Friday, November 16, 2012

Kurawat Luka Itu

Kepalaku masih berdenyut. Pening. Aku rasa sakit seluruh badan. Hentaman kuat oleh sebuah lori dari belakang membuatkan kereta aku hilang kawalan. Keretaku meluru bagaikan lintar menghentam pembahagi jalan. Aku masih ingat dua tiga kali kereta aku terpusing. Nasib baik kereta aku memilih untuk berguling di sebelah kiri bukan di sebelah kanan. Habislah pokok-pokok renek di sebelah kiri itu disapunya. Kalau di sebelah kanan, aku yakinlah aku akan disapu lagi oleh kenderaan yang datang dari sebelah utara.

Aku masih ingat lagi. Dua tiga buah kereta berhenti untuk membantu. Ada jugalah kereta tunda yang aku dengar orang gelar mereka sebagai Long Kai. Aku pun tidak tahu mengapa mereka digelar Long Kai. Long Kai ini kalau ada pemandu kereta yang menghadapi masalah di lebuh raya, merekalah yang akan sampai dahulu. Mereka akan menunda kereta orang ke bengkel mereka. Dan belum apa-apa mereka dah buka enjin. Walaupun kereta itu sebenarnya disondol dari belakang sahaja dan tidak ada kena mengena dengan enjin. Aku kata kepada mereka, kereta aku ada insuran. Sekejap lagi kereta penunda syarikat insuran aku akan tiba. Aku ucap terima kasih kepada mereka. Memang aku selalu simpan senarai bengkel panel insuran aku sepanjang lebuh raya di dalam kereta. Kalau ada apa-apa berlaku senang aku hubungi mereka tanpa perlu ditipu oleh Long Kai.

Aku juga masih ingat lagi ketika ambulan sampai. Mereka melihat kecederaan yang aku alami. Encik! Saya rasa tangan encik mengalami keretakan atau patah. Biar saya balut sementara. Aku dengar pembantu perubatan yang datang bersama-sama ambulan itu memberitahu aku. Encik! Di mana lagi encik rasa sakit? Dia bertanya lagi. Aku hendak jawab apa. Seluruh badan aku rasa sakit. Kereta terbalik kuang dua tiga kali membuatkan aku rasa seluruh tulangku patah dan hancur berkecai. tetapi aku hairan kenapa aku masih boleh ingat. Aku masih boleh bercakap. Aku memang menghadapi masalah dengan ingatanku ini. Segala peristiwa semenjak aku berumur 4 atau 5 tahun aku masih ingat. Memanglah seronok mengingati segala peristiwa dahulu. Lebih-lebih lagi peristiwa manis. Bagaimana pula dengan peristiwa pahit. Segala peristiwa pahit yang aku lalui di dalam hidup aku aku tidak pernah melupainya. Musibah sungguh. Dan juga peristiwa dulu yang aku anggap manis tetapi kini telah menjadi pahit yang boleh memusnahkan hidup aku bila-bila masa sahaja.

Encik! Encik boleh bangun tak. Sekarang waktu makan. Seorang jururawat datang menghulurkan kepadaku talam makanan. Makanan hospital memang standardlah. Ikan kembung masak air yang dicampur serai, sayur sawi rebus dan segelas air suam. Aku capai talam itu dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Nanti sekejap, aku kata kepadanya. Apa lagi yang boleh saya bantu encik. Sedap sungguh suaranya. Bersopan santun pula. Tidak seperti kisah jururawat yang aku dengar yang suka mengherdik orang akibat tekanan kerja. Nama cik Azimahkah? Dahulu bersekolah di Sekolah Sungai Korok Lama? Rumah di Kampung Guar Lobak? Aku cuba serkap jarang. Tetapi tidaklah berapa jarang sangat. Dua hari lepas aku bertemu dengan Nita yang bersekolah di SK Sungai Korok Lama bersama-sama Azimah. Dia memberikan aku nombor telefon Azimah. Itu pun selepas dia menyiksa aku dengan beberapa soalan maut dia. Dia kata Azimah sekarang bertugas di Hospital Selayang. Aku simpan sahaja nombor telefon aku. Aku tidak berani mendail walaupun aku mencari Azimah semenjak 8 tahun lalu. Aku menggoogle. Aku mengyahoo. Aku memfriendster dan aku juga memfacebook untuk mencari Azimah. Akhirnya aku temui Azimah akibat kemalangan ini. Barangkali apa yang kamu tidak suka itu boleh membawa kebaikan kepada kamu.

