Wednesday, April 4, 2012

Senja

"Baba! Baba sihat?" Hannan bertanya kepada aku sambil menolak kereta sorong melewati jambatan di perkarangan rumah kami. Dia baru sampai dari Melaka. Tidaklah jauh sangat dia dipostingkan walau tanpa campur tangan aku pun. Aku tidak pernah melarang dia untuk menjadi guru seperti aku. Aku juga tidak pernah menggalakkan. Aku cuma beritahu dia, kalau hendak menjadi guru, jadilah guru yang mendidik. Bukan menjadi guru yang menjadi jurujual. Atau yang cuba menjadi doktor, dukun dan pawang menghalau hantu, jin dan syaitan.

Dia terus menolak kereta sorong aku. Sesudah kakiku dipotong kerana penyakit kencing manisku, aku hanya mampu disorong ke sana sini oleh orang. Kalau Hannan tidak balik pada hujung minggu, Hajjajlah yang selalu menolak kereta sorong aku. Tetapi, biasalah Hajjaj. Dia hanya menyorong. Suaranya tidak pernah keluar.

Hannan menolak aku melewati kolam ikan. Kolam itu memang aku designkan begitu. Terdapat jambatan kecil merentangi kolam. Di dalam kolam adalah dua tiga ekor ikan yang berenang di celah-celah pokok teratai putih dan bunga kiambang batu. Sekali ekornya melibas, terpecahlah bunga kiambang batu. Ombak-ombak kecil terhasil. Bunga-bunga teratai putih pun terliuk-lintuk ke kiri dan ke kanan.

"Sekolah macam mana?" Aku bertanya Hannan. Ringkas. Memang begitulah ayat aku pun apabila berhadapan dengan anak-anak. Aku masih ingat ketika menghantar dan mengambil Hussam ke sekolah aku. Kadang-kadang aku lebih suka melayan Sy, KE dan Khrill di Sinar Pagi tanpa bercakap apa-apa pun dengan Hussam. Aku dapat perhatikan apabila dia menaiki kereta dengan isteri aku, dia lebih senang berbual bicara dengan isteri aku. Begitu juga kalau di rumah. Apabila aku memberitahu isteriku aku akan out station, dia lebih suka bertanya: "Umi! Baba hendak pergi ke mana?" sedangkan aku berada di depannya. Ayat aku dengan anak-anak memang ringkas. Tidak seperti ayat aku dengan kawan-kawan aku. Entahlah. Aku cuba juga memahami literaturku. Mungkin aku tidak mahu dilihat sebagai bapa yang suka berleter. Anak-anak memang tidak suka ibu bapa yang suka berleter pun.

"Macam biasa, Baba. Ada yang tidak boleh membaca. Sudah puas Cek usaha nak ajar mereka. Tetapi apa yang boleh diajar kalau mereka tidak tahu membaca?" Jawab Hannan.

"Pernah Hannan ajar mereka itu membaca?" Aku bertanya kepada Hannan.

"Cek ajar Matematik. Kalau mereka tidak tahu membaca, itu tugas cikgu Bahasa Melayulah." Hannan menjawab.

"Hannan! Sebab itu baba tidak suka Hannan menjadi cikgu dahulu. Bukan mudah hendak menjadi guru. Apatah lagi menjadi pendidik. Walaupun Hannan adalah guru Matematik, tidak semestinya Hannan hanya mengajar murid mengira sahaja. Begitu juga kalau cikgu Bahasa Melayu sekalipun. Tugas guru bukan hanya mengajar murid menulis membaca. Tugas guru bukan hanya mengajar fakta-fakta Sejarah. Tugas guru juga bukanlah sekadar mengajar murid menghafal tasrif fa'ala, fa'alaa, fa'aluu. Tugas guru adalah menjadikan murid insan seimbang dan holistik. Sekiranya Hannan mendapati murid tidak tahu membaca dan menulis, sebagai guru opsyen apa pun, ajarilah dahulu murid itu mengenal A, B, C." Aku mengungkap kembali kata-kata keramatku yang pernah aku jaja di mana-mana pun dahulu. Ketika aku masih boleh berjalan. Sebelum kakiku dipotong. Ke sana ke sini memperjuangkan kasih sayang dalam pendidikan.

