Monday, January 23, 2012

Menahan Angin

Cerpen ini dikarang pada 4 April 1998

PAK CHA mengesot punggungnya sedikit. Sudah lama dia duduk di atas
kerusi di dalam dewan orang ramai itu. Sejak dari pukul dua petang
lagi. Pandangannya dihimbau keluar melalui helaian daun tingkap yang
sekejap tertutup dan sekejap terbuka ditiup angin.

Non yang asyik menjilat dan menggulung daun rokok memandang ke arah
Pak Cha. Kemudian dia melihat pula ke kiri dan ke kanannya. Satu
persatu muka-muka ahli ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan
kampung ditelitinya. Man Belacak sudah ada. Husin Terong yang selalu
lewat pun sudah ada, sedang bersembang dengan Timah Kotai. "Siapa
lagi?" tanya Non sendiri-sendiri.

Dewan orang ramai yang separuh batu dan separuh papan itu sudah
dipenuhi oleh ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung.
Letaknya agak ke dalam sedikit dari jalan raya. Bukanlah jalan raya
sangat pun. Cuma tar mini yang ditempek sana sini sekejap dengan tar
dan sekejap dengan tanah merah. Sudah lama pun diturap dan berlubang
di sana-sini. Apa tidaknya. Segala macam kenderaan menindihnya. Kalau
musim padi lagilah teruk bahananya dengan mesin padinya yang berkaki
lipan dan trelar yang tayarnya lapan belas. Di sebelah dewan itu
letaknya rumah Pak Cha yang menjadi pengerusi kepada jawatan kuasa
yang tidak mempunyai kuasa. Kalau tidak ada apa-apa mesyuarat, dewan
itu hanyalah tempat persinggahan ayam dan itik dan kambing sahajalah.
Memang di depannya ada sebuah pondok telefon. Tetapi sudah rosak dan
tidak pernah elok-elok.

"Hamad Tongsan belum datang, Pak Ngah, " ujar Husin Terong yang asyik
bersembang dengan Timah Kotai tadi. Memang Hamad belum datanglah.

"Hairan juga aku. Selalunya dia tidak pernah lewat. Kau sahaja yang
selalu datang lewat, Husin. Tetapi, hari ini dia pulak yang lewat.
Entah-entah penyakit kau itu sudah pindah kepada Hamad," gurau Pak
Ngah Cha. "Tidak mengapalah. Kita mulakan sahaja majlis ini," sambung
Pak Cha. Dia membelek-belek buku catatan minit mesyuarat yang
diserahkan kepadanya oleh Non. Buku catatan itu bukanlah kertas yang
bertaip pun. Cuma sekadar buku latihan sekolah anak Non yang dijadikan
sebagai buku mesyuarat. Kertasnya bukan lagi bewarna putih, tetapi
sudah kuning macam kulit buah remia masak sahaja.

"Tujuan kita mengadakan mesyuarat pada kali ini adalah untuk
membincangkan masalah angin yang melanda kampung kita. Sepanjang
minggu lalu, ada apa-apa laporan yang kamu semua dapat?" tanya Pak Cha
tanpa ada mukaddimah lagi. Itulah selalunya mukaddimah Pak Cha. Terus
kepada pokok persoalan tanpa ada ranting dan bunga mesyuarat lagi.
Lagipun dalam zaman teknologi dan sains ini, apalah gunanya
cakap-cakap kosong begitu.

