Tuesday, January 31, 2012

Februari Muncul Kembali

Hari ini saya membelek FB. Meneliti komen rakan-rakan dan menyemak status mereka. Ada yang menukilkan lirik Februari:

"Gurindam dan irama
Tidak lagi ku hiraukan
Setelah api cinta terpadam
Apa yang tinggal kini
Hanya sisa kesal kelmarin
Menjadi simfoni mendayu
Pada setiap malam minggu

Setahun sudah berlalu
Februari muncul kembali
Dengan kehangatan semalam
Tanpa ku sedari

Ku petik mawar merah
Ku tulis sekuntum puisi
Tapi sayang pada siapa kan ku beri

Kesepian memaksa
Ku lihat wajah di cermin
Terpandang aprut di muka ku
Bekas cinta yang lama
Apakah tidakkan hilang
Kesan cinta yang terus mendatang
Bermain di jiwa ini".




Hadiah hari jadi daripada Hassiba, Hassina dan Hannan.







Februari datang lagi. Awal-awal saya menerima sms daripada Shahida mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada saya. Tidak ramai yang tahu hari lahir saya yang sebenarnya. Orang yang pertama tahu ialah emak sayalah. Kedua adalah emak saudara saya Siti Aishah. Yang ketiga adalah isteri saya. tetapi dia pun tidak berapa yakin dengan tarikh ini. Selalu konfius, sama seperti tarikh perkahwinan kami juga. Saya mempunyai beberapa tarikh lahir. 1 Februari iaitu tarikh sebenar. 3 Februari tarikh pendaftaran rasmi dalam sijil lahir. 19 Muharram 1395 kalau dalam Tahun Islamnya.

Begitu juga ulang tahun perkahwinan kami. Dalam sijil nikah dinyatakan 23 Januari. Tetapi kenduri kahwinnya adalah pada 10 Februari. Kalau ikut Tahun Islam pula, hari kenduri kahwin itu adalah pada hari raya kedua. Tetapi best juga mempunyai banyak tarikh ni. Sekiranya saya terlupa dan isteri marah-marah kerana saya sering lupa tarikh, saya beritahu dia tarikh yang satu lagi. Memang saya bab-bab ulang tahun ini saya gagal sedikit. Sukar untuk hendak ingatkan apa-apa tarikh pun. Rancangan TV pun saya jarang ingat. Walau anak saya sekarang suka menonton cerita monyet cina, saya tidak pernah tahu cerita itu hari apa dan selalu lupa. Cuma semasa di Jordan dulu, saya selalu ingat satu cerita yang ditonton bersama Bed BOMBA, Fuad, Wahid dan angkatan-angkatan lain. Cerita itu tidak lain dan tidak bukan adalah Dream On (كما بالأفلام) pada hari Syisyi di TV Israel 1. Saya fikir ramai yang ingat cerita ini. Selain itu, memang saya lupa. Allah tidak mengurniakan ingatan yang kuat kepada saya berkenaan tarikh dan hari ini. Ingatan saya hanya boleh dipercayai kalau dalam bab tempat dan peta. Saya boleh ingat tempat walau saya hanya pernah pergi ke tempat itu dalam mimpi. Sungguh!




















Kad Hari Jadi daripada Hassiba dan Hassina


Saya mengucapkan syukurlah kepada Mark Zuckerberg kerana mencipta aplikasi tarikh hari jadi dalam Facebook. Dari situ saya tahu hari lahir kawan-kawan dan mengucapkan selamat hari lahir kepada mereka. Setakat mengucapkan hari lahir apalah yang ada. Mungkinlah dapat meningkatkan penghargaan kepada individu. Namun kesannya cukup besar. Saya akui itu. Murid-murid saya boleh dijinakkan selepas diberi penghargaan dengan menghembus lilin dan memotong kek bersama mereka. Cuma seorang sahaja yang tidak berubah walau diberi kek, menghembus lilin dan menyuap kek dalam mulutnya. Hanya kerana sekepal pulut, dia bermusuh dengan saya sehingga kini. tapi dia bukan muridlah. Hanya yang mengerti dan menyaksi sahaja memahami tragedi pulut kuning ini. Yang menyejukkan hati saya apabila rakan-rakan memberitahu bukan tragedi pulut sahaja yang mencipta permusuhan, tetapi tragedi capati, tragedi tepung goreng, tragedi lemang dan perkara-perkara yang kecil-kecil pun boleh memarakkan api permusuhan. Saya berdoa semoga saya boleh berubahlah. Susahlah kalau saya menyangka saya sahaja yang betul dan orang lain salah belaka. Kalau yang cemerlang hanya seorang daripada lima, apa lagi yang hendak dibanggakan.

Sempena Februari ini juga, saya ingat kembali cerita Mustafa. Mustafa yang dihalau dan dicerai talak tiga oleh isterinya. Ramai yang ketawa dengan cerita saya itu. Mana mungkin suami dicerai oleh isteri. Dalam Islam mana mungkin berlaku. Melanggar fitrah dan juga hukum. Namun perkara itulah yang terjadi. Isteri menghalau suami dengan taburan garam benar-benar berlaku. Berlaku pula kepada orang-orang sekeliling kita. Juga kisah-kisah shahwat habis madu sepah dibuang. Apabila berkahwin hanya untuk bershahwat sahaja, sesudah bersiput babi, maka ditinggalkan begitu sahaja tanpa ada tanggung jawab apa-apa. Memang kalau hendak difikir, pendek umur dan semakin botak kepala yang sememangnya sudah jarang rambutnya ini.