"Kalau begitu, bila hendak habis sukatan Matematik kalau asyik mengajar A, B, C?" Hannan bertanya. Soalan itu adalah soalan yang sama yang aku temui di mana-mana pun. Sejak dulu hingga kini, ramai guru-guru yang gagal memahami maksud sukatan dan kurikulum. Mereka hanya membaca sukatan pada kolum-kolum fakta sahaja. Bukan sedikit yang tidak membaca dan tidak memahami mukaddimah sukatan. Lebih-lebih lagi selepas langkah mundur KSSR dan KSSM yang hanya meninggalkan dua kolum iaitu kolum standard kandungan dan standard pembelajaran. Cadangan aktiviti sudah dihapuskan, begitu juga dengan pengisian dan kehendak kurikulum. Akhirnya guru hanya meluahkan konsep ilmu tanpa kesepaduan dan kreativiti untuk melahirkan murid yang seimbang. Oleh kerana standard pembelajaranlah yang perlu disuap kepada murid, guru menggunakan apa sahaja langkah pengajaran - oleh kerana tidak disebutkan - untuk mencapai standard. Ada murid yang dirotan kerana tidak mencapai standard, ada murid yang dimaki hamun kerana gagal mencapai standard dan ada yang disepak terajang semata-mata untuk mengejar standard. Kegagalan kurikulum dalam menekankan pembinaan insan 10 tahun lalu menyebabkan negara kita menjadi seperti negara Arab. Dihuni oleh manusia yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan. Bumi Malaysia yang dahulu bersih, damai dan tenteram dipenuhi dengan manusia yang keji akhlak, suka meninggikan suara dan tidak menghormati orang lain dek kerana pendidikan yang tidak manusiawi." Aku lihat Hannan seperti tidak puas hati dengan khutbahku yang panjang.

Dia mengambil seketul batu lalu melontar ke dalam kolam. Aku seakan mengerti bahawa khutbahku yang panjang tidak dapat diterima. Dia seolah mencampakkan kata-kataku jauh ke dasar kolam. Aku amat faham. Jiwa guru memang sukar menerima nasihat orang. Bukankan guru itu seperti nabi? Dan nabi tidak perlukan nasihat daripada orang lain. Katanya adalah wahyu. Perlakuannya adalah wahyu. Niat hatinya juga adalah wahyu. Golongan guru memang sukar untuk berubah. Mereka tidak pernah merasa berdosa pun kalau murid mereka tidak lulus peperiksaan. 100% murid mereka gagal pun tidak membuatkan mereka berfikir. Memanglah Dale Carnegie mengatakan bahawa kritikan tidak ada gunanya. Kita harus menggantikan kritikan dengan pujian. Pujian apa yang harus diberikan kalau tidak mampu memberi sinar kepada murid. Kalau asyik menyalahkan murid tidak hadir kelas. menyalahkan murid kalau tidak membuat kerja rumah. Sedangkan kerja rumah yang bertimbun tidak pernah disemak pun.

Aku telan kata-kataku. Aku tidak mahu Hannan terasa. Kata-kataku itu tersekat di kerongkongku. Biarlah orang tidak mengetahui apa yang aku rasa. Walau pahit yang aku rasa, namun madu jugalah yang harus aku luahkan. Itu juga aku belajar daripada Dale Carnegie.

"Kalau murid itu tidak mahu belajar? Tidak buat kerja rumah? Selalu ponteng? Selalu berkurang ajar dalam kelas?" Suara Hannan aku lihat seperti dia penat. Aku tahu dia memang penat pun. Mengajar di sekolah menengah harian biasa di perkampungan nelayan bukan sedikit halangannya. Anak-anak nelayan yang kurang kasih sayang, yang ibu bapa entah ke mana, yang ayah mereka bukan hanya menjadi nelayan di laut, tetapi menjadi peniaga dadah dan ganja juga adalah cabaran yang bukan main-main.

"Jangan beri mereka ilmu," kataku ringkas.

"Justeru, apa yang harus diberikan kepada mereka?" Balas Hannan.

"Beri mereka kasih sayang. Cakaplah kepada murid-murid yang nakal di sekolah, izinkan saya menjadi ibu kamu. Kalau Hannan rasa Hannan belum terlalu tua untuk mereka, cakaplah, izinkan saya menjadi kakak kamu. Saya menyayangi kamu." Selepas itu, lihatlah perubahan mereka." Aku hanya mampu bercakap kepada diriku. Aku sebenarnya sudah bosan hendak bercakap perkara ini. Banyak sangat yang aku kesal. Banyak sangat yang kita nyatakan tidak pernah dilakukan pun. Guru-guru hanya menghadiri kursus tetapi mereka tidak melakukan apa-apa pun ketika kembali ke sekolah. Aku pernah berkereta 1000km untuk berkongsi cinta dan perasaan kepada mereka. Dan apabila aku melawat mereka di sekolah, aku masih melihat telinga murid yang dipiat oleh guru. Aku masih mendengar guru yang mengherdik murid dengan berdoa supaya dia gagal kerana terlupa membawa buku teks.

