Monday, January 23, 2012

Teori Pembentukan Kumpulan-kumpulan Islam

PARA penulis buku tentang firqah-firqah Islam cuba menghubungkan
kemunculan mazhab-mazhab Islam dengan faktor-faktor asing yang diambil
oleh tentera-tentera pembebasan Islam daripada agama, kebudayaan dan
kepercayaan kuno di negeri-negeri yang baru dibuka. Tujuan mereka
ialah untuk menuduh firqah-firqah ini sebagai bida’h dan mazhab-mazhab
baru yang tidak pernah wujud pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Mereka
suka menuduh firqah-firqah ini merupakan peninggalan agama-agama kuno
yang sesat lalu mereka mengatakan bahawa pengikut-pengikutnya sebagai
kufur, zindiq dan sesat.

Pada zaman moden ini, kajian tentang firqah-firqah Islam dilakukan
pula oleh para orientalis. Kajian mereka berakhir – walaupun mereka
kita dapati sangat tekun dan mendalam di dalam kajian mereka – dengan
kesimpulan bahawa mazhab-mazhab ini muncul di dalam Islam dengan
pengaruh asing. Namun begitu mereka tidak sependapat menentukan
pengaruh-pengaruh asing ini.

Mereka telah membuat teori-teori yang menyimpang jauh daripada
kebenaran ketika menentukan arah pengambilan unsur-unsur asing ini.
Antaranya mereka mengatakan bahawa akal bangsa Arab hanya mengambil
sesuatu secara membuta-tuli begitu sahaja. Mereka juga sering menolak
pembaharuan, memandang kepada perkara-perkara remeh, cenderung kepada
pengulangan dan kemudian gagal mewujudkan mazhab-mazhab falsafah dan
melakukan melakukan pembaharuan pemikiran.

Di dalam kajian mereka pula, mereka hanya mengikut metodologi luaran
yang berpegang kepada penyerupaan dan penglihatan di dalam lingkungan
kebudayaan yang berlainan. Dan mereka hanya menghubungkan yang lama
dengan yang baru lalu membuat kesimpulan bahawa yang baru mengambil
daripada yang lama. Mereka juga mengatakan bahawa setiap pemikiran
Islam merupakan kesan dan keputusan daripada pemikiran asing.

Metodologi ini memberi kesan yang sangat berbahaya kerana setiap
kebudayaan dan pemikiran hanya dilihat sebagai suatu keadaan yang beku
yang dikuasai oleh kebudayaan lama. Pengajian moden bagi
kebudayaan-kebudayaan antarabangsa pula mengatakan bahawa kemunculan
pemikiran tertentu di dalam kebudayaan sesebuah umat lalu muncul pula
pemikiran yang sama di dalam kebudayaan yang lain tidak cukup untuk
mengatakan bahawa yang kedua terpengaruh dengan yang pertama
kecualilah ada bukti-bukti material yang menunjukkan bahawa
kedua-duanya pernah mempunyai hubungan sejarah. Perkara ini tidak
membenarkan metodologi-metodologi luaran melakukan sesuatu kesimpulan
kecuali selepas benar-benar yakin dengannya.

Di dalam percubaan untuk mengatasi metodologi-metodologi yang cuba
menghodohkan wajah Islam dan bertitik-tolak daripada pandangan ilmiah,
kita mesti cuba mendirikan syarat-syarat yang terarah di dalam
suasananya yang tersendiri. Memang salah kalau kita hanya
menghubungkan sesuatu dengan faktor-faktor asing lalu melupakan terus
faktor-faktor dalaman. Tidak ada satu pemikiran pun yang boleh
menguasai orang lain kecuali sekiranya terdapat perhubungan sejarah di
antara kedua-duanya. Apabila faktor-faktor asing datang, ia hanya
mengejutkannya daripada tidur dan bukan menciptanya.

