atau kerja rumah diberikan hanyalah supaya mereka tidak bersenang-lenang di rumah.

Pemeriksaan buku latihan pula adalah berbentuk tradisional di mana guru akan bertanya siapa yang buat kerja rumah dan siapa yang tidak buat. Siapa yang buat boleh duduk dan siapa yang tidak buat sila berdiri. Sesiapa yang tidak buat dirotan atau didenda atau diisi merit kesalahan di dalam komputer sistem disiplin dan ditolak markah meritnya. Guru-guru menganggap kerja rumah adalah satu mekanisme untuk mendenda murid-murid dan bukan sebagai salah satu sumber pembelajaran yang menyeronokkan. Kemudian guru akan mengutip kerja rumah lalau dibawa ke bilik guru dan disemak bersendirian dengan menanda tempat-tempat salah. Dan murid-murid tidak tahu apa yang hendak mereka betulkan. Lazimnya kerja rumah diberikan selepas berlakunya syarahan guru tetapi kerja rumah tidak pernah diberikan sebagai induksi kepada pembelajaran akan datang.

Justeru, apakah yang perlu dilakukan? Apakah perubahan atau reformasi terhadap kerja rumah ini?

1. Kerja rumah seharusnya dianggap sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran.
2. Kerja rumah seharusnya diberikan berdasarkan kepada perbezaan individu murid. Bermakna murid yang berlainan aras diberikan latihan yang berbeza juga.
3. Kerja rumah seharusnya diberikan sebelum berlakunya proses pembelajaran supaya murid dapat melakukan explorasi dan belajar cara belajar.
4. Kerja rumah seharusnya terancang dan dicatat di dalam rancangan pengajaran.
5. Ganjaran seperti pujian, hadiah seharusnya diberikan kepada yang berjaya membuat kerja rumah. Kepada yang tidak berjaya, guru haruslah membimbing mereka menyiapkan kerja rumah kerana mereka tidak dapat memahami konsep atau kemahiran berkenaan.
6. Tidak disyaratkan kerja rumah yang sama diberikan pada setiap murid, bahkan kerja rumah haruslah dipelbagaikan berdasarkan aras, atau sebahagian kerja rumah diberikan kepada murid yang berlainan dan mereka membentangkan hasilnya di depan kelas pada sessi pembelajaran berikutnya.

Terdapat berbagai-bagai aktiviti pembelajaran menyeronokkan melalui kerja rumah. Di sini saya senaraikan aktiviti-aktiviti tersebut sebagai panduan:

1. Mencari soalan kepada petikan yang dibaca.
2. Mencipta soalan kepada peta yang terdapat di dalam buku teks.
3. Mencari soalan kepada gambar yang terdapat di dalam buku teks. Misalnya siapa? bila? di mana? dan meminta mereka berbincang pada sessi pembelajaran akan datang.
4. Menyatakan aktiviti-aktiviti ekonomi yang sama yang terdapat di tempat lain selain daripada tempat yang disebutkan di dalam buku teks.
5. Menyebutkan suasana lain di mana dialog yang sama diucapkan.
6. Menukarkan petikan kepada jadual.
7. Mengubah soalan matematik dengan menukarkan nombor atau menggunakan nombor yang sama dengan proses yang berlainan seperti darab kepada bahagi, campur kepada tolak dan membincangkan kesannya.
8. Menyusun kronologi kepada peristiwa-peristiwa sejarah.
9. Membuat laporan kepada aktiviti-aktiviti yang berlaku di sekolah sepanjang minggu di dalam bahasa Melayu, Arab dan Inggeris.
10. Membaca petikan dan menjawab soalan yang boleh dijawab dan menulis semual soalan yang tidak boleh dijawab.
11. Menyenaraikan nama orang, nama tempat, nombor yang terdapat di dalam buku teks.
12. Menyenaraikan jenis-jenis latihan yang terdapat di dalam buku teks.
13. Menyenaraikan jenis-jenis peta yang terdapat di dalam buku teks dan membading-bezakannya.
14. Menonton tv dan menyenaraikan berita dalam dan luar negara. Kemudian berbincang di dalam kelas bagaimana menyelesaikannya.
15. Melakukan lawatan ke tempat-tempat berkenaan di kampung dan mengambil gambar dan berbincang tempat tempat-tempat itu di dalam kelas.
16. Melakukan wawancara dengan jiran dan berbincang di dalam kelas dengan menulis karangan tentang jiran.
17. Melukis plan dari rumah ke tempat-tempat tertentu, atau dari rumah ke sekolah lalu meminta murid menceritakan bagaimana mereka boleh menjemput rakan-rakan ke rumah.
18. Menziarahi kedai, klinik, kedai makan, bengkel kereta dan meminta mereka menyalin perbualan yang mereka dengan lalu melakonkan semula di dalam kelas.
19. Menyertai aktiviti kematian, kenduri, majlis berkhatan dan menceritakan semula secara lisan dan tulisan.
20. Menyenaraikan peribahasa di daerah masing-masing dan membandingkan dengan peribahasa yang terdapat di dalam buku.
21. Menyenaraikan bahasa SMS dan menentukan perkataan asalnya atau membuat latihan menukar semula bahasa SMS kepada bahasa Melayu yang betul seterusnya menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab atau Inggeris.
22. Mengumpulkan tingkah-laku negatif dan positif di taman perumahan tempat kediaman, kampung halaman, di bandar dan berbincang di dalam kelas.
23. Meminta murid menceritakan kisah rakyat yang terdapat di kampung mereka.

Sekarang ulangi semula membaca petikan ini. Aktiviti manakah yang pernah anda lakukan dan aktiviti mana yang tidak pernah anda lakukan? Sila tuliskan komen anda di bawah petikan ini atau di kotak sembang di sebelah.

Daripada 23 aktiviti yang dicadangkan, sila tanya rakan-rakan guru di sekolah anda. Berapa aktiviti yang "ya" dan berapa pula yang "tidak".

Senaraikan juga aktiviti-aktiviti yang anda rasa mustahil dilakukan, sukar dilakukan, boleh dilakukan.

Anda boleh memikirkan aktiviti yang releva dangan aktiviti yang tidak relevan. Mari kita berbincang di sini.

Anda juga boleh mencuba aktiviti yang saya cadangkan ini dan lihatlah perubahan tingkah laku murid selepas beberapa bulan perubahan dilakukan.

Semoga apa yang saya senaraikan di sini dapat mengubah persepsi kerja rumah adalah sesuatu yang membebankan murid, bahkan kerja rumah adalah aktiviti yang menyeronokkan yang boleh mengeratkan kasih sayang guru-murid, dan kasih sayang murid kepada masyarakat, negara dan alam sekeliling.


No comments:

Post a Comment