Tahun ini saya menolak pelawaan untuk mengajar di masjid, berceramah sana sini. Ceramah sana sini pun, bukan siapa hendak dengar pun. Setakat melopong dan kemudian tidak ada apa-apa tindakan, saya hanya boleh mengira duit dalam sampul sahajalah. Kesannya tidak ke mana. Justeru, saya mengatur program membuat program berterusan bersama SMK Jalan Bukit, Kajang, SMK Dato' Abu Bakar Baginda dan SAM Bandar Baru Salak Tinggi. Kira jadual saya penuhlah setiap Sabtu. Biarlah saya tidak rehat kerana rehat hanya membuat saya rasa ajal semakin cepat dan laju. Target saya memang gila dan tidak logik langsung. Bahasa Arab di SMK Jalan Bukit dan SMK Dato' Abu Bakar Baginda 100% A. Dan di SAMBBST pula saya target 150 orang A daripada 173 murid. 20 mendapat B dan 3 mendapat C. Saya mencabar diri saya supaya mencapai target ini. Insya Allah dengan bantuan Ustaz Zaki di Jalan Bukit, Ustaz Sakinah di Dato' Abu Bakar Baginda dan Ustaz Jamriah dan Ustazah Mahfuzah di SAM BBST, kami boleh buktikan bahawa Bahasa Arab seronok dan mudah dipelajari.

Bukan mudah untuk menukar pemikiran kita. Pemikiran qanaah tidak tentu pasal merupakan faktor penghalang kepada kejayaan. Saya pernah bertanya Ustaz Zul dari SBPI Gopeng tentang prestasi Bahasa Arab di sekolah beliau. Beliau menjawab: Teruk! Saya bertanya: Teruk bagaimana? Dia menjawab: Teruk kerana hanya 70% murid mendapat A. Saya juga pernah bertanya kepada rakan-rakan yang qanaah mereka setinggi Gunung Kinabalu. Bagaimana prestasi Bahasa Arab di sekolah anta? Beliau menjawab: Alhamdulillah. Tahun ini hanya 34 murid yang gagal. Sebelum itu? Sebelum itu 75. Nah! bagi saya 75 innalillah, 34 pun innalillah. Kita melihat sesuatu dengan perspektif berbeza walau data dan kisahnya sama. Seperti bertanya kepada sang suami: Berapa kali encik mengadakan hubungan seks dalam seminggu. jawapannya: Oh! Jarang sekali. Yalah jarang. Berapa kali. 3 kali. Apabila ditanya kepada isterinya pula: Berapa kali puan mengadakan hubungan seks dengan suami? Jawabnya: Amat kerap sehingga tidak terlayan. Kadang-kadang saya amat letih tetapi dia tetap mahukan. Saya hendak tanya puan berapa kali. Tiga kali jawabnya. Kita perlu berbincang untuk meletakkan sasaran kita agar kita dapat mencipta kejayaan dengan mengubah persepsi serta mempunyai pemikiran cemerlang.

Terdapat juga rakan-rakan yang mengatakan bahawa murid mereka bukanlah 5A untuk mendapat lurus A dalam PMR. Hasil pemerhatian saya di SAM Hishamuddin mendapati bahawa terdapat 9 murid mendapat 9A walaupun keputusan UPSR mereka hanya 3A. Terdapat 3 murid yang mendapat 9A walau UPSR mereka hanya 1A dan 2A. Ini menunjukkan bahawa belakang parang kalau diasah lagikan tajam. 5A atau berapa A pun boelh dibentuk untuk mendapat Lurus A sekiranya kita sedia belajar dan tahu selok-belok sepak terajangnya.

Tahun ini saya berazam untuk menerbitkan beberapa karya walau karya-karya sebelum ini tidak menjadikan saya kaya pun. Dipusing dan diberi alasan macam-macam oleh penerbit merupakan sebahagian asam garam hidup ini. Saya memakai falsafah saduran "Saya Menulis, Justeru Saya Hidup". Keseronokan diri dan penghargaan diri terasa apabila melihat nama kita terpampang di kedai buku Kinokuniya, MPH dan gedung-gedung kitabkhaneh. Cuba tanya Ustaz Yazid, apa perasaan dia selepas menerbitkan novel. Tentunya dia bangga lebih-pebih lagi boleh bergambar dengan gadis-gadis jelita yang cuba berdamping dengan penulis terkenal sepertinya.

Monday, January 23, 2012

Bertemu Semula

Entah bagaimana, merayap tidak ketahuan hala dalam internet, lalu menjumpai semula karya-karya usang ditelan zaman dan rasional. Rupa-rupanya laman itu diupayakan semula oleh Reocities. Meneruskan kegilaan, saya poskan semula karya-karya usang tersebut walau saya rasa karya-karya itu sudah tidak lagi relevan dengan keadaan masa kini.

Cuma memikirkan bagaimana hendak mengedit semula lama tersebut kerana nama daftar masuk dan kata laluannya sudah saya lupa pun. Mungkin Ustaz Akhimizi boleh menolong saya. Saya difahamkan beliau juga mempunyai banyak tulisan di Geocities suatu ketika dahulu.

http://www.reocities.com/Eureka/Promenade/2988

Alahai Ceri Yang Dilupakan

Cerpen terjemahan oleh Zakaria Tamer Ya Ayyuha al-Karaz al-Mansiy

KAMPUNG kami bersipongang apabila mendengar khabar bahawa Umar Kassim
telah menjadi seorang menteri. Dan, inilah kampung kami pun alahai
Umar! Masih lagi seperti dahulu. Penuh dengan bunga-bunga debu dan
rumput-rumput yang kekuningan serta sungai-sungai yang dipenuhi oleh
anak yang tidak berkasut.

Umar pongah seketika. Namun, dia berkata kepada ibunya: "Tiada guna
ibu menangis. Anakmu ini bukan pergi ke tali gantung pun."

