Friday, November 16, 2012

Cinta Coup de Etat

Adakah dengan mengingati Laila mereka masih cemburu terhadapku,
Setelah rambutku sudah beruban dan akalku sudah matang.

Hidup mati jodoh dan pertemuan di tangan Allah. Kita tidak berhak melakukan apa-apa pun. Yang berlalu tetap berlalu. Yang akan datang pun kita tidak mampu mengubahnya. Itu Leman sedar sungguh-sungguh. Sejak dulu lagi. Sejak dia masih cerodong di kampung dia. Sejak dia masih tidak kenal sepak terajang dunia.

Dunia berlalu begitu pantas. Sepuluh tahun bagaikan sepuluh hari sahaja. Semua masih tersimpan kukuh dalam ingatannya. Leman masih ingat bagaimana dia berjalan kaki ke sekolah tidak memakai kasut. Rumput-rumput yang bermandi embun akan membasahkan kasutnya kalau dia memakai kasut dari rumah.

“Bibah! Abang rasa abang hendak balik ke kampung minggu hadapan,” Leman memberitahu isterinya.

Apa kejadah pula selepas sepuluh tahun dia hendak kembali semula ke kampung. Siapa lagi yang ada di kampung. Mana ada siapa. Semua sudah tiada. Emaknya sudah lama meninggal. Ayahnya semetelahlah. Semasa dia dalam kandungan lagi ayahnya dah meninggal. Itu yang Leman ceritakan kepada Habibah semasa mereka kenal dulu. Habibah percaya kepada semua cerita Leman.

“Tolong siapkan beg abang. Masukkan dua tiga helai baju cukuplah. Abang tidak akan lama di kampung. Mungkin dua tiga hari sahaja.” Leman memberitahu isterinya.

Memang Habibah sedar pun bahawa suaminya bukanlah jenis orang yang beradon sangat. Dia boleh pakai seluar yang sama selama seminggu. Selepas kahwin dia tidak pernah membeli sehelai baju pun. Semua bajunya isterinya yang belikan. Termasuklah seluar dalamnya pun.

Habibah tidak pernah membuka mulut walau apa Leman lakukan. Dia tahu Leman bukan ada duit hendak hoha sana hoha sini. Kalau dia hendak keluar minum pun dia akan minta duit daripada isterinya. Gaji Leman kecil sahaja. Tetapi Habibah tidak pernah kisah. Leman walaupun begitu tetap seorang suami yang baik. Tidak pernah walau sekali badannya dikasari. Tidak pernah walau sekali Habibah dijerkah. Kalau ada sesuatu yang tidak kena, Leman hanya keluar rumah dan balik awal pagi. Kemudian mereka akan berbaik semula selepas Habibah menjemput suaminya sarapan.

Leman tidak pernah memberitahu Habibah ke mana dia akan pergi. Di mana dia akan bermalam. Habibah runsing juga. Siapa yang ada lagi di kampung. Lagipun kampung bukan seperti dulu. Kali terakhir Habibah tahu bahawa Pak Lang Samad meninggal. Itu pun dua tahun lepas. Anak-anak muda usah kiralah. Semuanya sudah keluar dari kampung. Apa yang mereka boleh buat di kampung pun. Sawah sudah semakin mengecil. Memanglah pertanian itu satu perniagaan. Tetapi hendak tanam apa kalau tiada tanah. Habibah sedar tanahnya sendiri pun sudah ada dua tiga jengkal sahaja. Ayahnya meninggal dahulu dengan dua relong tanah. Mereka ada tujuh adik beradik. Kalau difaraidhkan pun berapa yang dapat. Alih-alih mereka pakat sedekah kepada abangnya yang tinggal di kampung.

Apa yang Leman hendak cari di kampung? Habibah masih tertanya-tanya. Tapi dia tidak berani bertanya Leman. Dan memang prinsipnya tidak akan bertanya. Habibah menghormati Leman sebagai suami. Cukuplah selama ini Leman menjaganya dengan baik. Walaupun Leman bergaji rendah daripadanya, dia tetap bersyukur. Bukan dia tidak dengar suami orang lain yang selalu memeras tenaga isteri. Banyak sudah dia dengar. Zaleha kawan sekelasnya dulu berkahwin dengan orang kaya juga. Tetapi perkahwinan mereka tidak kekal lama kerana dia kenal sangatlah dengan Zaleha itu. Semasa dalam kelas pun tidak puas hati dengan semua orang. Dapat suami kaya macam itu pun masih tak puas hati. Akhirnya dia ditinggalkan. Suaminya kahwin dengan rakan sekerjanya juga.

Leman memandu pulang ke kampung. Bukan dekat jarak dari rumah dia ke kampung. Perjalanan yang memakan masa 12 jam itu diharung sendiri. Dia memang sudah biasa memandu jauh-jauh. Tapi bukan sendirian. Selalunya dia bersama kawannya Johari yang akan menemaninya kalau dia menghantar barang-barang syarikatnya. Tetapi dia sendirian kini. Jalan yang berbukit-bukau dengan lurah dalam sekali-sekali mengecutkan hatinya. Tapi dia tetap tekad untuk balik kampung.

