Wednesday, April 6, 2011

Aktiviti Penulisan di dalam Pendidikan

Catatan ini bermula dengan soalan: Bagaimanakah guru memberikan aktiviti menulis kepada murid? Anda jawablah sendiri soalan ini. Terdapat guru yang memberi aktiviti penulisan yang maha banyak kepada murid. Beliau memberikan latihan dalam bentuk nota, latihan di dalam buku latihan, latihan menjawab soalan, memberikan soalan latih tubi, menjawab soalan-soalan terdahulu.

Terdapat juga beberapa mata pelajaran yang tidak diberikan aktiviti penulisan langsung. Seperti subjek Pendidikan Jasmani atau Pendidikan Islam di sekolah rendah kerana tidak diuji di dalam peperiksaan awam.

Pemberian kerja rumah pula diberikan dengan tidak berfokus. Fokusnya adalah lebih menjurus kepada menjawab soalan peperiksaan atau menyalin semula latihan yang terdapat di dalam buku teks. Pemberian aktiviti latihan tidak diberikan berlandaskan sukatan pelajaran. Justeru, aktiviti yang diberikanhambar, tidak berjaya memotivasikan murid untuk belajar, tidak mengambil kira kecenderungan murid kerana guru mengeneralisasikan aktiviti penulisan untuk semua murid tanpa mengambil kira aras pengetahuan, kecenderungan dan minta murid.

Selain daripada itu, kita akan mendapati bahawa aktiviti penulisan lebih menjurus kepada meringkaskan isi buku teks dengan mensyarahkan semula kandungan buku teks dan kemudian meminta murid menyalin syarahan guru. Yang lebih menyayat hati apabila guru meringkaskan isi kandungan buku teks di papan tulis dan meminta murid menyalin. Memang senyap sunyilah kelas ketika itu. Persoalannya, adakah murid belajar daripada aktiviti bersalin ini?

Begitu juga di dalam subjek Matematik di mana aktiviti menulisnya hanyalah menyelesaikan soalan latihan yang terdapat di dalam buku teks, dan juga di dalam subjek bahasa Arab di mana guru meminta murid mengisi tempat kosong atau menyelesaikan beberapa masalah nahu. Saya pernah menjumpai keadaan di mana guru memaksa murid menyalin petikan buku teks sebagai dendaan kerana murid itu bising di dalam kelas.

Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa guru tidak memandang aktiviti penulisan sebagai aktiviti dan sumber pembelajaran, tetapi sebagai rutin pengajaran dan penyelesaian kepada masalah disiplin.

Aktiviti penulisan pula biasanya diberikan selepas berlakunya pengajaran. Jarang benarlah guru memberikan aktiviti penulisan sebelum proses pengajaran berlaku. Juga jarang benar aktiviti penulisan dilakukan di luar kelas dan di luar kerangka sekolah.

Sepatutnya, aktiviti penulisan digunakan sebelum proses pembelajaran berlaku. Murid diminta menulis apa yang mereka ingin pelajari dan apa yang mereka tidak faham daripada tajuk yang guru cadangkan untuk dipelajari. Aktiviti penulisan juga mestilah bermatlamat selaras dengan kehendak sukatan pelajaran, dirancang, direkodkan di dalam buku rancangan mengajar, memperkaya, membetul dan mengkritik kandungan buku teks.

Justeru, aktiviti penulisan ini boleh merangkumi kerja rumah, aktiviti kokurikulum, penggunaan buku teks, penggunaan perpustakaan, isu-isu semasa, jadual, peta, carta, gambar, cerita dan sumber-sumber pembelajaran yang lain.

Ksesemuanya bermatlamat untuk membina kemahiran menulis dan mengembangkan potensi dan kreativiti murid supaya pemikiran mereka berkembang menjadi insan yang sempurna.

Tamat. Aku nak berehat. Baru balik dari Kelang.

1 comment:

  1. salam... sungguh menarik perkongsian ini .. tahniah saya amat menyukainya..

    ReplyDelete