Thursday, March 31, 2011

Kompetensi

Kompetensi ialah menguasai prinsip, langkah asas di dalam perhubungan kemanusiaan. Caranya ialah dengan menggunakan kata dan tingkahlaku untuk mencapai hasrat perhubungan seperti melakukan syarahan, mengemukakan soalan, melakukan aktiviti pengajaran berkesan, menggunakan peneguhan positif, memberi galakan kepada murid, mengeluarkan arahan, tidak menimbulkan konflik dengan rakan sekerja dan juga murid. Semua ini dapat dilihat sepanjang kerjaya seorang guru.

Kompetensi terdiri daripada tiga komponen asas iaitu:

1. Komponen pengetahuan: Komponen ini terdiri daripada penguasaan fakta, konsep, prinsip, keputusan, kaedah yang berkait dengan sesuatu bidang pengetahuan. Penguasaan komponen pengetahuan ini merupakan pembentukan asas kepada kompetensi dari sudut teori dan amali. Guru yang mempunyai kompetensi pengetahuan asas akan menjadikan seseorang guru itu pakar di dalam bidang berkenaan ketika mengamalkan profesionnya. Pengetahuan yang mendalam di dalam bidang berkenaan akan memudahkan guru membuat perancangan menurut fakta, konsep dan prinsip ilmu yang betul ketika menjalankan proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah.

Sebagai guru bahasa Arab, seseorang harus menguasai segala ilmu yang berkaitan dengan bahasa. Beliau harus mengetahui aspek-aspek bahasa yang meliputi aspek kemahiran berbahasa, pengetahun tentang tatabahasa, tentang retorika bahasa, tentang sastera yang meliputi prosa dan puisi dengan berbagai-bagai genrenya. Bahkan di dalam peringkat yang lebih tinggi, seseorang guru haruslah tahu falsafah bahasa, konstrastif di antara bahasa ibunda murid dengan bahasa Arab dari segenap sudut dan penjuru.

Keluar daripada konsep tradisional pengajaran bahasa yang mementingkan aspek nahu dan balaghah semata-mata, seseorang guru perlu memahami konsep bahasa itu sendiri.

Seperti yang disebutkan oleh Rushdi Ahmad Ta'imah (2009:25), konsep bahasa adalah seperti berikut:

Pertama: Bahasa merupakan realiti manusia. Setiap manusia memerlukan bahasa untuk berhubung. Justeru, semua manusia dibekalkan dengan kemampuan berbahasa kecuali mereka yang mengalami kelainan anggota.

Kedua: Kemampuan berbahasa individu adalah berbeza. Perbezaan ini adalah lebih ketara sekiranya seseorang murid mempelajari bahasa selain bahasa ibundanya.

Ketiga: Bahasa adalah bunyi. Daripada konsep ini, di dalam bahasa terdapat penutur dan pendengar. Justeru, pengajaran bahasa tidak boleh hanya tertumpu kepada aktiviti penulisan semata-mata seperti mengarahkan murid menyalin latihan yang terdapat di dalam buku teks semata-mata atau latihan yang diberikan kepada murid daripada papan tulis atau kertas salinan fotostat.

Keempat: Bahasa adalah simbol. Melalui konsep ini, pengajaran bahasa haruslah diajar bermula daripada objek yang konkrit kepada objek abstrak. Kata kerja yang lazim yang melibatkan anggota yang mudah dilakoni kepada kata kerja yang melibatkan hati dan perasaan.

Kelima: Bahasa adalah kesepakatan. Apabila sekelompok manusia sepakat untuk menerima sesuatu konsep tentang sesuatu kata, maka konsep itu boleh diterima sebagai bahasa walaupun dari pandangan orang lain adalah tidak sesuai. Misalnya, Arab telah sepakat bahawa tidak terdapat huruf nga, cha, dan ga di dalam bahasa mereka, kesepakatan ini harus diterima ketika mempelajari bahasa Arab. Proses memasukkan huruf-huruf atau konsonan-konsonan yang tidak terdapat di dalam bahasa Arab akan menyebabkan dualisme berlaku.

Keenam: Bahasa adalah sistem. Sistem bahasa Arab yang membenarkan urutan tipologi VSO (verb-subject-object) dan SVO haruslah diterangkan kepada murid dengan membandingkan dengan susunan bahasa Melayu SVO dan kaitan yang terjadi di antara VS dan SV ketika proses pembentukan ayat di dalam bahasa Arab.

