Sunday, October 30, 2011

Kisah Shahwat Lagi

Ada benda lain sebenarnya yang hendak aku catatkan. Bukanlah pasal shahwat ini. Tetapi setelah berpindah dari blog ke blog, dari forum ke forum, aku terjumpa sebuah forum tentang shahwat ini.

1. Wanita yang meninggal dunia sebelum berkahwin. Wanita yang meninggal dunia sebelum berkahwin akan dikahwinkan oleh Allah SWT di syurga kelak dengan seorang lelaki di kalangan ahli syurga. Rasullullah SAW bersabda ‘ Tiada si bujang di dalam syurga’ (Muslim). Ini kerana ada juga lelaki belum berkahwin yang meninggal dunia.

2. Wanita yang meninggal dunia setelah diceraikan dan tidak berkahwin sesudahnya. Wanita ini juga akan dikahwinkan oleh Allah SWT dengan lelaki daripada ahli syurga.

3. Wanita yang meninggal dunia sedangkan suaminya tidak masuk syurga. Begitu juga wanita yang meninggal dunia yang masuk syurga sedangkan suaminya tidak masuk syurga, akan di kahwinkan oleh Allah dengan serorang daripada lelaki yang masuk syurga.

4. Wanita yang meninggal dunia setelah berkahwin. Wanita ini akan berada bersama suaminya di syurga kelak sekiranya suaminya masuk syurga.

5. Wanita yang kematian suami dan tidak berkahwin sesudahnya. Wanita ini akan tetap bersama suaminya yang dikahwini di dunia sekiranya suaminya masuk syurga.

6. Wanita yang kematian suami dan berkahwin sesudahnya. Wanita yang kematian suami dan berkahwin lain akan bersama lelaki yang terakhir dikahwininya di dunia tidak kira berapa kali dia berkahwin. Suami yang terakhir adalah suaminya di syurga sekiranya suami itu menjadi ahli syurga.

Rasullullah SAW bersabda.. ‘wanita adalah kepunyaan suaminya yang terakhir.

Wallahualam...

Aku teringat kembali perbualan kosong aku dengan sahabat-sabahat di pejabat tentang kehidupan selepas mati. Aku pun bukan tahu sangat tentang hal-hal akhirat nanti. Siapa yang pernah pergi akhirat. Bak kata Dr M, apakah ada orang PAS yang telah mati kembali ke dunia memberitahu bahawa dia memilih jalan yang benar? Aku juga ada membaca tentang kehidupan selepas mati ini dalam buku al-Tazkirah oleh Qurtubi. Dan juga membaca pengkritik buku ini yang mengatakan bahawa tanda-tanda yang disebut oleh Qurtubi ini sebenarnya telah pun berlaku dalam zaman Abassiyah. Misalnya tentang kerajaan al-Sufiyaniyyah yang bakal muncul sejurus sebelum kiamat.

Sebelum kita berfikir tentang kiamat ini, mari kita fikir dahulu tentang hidup dan mati. Kenapa kita hidup dan kenapa kita mati. Antara keseronokan hidup adalah bershahwatlah. Tetapi bershahwat itu ada matlamatnya. Allah mencipta shahwat ini adalah untuk kesinambungan dunia. Manusia perlu bershahwat untuk melahirkan manusia. Supaya terus memakmurkan hidup dan dunia ini. Dan shahwat ini pula harus disalurkan dengan cara yang betul. Memelihara keturunan (Hifz al-Nasab) termasuk dalam Maqasid Syariah Islam. Justeru, tidak boleh bershahwat sekiranya belum diakadnikahkan.

Tetapi sesudah mati, apa gunanya shahwat ini? Adakah Allah memberikan lagi nikmat shahwat ini? Untuk apa? Untuk menambah keturunan dalam syurga? Ada juga yang berpendapat bahawa lelaki akan mendapat bidadari yang diinginkan. Terlintas sahaja di fikiran wajah jelitawati mana, maka muncullah bidadari tersebut di sebelah bersedia untuk bersenggama. Si isteri pula bagaimana. Dalam doa bulan Ramadhan pun disebut bahawa "bihuurin mutazawwijin" dengan diaminkan oleh para muslimat di balik tirai merestu para muslimin berkahwin dengan bidadari. Ideologi shahwat yang tidak terhenti ini boleh dilihat dalam Jamaah al-Arqam. Khadijah Aam yang sudah monopause itu pun masih menginginkan untuk bersenggama dengan Syeikhul Arqam di alam roh, bahkan menurutnya bersenggama di dalam roh lebih sedap dan nikmat lagi. Bersenggama di dalam roh tidak sama dengan bersenggama di alam yakin, kerana bersenggama di alam roh boleh dilakukan secara berjamaah pula.

