Friday, November 16, 2012

Kalau Itu Sudah Takdirnya

Kalau sudah itu takdirmu wahai Mustafa, kembalilah. Kami sedia menerimamu kembali. Biar dia sudah tidak mahukan engkau, kami masih lagi ibu dan bapamu. Kembalilah. Banglo itu pun sudah kau jualkan. Engkau pun sudah dapat memo bertukar tempat kerja. Kembalilah kepada kami kerana kami masih ibu dan bapa kamu. Ibu dan bapa bukan seperti pasangan suami atau isteri yang hanya menerima di kala seronok suka sahaja. Di kala hidup senang lenang dengan kemewahan. Di kala tinggal di rumah batu dua tiga tingkat. Di kala punya mobil mata belalang dan biji kacang goreng. Di kala rupamu masih cantik mereka terimalah kamu. Tetapi di kala rupamu sudah kerepot dan kedut sana sini, mulalah mereka cuba mencari baru untuk merasa kesedapan yang lain pula. Mereka akan mencari daging pejal yang lain yang lebih sedap sama seperti daging pejal kamu yang sedap suatu ketika dulu.

Kembalilah, wahai Mustafa. Biarlah mereka menggunakan hujjah ayat Quran di dalam surah al-Nisa' yang membolehkan mereka berkahwin dua atau tiga atau empat itu. Gunakanlah ayat Quran itu sepuas-puas hati mereka. Usahlah kau persoalkan lagi ayat itu kerana ayat itu memang dari Allah pun. Kami juga membaca al-Quran, Mustafa. Tetapi kami hairan juga dengan buku-buku tafsir yang menjelaskan bahawa al-Yatama itu adalah anak-anak yatim perempuan. Setahu kamilah, al-Yatim itu adalah anak yatim lelaki dan pluralnya adalah al-Yatama. Kalau yatim perempuan pula adalah al-Yatimat dan dipluralkan menjadi al-Yati:ma:t. Bila pulakah orang-orang Islam mengahwini anak-anak yatim lelaki pula? Kami cukup hairan dan amat hairan. Adalah satu ayat di dalam surah al-Nisa' juga di mana Allah Taala berfirman yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu tentang wanita. Katakan Allahlah yang memberi fatwa kepada kamu tentang mereka dan apa yang dibaca ke atas kamu di dalam al-Kitab tentang Yatama al-Nisa (anak-anak Yatim wanita) yang kamu tidak berikan kepada mereka apa yang telah tertulis ke atas mereka dan kamu pula suka untuk mengahwini mereka itu (al-Nisa':127). Kalau yatim perempuan, memang disebutlah Yatama al-Nisa'. Sekiranya Yatama sahaja, maka seperti kata-kata nama lain di dalam al-Qurannya meliputi maskulin dan feminin.

Di dalam surah al-Nisa' ayat 3 itu Allah berfirman yang maksudnya: Sekiranya kamu takut tidak berlaku adil kepada anak-anak yatim (lelaki dan wanita), maka kahwinilah apa yang baik buat kamu daripada wanita-wanita sama ada dua dan tiga dan empat. Kalau kamu takut tidak berlaku adil, satu cukuplah. tentang adil ini pula, Mustafa, Allah juga berfirman di dalam surah yang sama yang bermaksud: Dan kamu sekali-kali tidak akan berlaku adil di antara wanita walau kamu amat teliti sekalipun (al-Nisa':129). Nah! Kalau al-Quran sudah menafikan bahawa mereka tidak akan berlaku adil, mengapa mereka cuba berpoligami lagi wahai Mustafa? Lihatlah keadilan yang mereka berikan kepada kamu sekarang. Adil bukan setakat adil dari segi material seperti mana keadilan yang difahami oleh golongan kapitalis. Bukan setakat berlaku adil di dalam membeli sekilo dua kilo garam. Bukan adil dengan membahagikan segantang dua gantang beras. Bukan setakat dua tiga helai baju. Adil bermaksud adil di dalam menjaga hati dan perasaan. Manusia ini bukan hanya terdiri daripada sekerjung tubuh. Sekerjung tubuh sahaja ibarat mayat sahajalah. Tetapi manusia ini ada roh. Manusia ini punyai jiwa, hati dan perasaan. Adilkah mereka dengan membiarkan kamu terkapa sendirian?

Kalau kamu sudah membuat keputusan untuk kembali kepada kami, kami akan terimalah kamu wahai Mustafa. Kembalilah. Bungkuslah barang dan kembalilah. Bawalah apa yang kamu rasa mahu bawa bersama kamu. Kalau mereka hendak mengambil semua harta sepencarian kamu pun, ambillah. Mereka 'kan adil dengan berpoligami itu? Biarlah mereka mabuk dengan keadilan mereka. Mereka faham sangatlah al-Quran itu dengan berpoligami. Apa sebenarnya hukum poligami ini, Mustafa? Sunatkah? Wajibkah? Haramkah? Makruhkah? Haruskah? Mana-mana kitab yang kami rujuk pun mengatakan bahawa poligami itu hanyalah harus. Mereka fahamkah apa maksudnya harus itu? Harus atau al-Ja:iz atau al-Mubah di dalam ilmu fekah bermaksud sama sahaja melakukan sesuatu atau meninggalkannya. Nampaknya mereka terpedaya dengan hadis Nabi: Nikah itu sunnahku. Hadis Nabi itu bermaksud berkahwin kali pertama sahaja yang merupakan sunnah dan mendapat pahala kerana mengikut sunnah nabi. Adapun berkahwin lebih daripada seorang itu hukumnya adalah harus yang tidak mendapat apa-apa pahala pun. Sebaliknya kalau dengan poligami itu boleh menyebabkan mereka tidak berlaku adil, berlaku peperangan di dalam rumah tangga, kucar-kacir keluarga, anak terbiar, keji-mengeji, hina-menghina, bergaduh dan akhirnya berlaku perceraian, bukanlah harus tetapi telah menjadi haram kerana melakukan perkara yang paling dibenci oleh Allah.