Leman sekali-sekala diserang perasaan rindu pada kampungnya. Lebih-lebih lagi bila angin timur bertiup kencang. Perasaan itu disimpan sahaja. Dia tidak pernah berkongsi rahsia itu dengan siapa-siapa. Walaupun dengan Habibah. Walaupun dengan Johari kawan baiknya. Angin timur sejak akhir-akhir ini menyentap perasaan rindunya.

“Leman! Aku ada masalah, Leman!” Lina yang sejak tadi melihat dia memancing ikan tiba-tiba merenggut tumpuannya pada kail yang dicamak ke dalam sungai.

“Masalah apa? Umpan kau habiskah?” Soal Leman.

Memang Leman tidak pernah serius bila bercakap dengan Lina. Lina Leman anggap macam adiknya sendiri. Apatah lagi Leman tidak punyai keluarga. Pak Kassim, ayah Lina sudah Leman anggap ayahnya sendiri. Memang Leman tinggal dengan mereka sejak Leman kecil lagi. Selepas ibunya meninggal, Leman tinggal dengan keluarga Lina.

“Aku serius Leman!” desak Lina lagi.

“Kalau umpan kau habis, ambil sahajalah umpan dalam tempurung aku,” kata Leman.

Angin timur yang menampar muka Leman terasa amat tajam. Memang musim timur begini selepas sawah semua sudah dituai angin bertiup agak kencang. Mengocak air di lubuk. Anak ikan pada masa itu amat galak melompat. Lebih-lebih lagi ikan puyu dan haruan.

“Aku rasa kau dah buat masalah padaku, Leman!” Lina menggesa lagi.

“Aku? Apa yang sudah aku lakukan?” Leman bertanya. Dia amat hairan. Selama ini Lina memang sering mengikutnya mengail selepas mengaji Quran. Tetapi belum pernah dia menyusahkan Lina. Mana mungkin dia hendak membuat masalah kepada orang yang banyak berjasa kepada dirinya.

Leman singgah sebentar di tempat rehat. Dia meneguk sebotol air mineral dan membeli sebungkus betik sambil mengunyahnya lambat-lambat. Hari itu amat sibuk. Jalan penuh dengan kenderaan. Sekatan jalan merata-rata sepanjang jalan. Radio memberitahu bahawa jalan keluar di Kuala Tempoyak ditutup pada semua kenderaan. Keadaan di sana amat genting ketika dua puak yang sama-sama ingin berebut harta rakyat bertelingkah hendak memegang kuasa. Ketua kerajaan daripada Pakatan Masyarakat sudah digulingkan melalui satu coup de etat. Barisan Gerombolan melalui kerjasama sulit dengan wakil rakyat yang setaraf dengan pekerja pusat kesihatan di hotel mengkhianati amanah rakyat. Kalau di pihak lain, mereka kata tidak bermaruah mendapat kuasa melalui pintu belakang. Tetapi apabila mereka mendapatkan sokongan melalui pintu belakang mereka bertempik kesukaan. Kehendak rakyat kononnya. Leman menutup radio. Bosan dengan kisah orang-orang yang tidak takutkan akhirat.

“Aku cinta padamu Leman,” kata Lina tiba-tiba.

“Lina! Aku juga ingin menyintaimu. Tetapi keadaan aku memaksa aku memadamkan api cinta itu. Aku tidak terdaya. Aku hanya menumpang di rumahmu.” Leman membuka mulut. Kailnya diangkat perlahan-lahan. Bukan ada ikan pun. Ucapan cinta Lina bagaikan sentapan ikan haruan tiga empat kilo. Sukar untuk dia menerima ungkapan cinta itu. Dia menghormati Lina sebagai keluarga angkatnya. Memanglah sekali-sekali dia rasa alangkah indahnya kalau dia bersama Lina. Tetapi perasaan itu dihalaunya cepat-cepat. Dia takut perasaan itu akan membunuhnya.

Leman terus memandu. Angin malam terus menampar pipinya. Tingkap kereta dibuka. Kebosanan di dalam kereta membuat Leman terpaksa menyalakan sepuntung rokok. Dia menyedut asap rokok dalam-dalam. Dihembusnya asap rokok itu keluar. Habis bercempera asap rokok apabila bertemu dengan angin di luar.

Leman sudah lupa jalan ke kampungnya. Dari jauh dia mendengar sayup-sayup suara bilal melaungkan azan Maghrib. Keretanya diperlahankan. Apa tidaknya tahi lembu penuh di atas jalan. Dia cuba mengelak. Mengelak sahajalah tetapi tayarnya tetap menyentuh tahi lembu. Lopak-lopak air di atas jalan cuba dielaknya. Tetapi tayar keretanya tetap jatuh ke dalam lopak-lopak air itu.