Pandangan ini bukanlah pandanganku. Mungkin aku terkesan dengan al-Jahiz yang menukilkan kisah-kisah guru ini di dalam bukunya. Menceritakan kisah-kisah guru yang mengajar dan menghamburkan isi buku tanpa mengambil kira tahap pemikiran murid. Samalah seperti guru-guru agama Hassiba dan Hassina yang memaksa mereka ketika berumur 7 tahun dahulu membuat peta konsep tauhid. Yang memaksa mereka menulis Qul Yaa Ayyuhal Kaafirun. Kedua-dua mereka akan menangis ketika disuruh pergi ke sekolah agama. Akhirnya aku hanya mengatakan kepada mereka, pergilah ke sekolah. Tidak perlulah belajar kalau tidak mahu belajar. Kalau cikgu tidur, tidurlah bersama-sama guru di kelas.

"Memang itulah pun, Hannan, guru-guru di sekolah. Tentu Hannan masih ingat cerita-cerita Hassina dan Hassiba yang mengadu guru meminta mereka menyalin buku teks. Kisah guru yang sering tidur dalam kelas. Ingatlah, Hannan. Menjadi cikgu bukanlah jaminan masuk syurga. Hadis yang mengatakan guru itu umpama nabi juga perlu difahami betul-betul. Hadis itu hanyalah perumpamaan. Tidak mungkin musyabbah sama dengan musyabbah bihi. Samalah seperti menubuhkan sekolah agama. Menubuhkan sekolah agama bukan jaminan seseorang masuk syurga. Bahkan kadang kala menubuhkan sekolah agama adalah jalan pintas ke neraka. Apa tidaknya, sekolah agama telah banyak merosakkan masa depan umat Islam. Dengan pencapaian Gred Purata Sekolah yang tidak seberapa. Dengan merosakkan emosi kanak-kanak dengan hukuman keras oleh guru yang sepatutnya menjadi hakim dan polis. Dengan GPS 4.80 di peringkat PMR dan 8.00 di peringkat SPM, apalah yang sekolah-sekolah agama ini hendak banggakan? Apa yang hendak dibanggakan dengan Sijil Tinggi Agama Malaysia pun kalau peratus lulus hanya 10%? Ibarat menanam padi tidak menjadi, jalan mana lagi yang membawa kita ke syurga? Malaikat mana lagi yang sanggup menulis pahala kebaikan sekiranya duit yuran murid pun dibelanja dan dikebas ikut suka hati serta tidak mahu mengemukakan laporan perbelanjaan ketika diminta? Yang paling melucukan ada pula gerakan menubuhkan koalition semata-mata untuk tidak mahu mengemukakan laporan yuran. Salah guna wang murid dan pecah amanah sudah berdarah daging dalam hidup mereka dan mereka tidak merasa berdosa pun."

"Hannan! Di depan Hannan ada dua jalan. Kalau Hannan hendak mendengar nasihat baba, Hannan teruskanlah mendidik murid dengan kasih sayang. Sekiranya masih ada sekelumit rasa untuk mendenda murid, merotan murid, tidak sanggup untuk bekerja lebih masa, tidak sanggup untuk pergi memahami murid-murid di rumah mereka, melihat dengan mata hati kehidupan mereka, Hannan berhentilah menjadi guru. Hannan duduklah di rumah menolak Baba. Biarlah Hajjaj keluar pula mengembangkan seninya. Banyak lukisan-lukisan Hajjaj dalam studionya yang boleh dipamerkan. Dia sudah lama berbakti kepada Baba."

Hari semakin gelap. Pokok-pokok teratai di kolam sudah mula menunduk. Ombak di kolam sudah tenang. Tirai malam mula berlabuh. Hannan menolak aku di atas kerikil menuju ke rumah. Sekejap lagi malamlah. Aku mula menghitung detik untuk pergi. Pergi dengan hati yang kecewa. Aku adalah guru yang gagal. Gagal meyakinkan guru untuk berubah.