SEKIRANYA dilihat dari sudut sosial, dakwah Islam merupakan
perpindahan yang menggejutkan yang lebih dekat dengan lompatan sejarah
daripada perkembangan semula-jadi dan akal bagi sesuatu peristiwa.
Islam telah merubah kehidupan Arab daripada kehidupan yang mudah,
tertutup dan nomad kepada kehidupan moden dari segi binaan struktur
sosial, politik dan agama. Daripada kehidupan berpuak-puak yang
menitik-beratkan perhubungan darah dan keturunan kepada kehidupan yang
berasaskan kepada akidah yang tidak membezakan warna dan keturunan.
Daripada ekonomi yang hanya mengenal pengembalaan dan padang ragut
kepada sistem ekonomi yang tersusun dan berbagai-bagai sumber pula
seperti zakat, cukai dan sedekah. Daripada politik yang dipegang oleh
ketua kabilah kepada masyarakat madani yang dipenuhi dengan ketua,
tentera dan gabenor serta undang-undang syariah yang dilaksanakan
secara tersusun dan dapat menyelesaikan masalah umat. Daripada agama
menyembah patung-patung yang dibuat oleh tangan-tangan mereka yang
gagal memenuhi hajat dan keperluan manusia sama ada dari segi akal dan
rohani kepada akidah yang sempurna.

Ulama sosiologi mengatakan bahawa perpindahan kebudayaan secara
menggejut ini (Social Mutation and Change) menyebabkan berlakunya
kebimbangan yang melingkari kehidupan mereka dan ada kalanya
menyebabkan kecelaruan politik, pertembungan dalaman, fitnah,
peperangan dan kekacauan. Sejarah telah membuktikan bahawa tiga orang
Khalifah al-Rashidin telah dibunuh sama ada kerana membalas dendam,
khianat ataupun memberontak. Perang-perang saudara meletus tanpa
diduga seperti fitnah selepas pembunuhan Saidina Othman, peperangan
Saffain, al-Jamal, al-Nahrawan dan Karbala.

Orang-orang Islam pada ketika itu melihat bahawa mereka hanya mampu
melepasi segala kekacauan ini dengan kemunculan seorang hero yang
tidak melakukan dosa. Dia mestilah seorang memiliki sifat-sifat yang
tiada pada orang lain dan seseorang biasa tidak akan mampu memilikinya
walaupun dia berusaha sedaya-upaya. Hero ini memang terkenal di dalam
sistem politik dan sosial yang digelar sebagai Karisma (Charisma).
Teori inilah yang menyebabkan sebahagian umat Islam menubuhkan firqah
Syiah yang serasi dengan kepercayaan Karisma ini. Di antara ciri-ciri
Karisma ini ialah:

1. Percaya bahawa hero ini bebas daripada sebarang dosa dari segi
perbuatan dan kelakuannya. Dia dipanggil Pemimpin yang berkarisma (The
Charismatic Leader). Sifatnya melebihi orang lain dan diwarisi
daripada ayahnya. Sifat ini tidak dapat diperolehi oleh orang lain
walaupun dia berusaha sedaya-upaya, bahkan sifat ini datang dengan
wahyu Allah. Kemudian, orang ramai akan menyerahkan kekuasaan yang
mutlak pula kepadanya dan mereka akan taat kepadanya dengan sepenuh
hati (Complete Devotion). Mereka menyifatkannya sebagai seorang yang
mempunyai misi suci (Spiritual Mission).

2. Perpindahan kekuasaan pula akan hanya berlaku daripada ayah
kepada anak sulong (The Principle of Primogniture)

Ciri-ciri ini merupakan sejumlah teori imamah menurut pandangan Syiah
yang membentuk gambaran ‘Nas dan Penentuan – Divine and Designation’
dan kepercayaan bahawa imam-imam bebas daripada dosa - (Infallible).
Dari sinilah juga Syiah dari segenap firqah bersepakat mengatakan
imamah bukanlah daripada maslahah umum yang boleh dipilih melalui
syura (The Universal Consent of The Community). Tetapi imamah
merupakan rukun iman yang mesti dipercayai dan juga fardhu yang mesti
ditunaikan seperti solat, puasa, zakat dan haji. Kemudian, imamah
berlaku dengan nas dan penentuan yang tidak boleh dicampur-tangan oleh
pandangan, ijtihad dan akal yang terhad. Imam-imam ini mestilah juga
bebas daripada melakukan sebarang dosa sama ada kecil ataupun besar,
lupa atau sengaja dengan alasan dialah yang merupakan gudang ilmu
Allah Taala yang diwarisi. Setiap hukum yang dikeluarkannya pula
merupakan hukum yang benar dan yakin.

Imam pula mestilah diwariskan kepada anak sulong kecuali di dalam
keadaan yang tertentu. Keadaan-keadaan inilah yang akhirnya
memporak-perandakan golongan Syiah kemudiannya.