"Keadaan semakin teruk, Pak Ngah. Angin semakin menjadi-jadi gilanya.
Sudah semaikn melampau. Tiga malam berturut-turut rumah saya
digoyangnya. Habis bergoyang semua benda di dalam rumah saya. Perkakas
di dalam bilik saya pun habis bergoyang sebelum sempat saya
menggoyangnya," jelas Man Terong. Non terasa hendak ketawa. Tetapi,
ditahannya. Habis berpintal urat-perut. Mana boleh ketawa dalam
saat-saat genting begini. Lagipun apa yang dikatakan oleh Man itu
betul. Bukan sahaja rumah Man Belacak sahaja yang bergoyang. Seluruh
kampung Mahawangsa merasai bedalan angin itu. Bahkan rumahnya lebih
hebat lagi kerana dia turut sama menggoyang. Gambar pemimpin negara
dan pemimpin negeri yang tersangkut di dinding turut jatuh ke lantai
lalu pecah berderai. Gambar timbalan pemimpin negara tidak adalah
kerana dia bukan dari kalangan kem timbalan.

Husin Terong ingin bersuara. Tetapi suaranya dipintas bagaikan kilat
oleh Timah Kotai. "Saya pun sudah tidak tahan dengan karenah angin
ini, Pak Ngah. Semalam hampir-hampir saya dimalukan oleh angin ini.
Bukan semalam sahaja. Hampir tiap-tiap hari. Mana tidaknya. Ketika
saya berjalan di depan kedai Pak Su Hasyim, tiba-tiba datang angin
berputar-putar. Tahulah di depan kedai Pak Su Hasyim. Memang ramailah
orang di situ. Kain saya ini diselaknya ke atas. Nasib baik jugalah
kerana saya sempat menepisnya dengan buah mengutip berangan masak,"
kata Timah Kotai tanpa malu dan segan. Memang begitulah selalu pun.
Dia selalu berterus-terang di dalam semua perkara. Tidak kiralah
perkara itu di dalam kampung atau kadang-kadang merantau juga masuk ke
dalam huma dan hutan belantara.

Bunyi motosikal yang datang dari arah luar dewan mencuri pandangan
mereka. Bunyi motosikal itu terhenti di tepi pondok telefon. Hamad
Tongsan yang baru tiba dengan motosikal itu menongkat motosikalnya
lalu berjalan longlai masuk ke dalam dewan.

"Assalamualaikum!" Hamad memberi salam kepada semua ahli mesyuarat.

"Kenapa lewat, Hamad?" tanya Pak Cha sebelum sempat dia duduk lagi.
Hamad membiarkan pertanyaan Pak Cha tanpa jawapan. Dia melangkah
longlai ke arah kerusi kosong di tepi Man Terong lalu menghempukkan
punggungnya di atas kerusi itu. Mukanya pucat lesi. Badannya lembik
macam kangkung rebus sahaja.

"Ini gara-gara anginlah juga, Pak Ngah. Semalam saya makan biji
cempedak rebus. Tahulah sekarang ini musim cempedak. Habis sampai
sekarang perut saya berangin dan asyik keluar angin sahaja. Sudah
sepuluh botol minyak angin saya lumurkan tetapi angin itu tidak juga
surut-surut," jelas Hamad setelah berada pada posisi yang sesuai.

Memang angin telah memberontak di dalam kampung Mahawangsa. Bermula
daripada angin taufan sehinggalah angin yang sekecil-kecilnya yang
berputar di dalam salur darah dan urat saraf penduduk kampung
Mahawangsa. Angin-angin ini juga telah menyelinap masuk ke dalam jiwa
anak-anak muda kampung itu. Angin apa lagi kalau bukan angin asmara.
Anak-anak dara sudah tidak segan silu membonceng motosikal
pemuda-pemuda pergi mengambil angin di tepi-tepi pantai dan di
puncak-puncak gunung. Rambut yang dahulu terselindung di bawah tudung
sudah dibiarkan bemain dengan ekor-ekor angin yang memukul muka. Kalau
sudah sampai di puncak gunung dan di celah-celah batu di tepi pantai,
bersiponganglah pula angin lari menciding ke dalam urat-urat saraf
lalu meneguhkannya. Di tengah sawah, angin itu berputar
memintal-mintal lalu meranapkan padi mereka yang sudah kekuningan.
Habis ranaplah ekonomi kampung Mahawangsa.