Ketujuh: Bahasa adalah dinamik. Bahasa dari segi pembentukan kata, pembentukan istilah, retorik dan pembentukan makna berubah dari masa ke masa. Tidaklah pelik sekiranya istilah yang digunakan oleh bahasa Arab kini tidak sama dengan bahasa Arab satu ketika dahulu. Bukanlah bermakna bahasa Arab yang digunakan kini tidak fushah, tetapi standarnya telah berubah selepas berlakunya pertembungan bahasa Arab dengan bahasa-bahasa dunia yang lain.

Kelapan: Perspektif manusia terhadap bahasa. Dahulu bahasa dianggap satu standard di mana semua penutur bahasa berkenaan perlu mengikut sistem yang dituturi. Namun, bahasa ketika ini dilihat bagaimana bahasa itu dituturi. Bagaimana sebutan bahasa itu berubah mengikut iklim, persekitaran dan pekerjaan manusia.

Pada zaman dahulu, bahasa Arab dianggap sebagai lingua-franka bilamana bahasa ini dituturi di Semenanjung Tanah Arab, Selatan Eropah, Iran dan Asia Tengah. Dengan banyaknya karya di dalam bahasa Arab termasuk buku, syair dan prosa, bahasa Arab dianggap bahasa muzikal, bahasa utama, bahasa suci kerana terdapatnya al-Quran yang menjadi sumber perundangan Islam. Bahasa dianggap suci sekiranya melahirkan nasihat-nasihat yang berguna, hukum-hukum yang menyusun hidup manusia supaya aman. Sekiranya bahasa Arab digunakan sebagai alat untuk memaki hamun, alat untuk bertengkar dan bergaduh, kudus lagikah bahasa Arab itu?

Ciri-ciri bahasa Arab

Aku dah mengatuk. Nak tidur.. esok aku sambung ...

Saturday, March 19, 2011

Sepi

Assalamualaikum, Habibi! Hang sihat ka?
Sihat.
Hang dok mana?
Aku dok di rumah.
Ooo...Ni aku nak habaq kat hang ni. Tak sat aku google nama Daud Saloum. Sajala nak dengar cerita dia. Tiba-tiba aku dapat berita "Iraq telah mengucapkan selamat jalan buat Daud Saloum." Aku nak habaq kat hang la ni. Dia dah meninggal 13 Ogos 2010 yang lepas.
Inna lillah. Hang dah tak tulis blog ka? Aku tengok sepi sahaja. Cerita mak cik 40 km/j tu dah tak sambung ka?
Dak dah aku tak jumpa dia dah la ni.

Perbualan itu membuat aku merenung kembali ketumpulan diri ini. Sudah lama aku berhenti. Tadi aku temui murid-muridku yang juga bertanya kenapa aku berhenti menulis. Memang banyak perkara yang bersipongang di minda aku. Namun, kerja-kerja aku membatasi penulisan aku. Bukan kerana tidak ada masa. Tetapi aku takut tulisan ini memberi kesan kepada kerja aku.

Juga beberapa sahabat bertanya, takkan nak jual buku sahaja kot. Dah jadi kaya dah lupa nak tulis hendak membela rakyat tertindas. Siapalah aku pun nak bela rakyat tertindas. Memanglah dok jual buku, tetapi hasil jualan buku bukanlah boleh menkayakan aku. Aku hanyalah penulis yang makan royalti 10% daripada harga buku. Itu pun kalau penerbit jujur. Kalau jenis penerbit yang duit sms bertanya cetakan buku pun melebihi royalti yang bakal dapat, untung apa kita buat buku. Cuma aku niat buat buku ini untuk suka-sukalah. Kalau tidak jadi kaya, orang yang membacanya menjadi kaya dengan ilmu.

Daud Saloum adalah guruku di Al al-Bayt dahulu. Aku belajar daripada Almarhum beberapa subjek. Antaranya Kritikan Klasik dan, itu sahaja kot. Tetapi hubungan aku dengan beliau amat rapat. Pernah beberapa kali bertandang di rumahnya di Mafraq. Bahkan ketika dia berpindah ke Universiti Jerasy pun aku masih menghubunginya dan selalu menziarahi beliau. Dan dia telah pergi meninggalkan beberapa buah buku di perpustakaanku. Bagi aku dia terus hidup di sisiku dengan bukunya menjadi rujukan.