Ibunya menyapu air mata dengan jari-jarinya. Dengan nada yang
tersekat-sekat, dia berkata kepada Umar: "Aku tidak ada sesiapa lagi
di dunia ini kecuali engkau. Jagalah kesihatanmu alahai anakku! Desa
adalah penyakit. Desa adalah kekotoran. Kasihan engkau. Seandainya
kita kenal seseorang, pastinya engkau tidak akan dihantar ke sana."

Umar berkata kepada ibunya dengan penuh yakin: "Usahlah ibu bimbang.
Anakmu ini bukanlah kaca yang mudah pecah."

Kampung kami bermandikan kegembiraan dan mengalu-alukan berita yang
disiarkan melalui radio. Umar Kassim telah menjadi menteri. Maha suci
Allah yang memberi tanpa menyoal. Benarlah kata orang : sesiapa
berusaha akan berjaya.

"Menteri buat apa?"

"Dia akan diberi kereta yang lebih indah daripada gadis-gadis genit."

"Dia akan mendapat gaji pada setiap hujung bulan."

"Dia boleh makan daging biri-biri setiap harilah."

"Ketika dia melangkah masuk ke dalam bangunan kementeriannya,
pegawai-pegawainya akan menggeletar dan memberi salam kepadanya
seolah-olah dia Nabi Isa yang turun dari langit."

"Apa yang disuruh akan dibuat. Dia suruh hujan turun, hujan akan turun."

"Kalau dia suruh taukeh, adakah taukeh akan taat?"

Mata khalayak di kampung kami terjegil memerhati seorang pemuda yang
turun dari perut bas yang tiba dari Damsyik. Kepalanya menojah langit.
Matanya lembut dan tajam pada ketika yang sama. Dia memberi salam
kepada kami bagaikan dia salah seorang daripada keluarga kami yang
telah lama hilang dan jengul kembali. Dia berkata namanya Umar Kassim.
Dia guru sekolah yang baru.

Seorang daripada kami berkata: "Kita patut pergi ke Damsyik untuk
mengucapkan tahniah kepada Umar."

Seorang lain pula berkata dengan penuh semangat: "Kita patut pergi
semua, lelaki dan wanita dan kanak-kanak."

Tiba-tiba yang ketiga pula menyampuk: "Lembu-lembu dan kambing-kambing
dan ayam-ayam dan arnab-arnab patut juga dibawa."

"Semua cadangan itu baik-baik belaka. Tetapi, siapa yang akan membayar
tambang bas? Adakah kita semua akan berjalan kaki ke sana?" celah
seorang yang lain.

Keadaan yang bercempera tadi menjadi senyap seketika. Seorang lelaki
tua tampil ke hadapan dan berkata: "Cukuplah seorang sahaja daripada
kita yang pergi untuk mengucapkan tahniah mewakili kampung kita.
Tahulah dia keadaan kita dan tentunya dia tidak marah kepada kita."

"Tetapi, siapa yang hendak pergi?"

Orang tua itu berkata: "Pilihlah sesiapa yang kamu suka. Abu Fayyaz misalnya."

Abu Fayyaz cuba menolak, tetapi suara-suara kami lebih kuat.

"Kau yang paling bijak."

"Kau yang lebih tua."

"Kau petah berbicara walaupun dengan raja."

"Dulu Umar sayang akan kau."

"Dia selalu minum teh di rumah kau."

"Dia suka percakapan kau."

"Dia rakan kau."

Abu Fayyaz berkata: "Tetapi Umar juga sahabat tuan-tuan. Dia juga
sayang akan tuan-tuan. Adakah tuan-tuan sudah lupa?"

Umar memandang kepada budak-budak yang senyap di atas kerusi. Dia
berkata kepada mereka: "Saya cikgu kamu yang baru. Nama saya Umar.
Umar Kassim. Saya suka akan murid yang tekun. Orang-orang yang malas,
lebih baiklah mereka menjauhkan diri mereka daripada kemalasan. Kalau
tidak…"

Seorang lelaki yang sudah pun beruban menjulang anaknya yang baru
lahir sambil berkata di dalam hatinya: "Aku akan namakan dia Umar,
seperti nama datuknya juga". Dia memandang ke arah isterinya yang
terkedang sambil ketawa. "Kalau dia tahu apa yang akan menunggunya,
tentu dia tidak mahu dilahirkan. Hari aku mati nanti, aku tidak akan
mewariskan apa-apa kepadanya kecuali bajuku ini," kata lelaki itu
kepada isterinya.

Kami berkata kepada Abu Fayyaz: "Usahlah kau menolak. Kau akan pergi
ke Damsyik. Kau akan mencium tangan Umar dan akan mengucapkan tahniah
kepadanya."

Abu Fayyaz pun mengalah dengan kehendak kami. Dia mengangguk-anggukkan
kepalanya tanda setuju.

Ketua kampung kami berkata kepada Umar: "Cikgu! Sampai sekarang cikgu
masih belum melawat taukeh."

"Haruskan saya melawatnya sedangkan saya tidak mengenalinya dan dia
juga tidak mengenali saya?" balas Umar.

Ketua kampung kami berkata lagi: "Bijaksana penting. Taukeh akan
menolong cikgu. Semua tanah yang cikgu lihat di sini adalah kepunyaan
taukeh."

"Ayah dan ibu saya tidak pernah mengajar saya akan kebijaksaan dengan
taukeh. Tugas saya di sini adalah mengajar kanak-kanak membaca dan
menulis," potong Umar dengan pantas.

"Katakan kepada Umar kita masih lapar!"

"Lapar semakin bertambah!"

"Hampir-hampir makan batu!"

"Beritahu dia tentang serangga yang memakan kita!"

