Tuesday, May 31, 2011

Buku Karangan Bahasa Arab PMR Baru


4000 naskah sudah terjual dalam tempoh 2 bulan. Sila pesan naskah anda sekarang untuk cetakan kedua. Hantar pesanan anda melalui e-mel kepada hasmadi@lycos.com.

Saya bersedia mengendalikan bengkel di sekolah-sekolah tentang bagaimana hendak menggunakan buku ini, selain daripada tips untuk Skor A Bahasa Arab PMR.

Bahasa Arab bukanlah subjek pembunuh seperti tanggapan banyak pihak. Cukup mudah untuk lulus dan mendapat A di dalam Bahasa Arab.

Tuesday, May 10, 2011

Dengan Siapa Lagi Aku Akan Ketawa?

[sms] Hai. Kenal sy lg x?

Aku menerima sms itu semasa mengambil selekoh di sebelah PICC. Dengan tangan sebelah aku cuba menjawab sms itu. Tapi aku gagal. Telefon aku yang jenis gosok cermin amat susah untuk menaip mesej dengan sebelah tangan. Aku cuba menghubungi nombor itu. Dua tiga kali aku dail. Dia tidak menjawab. Mungkin dia menyangka aku sudah tidak ingat dia lagi. Sebab itu dia malas menekan butang jawab. Aku berhentikan kereta aku di bawah jambatan ke Presint 16. Aku baals smsnya.

[SMS] Ismail. Kalau di kg org panggil Saad. Sapa nak lupa kat hang.

Aku tekan butang send. Aku cuba menelefon dia lagi. Dia masih tidak menjawab telefon. Dia marahkah pada aku? Apa yang telah aku lakukan sehingga dia tidak sudi mengangkat telefon. Fikiran aku ini sememangnya begitu pun. Mudah buruk sangka pada seseorang. Sudah puas aku cuba mencari alasan positif, alih-alih tanggapan negatif juga yang menerpa dan memenuhi minda.

Semasa aku mendapat surat pertukaran ke sini dahulu, aku beritahu Saad. Aku lihat wajahnya muram bagai dada langit mendung di waktu senja. Aku tidak tahu dia agak sentimental juga. Rumahnya di Taman Uda tempat aku menumpang sementara. Sementelahlah dia tinggal seorang. Anak dan isteri aku seminggu sekali aku jengah. Aku tinggal dengan Saad di rumah sewa itu setelah aku lari malam dari rumah sewa aku.

Rumah yang cuba aku sewa, silingnya nampak alang. Bilik belakang tidak berlampu. Kejiranan pun aku rasa tak sesuai dengan aku. Tidak hadari langsung. Lalu aku angkat bungkus pergi menumpang di rumah Saad.

"Kalau hang pindah, tinggallah aku seorang di rumah ini. Terus terang aku katakan, semenjak hang duduk dengan aku, aku banyak ketawa dari menangis. Aku belajar hadari dengan hang. Balik rumah, kita keluar makan bersama. Adalah juga aktiviti aku. Kalau tidak, balik rumah, aku duduk sendirian. Hanya gambar anak dan isteri aku menjadi tatapan. Semakin aku tatap, semakin lebat air mataku. Kalau aku tidak melihat gambar mereka, aku ... aku ... aku ..." Aku lihat air matanya meleleh.

Ketika itu aku sedang menggulung selimut toto yang juga berfungsi sebagai alas badanku untuk aku masukkan ke dalam kereta. Aku pun sebenarnya rasa sedih. Tetapi air mata jantan aku ini susah benar hendak gugur. Semasa Tok Wan aku memberitahu ayah aku meninggal dulu pun, setitis air mata pun tidak gugur. Begitu juga ketika Tok Wan aku meninggal pun. Mataku kering kontang. Aku susah hendak menangis di depan orang. Hatiku ini entah dari besi kursani atau dari kayu berlian yang keras kedekung.

"Saad, hidup mati, pertemuan dan perpisahan adalah lumrah alam" Aku ulang kembali kata-kata hikmat yang entah dari siapa itu. "Hari ini aku balik, tapi kita akan berjumpa lagi." Aku sambung lagi kata-kataku.