BERBEZA dengan perkembangan sejarah yang membentuk parti Syiah dengan
madrasahnya yang berbeza-beza, sebahagian daripada umat Islam
mentafsirkan bahawa keadaan umat Islam yang teruk adalah disebabkan
oleh situasi murtad dan penyelewengan daripada prinsip Islam. Dan
kemudian, mereka melihat bahawa tiada jalan lain untuk membetulkan
keadaan ini kecuali dengan kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang
sebenar. Kumpulan ini membentuk pula satu parti yang dinamakan sebagai
"parti al-Khawarij". Semua firqah al-Khawarij berpendapat dengan
"kewajipan bertahkim" - (Tahkim al-Quran) di dalam setiap kejadian,
individu dan keadaan. Mereka berpendapat dengan "gugur Imamah" (tiada
kerajaan) atau harus mendirikannya dengan syarat imam yang dilantik
mestilah orang yang paling baik, paling bertakwa dan paling dekat
dengan kebenaran sekalipun dia seorang hamba Habsyi atauNabati yang
kepalanya seperti bkismis. Dan mereka juga mewajibkan keluar daripada
mengikut Imam yang autokrasi sekalipun dia melakukan kebenaran dan
keadilan kerana (tiada ketaatan kepada sesiapa yang menukarkan hukum
yang diturunkan oleh Allah dan menggantikannya dengan suatu hukuman
yang lain). Prinsip ini muncul daripada persamaan mutlak yang
merupakan jauhar Islam dan kebenaran yang hakiki. Mereka berpendapat
bahawa sesebuah kumpulan yang bersatu dan berpengang-teguh dengan
prinsip tanpa berdolak-dalih ataupun berpura-pura adalah jalan yang
akan menyelamatkan mereka daripada kekacauan ini. Prinsip inilah yang
membezakan firqah al-Khawarij dengan firqah-firqah lain. Sejarah
mereka dipenuhi oleh keikhlasan dan berterus-terang di dalam memberi
pendapat, ikhlas di dalam ibadah dan sanggup mati bersama-sama
menegakkan kebenaran. Mereka digambarkan oleh buku-buku sejarah
sebagai ahli-ahli ibadah, penghias malam, belakang mereka membongkok
pada kegelapan malam membaca ayat-ayat al-Quran. Bilamana mereka
membaca ayat yang menceritakan tentang syurga, mereka menangis
kerinduan. Dan apabila mereka membaca ayat tentang neraka pula, mereka
menangis tersedu-sedan seolah-olah api neraka berada di antara dua
kelopak telinganya. Bumi telah memamah lutut-lutut dan tangan-tangan
dan hidung-hidung dan dahi-dahi mereka kerana terlalu sangat rukuk dan
sujud.

Kekalutan ini boleh bertukar menjadi pertembungan yang tidak
mengiktiraf kekuasaan pusat. Inilah yang menyebabkan kesudahan firqah
al-Khawarij. Mereka terkenal dengan revolusi yang berpanjangan dan
yang tidak pernah tenang ke atas apa sahaja kerajaan yang ada. Mereka
tidak membezakan di antara Khilafah al-Rashidin, Umawi ataupun Abbasi.
Hal ini demikian disebabkan oleh kebekuan aqidah, tertutup,
mengkafirkan penentang-penentang mereka dan mewajibkan keluar daripada
mentaati kerajaan yang dianggap terkeluar daripada Islam. Inilah ciri
yang disepakati oleh semua kumpulan mereka yang berbeza-beza. Kelakuan
politik ini dipanggil Ujian: Menguji dan membersihkan seteru-seteru
mereka.

SEKIRANYA revolusi al-Khawarij merupakan penolakan terhadap realiti
politik dan sosial pada masa itu di dalam gambaran pemberontakan yang
mutlak sehingga ke akar-umbi dengan menggunakan senjata dan
pertumpahan darah tanpa mengenal kepura-puraan, waspada dan gencatan
senjata, firqah al-Qadariah pula menolak dari segi yang lain pula.
Penolakan mereka merupakan penolakan terhadap kebarangkalian,
penyerahan dan aliran negatif yang cuba mengharuskan apa yang berlaku
dengan alasan qadar telah ditentukan dan qadha tidak boleh diubah-ubah
dan menegaskan tentang tanggung-jawab manusia dari segi akhlak kerana
manusia merupakan (pembuat yang bebas dan boleh memilih), dialah yang
memilih perjalanan hidupnya sendiri dan menanggung keputusan
perbuatannya atas kehendaknya juga. Maka datanglah pendapat
al-Qadar(kehendak): iaitu kehendak individu dan kebebasannya, menolak
al-Jabr(paksaan) dan keputusannya yang negatif. Mereka menolak secara
keras kekalahan yang tenggelam di dalam penyerahan. Mereka juga
menolak secara total realiti yang berlaku dan menegaskan secara dogma
tanggungjawab manusia di dalam menentukan kehidupannya. Al-Qadariah
terdiri daripada ulama-ulama yang berbeza latarbelakang mereka, tetapi
semuanya sepakat mengatakan tiada takdir dan pekerjaan manusia tidak
diketahui Allah. Lalu mereka menjadi penentang kepada sesiapa yang
cuba mengharuskan realiti yang buruk itu dengan alasan Qadar dan Qadha
telahpun ditentukan.