"Dan tentang daging yang sudah kita lupa rasanya!"

"Tentang penyakit-penyakit kita!"

"Katakan sahaja kita perlukan doktor dan ubat!"

"Kita perlukan air ang bersih untuk diminum!"

"Katakan padanya tentang kerinduan kita pada cahaya elektrik!"

"Tentang taukeh dan perlakuanya juga!'

"Kita menanam dia menuai!"

Ketua polis berkata kepada Umar: "Demi Allah, cikgu! Aku anggap kau
seperti adikku sendiri. Aku cuma ingin menasihati engkau. Kau bebas.
Kalau mahu, kau ikut. Kalau tidak, lontarkan sahaja nasihatku ini ke
belakangmu. Kau selalu bersama-sama peladang-peladang. Sebagai guru,
kau tidak patut bersama-sama mereka. Guru ialah personaliti yang
dihormati."

"Peladang-peladang itu baik," kata Umar.

"Kau bercakap sesuatu kepada mereka. Kalau taukeh dengar, taukeh akan
marah. Kalau taukeh marah, tuhan sahaja yang tahu apa akan terjadi,"
balas ketua polis.

Seorang pemuda menjerit: "Dengar sini! Kalau Abu Fayyaz hendak pergi,
dia patut membawa hadiah kepada Umar."

Suara-suara kami terus bersipongang. Bersetuju.

"Tapi apa hadiahnya?"

"Kambing-kambing dan ayam-ayam!"

"Hadiah ini tidak sesuailah."

"Apa hadiahnya yang sesuai?"

Sebaik-baiknya sebakul ceri kampung kita," kata Abu Fayyaz. "Masihkan
kamu semua ingat betapa Umar suka akan ceri kampung kita. Dia selalu
memuji warnanya yang merah. Merah itu kepenatan kita. Darah kita."

Kami semua bersetuju dengan Abu Fayyaz.

Dahulu Umar pernah berkata: "Kezaliman tidak akan berkekalan."

Katanya lagi: "Bagaimana kamu menerima hidup yang hina ini?"

"Mata kami hanya mampu melihat. Tetapi tangan kami pendek," jawab kami.

"Tangan pendek sebab hati pengecut," balas Umar dengan cenge.

Malam yang terang-benderang menjelma. Kampung kami tidur dengan
sejahtera. Kami semua sudah lama hidup dibelenggu kemiskinan.
Tubuh-tubuh kami terhegeh-hegeh menanti hari-hari bahagia ketika
mendengar kata-kata Umar seolah-olah dia hidup untuk selam-lamanya di
hati-hati kami dan hati-hati gemulah kami juga.

Ketika matahari naik di kampung kami, orang lelaki dan perempuan dan
kanak-kanak berhimpun mengepung bas yang akan berangkat ke Damsyik.

Sebelum Umar memasuki perut bas, dia berkata: "Taukeh mempunyai
kedudukan yang tinggi dan dihormati di Damsyik. Dia telah menukarkan
saya daripada kampung tuan-tuan kerana saya tidak menjadi baruanya dan
kerana saya sayang akan tuan-tuan. Hari yang akan membebaskan
tuan-tuan daripada taukeh dan rakan-rakannya bukanlah jauh. Bahkan
terlalu hampir. Tuan-tuan sendiri akan menyaksikannya. Bukan
cucu-cicit tuan-tuan. Tanah-tanah yang tuan-tuan kerjakan sekarang
akan menjadi milik tuan-tuan."

Dan Abu Fayyaz pun menaiki bas bersama-sama sebakul buah ceri yang
merah menyala.

Ketika matahari hampir terbenam, kami mendengar bunyi bas datang dari
Damsyik. Kami bergegas ke sebuah padang yang lapang. Abu Fayyaz turun
dari bas yang tiba dengan wajah yang kemasai dan renggeh. Tangannya
masih kukuh memegang bakul buah ceri.

"Kau tidak jumpa diakah?"

"Apa dia kata pada kau?"

Abu Fayyaz diam seolah-olah dia bisu semenjak dilahirkan. Dia
meletakkan bakul yang masih penuh berisi buah ceri ke tanah. Dia mula
msuaranya yang serak kepada budak-budak: "Mari sini! Makanlah buah
ceri ini! Dan bilamana kamu besar nanti, jangan pula kamu lupa akan
rasanya!"

Kemudian dia berjalan menuju ke rumahnya. Kami membuka laluan supaya
dia dapat bergerak. Kami terus bertanya Abu Fayyaz: "Cakap dan
beritahulah kami apa yang akan terjadi!"

"Umar sudah mati," kata Abu Fayyaz.

Kami semua menjadi marah bagaikan ibu kami telah mati. Sementara Abu
Fayyaz pula terus berjalan. Belakangnya semakin renggeh dan renggeh.

Waktu Percintaan Waktu Kematian

Cerpen terjemahan زمان الحب زمان الموت
Karangan أحمد منور
Dalam Majalah al-Arabiy


DARI satu kaki lima ke satu kaki lima lain. Dari satu kedai ke satu
kedai. Dia terus keluar masuk mencari kasut yang sesuai. Baginya kedai
kasut menjual kasut di bandar kasut di bandar itu terlalu sedikit.
Boleh dibilang dengan jari sahaja. Dia menyeberang Jalan Mahadi.
Sekali-sekala terdengar hon-hon galak menyalak ke arahnya. Dia tidak
peduli. Telinganya dipekak-badakkan. Bilamana terdengar pekikan hon
kereta, dia berlari-lari anak supaya cepat sampai ke seberang sana.
Dari Jalan Mahadi dia menyusur kedai demi kedai. Akhirnya dia
berpindah pula ke Jalan Dardosh.