Aku tidak pasti kenapa sampai tahap itu aku mencarinya. Pertemuan aku dengan Azimah bukan lama pun. Hanya tiga hari sahaja. Aku masih ingat lagi. Ya aku masih ingat. Aku bertemu dengannya di perkhemahan di SK Sungai Korok Lama. Aku dengan dia disatukan di dalam satu kumpulan pertandingan memasak. Dan kumpulan kami memenangi acara itu. Kecenderungan memasak aku bagaikan wahyu. Aku bukan masak betul-betul pun kadang-kadang. Aku hentam sahaja. Aku ingat pada ketika itu aku masak telur dadar, sardin dan juga sayur kobis. Tukang hiasnya siapa lagi kalau bukan Azimah. Dia keluar membeli cili di kedai berdekatan sekolah tersebut lalu dipotong menjadi bunga-bungaan dan menghiasi telur dadar. Nampak bukan main sedap lagi.

Aku masih ingat. Ya masih ingat tangan kirinya ketika itu sakit. Baru lepas disuntik. Aku tidak tahu suntik untuk apa. Tetapi memang selalulah murid darjah 6 disuntik. Ada yang lari sembunyi di sebalik tiang kerana takut disuntik. Ada yang lompat pagar. Aku pulak membuat helah. Melihat van klinik datang aku berjemur di tengah panas. Apabila tiba masa untuk disuntik, aku berkata bahawa aku demam dan baru mengambil ubat demam semasa di rumah tadi. Taktik aku menjadi dan aku tidak disuntik pada hari itu. Lengan Azimah yang disuntik itu membengkak dan bernanah. Dia menunjukkan kepada aku nanah yang sudah menonjol kepalanya sebesar kepala mancis. Aku kata jangan picit tetapi dia memicit juga. Dan akhirnya terpancutlah nanah itu. Aku mengambil kain skaf pengakap aku dan mengelap nanah yang mengalir itu.

Kau ingat tak cerita itu, Azimah? Ya. Aku ingat. Tetapi tidaklah semua. Sampai cerita nanah itu pun kau ingat, Hasnan? Yang aku ingat kita sama-sama menyanyi lagu Masih Ingat Tak Lagi nyanyian Nassier Wahab di bawah pokok buku lima di tepi dewan sekolah. Lucu sungguh. Aku ingat selepas kemalangan ini kau akan lupa atau otak kau menjadi biol. Tetapi kau masih ingat semua perkara. Maaflah, Hasnan. Aku sudah lupa. Aku agak terkejut juga apabila Nita hubungi aku minggu lepas. Dia memberitahu ada seseorang sedang mencari aku. Puas jugalah aku fikir. Mana mungkin peristiwa 3 hari itu hendak terpahat kukuh di benakku. Aku tidak sangka sungguh.

Aku masih ingat. Ada orang memberitahu aku kau telah berpindah. Ibu bapa kau telah berpindah ke Guar Lobak dan ayah kau bertugas di Padang Serai. Siapa yang memberitahu aku aku sudah lupa nama mereka. Ya! Aku ingat kembali. Nama dia Intan. Dia kata dia bersekolah bersama-sama denganmu. Dan alamat itu aku simpan sehinggalah aku bekerja di Kulim dua tiga tahun lepas. Aku cuba mencari rumahmu tetapi tidak berjumpa. Aku selalu juga melintasi Guar Lobak kalau hendak ke Alor Setar. Dan aku juga selalu ke Tanjung Belit ke rumah kawanku. Kalau hendak ke Tanjung Belit, memang melalui Guar Lobak dululah. Ketika melintasi Guar Lobak, aku sering berfikir di sinilah kampung Azimah. Bila aku akan ketemu dengannya?

Hasnan! Kau memang suka mengarut. Aku pun tidak kenal sangat dengan kau. Mana mungkin tiga hari pertemuan dengan kau boleh membuat kau ingat begitu sekali? Aku hairan. Aku amat hairan. Sekarang biar aku rawat luka kau ini. Biar aku bersihkan luka kau sebagaimana kau bersihkan nanahku dulu. Aku harap aku sudah membalas jasa kau dahulu. Dan selepas ini kau tidak perlu lagi mengingatiku.

2 Julai 2009

No comments:

Post a Comment