BERBEZA dengan Syiah dan al-Khawarij, sekumpulan orang Islam yang lain
pula mengatakan (di bawah tekanan perang saudara yang berpanjangan,
sikap melampau di dalam parti-parti politik, meningkatnya keculasan
dan penghinaan terhadap masalah-masalah akhlak dan penderitaan umat
Islam terhadap kerajaan yang zalim yang mencengkam rakyat yang ikhlas
terhadap Islam) lalu mereka mengambil pendirian memilih kerohanian dan
membenci dunia. Mereka (menafikan diri sendiri) dan (memencilkan diri
daripada manusia) dengan (memutuskan hubungan lalu meninggalkan habuan
dan melarikan diri daripada dunia) dan cuba mencari jalan ke arah
menyucikan diri daripada sesuatu yang bukan berpunca daripada Allah.
Mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah dengan harapan agar
dapat menyucikan hati mereka daripada kemabukan, kesenangan dan
keinginan terhadap keduniaan. Mereka meneroka jalan zuhud, jauh
daripada kenikmatan hidup, beribadat dan berusaha menjadi fakir.
Mereka juga menjadikan puasa, berlapar, berjaga malam, menangis,
meratapi diri dan menyitai orang lain. Semua ini mereka lakukan
semata-mata ingin mencapai ketinggina akhlak yang telah hilang di
dalam masyarakat dan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin mereka. Mereka
cinta akan akhirat, tumbuhan-tumbuhan di dalamnya, kenikmatan serta
kehidupannya yang berkekalan. Mereka mencaci dunia, keindahan dan
syahwatnya. Mereka meneroka jalan yang berlebih-lebihan di dalam
menggambarkan apa yang ditunggu oleh jiwa yang memberontak dengan azab
yang pedih. Dengan perhitungan ilahi yang keterlaluan lagi terperinci.
Bolehlah dikatakan dengusan mereka ini merupakan kritikan yang positif
yang cuba membaiki akhlak dengan pendidikan dan membetulkan yang
bengkok yang telah berlaku di dalam masyarakat. Ini ialah satu bentuk
zuhud, penolakan terhadap syahwat yang keji, menyintai dan menyebarkan
perasaan kasih sayang dan kecintaan di antara manusia. Mereka berharap
dapat membersihkan jiwa melalui ibadah, menapisnya dengan mujahadah
dan membersihkannya dengan zuhud untuk menjadi penghubung di antara
mereka dengan Allah. Mudah-mudahan terpelihara daripada melakukan dosa
dan tidak berakhlak.

Justeru, mereka terlalu menjaga (Kesempurnaan Adab), (Kebersihan Jiwa)
dan (Kesempurnaan Akhlak). Syiar yang disepakati oleh mereka ialah
(keluar daripada perangai terendah lalu masuk ke dalam akhlak yang
tertinggi). Dakwah mereka terkumpul di dalam dua perkataan: Tasawwuf
ialah Penyucian dan Penghiasan. Penyucian diri daripada selain Allah
dan menghiasnya dengan Rabbani dan Ilahi yang dikatakan sebagai Fana
dan Baqa. Berkecai sifat-sifat tercela yang lahir daripada hawa nafsu
dan keinginan hasil seterusnya mengekalkan sifat-sifat dan
perbuatan-perbuatan yang terpuji. Mereka mengatakan bahawa sifat-sifat
yang mulia tidak akan terjadi kecuali setelah hilangnya sifat-sifat
yang keji. Mereka menamakan fenomenon ini sebagai: Pemergian
sifat-sifat yang keji dengan hadhirnya fana dan pembasmian,
menghasilkan sifat-sifat terpuji dengan baqa dan pembuktian.

