Friday, November 16, 2012

Hassiba! Hassina! Bertuahlah kamu.

Hassiba! Hassina!

Sepatutnya baba poskan entri ini empat hari lalu. Tetapi baba amat sibuk. Sangat sibuk meraikan kawan-kawan baba. Kamu berdua perlu tahu Hassiba dan Hassina. Kadang-kadang kawan-kawan dan sahabat lebih baik daripada saudara mara kita. Sahabat boleh kita bersenda-gurau tanpa batas. Sahabat boleh menolong kita sewaktu kesusahan. Tetapi adakah saudara mara kita tahu kita kesusahan? Adakah mereka tahu? Sahabat tidak pernah bertanya tentang harta pusaka kita. Tetapi saudara mara kita hanya tahu merisik harta pusaka peninggalan nenek moyang kita. Sebelum nenek moyang kita mati mereka asyik berdoa supaya nenek moyang kita mati dan mereka boleh faraidkan harta pusaka itu. Kadang-kadang mereka tidak faraidkan pun. Mereka hanya rampas begitu sahaja. Mereka usahakan begitu sahaja. Mereka tidak bahagikan pun. Yang waris kepala ayam, merekalah yang dapat. Tapi kamu berdua Hassiba dan Hassina amat bertuah. Baba tidak akan biarkan kamu bergaduh nanti. Baba akan bahagikan apa yang baba ada semenjak baba masih hidup lagi. Baba akan bahagikan semasa baba belum mati lagi. Supaya adik-beradik kamu tidak berpecah. Tidak bermasam muka.

Bertuahlah kamu Hassiba dan Hassina. Bukan sahaja kamu bertuah. Baba pun bertuah juga. Yang ditunggu satu tetapi yang datang dua. Pada mulanya baba runsing jugak. Runsing tidak dapat menunaikan amanah Allah untuk memelihara anak-anak baba dengan sempurna. Apabila nurse datang meminta baju kepada bayi yang akan lahir itu, baba serahkanlah baju yang baba bawa itu pun. Kemudian dia datang lagi dan meminta baju sepasang lagi. Baba kata tadi saya sudah berikan kepada cik tadi. Dia kata, encik ada seorang bayi lagi. Encik tidak tahukah? Pada ketika itu memang baba kelam mata. Tidak tahu hendak buat apa. Memang baba hanya bawa baju sepasang sahaja. Untuk seorang bayi sahajalah. Semasa scan pun doktor kata yang lahir nanti adalah Mawi, bukan Saleha. Umi kamu pun sibuklah membeli baju untuk bayi lelaki. Itu keputusan scan. Tetapi baba tetap merasakan bayi itu bayi perempuan. Tiba-tiba nurse itu datang memberitahu bahawa yang lahir adalah bayi kembar perempuan. Bertambah haru baba ketika itu. Apa yang perlu baba buat? Baba terduduk ketika itu. Cik! Sekejap. Biar saya bertenang dulu sekejap. Saya hendak fikir apa yang perlu saya lakukan. Dalam kepala baba memikirkan bahawa kembar maksudnya double. Maksudnya sekali ganda lagi. Susu, lampin pakai buang, bayaran nursery dan lain-lain lagi. Segalanya double. Dengan gaji kecik baba yang ketika itu baru pakai kereta besar pula, maka larilah bajet baba yang baba petakan di dalam kepala baba ini. Tetapi bertuahlah kamu Hassiba dan Hassina. Selepas kamu lahir itu rezeki baba mencurah-curah seperti hujan yang turun dari langit. Baba mendapat duit royalti buku, duit biasiswa, duit apa lagi yang kadang-kadang baba tidak tahu pun dari mana masuknya duit ke dalam akaun baba. Bertuahlah kamu Hassiba dan Hassina!

Memang telah baba carikan nama untuk bayi lelaki itu semenjak doktor mengumumknnya sebagai lelaki. Seperti biasa apabila umi bertanya nama apa yang baba akan berikan kepada bayi itu baba diamkan sahaja sama seperti nama-nama abang-abang dan kakak kamu. Baba kata tentang nama jangan risau. Memang tugas bapa memberikan nama yang indah-indah buat anaknya. Baba bercadang untuk menamakan bayi itu Hubb yang bererti Cinta. Tetapi apabila dua bayi yang lahir perempuan pula tu, maka susahlah hati baba memikirkan nama apa pula yang baba akan berikan kepada kedua-dua bayi perempuan itu. Namun kegundah-gelanaan itu tidak lama apabila baba memikirkan sedangkan baba selalu sahaja menerima panggilan telefon oleh sahabat handai untuk meminta pendapat baba ke atas nama bayi-bayi mereka. Ramailah juga anak-anak sahabat baba yang baba namakan. Mereka juga selalu bertanya maksud nama bayi-bayi mereka yang mereka cantumkan daripada nama bapak dan emak, nenek dan moyang. Ada yang mempunyai makna di dalam bahasa Arab dan ada jugak yang tidak memberi makna apa-apa langsung. Terdapat juga yang bertanya nama anak mereka yang seakan-akan nama pelakon telenovela Mexico, Colombia dan Venezuela. Dan mereka hendakkan makna nama itu di dalam bahasa Arab. Susahlah baba ketika itu hendak mencari maknanya. Kamu pula entah bagaimana terpacul nama itu di dalam minda baba. Secara tiba-tiba sahaja. Bertuahlah kamu kerana mendapat nama yang baik-baik ini, bukan seperti sesetengah nama orang yang tidak sesuai yang membawa maksud buruk pula.

Bertuahlah kamu Hassiba dan Hassina! Ketika abang kamu Hussan dan Hajjaj serta kakak Hannan terkial-kial mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris, kamu amat bertuah kerana kamu tidak perlu lagi menjadi mangsa dasar yang dibuat dalam keadaan tergesa-gesa itu. Dasar yang telah banyak membunuh kanak-kanak di desa. Memanglah ada kanak-kanak di badar yang menjadi pandai bercakap macam penjajah kita pun. Bapak dan emak mereka bercakap bahasa Inggeris. Tetapi yang tinggal di kampung, apa nasib mereka? Pendidikan bukan untuk melahirkan angkasawan, saintis dan para penipu kapitalis sahaja. Pendidikan adalah untuk melahirkan manusia. Pendidikan adalah untuk memanusiakan manusia. Lihatlah abang kamu yang sampai sekarang tidak faham konsep place value, nearest one, tens dan hundred biar berpuluh kali baba terangkan kepada dia, biar beratus kali baba luku kepala dia. Sampai sekarang pun dia masih tidak faham. Bukankan senang kalau dikatakan kepadanya nilai rumah? Bukankan senang dikatakan kepadanya nilai satu yang paling hampir, nilai puluh yang paling hampir, nilai ratus yang paling hampir? Tetapi kamu bertuah Hassiba dan Hassina. Masuk sekolah tahun 1 pada tahun 2012 nanti kamu tidak perlu lagi belajar subjek matematik dan sains dalam bahasa inggeris. Dasar puaka itu telah dihapuskan anakku. Bertuahlah kamu Hassiba dan Hassina. Kamu sepatutnya berterima kasih kepada Dato' Hassan Ahmad yang telah berjuang untuk menghapuskan dasar puaka itu anakku. Begitu juga dengan Dato' A. Samad Said. Juga kepada semua yang semenjak awal lagi menentang dasar puaka itu. Bertuahlah kamu anak-anakku.

12 Julai 2009

No comments:

Post a Comment