Kalau itu sudah keputusan dia yang telah menceraikan kamu, kembalilah. Kami sedia menerima kamu kembali sama seperti kami menerima kamu ke dunia ini dahulu pun. Kecil tapak tangan, tapak sulaiman kami tadahkan. Kalau kau sayang pada anak-anak kamu itu, bawalah mereka kembali dengan kamu. Kami akan menerima mereka juga sebagai cucu kami. Jangan ada benci di dalam hati mereka dengan perceraian ini. Kalau dia hendak kahwin, kenapa dia tidak memilih anak yatim sahaja? Yatimkah suaminya sekarang ini? Atau suaminya sekarang ini mempunyai anak yatimkah? Apakah dia hendak memelihara anak yatim dengan sanggup membiarkan anaknya sendiri tidak berbapa dan tidak beribu? bagaimanakah mereka memahami ayat al-Quran ini, Mustafa. Kami bingung apabila memikirkan bagaimana ulama telah membuat hukum? Mereka fahamkah huruf syarat itu? Kenapakah mereka memejamkan sebelah mata mereka terhadap jumlah syarat "sekiranya kamu takut untuk tidak berlaku adil kepada anak-anak yatim" dengan hanya membaca "maka kahwinilah apa yang baik daripada wanita-wanita dua dan tiga dan empat". Mereka juga tidak membaca "sekiranya kamu takut untuk tidak berlaku adil, maka cukuplah satu". Ayat itu Mustafa adalah untuk anak yatim sahaja. Terdapat dua aliran pemikiran di dalam ayat ini. yang pertama yang terdapat di dalam kitab-kitab tafsir yang mengatakan bahawa sekiranya kamu takut tidak berlaku adil di dalam mentadbir harta anak yatim itu maka kahwinilah perempuan lain supaya kamu tidak memakan harta mereka tanpa hak. Janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang yatim semata-mata ingin membolot harta pusaka mereka. Kedua aliran pendapat kami sendiri setelah kami membaca beberapa buku sejarah dan buku-buku fekah. Anak-anak yatim yang kematian bapa mereka di medan peperangan suatu ketika dahulu hilang tempat pergantungan. Bapa mereka pergi berjihad dan terkorban di medan pertempuran. Isteri-isteri mereka telah menjadi ibu tunggal dan terpaksa membesarkan mereka. Sekiranya kamu takut anak-anak yatim itu dizalimi, maka kahwinilah ibu-ibu tunggal yang kamu rasa baik buat kamu supaya nasib anak-anak mereka terbela. Tetapi apa yang berlaku, orang-orang yang berpoligami bukannya ada tanggungan menjaga harta anak yatim pun. Mereka juga bukan merasa belas kasihan pun kepada ibu-ibu tunggal dan anak-anak mereka. Mereka hanya tahu berkahwin dengan wanita-wanita belasan tahun yang masih di bangku sekolah lagi. Mereka akan kahwin dengan perempuan-perempuan muda begitulah. Kalau isteri tua mereka tidak bekerja, mereka berkata mereka berkahwin dengan wanita bekerjaya supaya meringankan beban ekonomi mereka. Kalau isteri mereka sudah tua, mereka akan berkata isterinya sudah kerepot dan tidak boleh berseronok suka lagi. Isinya pun sudah tidak pejal. Lebih-lebih lagi kalau mereka tidak selesa dengan kamu kerana bau badan kamu sudah mulai hapak dan hangit. Kalau tidak suka, macam-macamlah mereka akan kata kepadamu, Mustafa.

Mereka yang senasib dengan kamu ramai, Mustafa. Bukan kamu seorang sahaja. Selagi bumi ini berputar, ada sahajalah yang mencipta alasan untuk berpoligami. Mereka akan gunakanlah alasan dan dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah pun. Mereka akan berkatalah bahawa sesiapa yang mengizinkan dirinya bermadu akan mendapat payung emas di akhirat kelak. Sanggupkah kamu memikul payung emas sedangkan gelang emas di tangan yang kamu pakai sekarang pun tidak larat diangkat. Kalau subang emas semayam pun sudah boleh rebeh telinga kamu, bagaimana kamu boleh meikul payung emas. Di akhirat nanti berbanggakah kamu dengan emas yang menjadi perhiasan dunia? Ketika masing-masing sibuk menunggu giliran dihisab oleh Allah, apakah ada lagi manusia yang berbangga dengan emas dan perak? Pada hari itu anak pinak dan harta benda pun sudah tidak berguna lagi kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Bagaimana pula mereka menjanjikan payung emas lagi kalau harta pun sudah tidak berguna. Akibat mengejar payung emas itulah, akhirnya rumah tangga yang dibina bagaikan masjid itu diruntuhkan begitu sahaja. Kembalilah, wahai Mustafa! Kembalilah.

Kalau sudah itu keputusan dia yang telah menceraikan kamu, kembalilah. Duduklah dengan kami. Tinggallah dengan kami kembali. Kami menerima kamu bagaimana Kalsom Bee menerima kembali Kassim Selamat dalam keadaan buta. Biarlah kedut kulitmu, biarlah hapak badanmu, biarlah kamu tidak sejelita dulu, kami tetap akan menerima kamu. Tinggallah kenangan lalu di kota bersama debu-debunya. Kembalilah.

No comments:

Post a Comment