Selain itu, yang pergi juga adalah Dr Tawfiq Mar'ie. Ketika aku mengambil subjek Gaya Pengajaran Umum dahulu, sepatah apa pun aku tidak faham. Di dalam kelas aku selalu duduk bersebelahan dengan Nazri Dollah. Aku dengan dia asyik bersembang. Kami bersembang memakai buku nota. Macam main MIRC ketika itu. Aku tulis mesej di dalam buku nota, aku hulur kat dia. Dia balas balik dia hulur dekat aku. Tugasan pula, Aminah budak Arab di Irbid yang tolong buat. Pagi2 aku dok tumpang pick up budak Arab ni dari Duwwar Nassim ke perhentian bas Irbid. Aku tidak faham apa satu pun. Nasib baiklah buku yang aku belajar dahulu aku bawa balik. Dan buku itu amat berfaedah kepada diriku yang menjadi rujukan agung aku ketika ini. Beliau pun telah pergi pada 16 November 2009 yang lalu.

Apa lagi yang hendak aku tuliskan. Memang jiwa sasteraku ini meronta-ronta untuk menulis berkenaan DalamLok. Perkara yang sudah panas aku rasa tidak patut dipanaskan lagi dengan pendapat aku ini. Tetapi aku rasa hendak sebut juga. Bangsa yang maju adalah bangsa yang mengenali dan menginsafi sejarahnya. Bukan bangsa yang menafikan sejarah mereka dahulu dengan alasan untuk tidak mahu mendarahkan parut. Walau parut tidak berdarah, parut adalah parut. Sejarah itu akan berulang sekiranya kita tidak belajar daripada sejarah lalu menafikan keperitan hidup yang pernah kita lalui dahulu. Dan sejarah ini diungkapkan dalam bentuk kreativiti buku sastera. Penulis kreatif menulis tentang sudut pandangan dan kefahamannya. Pembaca pula layak mengkritik apa yang tidak betul dalam buku itu. Ilmu tidak boleh diharamkan atau ditukar ganti. Sama seperti mengharamkan Al-Kitab di dalam bahasa Melayu jugalah. Bahasa hanya perantaraan sesuatu kefahaman. Tidak ada kaitan dengan kesucian atau kekudusan. Bahasa itu kudus kalau menyatakan sesuatu yang baik dan berakhlak. Tetapi kalau menggunakan bahasa untuk mencarut, memfitnah dan memecah belah, kudus lagikah bahasa itu?

Hendak menulis tentang perkara ini amatlah panjang dan berliku pula. Bacalah buku Weech dan Rylands untuk mengetahui sejarah bangsa mereka. Dan bacalah juga Berry tentang Agama-agama Dunia. Ahmad Syalabi menyebutkan bahawa sistem sosial di Lembah Indus dilakukan oleh golongan Aryan yang turun dari Eropah Barat. Mereka adalah keturunan Jerman yang mempunyai pertalian dengan bangsa Parsi (Zoroaster). Persamaan ini boleh dilihat daripada simbol swastika yang digunakan oleh agama kuno Jerman dan pengaruhnya di dalam agama yang wujud kini. Bahasa mereka pun terdiri daripada satu keluarga yang dikenali dengan bahasa Indo-Europian. Struktur nahu dan beberapa perkataan mempunyai kaitan yang amat rapat. Mereka bukan setakat membahagikan manusia kepada berbagai-bagai taraf sosial, bahkan terdapat golongan miskin yang tidak layak pun memasuki mana-mana golongan, malahan tidak layak pun menganut agama kaum Aryan ini. Di dalam bahasa Arab mereka ini dipanggil al-Manbu:dzin (Outcast).

Silalah baca tentang nasib golongan Outcast ini di dalam sejarah mereka. Ke mana mereka dibawa pergi di dalam sejarah moden apabila berlaku penjajahan barat ke atas dunia ketiga. Namun, nasib dan masa depan mereka adalah di tangan mereka. Biarlah mereka membuat keputusan. Aku cuma mengharapkan agar pendapat mereka tidak menjejaskan keharmonian ummah di negara ini. Sebagai orang Islam, kita seharusnya menerima sesiapa sahaja. Bumi ini dijadikan Allah untuk semua manusia. Tidak ada bumi yang diciptakan Allah untuk diduduki oleh orang Islam sahaja. Sekiranya itu adalah pegangan kita, samalah seperti Yahudi yang menganggap bumi ini adalah hak mereka sahaja. Bangsa-bangsa lain adalah binatang yang dijadikan untuk berkhidmat kepada kaum mereka. Dalam pada itu, marilah kita sedari dan insafi diri kita. Islam adalah agama responsif kepada perubahan. Islam menggalakkan umatnya bersih. Mereka patut memahami diri mereka daripada perspektif orang lain juga.

Kepada mereka yang kecewa dengan blog ini, aku mohon maaf. Aku tidak dapat memenuhi kehendak kalian semua. Inilah diriku kini. Sepi. Sunyi. Mengisi dunia baru yang entah berapa lama pula aku bertahan di sini. . . . .