Sunday, January 16, 2011

Penggunaan Buku Teks

Pengajaran bahasa berbeza dengan pengajaran subjek lain yang lebih menjurus kepada pengajaran fakta dan konsep. Pengajaran bahasa lebih kepada kemahiran. Namun, guru mengambil jalan mudah ketika mengajar bahasa dengan menggunakan pendekatan syarahan di dalam kelas walaupun pendekatan syarahan tidak termasuk di dalam kaedah pengajaran bahasa. Syarahan yang diberikan pula dalam bahasa Melayu yang menyebabkan murid tidak mempunyai kemahiran mendengar dan bertutur di dalam bahasa Arab. Teknik syarahan memang senang dijalankan oleh guru di dalam kelas. Teknik ini tidak memerlukan persediaan yang rapi. Cukup sekadar memasuki kelas dan membuka buku teks lalu memberi syarahan. Guru membaca petikan dan menterjemahkan kepada murid lalu murid diminta menjawab soalan kefaham yang terdapat di hujung petikan. Guru kemudian memberikan kerja rumah kepada murid yang merupakan latihan mengisi tempat kosong atau menyalin latihan yang terdapat di dalam buku teks. Latihan-latihan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai aktiviti penulisan kerana tidak bermatlamat, tidak memberi motivasi kepada murid dan tidak mencabar pemikiran mereka. Bahkan aktiviti penulisan itu digunakan oleh guru sebagai hukuman atau dendaan atau peluang untuk guru melakukan kerja-kerja lain ketika murid melakukan latihan di dalam kelas.

Terdapat juga keadaan di mana guru membuat nota ringkas daripada buku teks kemudian memberikan nota ringkas itu kepada murid sama ada dengan lisan atau tulisan di papan hitam. Justeru, buku teks tidak lagi dianggap sebagai sumber utama bahan pengajaran dan pembelajaran. Nota ringkas itu dibuat oleh guru dan bukan murid. Buku teks tidak digunakan secara maksima tetapi sebaliknya hanya digunakan untuk menyalin beberapa latihan yang terdapat di dalam buku teks seperti menyalin kaedah nahu atau makna kata-kata hikmat sahaja.

Buku teks sepatutnya digunakan sebagai sumber sebelum, ketika dan selepas pengajaran dan pembelajaran. Murid seharusnya digalakkan menggunakan buku teks untuk membuat kesimpulan, kritikan dan menjana idea-idea baru. Penggunaannya mestilah bermatlamat, berfokus dan dirancang dengan rapi. Buku teks harus diperkayakan dan bukan diringkaskan. Buku teks harus digunakan seiiring dengan penggunaan kerja rumah, perpustakaan, peristiwa semasa, statistik, melukis dan mentafsir data, jadual dan gambar.

Buku teks ialah sumber pembelajaran penting kepada guru dan juga murid. Kebanyakan guru tidak merancang untuk menggunakan buku teks tetapi memadai hanya dengan menggunakan buku teks sebagai tajuk syarahan di dalam kelas. Sesetengah guru merasakan satu keaiban pula sekiranya merujuk buku teks ketika proses pengajaran berlaku. Ada juga guru yang menganggap bahawa buku teks adalah kandungan maksimum sesuatu kurikulum sedangkan kurikulum sebenarnya lebih luas. Justeru, terdapat guru yang membuat ringkasan daripada buku teks. Guru lebih menumpukan kepada aspek perkataan yang tercetak di dalam buku teks. Jarang benar guru yang menggunakan soalan, gambar atau jadual yang terdapat di dalam buku teks sebagai sumber pengaharan dan pembelajaran baru. Guru juga tidak berani menyusun semula kandungan buku teks mengikut kesesuaian berdasarkan suasana, peristiwa dan tahap murid.

Buku teks mestilah dianggap sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran, sumber akses kendiri, terbuka untuk diperkayakan dan dikritik malah terbuka untuk pembaharuan maklumat. Penggunaan buku teks mestilah dirancang dan sekiranya perlu disusun semula berdasarkan logika dan suasana semasa.

Di antara contoh penggunaan buku teks ialah digunakan sebagai sumber kerja rumah, sumber kegiatan kokurikulum, sumber penulisan, sumber kajian tempatan dan sumber peristiwa semasa.