"Barangkali di sana ada pilihan lain. Mana tahu. Tuhan sahaja yang
tahu,” katanya di dalam hati.

Tiada juga kasut yang menambat hatinya. Ketika dia berjalan pulang ke
Jalan Mahadi, dia terpandang sebuah kedai kasut. Adalah kira-kira 30
meter sahaja di depannya.

"Biarlah aku masuk sekali lagi ke dalam kedai ini. Tidak mengapalah
sebelum aku balik.”

Dia memandang kasut-kasut yang ternaring di atas rak. Tiba-tiba
pandangannya jatuh ke atas sepasang kasut. Bertumit sederhana. Putih
pula warnanya. Dia mencapai kasut itu dan dibelek-beleknya. Direnung
jahitannya. Dan yang paling penting, jenamanya. Ukiran bunga Lotus
yang terletak di tengah kasut itu menambahkan lagi seri kasut itu.
Bagai tanduk bersendikan gading pula lagaknya.

"Mengapa aku tidak melihatnya tadi? Barangkali kasut ini baru
diletakkan di sini. Barangkali baru tiba dari kilang. Dan barangkali
juga kasut ini baru turun dari kapal. Barangkali. Barangkali. Harganya
belakang kira. Walaupun mencecah seribu dinar, aku rasa aku masih
mampu.”

Dia memanggil jurujual yang sibuk menyusun kasut-kasut yang dibelek
oleh orang ramai. Dia meminta saiz 39. Saiz kakinyalah. Jurujual itu
menghilang sejenak lalu muncul semula dengan sepasang kasut.
Diletakkan kasut itu di atas lantai. Ditolong-pakaikan ke kakinya.
Senyumannya tergantung di celah dua bibirnya.

"Kasut ini memang khas untuk awak,” kata jurujual itu berbasa-basi.

Dia mengatur langkah ke depan lalu diundur pula ke belakang. Kepalanya
dipulas ke belakang untuk melihat tumit kasut itu. Kasut itu
didekatkan pada cermin yang tersadai di tepi dinding. Setelah
berpuas-hati dihulurkan kasut itu kepada jurujual tadi yang asyik
memerhatikannya. Sambil berjalan ke kaunter, dia masih sempat
mencuri-curi pandangan ke arah kasut yang bergelimpangan di atas rak.
Mana tahu ada kasut lain yang lebih segak. Setelah dia benar-benar
yakin tidak ada kasut lain yang lebih cantik daripada itu, dia mara ke
arah kaunter untuk membayar harganya. Dia memegang beg kasut itu
erat-erat supaya tidak tercicir.

"Tahniah,” kata jurujual itu sambil mengukir sebuah senyuman. Dia
merasakan senyuman itu sama indahnya dengan bunga Lotus yang terpahat
di atas kasut yang dibelinya.

Dia keluar dari kedai itu sambil mengelek beg plastik yang berisi
kasut itulah. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke arah stesen bas
untuk pulang. Sambil berjalan dia meraba-raba beg tangannya. Terlintas
di benaknya bagai ada orang ingin mencuri duitnya. Berbagai-bagai
firasat berlumba-lumba muncul di fikirannya. Duit gaji yang baru sejam
diterimanya akan terbang dalam masa sekelip mata sahaja. Bagaimana dia
akan hidup sebulan lagi. Bagaimana keadaannya dan ibu dan keluarganya
yang agak besar jugalah. Ayahnya sudah lama pergi menemui tuhannya
ketika kampung mereka diserang oleh para pengganas.

Ketika fikirannya bersimpang-siur itulah dia terpandang seorang pemuda
yang dari tadi mengikutinya. Hatinya tenang bilamana dia tahu pemuda
itu adalah jirannya. Dari keluarga baik-baik pula. Pemuda itu masih
lagi menuntut di universiti. Buku-buku di tangan pemuda itu
memberitahunya. Dalam bidang apa tidak pula diketahuinya. Ketakutang
yang bersarang di dalam hatinya bertukar menjadi bunga kebanggan.
Pemuda itu memandang ke arahnya.

"Mana mungkin pemuda mulia begitu boleh memandang kepada anak
perempuan jirannya? Di jalanan pula. Kalau niatnya ikhlas, dia
mestilah masuk melalui pintu,” ke situ pula fikirannya merantau.

Dia menuju ke perhentian teksi yang letaknya bertentangan dengan
stesen bas. Dia melihat pemuda jirannya tadi sedang beratur
bersama-sama ratusan penumpang yang lain. Dari seberang jalan dia
melihat bas kampungnya tiba di perhentian bas. Dia teragak-agak untuk
mengambil teksi. Bilamana bas sampai betul-betul di platformnya,
cepat-cepat dia melintas lalu celapak masuk ke dalam perut bas itu.

Ketika dia berada di dalam bas yang sendat itu, dia memilih untuk
berdiri di tepi tingkap lalu berdiri membiarkan angin bermain-main
dengan hujung kain yang menutup rambutnya. Anak jiran turut
berasak-asak mencari tempat. Mata mereka bertembung. Matanya memanah
tepat ke dalam anak mata pemuda itu. Maka terukirlah sebuah senyuman
yang tidak disengajakan. Dia tidak sedar, daikah pada waktu itu?

Bas mulai bergerak. Badannya tersengguk-senguk melepaskan gear satu.
Terasa begitu malas sekali bergerak dengan muatan yang begitu sendat.
Begitulah selalu pun. Ada perempuan pulang ke rumah membimbit raga
yang penuh dengan segala makneka. Orang-orang yang kerjanya menjual
ulam di pasar pula menjinjing ulam yang tidak terjual. Orang-orang
lelaki mengupa tidak henti-henti. Pelajar-pelajar sekolah lelaki
perempuan bersembang tidak tentu pasal. Tidak ketahuan biji.
Pemuda-pemuda memeluk sijil mencari kerja. Pekerja-pekerja yang sedang
berperang dengan nasib mereka kerana kilang bankrap. Wajah-wajah
kemasai. Muka-muka yang pucat keletihan. Hati-hati yang sedang dilanda
masalah.