Memang aku suka melawak dan berjenaka. Aku suka kalau orang ketawa bersama-sama aku. Kadang-kadang melawak aku pergi menerobos jauh melewati batasan dewasa. Selalu melencong ke situ jugalah kalau mereka hendak tafsirkan pun. Majaz dan kinayahnya ke situ jugalah. Lalu akhirnya berderailah ketawa terbahak-bahak.

Di dunia ini ada bermacam jenis manusia yang berbagai-bagai nasib. Aku beruntung jugalah walaupun aku dahulu selalu bernasib malang. Seorang budak kampung yang miskin. Hendak hidup dengan harta pusaka, memang tidak bolehlah. Dua relung sawah peninggalan Tok Wan aku pun direbut bagaikan sekawan anjing berebut seketul tulang. Bergantung kepada nasib sahaja tidak boleh memajukan diri sendiri. Samalah seperti orang-orang yang memakai topi keledar menulis nombor damacai untuk mengubah nasib mereka. Adakah nasib mereka berubah? Aku berusahalah dengan sedikit ilmu yang Allah berikan dengan membantu murid-murid belajar Bahasa Arab. Aku tidak mengharap banyak pun. Cukuplah untuk membesarkan anak-anak yang semakin besar. Walau ada kalanya ditipu syarikat percetakan yang liat hendak bayar royalti walau sudah larut tarikh perjanjian. Memang itulah resmi duit pun. Semasa sedikit kita bolehlah berjanji untuk berkongsi. Tetapi apabila penuh poket, mereka merasa tidak sanggup untuk memberikan kepada orang. "Mereka menghimpunkan harta lalu menghitung-hitungnya (untuk berbangga kerana mempunyai harta banyak)."

Aku hanya menumpang di rumah Saad. Kisah sedih pilu Saad aku tidak pernah ambil pusing pun. Dia tidak pernah bercerita apa-apa pun kepada aku. Namun, adalah juga sampai ke telinga aku tentang kisah mereka. Semasa di Algeria dahulu dia berkahwin dengan Arab. Apabila tiba waktu dia perlu balik menyahut panggilan pertiwi dia pun baliklah bersama dengan mem Arabnya. Dua tahun di sini, memnya meminta izin untuk pulang ke Algeria. Dengan berat hati Saad membenarkan isterinya pulang bersama anak tunggal perempuannya. Kisah sedih pun berlakulah. Isterinya mengutuskan surat bahawa tidak mahu lagi pulang ke Malaysia. Kalau mahu meneruskan perhubungan, Saad mesti tinggal bersama-sama dengan mereka di Algeria.

Aku tidak tahulah apa perasaan Saad. Mungkin sama juga dengan perasaan aku. Sedangkan Arab-Arab di sini tidak mahu balik ke negara mereka, mengapa hendak tinggal di Algeria pula. Dengan persekitaran yang berdebu, jalan dan longkang tidak dapat dibezakan, penunjuk perasaan ditembak mati, nilai insaniah hampir ma'dum, mengapa perlu tinggal di sana.

Aku bersalaman dengan Saad. "Aku minta maaf, Saad. Sepanjang aku tinggal di sini, mungkin ada banyak perkara yang hang tak suka. Aku harap hang maafkan aku. Dan banyak juga yang aku tak boleh buat pun." Aku ketawa lagi.

"Apa yang hang tak boleh buat? Sebaliknya aku berikan kebebasan sepenuhnay kepada hang seperti Allah beri kebebasan kepada burung untuk terbang di dada langit." Aku lihat dia seperti terkejut. "Aku tidak pernah kata apa-apa pun. Hanglah yang banyak buat aku ketawa. Buat aku gembira. Aku tidak sangka aku pernah menghalang hang daripada melakukan sesuatu di rumah ini. Kalau ada maafkanlah." Saad bersungguh-sungguh memohon maaf daripadaku.

"Hang bukan Saiful Bukhari." Aku menjawab ringkas. Kah! kah! kah!