Sunday, August 21, 2011

Selamat Hari Raya

Memang seronoklah menyambut hari raya. Bagi sesetengah oranglah. Bagi yang belum ada tanggungjawab macam anak-anak aku mereka seronoklah hendak beraya. Bagi yang usia di penghujung-penghujung julai ini, lebih baik kalau tidak ada hari raya. Kerana hari raya membawa erti terpaksa mengoyak poket kiri dan kanan.

Bulan puasa ini derita bercampur duka. Beberapa peristiwa yang mengalirkan air mata aku. Pertama kematian yang menjemput teman sehadari, Kamal. Kamal adalah seorang insan yang amat baik. Beliau tidak banyak bercakap walaupun menyertai kelab sembang kami. Aku selalu jugalah membelek telefon N8nya. Sebab aku tidak mampu untuk memakai telefon hebat-hebat begitu. Keinginan aku aku lepaskan dengan membelek telefonnya.

Achai memberitahu aku Kamal kemalangan entah puasa ke berapa. Disebabkan kesibukan aku, aku tidak sempat melawatnya pun di hospital. Aku hanya tahu dia baik-baik sahaja bilamana Ustaz Zaki bercerita bahawa dia masih boleh minum ayaq preng di hospital. Dan aku terkejut bila Achai telefon aku mengatakan Kamal meninggal pada suatu pagi ketika aku berada di Subang. Aku bergegas pulang walau ketika itu aku ada kerja penting kerana kawan lebih penting daripada kerja aku pun. Aku mengunjungi Hospital Kajang ketika jenazahnya masih belum dibedah siasat. Aku memberikan penghormatan terakhir kepada beliau sebelum bergegas kembali ke Subang.

Kedua adalah kematian cerpenis dan novelis Azizi Haji Abdullah. Walaupun dia tidak mengenali aku dan aku pun bukan mengenalinya dalam bentuk hubungan luaran, namun hubungan roh aku dengan beliau amat mesra dan rapat. Aku mula mengenalinya dengan Seorang Tua di Kaki Gunung. Aku rasa novel itu cukup kuat. Aku tidak pernah belajar novel itu sebagai sastera wajib. Budak sekolah Arab macam aku mana ada subjek sastera. Tetapi minat aku kepada buku membuatkan aku membaca buku apa sahaja. Bukan tidak ada novel lain. Namun STDKG amat kuat mencangkam di dalam jiwa aku. Apatah lagi semasa aku tinggal di Kulim, aku sering merentasi Gunung Bongsu yang menjadi latar novel tersebut. Aku terus menjadi mesra dengan Azizi dan karya-karyanya.

Novel tersebut pernah dijadikan drama yang mana watak Tukyanya dilakonkan oleh Tamam Idris. Namun seperti kata Gabriel Garcia Marquez, novel yang difilemkan akan kurang kesannya. Aku masih suka mengulang STDKG sehingga kini. Bukan sebuah novel itu sahaja, terdapat cerpen-cerpen beliau yang kadang kala mencabar akal seperti Sami Mekong. Menceritakan kisah kemalangan yang meragut nyawa sepasang suami isteri. Anak perempuan pasangan tersebut bernama Rohani dipelihara oleh orang Melayu manakala lelaki dipelihara oleh orang Siam, lalu jadilah anak lelaki tersebut seorang sami yang bernama Mekong.

Novel-novelnya juga banyak menjadi koleksi aku di rumah. Ayahanda, Kawin-kawin, Sangeetha, Wi dan William dan banyak lagi. Terdapat sebuah novelnya telah mengubah hidup aku sebagai seorang guru. Memoir seorang guru mengajar aku supaya tidak lagi menjadi guru (muallim), tetapi seorang guru harus memahami masalah muridnya. Guru harus menjadi muaddib di mana watak-watak murid yang juling, yang tersungkap, yang tidak tahu membaca tetapi selalu menolong dan berjamaah di surau membuat aku benar-benar insaf bahawa guru tidak boleh menjadi pongah tidak tentu fasal.

Semoga Allah merahmati Allahyarham. Kesedihan dan kepiluan aku kepada kedua-dua insan ini membuatkan aku mula meghitung, bila detik kematian aku akan tiba. Supaya aku dapat bertemu pula dengan mereka di sana. Aku mahu bertemu dengan Tok Wan aku yang telah pergi. Aku mahu bertemu dengan Arman yang pergi tanpa sempat berpesan apa-apa. Aku mahu berjumpa dengan Allahyarham Pak Din, bekas DJ Radio Alor Setar. Aku mahu bertemu dengan Kamal. Aku mahu bertemu dengan Allahyarham Azizi di sana.

Raya akan tetap datang. Dan aku menghitung hari untuk blik kampung. Hendak mengharungi kesesakan lebuhraya satu hal. Apabila sampai di kampung kesesakan di kampung pun satu hal jugak. Tempat rehat yang terhad dengan sumber air yang terhad agak menyesakkan kepala apabila aku fikirkan.

Buat rakan-rakan, Selamat Hari Raya aku ucapkan. Ampun dan Maaf atas silap dan salah. Ampunkanlah daku sebelum aku ikut jejak langkah gemulah-gemulah yang telah pergi.

No comments:

Post a Comment