Sesungguhnya kelakuan Sufism ini bukanlah melindungi kelemahan atau
mengharuskan apa yang berlaku. Dan bukan juga cuba lari daripada
menghadapi realiti yang wujud pada waktu itu seperti mana yang
disangka oleh kebanyakan orang. Tetapi, kelakuan ini merupakan
bangkangan terhadap sikap masyarakat pada ketika itu. Pemencilan diri
mereka bertujuan mencari kebenaran. Sesunnguhnya, kelakuan ini
merupakan (revolusi dalaman untuk menyelami jiwa lalu menggerakkan
pemilik jiwa itu bangun menentang kezaliman yang berlaku di dalam
masyarakat. Mereka bukan setakat menentang orang-orang lain, tetapi
turut memulakan jihad terhadap jiwa mereka juga dan membetulkan
kesalahaN-kesalahan mereka). Kecenderungan terhadap zuhud
berkait-rapat –seperti kata Goldziher- (dengan revolusi terhadap
kerajaan).

DAN apabila kita melewati pemikiran Tasawwuf Islam kepada pemikiran
al-Jabariah, seperti mana yang digambarkan oleh al-Jahm bin Safuan,
kita akan mendapati bahawa pemikiran ini merupakan saduran daripada
roh warak yang merupakan percubaan kesakitan yang terdapat di dalam
Tasawwuf dengan apa yang dinamakan sebagai (membuang penguasaan) yang
bermaksud: Kehancuran zat kemanusiaan (keakuan) di dalam kekuasaan
tuhan yang mutlak (al-Jabarut). Keadaan ini berlaku dengan
meninggalkan jiwa untuk dilakukan apa sahaja yang dikehendaki oleh
Allah. Justeru, kebanyakan para Sufi yang terkemudian menjadikan
penyerahan dan pemberian kuasa untuk diperintah dan redha dengan apa
yang menimpa hamba itu daripada nikmat dan musibah. Sesungguhnya
pendapat dengan penyerahan ini bermula daripada kesakitan yang bukan
dengan teorinya sahaja, tetapi telah berakhir dengan pembebasayang
berjaya mengeluarkan manusia daripada ketakutan. Percubaan luar biaini
merupakan percubaan mengangkat kehendak manusia kepada kehendak Allah
Taala. Kesempurnaan manusia dapat dicapai menerusi gambaran dan
maknanya yang jauh.

Barangkali, dengan penjelasan dan tafsiran bagi al-Jahm bin Safwan
dapat disepakati di antara pemikiran al-Jabariah dan kelakuannya yang
berunsur revolusi itu dengan kematiannya di medan pertempuran senjata.
Dan tafsiran ini juga dapat menolak dakwaan sesetengah pengkaji yang
menghubungkan al-Jabariah dengan maslahah kerajaan yang berdiri pada
waktu itu. Kerajaan ini cuba mengharuskan politik, kelakuan dan
perbuatannya dengan prinsip al-Jabariah.

Penerangan yang ringkas tentang peranan dalaman di dalam perkembangan
mazhab-mazhab Islam ini, bukanlah bertujuan menafikan kesan-kesan
danfafaktor luaran yang diambil daripada budaya asing. Tetapi kami
ingin membuat kajian di dalam sesuatu perkara berdasarkan kepada
pandangan yang betul yang melihat kepada sesuatu keadaan sebagai:
kelahiran daripada keadaan yang berdiri pada waktu itu. Tetapi
kelahiran ini tidak pula menafikan kesan perkembangan sejarah dan juga
pengaruh kebudayaan asing yang menyelinap masuk ke dalam Islam. Kami
lebih beranggapan bahawa kesan luaran ini datang kemudian dan hanya
menberi kesan kepada pembangunan halatuju mazhab-mazhab ini sahaja.
Dan bukan menciptanya. Jadi. Mazhab-mazhab ini mengutip
sedikit-sebanyak unsur-unsur falsafah daripada pelbagai sumber di
dalam perkembangannya. Sesungguhnya pemikiran Arab-Islam di dalam
pelbagai bentuknya yang berbeza-beza pada zaman permulaan dan
perkembangannya adalah pemikiran yang terbuka terhadap pemikiran lain.
Pemikiran ini tidak pernah mengenali perasaan perkauman, kebekuan dan
tidak tertumpu pada dirinya sahaja. Inilah karektornya yang sebenar.
Hanya orang-orang yang mengetahui dan ikhlas sahaja yang dapat
memahami hakikat pemikiran ini dan pemberiannya.

0 comments:

Post a Comment