Dia melemparkan pandangan keluar tingkap lalu tenggelam di dalam
angan-angan. Fikirannya merayap ke arah pemuda yang tersenyum tadi.
Dia lupa dirinya seketika. Lupa bahawa dia hanyalah seorang kerani di
sebuah pejabat yang tidak dikenali orang. Lupa bahawa dia memikul
beban keluarganya yang terdiri daripada seorang ibu tua serta lapan
orang adik-beradik. Lupa bahawa dia tidak mempunyai perhiasan dunia
untuk menarik lelaki itu supaya memilihnya. Dia menyerah kalah kepada
khayalannya.

Bas semakin laju bergerak. Sekali-sekala daun-daun yang berjuntai di
kiri dan kanan jalan menampar badan bas yang sedang bergerak. Asap di
belakangnya berpintal-pintal seperti ekor lembu yang sedang menghalau
lalat. Suaranya pecah terutamanya ketika pemandu bas itu menekan
‘clutch’ untuk menukar gear. Wah! Apa lagi. Bertempik sakanlah ia. Dia
semakin lemas di dalam lamunannya. Tidak sedar bas mula memasuki Jalan
Gharmul.

Dia memakai gaun putih. Berjalan sambil memegang tangan anak jirannya
itu. Ketika dia menjijakkan kaki memasuki dewan perkahwinan, renda
yang menjadi ekor gaunnya masih berada di dalam kereta. Muzik
bersipongang memenuhi ruang. Perempuan-perempuan tua tidak henti-henti menjelirkan
lidah menjerit-jerit. Mulut mereka dimuncungkan sambil tangan kanan mereka diletakkan di atas mulut yang dimuncungkan. Dia mendengar tembakan ke udara. Gema tembakan itu amat kuat. Gema yang boleh memekakkan telinga. Gema… Gema… Letupan dan kemudian senyap
sunyi.

Ketika dia membuka matanya di hospital, dia melihat ibu dan
adik-adiknya sedang tawaf di sekelilingnya. Mereka tidak bersuara
bagaikan berada di tanah perkuburan. Mata mereka berair. Wajah mereka
sedih tidak terkira. Dia melihat mereka dengan seribu persoalan.
Namun, masih tiada jawapan. Pandangannya diubah ke satu sudut yang
lain. Dia melihat orang ramai juga. Keluarga-keluarga lain. Semua
mereka bersedih dan berdukacita.

"Di manakah saya? Di manakah kita?” dia bertanya kepada emaknya.

"Kau di hospital, anakku,” jawab ibunya perlahan.

"Kenapa saya berada di hospital? Apa yang sudah berlaku?”

Emaknya menjawab dengan nada yang yang sedikit pun tidak berubah:
“Bertenanglah! Bukan kau seorang sahaja yang menjadi mangsa di dalam
letupan itu. Ada yang kehilangan nyawa di dalam kejadian itu.
Kebanyakan mereka ialah orang kampung kita.”

Dia cuba mengingati sesuatu: “Saya ingat sekarang. Gaun putih. Muzik.
Sorakan. Gema. Ya. Kemudian letupa. Saya tidak ingat apa-apa lagi
selepas itu. Tidak… Saya ingat. Ada kasut bersama-sama saya yang baru
sahaja saya beli di bandar. Sepasang kasut putih. Ada bunga lotus di
tengahnya. Apa kata ibu? Letupan? Ada orang mati? Dari kampung kita?”
Dia mula mengingati pemuda itu. Anak jirannya muncul di ruang
ingatannya. Dia menjerit: “Tidak! Tidak! Tidak mungkin dia yang mati.
Saya tidak dapat membayangkannya.”

Emaknya cuba menenangkan perasaannya: “Bertenang, anakku. Tidak ada
seorang pun dari keluarga kita yang mati.

"Tapi hati saya berkata dia telah mati.”

"Siapa dia?”

Rasa malu mula menyelinap di dalam dirinya. Dia cuba melarikan
perasaan malu lalu mengubah tajuk lain. Dia kembali bertanya tentang
kasutnya.

"Adakah emak jumpa kasut yang baru saya beli? Jumpakah?”

Emaknya menangis. Adik-adiknya juga turut menangis sama. Tangisan
mereka semakin lama semakin meninggi.

"Kenapa emak menangis? Kenapa adik-adik menangis? Biarlah kasut itu
hilang. Saya boleh beli yang lain selepas keluar dari hospital ini.”

Pujukan itu tidak berjaya memadam kesedihan yang semakin marak.
Emaknya semakin kuat menangis. Kata-katanya tidak dapat mengkemaraukan
air mata emak dan adik-adiknya. Ratapan mereka semakin menjadi-jadi.

"Semuanya kerana sepasang kasut?” Dia hairan. Sangat hairan. Amat hairan.

"Tidak anakku. Aku bukan menangis kerana sepasang kasut. Tetapi kerana
kau sudah tidak perlukan kasut lagi.”

Dia mula merasai sesuatu kelainan. Tangannya dipanjangkan. Dia meraba
pahanya. Kemudian, dia menjerit. Jeritannya menampan dinding-dinding
hospital.

Menahan Angin

Cerpen ini dikarang pada 4 April 1998

PAK CHA mengesot punggungnya sedikit. Sudah lama dia duduk di atas
kerusi di dalam dewan orang ramai itu. Sejak dari pukul dua petang
lagi. Pandangannya dihimbau keluar melalui helaian daun tingkap yang
sekejap tertutup dan sekejap terbuka ditiup angin.