"Semua ini gara-gara seorang Yahudi yang telah membeli bukit yang
membentengi kampung kita. Dia telah meruntuhkan bukit-bukit itu untuk
membina padang-padang golf. Tanah-tanahnya pula diangkut ke pesisiran
pantai untuk menambak laut," kata Pak Cha. "Saya rasa kita patut buat
undang-undang dan peraturan pembelian bukit. Kita tidak boleh membuat
pasaran terbuka seperti sekarang," tambahnya lagi.

"Tetapi, Pak Ngah. Yang sudah runtuh tetap runtuh. Mana boleh lagi
membuat bukit. Apa kata kalau kita bina tembok sekeliling kampung kita
menggantikan bukit yang telah runtuh itu. Kita telah terkenal di
seluruh dunia kerana bangunan berkembar kita. Kerana menara Mahawangsa
kita. Kali ini biar dunia kenal kita dengan pagar kongkrit yang
mengelilingi kampung kita. Biar mengatasi Tembok Besar Negeri China,"
kata Hamad memberi cadangan. Memang baguslah cadangan itu. Biarlah
duit habis dan kering khazanah kampung. Kalau tidak cukup juga,
curilah daripada KWSP atau LUTH atau PERKESO atau apa sahaja. Kalau
Non tidak setuju, Non juga akan ditendang. Kalau Husin Terong tidak
setuju, fitnahkan sahaja dia dengan Timah Kotai. Asalkan kampung
terkenal. Biar Pak Cha dikatakan pemimpin kampung-kampung
al-Mustadh'afin. Pemimpin yang berwawasan.

Semua ahli mesyuarat bersetuju dengan cadangan Hamad. Timah Kotai
awal-awal lagi setuju. Tidaklah kainnya terselak lagi nanti. Non pun
bersetuju juga. Kuranglah sedikit goyangan rumahnya walaupun ada
kalanya piring dan pinggan terbang juga bilamana isterinya naik angin.
Hamad yang memberi cadangan sudah tentulah bersetuju. Sedaplah sedikit
perut apabila sudah tidak berangin. Anak-anak muda pun kuranglah
sedikit angin-angin asmara mereka dan tidaklah keluar lagi
bersama-sama pemuda untuk mengambil angin.

Sebelum tidur pada malam itu, Pak Cha berkira-kira untuk membina
tembok di dalam kepalanya. Biarlah tembok itu menghalang angin sebelah
utara dahulu. Bermula dari penjuru sebelah barat kampung Mahawangsa
menganjur sehingga ke sebelah timur kira-kira dua puluh kilometer.
Dahulu angin utara tidaklah bahaya sangat. Yang bahayanya angin dari
Timur. Tetapi selepas kubu mereka di sebelah utara yang memang
terkenal itu runtuh, Pak Cha bercadang untuk membina tembok di sebelah
utara dahulu. tinggi tembok itu lima ratus kaki dan setebal satu ratus
inci. Fasa kedua pula akan bermula dari penjuru sebelah timur
menganjur hingga ke selatan untuk menghalang angin dari timur pula.
Angin yang sudah terkenal dengan kewibawaannya merobohkan beberapa
buah rumah sejak dari dahulu. Angin selatan, biarlah dahulu. Bukannya
kuat sangat. Kalau ada pun hanya setakat angin dalaman yang boleh
diselesaikan adik-beradik.

Tiba-tiba Pak Cha merasa ada angin mencucuk-cucuk urat sarafnya.
Bermula dari urat yang kecil-kecil lalu merayap ke urat-urat yang
besar-besar pula. Isterinya yang berada di sebelahnya dikejutkan.
Akhirnya Pah Cha terkulai di sebelah isterinya. Pada malam itu Pak Cha
tidak mampu menahan angin. Dan sampai bila-bila pun dia dan semua ahli
jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung tidak dapat menahannya.
Sipongangnya sungguh besar dan dahsyat.

4 April 1998

No comments:

Post a Comment