Thursday, April 28, 2011

Melihat Diri Dari Cerminan Orang Lain

Terdapat sebuah sekolah telah melakukan mesyuarat post mortem terhadap satu program. Pihak pentadbir meminta pandangan guru-guru tentang program yang telah dilaksanakan. Di dalam mesyuarat tersebut, pihak pentadbir tidak dapat menerima pandangan yang telah diberikan oleh guru-guru. Sekiranya pihak pentadbir membuat mesyuarat post mortem untuk program yang lain pula, adakah anda fikir guru-guru akan memberikan pendapat dan pandangan mereka?

Kita boleh merasa kecewa dengan kritikan orang lain. Kita mungkin terkejut dengan komen-komen yang diberikan. Mungkin juga kita senang, gembira apabila menerima pujian daripada orang lain terhadap sesuatu yang kita lakukan. Biasanya saya menyangka saya telah melakukan yang habis baik di dalam pekerjaan saya. Biasany saya menerima kritikan yang saya tidak pernah menduga.

Di dalam ceramah saya di Pulau Pangkor beberapa hari lepas, saya merasakan ceramah saya amat baik. Terdapat guru-guru yang meminta nombor telefon saya untuk mereka hubungi. Mereka mahu saya berkongsi dengan mereka pengalaman saya. Ada juga guru-guru yang meminta tandatangan saya di atas buku contoh karangan saya buat untuk membantu murid mengarang. Saya sedar buku itu banyak kesilapan ejaan pun. Di akhir ceramah, saya diminta pula untuk bergambar kenang-kenangan dengan mereka.

Rupa-rupanya sangkaan saya meleset apabila saya membaca borang penilaian program. Terdapat komen dan kritikan pedas daripada para peserta. Mereka memuji penceramah pertama iaitu Ustaz Saudi dan membanding dengan saya. Mereka mengatakan dia memang layak mendapat guru cemerlang. Manakala saya disifatkan tidak berpengetahuan, tidak dapat memberi ceramah berguna. Isi ceramah saya dikatakan berlandaskan teori dan tidak boleh diaplikasikan di dalam kelas.

Adakah saya perlu berhenti terus daripada berkongsi pengetahuan dan pengalaman saya dengan guru-guru lain apabila menerima kritikan tersebut? Sekiranya saya berhenti, saya dikira mempunyai ketahanan emosi yang lemah. Saya ingin belajar daripada kesilapan saya. Saya perlu respon terhadap kritikan tersebut dengan cara yang benar.

Justeru, saya berterima kasih kepada peserta yang telah memberi kritikan kepada saya. Saya berterima kasih kerana meluangkan waktu dan usaha memikirkan kelemahan diri saya. Saya harus sedar walaupun saya amat terguris dengan kritikan tersebut, saya seharusnya menghargai bahawa guru-guru yang memberikan kritikan dan komen tersebut berhak memiliki persepsi masing-masing.

Saya insaf saya tidak harus membentengi diri saya dengan alasan. Saya juga tidak perlu memujuk diri saya mengatakan saya betul dan guru-guru yang memberikan kritikan itu benar. Yang salah dan yang benar tidak akan mendatangkan hasil di dalam soal ini. Kursus tersebut telah pun tamat. Mereka pun telah kembali ke sekolah masing-masing. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih saya kepada mereka.

Saya menerima kenyataan bahawa saat saya merasa kecewa tidak perlu berpanjangan. Ya, saya amat sedih dan kecewa membaca penilaian mereka. Dan kini saya berusaha meningkatkan kecerdasan emosi saya. Kesabaran menerima kritikan lebih penting untuk menyedarkan diri saya bahawa saya dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan saya dengan cara yang berbeza.

Kepada para peserta di Pangkor tempohari, sekiranya anda merasakan kritikan dan komen anda pada hari itu tidak cukup dan anda masih ada sesuatu untuk anda katakan kepada saya, anda bolehlah meninggalkan komen anda di kaki coretan ini.

Esok saya akan memberikan ceramah kepada guru-guru Bahasa Arab Daerah Hulu Langat tentang Penggunaan Buku Teks. Saya berdebar menanti komen dan kritikan mereka pula.

Huk! Huk! Huk!

2 comments:

  1. Assalamualaikum Ustaz,

    Pada awalnya saya tak faham apa yang diperkatakan oleh ustaz tentang penggunaan buku teks. Apa yang ustaz nak sebenarnya?

    Sebagai orang baru yang mengajar BA, saya akan cuba aplikasikan dalam P & P saya terutama berkaitan gambar. Menukar petikan kepada carta dan sebagainya.

    Terima kasih atas tunjuk ajar Ustaz. Jangan lupa bagi resit pembelian buku karangan ustaz ye =)

    ReplyDelete
  2. Terima kasih.
    Tentang resit tu, saya sudah minta syarikat buku tersebut poskan. Kalau minggu depan tidak sampai, sila beritahu saya.

    ReplyDelete