Petikan yang terdapat di dalam buku teks boleh dibaca bersama-sama dengan murid bukan mengarahkan murid untuk membaca. Guru boleh memberikan soalan yang terlintas di fikirannya dan berbincang jawapannya dengan murid. Guru juga boleh meminta murid memberi soalan dan berbincang jawapannya dengan rakan-rakan di dalam kelas. Petikan juga boleh digunakan untuk mengeluarkan kata nama, kata kerja, kata dasar bagi sesuatu perkataan dan kemudiannya menggunakan kata-kata itu untuk mengungkap frasa dan ayat lain dalam bentuk lisan dan tulisan.

Guru juga boleh berbincang dengan murid untuk menentukan tajuk baru bagi petikan dan juga meringkaskan petikan tersebut di dalam beberapa ayat. Selain daripada itu, petikan juga boleh digunakan untuk menggabung-jalin dengan pengajaran nilai seperti menyenaraikan nilai yang baik dan buruk yang terdapat di dalam petikan. Untuk membina pemikiran kritis dan kreatif, guru juga boleh meminta murid menyebut fakta atau konsep yang dianggap tidak betul bagi pendapat murid.

Petikan-petikan yang dibaca boleh diolah semula seperti meminta murid menuliskan semual petikan tersebut di dalam sepuluh ayat. Guru juga boleh meminta murid mengemukakan soalan bagi setiap frasa atau ayat. Di dalam petikan yang terdapat buku teks, guru boleh menggunakan semua petikan yang terdapat di dalam buku teks di dalam satu fasa, bukan membahagikan 10 petikan itu di dalam masa yang berlainan.

Berikut, saya senaraikan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan:

1, Membaca petikan atau beberapa petikan dan menjawab soalan yang dikemukan oleh guru sendiri. Soalan yang dikemukakan oleh guru tidak semestinya soalan yang terdapat di dalam buku teks.

2. Mambaca petikan atau beberapa petikan dan memnita murid menyoal berkaitan dengan petikan.

3. Menentukan unsur-unsur tatabahasa di dalam petikan yang dibaca.

4. Menulis semula petikan di dalam 2 atau 3 ayat.

5. Menulis isi penting daripada petikan.

6. Menentukan peristiwa yang telah dan akan berlaku atau peristiwa yang pernah dialami sendiri oleh murid.

7. Memberikan tajuk baru kepada petikan. Murid boleh mencadangkan tajuk-tajuk yang difikirkan sesuai. Strategi ini adalah untuk melatih murid berfikir supaya dapat menulis karangan tentang tajuk-tajuk berkenaan di dalam peperiksaan nanti.

8. Menentukan petikan-petikan yang mempunyai kesamaan unsur tatabahasa, kesamaan peristiwa, kesamaan masa, kesamaan tempat dan lain-lain.

9. Menentukan cakap ajuk dan cakap pindah daripada petikan.

10. Menentukan nilai positif dan nilai negati daripada petikan.

11. Menghubungkan budaya di dalam petikan dengan budaya kaum-kaum yang tredapat di Malaysia atau di dunia.

12. Menentukan perkataan-perkataan yang memerlukan penerangan atau perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna.

13. Menukarkan petikan atau maklumat dalam bentuk carta seterusnya membina ayat baru daripada carta.

14. Melakonkan dialog, peristiwa, cerita yang terdapat di dalam petikan.


Bagi soalan-soalan yang terdapat di dalam buku teks pula, guru bolehlah melakukan aktiviti-aktiviti berikut:

1. Menyusun semula soalan berdasarkan aras kesukaran bagi keseluruhan buku teks.

2. Menyusun semula soalan berdasarkan kesamaan bentuk. Misalnya mengumpulkan soalan suaikan, isikan tempat kosong, teka silangkata, memilih jawapan yang betul, soalan betul salah dan soalan-soalan lain.

3. Menjawab soalan secara lisan sebelum tulisan.

4. Menyoal dalam bentuk lain.

5. Memudahkan soalan atau menukarkan bentuk soalan kepada yang lebih mudah.

6. Mengklasifikasikan soalan yang memerlukan fakta, konsep, pemikiran dan tekaan.

7. Menentukan soalan yang senang dan sukar.

8. Menetukan soalan yang tidak perlu dan boleh diabaikan.

9. Menambah soalan yang lebih penting yang patut dimasukkan.

Bahan petikan di dalam buku teks juga boleh digunakan sebagai sumber aktiviti seperti forum, penceritaan semula, lakonan. Murid yang berjaya melakukan aktiviti-aktiviti ini diberikan ganjaran, hadiah yang sewajarnya.

1 comment:

  1. Menarik tulisan ni. Tahniah.. Mohon share untuk diluaskan pemahaman rakan-rakan terhadap isu yang diutarakan.

    ReplyDelete