Saturday, April 23, 2011

Guru Yang Berkesan

Guru yang berkesan adalah guru yang menguasai kemahiran pengajaran seperti mengemukakan soalan, memberi respon kepada tingkahlaku, mendapatkan perhatian murid, memberi feedback, memberi ganjaran, menyampaikan pengetahuan.

Kajian dilakukan oleh Bennet (1972) menyimpulkan bahawa guru yang berkesan boleh dilihat daripada tiga bidang utama:
1. Hasil pembelajaran murid.
2. Pemerhatian ketika proses pembelajaran dan pengajaran dilakukan.
3. Keperibadian guru yang terdiri daripada kekuatan visi, kemampuan akal, pengalaman, pencapaian akademik guru.

Ciri-ciri guru berkesan
1. Ciri kognitif: Pencapaian akademik guru, kekuatan minda, gaya pengajaran,.
a. Pencapaian akademik. Terdapat kaitan di antara pencapaian akademik guru dengan keberkesanan pengajaran mereka. (Simun dan Asher, 1964; Right dan Nuthall, 1970; Rosenshine, 1971).
b. Mempunyai ilmu yang luas serta prihatin. Ryans (1959) mengatakan bukan setakat pencapaian guru, tetapi keprihatinan terhadap sosial, sastera dan seni. Mempunyai kecerdasan verbal-linguis serta memahami budaya masyarakat.
c. Mengenali murid dan mempunyai maklumat berkaitan dengan murid. Kajian dilakukan oleh Hoyt (1955) dan Ojemann dan Wikinson (1939) mengatakan guru yang mengenali muridnya lebih membuatkan mereka cemerlang di dalam pembelajaran.

2. Personaliti guru
a. Kajian oleh Anderson (1959) dan Boynton (1934) mengatakan kanak-kanak lebih selesa belajar dengan guru yang lemah lembut dan penyayang. Ryans (1960) mengatakan guru pemaaf, berbincang tentang kesalahan murid, bukan menghukum mereka, menerima idea murid tanpa syarat menjadikan murid belajar dengan mudah dan tenang. Conin dan Gymp (1961) mengatakan murid yang mempunyai masalah disiplin dan suka bergaduh adalah disebabkan oleh guru yang selalu memberi hukuman kepada murid yang melakukan kesalahan disiplin. Guru yang suka menghukum menyebabkan murid hilang rasa kasih sayang kepada sekolah manakala guru yang pemaaf, lemah lembut dan mempunyai kasih sayang kepada murid menyebabkan mereka menyayangi sekolah dan meningkatkan prestasi akademik.
Witty (1967) telah menyenaraikan sifat-sifat guru yang disenangi murid:
i. Suka membantu
ii. Demokratik
iii. Lemah-lembut
iv. Memahami perbezaan individu
v. Sabar
vi. Prihatin
vii. Suka berjenaka
viii. Adil dan tidak memihak
ix. Tetap pendirian
x. Prihatin terhadap masalah murid
xi. Fleksibiliti
xii. Memberi ganjaran positif
xiii. Mempunyai kompetensi super di dalam bidangnya.

3. Semangat guru: Kajian yang dilakukan oleh Mastin (1973), Rosenshine dan Furst (1973) mendapati bahawa semangat guru ketika melakukan proses pengajaran memberi kesan positif kepada penguasaan murid. Murid lebih mudah mengikut pengajaran guru yang melakukan aktiviti dengan semangat berbanding guru yang hanya melakukan syarahan atau meminta murid menyalin nota daripada papan tulis atau buku teks.

4. Unsur kemanusiaan: Guru yang bersifat kemanusiaan adalah guru yang lemah lembut dengan murid dan memahami masalah murid. Guru manusia adalah guru yang tidak mengambil tindakan terhadap murid sekiranya murid melakukan kesilapan disiplin. Sebaliknya guru manusia akan mencari punca murid melakukan kesalahan dan menyelesaikan masalah tersebut. Guru manusia adalah guru yang bertanya masalah murid kenapa murid tersebut lewat datang ke sekolah. Guru manusia juga tidak akan mendenda murid yang tidak membawa buku teks, atau gagal menyiapkan kerja rumah. Guru manusia akan membimbing murid untuk menyiapkan tugasan beliau dan meminta murid berkongsi buku sekiranya terlupa membawa buku teks. Kajian yang dilakukan oleh Morse (1961) menyatakan bahawa murid memerlukan guru untuk membimbing mereka ketika mereka melakukan kesilapan.

No comments:

Post a Comment