“Lina! Kita sudah terlalu jauh. Tidak mungkin kita dapat pergi jauh lagi. Aku meminta izin untuk aku pergi jauh darimu. Izinkan aku pergi.” Leman tiba-tiba berkata.

“Leman! Hari ini aku adalah milikmu.”

“Tidak mungkin, Lina. Aku harus menghormati orang yang akan memilikimu.”

Leman membelah kegelapan malam. Dia tidak membawa apa-apa kecuali hati dan perasaannya. Hanya Lina sahaja yang tahu dia meninggalkan kampung pada malam itu.

“Pakcik! Di mana rumah Pak Kassim?” Leman memberhentikan kereta bertanya kepada seorang lelaki yang sedang menuju ke surau.

“Leman! Kaukah Leman? Ke mana kau menghilang selama ini? Sila masuk dulu, Leman.” Lelaki itu menjemput Leman ke rumahnya.

“Tidak mengapalah, Pakcik. Saya hendak ke rumah Pak Kassim dulu.” Leman menolak. Lelaki itu masih mengenali Leman. Tetapi Leman sudah lupa namanya. Itulah kelemahan Leman sejak dulu. Dia tidak berapa suka ingat nama orang.

“Ambil jalan depan sana. Selepas itu kau belok ke kanan dan belok ke kiri.” Pesan lelaki itu.

Sampai di kota, Leman bekerja mengangkat kotak dengan sebuah syarikat pengangkutan. Sebelah malam dia belajar sendirian di dalam sebuah stor buruk tempat dia tinggal. Dia berjaya masuk universiti dan menghabiskan ijazah sarjana mudanya. Memang cita-citanya hendak menjadi doktor. Tetapi belajar sendirian di dalam kolong tidak membenarkannya menggunakan berbagai radas sains. Lalu dia belajar subjek yang tidak memerlukan eksperimen. Di universiti itulah dia mengenali Habibah yang banyak menolongnya terutama dari segi kewangan.

“Leman!” Dia terdengar suara menjerit namanya melalui lubang tingkap dapur. Dia tidak kenal suara siapakah itu.

“Sila masuk Leman. Ayah belum pulang. Masih di surau. Sekejap lagi baliklah.” Budak perempuan itu mempelawa Leman masuk. Leman membuka kasutnya dan masuk ke dalam rumah.

Sudah sepuluh tahun rumah itu masih tidak berubah. Tikar getah itulah juga yang terhampar di lantai. Televisyen Samsung 28 inci masih terperosok di tepi dinding. Cuma yang adapun hanyalah penerima isyarat Astro yang melengkapkan kabinet televisyen. Gambar Kaabah yang dibeli oleh Pak Kassim di Mekah ketika dia menunaikan haji masih tergantung di dinding. Sofa berwarna hijau masih belum bersalin kulit. Sudah agak lusuh warnanya.

Leman merebahkan punggungnya di atas sofa. Dia memandang keliling. Segalanya masih seperti dulu.

“Ayah! Leman ada di dalam.”

“Bila dia sampai?”

“Baru sekejap tadi.”

“Leman! Apa khabar?”

“Baik, Pak Kasim.”

“Pak Kassim sihat?”

“Sihat.”

Mereka berbual seperti biasa. Sekali-sekali perbualan mereka teganggu dengan kanak-kanak kecil yang keluar masuk. Leman memerhati sahaja kana-kanak tersebut. Haram dia tidak mengenali mereka. Pak Kassim langsung tidak bertanya ke mana dia pergi selama ini. Mungkin tidak mahu melukai perasaannya. Atau mungkin Pak Kassim tahu apa yang telah berlaku. Leman pun tidak membuka mulut.

Azan Isyak di surau kedengaran sayup-sayup. Pak Kassim meminta izin untuk ke surau. Tinggal Leman keseorangan di ruang tamu. Sepi.

“Mak Cik! Biar saya berangkat dahulu.”

“Ke mana kau hendak pergi malam-malam begini? Tunggu Pak Kassim balik dahulu.”

“Tidak mengapalah Mak Cik. Saya hendak ke pulang ke Kuala Lumpur.”

“Cepatnya. Mengapa tergesa-gesa sangat?”

Ketika dia hendak memakai kasut, seorang kanak-kanak datang dan memerhatikannya.

“Siapa ini, Mak Cik?”

“Ini anak Lina.”

“Oh. Berapa umur adik?”

“Lapan tahun.”

Leman melangkah pergi dalam kegelapan malam. Di luar merasa satu kelainan. Di mana pokok mangga di sini dulu? Di bawah pokok mangga itulah dia sering bersama Lina dahulu. Pokok mangga itu kini sudah tiada. Sudah tinggal tunggul-tungul yang gerigis. Mereka sudah menebangnya. Mereka sudah tidak mahu melihatnya.

10 Mac 2009

No comments:

Post a Comment