Tuesday, July 26, 2011

Pendidikan Bahasa Arab

Kenapa pendidikan? Bukan pengajaran? Sebenarnya ada perbezaan di antara pendidikan dengan pengajaran. Tetapi oleh kerana Saya yang menurut perintah, kita biarkan sahaja perubahan yang dibuat walaupun perubahan itu undur ke belakang.

Pengajaran adalah menyampaikan ilmu kepada orang lain. Matlamat pengajaran akan tercapai sekiranya maklumat daripada guru sampai kepada murid. Misalnya seseorang guru dikira berjaya sekiranya 2+1=2 yang diajar kepada muridnya dapat ditulis semula oleh murid tersebut. Bagi guru bahasa Arab pula, sekiranya muridnya dapat mengulang semula sapaan Sabah Khayr, pengajarannya dikira berjaya.

Namun pendidikan adalah perubahan sikap dan tingkah laku ke arah positif. Murid yang pandai membilang tadi tidak dikira terdidik atau matlamat pendidikan tidak tercapai sekiranya dia berjaya membilang hasil rompakannya seperti di dalam cerita Nujum Pak Belalang. Seseorang murid yang mempelajari bahasa Arab pula tidak dikira terdidik sekiranya tidak dihiasi dengan nilai-nilai yang baik. Atau menggunakan bahasa untuk menipu atau memaki orang lain.

Pendidikan Bahasa Arab memerlukan kaedah dan pendekatan pendidikan yang positif. Di dalam tulisan ini aku ingin menyentuh jugalah tentang kaedah-kaedah pengajaran bahasa Arab yang dilaksanakan di beberapa institusi pengajaran di negara jiran. Dengan kaedah paksaan, dendaan, latih tubi hingga pengsan hanya melahirkan manusia yang hanya bijak berbahasa tetapi tidak bernilai dari sudut kemanusiaan. Manusia-manusia yang dilahirkan menerusi sistem dendaan ini akan bersikap meninggi diri dengan memandang rendah kepada orang lain. Mereka juga sukar untuk diajak berkompromi, bekerjasama dan sukar pula menerima pandangan dan komen orang lain.

Sikap isti'la:' yang ditanam di dalam jiwa mereka hasil pengajaran berbentuk negatif ini membuatkan mereka memandang rendah kepada kebolehan orang lain. Di dalam psikologi sosial, sikap ini dipanggil tindak balas perilaku negatif. Di dalam tindak balas perilaku negatif, anak-anak yang sering dimarahi oleh ibu bapa atau keluarga akan membalas kepongahan itu kepada orang lain kerena mereka tidak berpeluang membalas kemarahan bapa mereka. Begitu juga murid yang didenda, dirotan, diancam, dicerca akan membalas cercaan itu kepada rakannya atau orang lain yang lebih rendah kuasa daripadanya. Sekiranya dia tinggal di asrama, perlakuannya akan dibalas kepada junior-junior atau pelajar-pelajar baru.

Selepas mereka membesar, mereka akan merasa terhibur dengan kesengsaraan orang lain. Tahap empati mereka kurang. Sekiranya mereka makan bersama-sama rakan, mereka tanpa rasa tanggungjawab sosial sanggup untuk meninggalkan meja makan menuju ke kaunter membayar untuk dirinya sahaja. Kesukaran yang wujud di dalam diri mereka membuatkan mereka tidak dapat menerima komen, masukan dan kritikan untuk memperbaiki diri mereka. Mereka melihat komen atau aduan atau maklum balas sebagai ancaman yang akan merendahkan martabat mereka, bkan sebagai peluang untuk membaiki diri sendiri.

Tetapi kurikulum bahasa Arab di Malaysia sudah jauh maju ke depan. Pendidikan bahasa Arab mensepadukan pengetahuan dengan pengisian nilai, penggunaan teknologi, pendidikan kendiri dan berkumpulan, kecerdasan pelbagai, kajian masa depan supaya murid yang mempelajari bahasa Arab dapat menjadi insan yang diterima baik di dalam masyarakat. Mereka tidak menjadi ancaman kepada ekologi sosial sebaliknya akan menjadi penyumbang ke arah keseimbangan dan kemakmuran masyarakat, biar di mana pun mereka berada.

Justeru, pendidikan bahasa Arab bukanlah hanya memperkenalkan mubtada dan khabar, pelaku dan objek, konsonan dan vokal, tetapi pendidikan bahasa Arab haruslah menyubur nilai yang baik di dalam jiwa murid agar menjadi insan mulia.

No comments:

Post a Comment