Persoalan seterusnya adalah Maqasid Syariah. Sekiranya Maqasid Syariah itu adalah memelihara keturunan manusia di dunia, adakah maqasid itu juga berlaku di akhirat? Persoalannya begini. Zina diharamkan kerana untuk memelihara keturunan di dunia. Oleh itu, di alam akhirat nanti apakah maqasid syariah itu? Perlakuan shahwat pula merupakan nikmat Allah untuk meramaikan ummat sebagai khalifah di dunia. Apakah shahwat juga diperlukan di akhirat untuk meramaikan ummat di syurga pula?

Seterusnya adalah berkaitan dengan ahli neraka. Apakah kerana mereka itu menjadi ahli neraka, maka nikmat untuk bersenggama dilucutkan oleh Allah daripada mereka? Atau kerana mereka sudah puas bersenggama di dunia ini, maka mereka diharamkan nikmat itu ketika di neraka? Sekiranya mereka juga masih mempunyai keinginan shawat, dengan siapa pula mereka akan bersenggama?

Aku bukanlah ahli hadis. Jauh sekali ahli tafsir untuk memperkatakan hal ini. Sebenarnya dalam perbualan tersebut aku tidak menjawab pun persoalan mereka. Aku hanya melemparkan keraguan ini supaya mereka dan aku sama-sama mencari jawapan. Namun mengikut gerakan naluri aku, kehidupan di akhirat tidak boleh dikias dan dibandingkan dengan kehidupan dunia. Kehidupan dunia adalah untuk memenuhi kewajipan (daruriyyat), keperluan (hajiyyat) dan juga kehendak (kamaliyyat). Ketiga-tiga perkara ini dibutuhi oleh semua manusia. Untuk memenuhi kebutuhan ini, manusia perlu menghormati pemeliharaan agama, keturunan, harta dan jiwa orang lain supaya dalam pemenuhan kebutuhan tersebut kita tidak melanggar agama, keturunan, harta dan jiwa orang lain.

Manakala kehidupan di akhirat perlu dinilai dengan neraca yang lain. Aku harap ada sabahat-sahabat yang pakar tentang shawat di akhirat nanti dapat memberikan pendapat dan pencerahan tentang perkara ini.

Perkara kedua adalah tentang Tafsir, Hadis dan berbagai-bagai pendapat yang disandarkan kepada agama dalam internet ini. Apabila disebut tentang tafsir, hadis atau apa sahaja pendapat sama ada dari mufti, bekas mufti, tokoh penceramah selebriti TV, pakar kepala bana apa, semuanya perlu dibaca menggunakan ilmu yang sebenar dan dirujuk kepada sumber utama. Rajin-rajinlah membuka semula kitab hadis, tafsir dan juga kitab-kitab yang beribu-ribu naskhah di rumah. Aku sedihlah dengan rakan-rakan yang mula melelong kitab mereka di mudah.my kerana mereka berpendapat bahawa buku-buku tersebut hanya menyempit ruang mansion mereka sedangkan dapat digantikan dengan maklumat di internet.

Usahlah juga menjadi seperti pejuang-pejuang Islam yang berblog dalam alam maya ini. Kononnya mereka pejuang Islam, pejuang Hudud, pejuang Syariah Islam, tetapi ilmu Islam mereka tidak setakat mana pun. Ada juga yang mendakwa sebagai ulama, tetapi hanya mempunyai Phd dalam Persuratan Melayu. Bahkan yang menambah "Al" di pangkal nama mereka pun, hanyalah berkelulusan Kejuruteraan Elektronik dari UTM. Apabila tidak ada roh Islam sebenar dalam jiwa mereka, dan Islam mereka hanyalah Islam ikut-ikutan, jadilah mereka golongan "al-Tadayyun al-Manqus." Bahasa caci maki menjadi bahasa ratib dan zikir mereka. Mereka akan mudah melabel golongan oposisi mereka dengan pelbagai label jijik dan lucah dan maki hamun. Mereka jugalah yang menubuhkan NGO Islam kononnya dengan nama-nama Islam contohnya Ikatan Muslim Sedar, Golongan Islam Moden dan nama-nama Islam lain yang akhirnya berjuang dengan golongan perkauman seperti PERKASA. Kekurangan ilmu dalam memahami prinsip dan fundamental Islam menyebabkan mereka mudah terjerat dengan isu yang dimainkan oleh golongan oportunis.

No comments:

Post a Comment