Non yang asyik menjilat dan menggulung daun rokok memandang ke arah
Pak Cha. Kemudian dia melihat pula ke kiri dan ke kanannya. Satu
persatu muka-muka ahli ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan
kampung ditelitinya. Man Belacak sudah ada. Husin Terong yang selalu
lewat pun sudah ada, sedang bersembang dengan Timah Kotai. "Siapa
lagi?" tanya Non sendiri-sendiri.

Dewan orang ramai yang separuh batu dan separuh papan itu sudah
dipenuhi oleh ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung.
Letaknya agak ke dalam sedikit dari jalan raya. Bukanlah jalan raya
sangat pun. Cuma tar mini yang ditempek sana sini sekejap dengan tar
dan sekejap dengan tanah merah. Sudah lama pun diturap dan berlubang
di sana-sini. Apa tidaknya. Segala macam kenderaan menindihnya. Kalau
musim padi lagilah teruk bahananya dengan mesin padinya yang berkaki
lipan dan trelar yang tayarnya lapan belas. Di sebelah dewan itu
letaknya rumah Pak Cha yang menjadi pengerusi kepada jawatan kuasa
yang tidak mempunyai kuasa. Kalau tidak ada apa-apa mesyuarat, dewan
itu hanyalah tempat persinggahan ayam dan itik dan kambing sahajalah.
Memang di depannya ada sebuah pondok telefon. Tetapi sudah rosak dan
tidak pernah elok-elok.

"Hamad Tongsan belum datang, Pak Ngah, " ujar Husin Terong yang asyik
bersembang dengan Timah Kotai tadi. Memang Hamad belum datanglah.

"Hairan juga aku. Selalunya dia tidak pernah lewat. Kau sahaja yang
selalu datang lewat, Husin. Tetapi, hari ini dia pulak yang lewat.
Entah-entah penyakit kau itu sudah pindah kepada Hamad," gurau Pak
Ngah Cha. "Tidak mengapalah. Kita mulakan sahaja majlis ini," sambung
Pak Cha. Dia membelek-belek buku catatan minit mesyuarat yang
diserahkan kepadanya oleh Non. Buku catatan itu bukanlah kertas yang
bertaip pun. Cuma sekadar buku latihan sekolah anak Non yang dijadikan
sebagai buku mesyuarat. Kertasnya bukan lagi bewarna putih, tetapi
sudah kuning macam kulit buah remia masak sahaja.

"Tujuan kita mengadakan mesyuarat pada kali ini adalah untuk
membincangkan masalah angin yang melanda kampung kita. Sepanjang
minggu lalu, ada apa-apa laporan yang kamu semua dapat?" tanya Pak Cha
tanpa ada mukaddimah lagi. Itulah selalunya mukaddimah Pak Cha. Terus
kepada pokok persoalan tanpa ada ranting dan bunga mesyuarat lagi.
Lagipun dalam zaman teknologi dan sains ini, apalah gunanya
cakap-cakap kosong begitu.

"Keadaan semakin teruk, Pak Ngah. Angin semakin menjadi-jadi gilanya.
Sudah semaikn melampau. Tiga malam berturut-turut rumah saya
digoyangnya. Habis bergoyang semua benda di dalam rumah saya. Perkakas
di dalam bilik saya pun habis bergoyang sebelum sempat saya
menggoyangnya," jelas Man Terong. Non terasa hendak ketawa. Tetapi,
ditahannya. Habis berpintal urat-perut. Mana boleh ketawa dalam
saat-saat genting begini. Lagipun apa yang dikatakan oleh Man itu
betul. Bukan sahaja rumah Man Belacak sahaja yang bergoyang. Seluruh
kampung Mahawangsa merasai bedalan angin itu. Bahkan rumahnya lebih
hebat lagi kerana dia turut sama menggoyang. Gambar pemimpin negara
dan pemimpin negeri yang tersangkut di dinding turut jatuh ke lantai
lalu pecah berderai. Gambar timbalan pemimpin negara tidak adalah
kerana dia bukan dari kalangan kem timbalan.

Husin Terong ingin bersuara. Tetapi suaranya dipintas bagaikan kilat
oleh Timah Kotai. "Saya pun sudah tidak tahan dengan karenah angin
ini, Pak Ngah. Semalam hampir-hampir saya dimalukan oleh angin ini.
Bukan semalam sahaja. Hampir tiap-tiap hari. Mana tidaknya. Ketika
saya berjalan di depan kedai Pak Su Hasyim, tiba-tiba datang angin
berputar-putar. Tahulah di depan kedai Pak Su Hasyim. Memang ramailah
orang di situ. Kain saya ini diselaknya ke atas. Nasib baik jugalah
kerana saya sempat menepisnya dengan buah mengutip berangan masak,"
kata Timah Kotai tanpa malu dan segan. Memang begitulah selalu pun.
Dia selalu berterus-terang di dalam semua perkara. Tidak kiralah
perkara itu di dalam kampung atau kadang-kadang merantau juga masuk ke
dalam huma dan hutan belantara.

Bunyi motosikal yang datang dari arah luar dewan mencuri pandangan
mereka. Bunyi motosikal itu terhenti di tepi pondok telefon. Hamad
Tongsan yang baru tiba dengan motosikal itu menongkat motosikalnya
lalu berjalan longlai masuk ke dalam dewan.

"Assalamualaikum!" Hamad memberi salam kepada semua ahli mesyuarat.

"Kenapa lewat, Hamad?" tanya Pak Cha sebelum sempat dia duduk lagi.
Hamad membiarkan pertanyaan Pak Cha tanpa jawapan. Dia melangkah
longlai ke arah kerusi kosong di tepi Man Terong lalu menghempukkan
punggungnya di atas kerusi itu. Mukanya pucat lesi. Badannya lembik
macam kangkung rebus sahaja.

"Ini gara-gara anginlah juga, Pak Ngah. Semalam saya makan biji
cempedak rebus. Tahulah sekarang ini musim cempedak. Habis sampai
sekarang perut saya berangin dan asyik keluar angin sahaja. Sudah
sepuluh botol minyak angin saya lumurkan tetapi angin itu tidak juga
surut-surut," jelas Hamad setelah berada pada posisi yang sesuai.

Memang angin telah memberontak di dalam kampung Mahawangsa. Bermula
daripada angin taufan sehinggalah angin yang sekecil-kecilnya yang
berputar di dalam salur darah dan urat saraf penduduk kampung
Mahawangsa. Angin-angin ini juga telah menyelinap masuk ke dalam jiwa
anak-anak muda kampung itu. Angin apa lagi kalau bukan angin asmara.
Anak-anak dara sudah tidak segan silu membonceng motosikal
pemuda-pemuda pergi mengambil angin di tepi-tepi pantai dan di
puncak-puncak gunung. Rambut yang dahulu terselindung di bawah tudung
sudah dibiarkan bemain dengan ekor-ekor angin yang memukul muka. Kalau
sudah sampai di puncak gunung dan di celah-celah batu di tepi pantai,
bersiponganglah pula angin lari menciding ke dalam urat-urat saraf
lalu meneguhkannya. Di tengah sawah, angin itu berputar
memintal-mintal lalu meranapkan padi mereka yang sudah kekuningan.
Habis ranaplah ekonomi kampung Mahawangsa.

"Semua ini gara-gara seorang Yahudi yang telah membeli bukit yang
membentengi kampung kita. Dia telah meruntuhkan bukit-bukit itu untuk
membina padang-padang golf. Tanah-tanahnya pula diangkut ke pesisiran
pantai untuk menambak laut," kata Pak Cha. "Saya rasa kita patut buat
undang-undang dan peraturan pembelian bukit. Kita tidak boleh membuat
pasaran terbuka seperti sekarang," tambahnya lagi.

"Tetapi, Pak Ngah. Yang sudah runtuh tetap runtuh. Mana boleh lagi
membuat bukit. Apa kata kalau kita bina tembok sekeliling kampung kita
menggantikan bukit yang telah runtuh itu. Kita telah terkenal di
seluruh dunia kerana bangunan berkembar kita. Kerana menara Mahawangsa
kita. Kali ini biar dunia kenal kita dengan pagar kongkrit yang
mengelilingi kampung kita. Biar mengatasi Tembok Besar Negeri China,"
kata Hamad memberi cadangan. Memang baguslah cadangan itu. Biarlah
duit habis dan kering khazanah kampung. Kalau tidak cukup juga,
curilah daripada KWSP atau LUTH atau PERKESO atau apa sahaja. Kalau
Non tidak setuju, Non juga akan ditendang. Kalau Husin Terong tidak
setuju, fitnahkan sahaja dia dengan Timah Kotai. Asalkan kampung
terkenal. Biar Pak Cha dikatakan pemimpin kampung-kampung
al-Mustadh'afin. Pemimpin yang berwawasan.

Semua ahli mesyuarat bersetuju dengan cadangan Hamad. Timah Kotai
awal-awal lagi setuju. Tidaklah kainnya terselak lagi nanti. Non pun
bersetuju juga. Kuranglah sedikit goyangan rumahnya walaupun ada
kalanya piring dan pinggan terbang juga bilamana isterinya naik angin.
Hamad yang memberi cadangan sudah tentulah bersetuju. Sedaplah sedikit
perut apabila sudah tidak berangin. Anak-anak muda pun kuranglah
sedikit angin-angin asmara mereka dan tidaklah keluar lagi
bersama-sama pemuda untuk mengambil angin.

Sebelum tidur pada malam itu, Pak Cha berkira-kira untuk membina
tembok di dalam kepalanya. Biarlah tembok itu menghalang angin sebelah
utara dahulu. Bermula dari penjuru sebelah barat kampung Mahawangsa
menganjur sehingga ke sebelah timur kira-kira dua puluh kilometer.
Dahulu angin utara tidaklah bahaya sangat. Yang bahayanya angin dari
Timur. Tetapi selepas kubu mereka di sebelah utara yang memang
terkenal itu runtuh, Pak Cha bercadang untuk membina tembok di sebelah
utara dahulu. tinggi tembok itu lima ratus kaki dan setebal satu ratus
inci. Fasa kedua pula akan bermula dari penjuru sebelah timur
menganjur hingga ke selatan untuk menghalang angin dari timur pula.
Angin yang sudah terkenal dengan kewibawaannya merobohkan beberapa
buah rumah sejak dari dahulu. Angin selatan, biarlah dahulu. Bukannya
kuat sangat. Kalau ada pun hanya setakat angin dalaman yang boleh
diselesaikan adik-beradik.

Tiba-tiba Pak Cha merasa ada angin mencucuk-cucuk urat sarafnya.
Bermula dari urat yang kecil-kecil lalu merayap ke urat-urat yang
besar-besar pula. Isterinya yang berada di sebelahnya dikejutkan.
Akhirnya Pah Cha terkulai di sebelah isterinya. Pada malam itu Pak Cha
tidak mampu menahan angin. Dan sampai bila-bila pun dia dan semua ahli
jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung tidak dapat menahannya.
Sipongangnya sungguh besar dan dahsyat.

4 April 1998