Friday, November 16, 2012

Madu Beracun

Biasanya Mustafa akan telefon aku untuk keluar minum dengan dia. Kami akan duduklah bersembang dua tiga jam di Restoran Atima. Habis segelas segelas lagi kami pesan minuman. Kadang-kadang sampai penuh meja. Orang pun jaranglah hendak duduk di meja itu. Memang meja itu khas untuk kami sahajalah. Tuan punya restoran pun sudah tidak kisah. Kalau nak pesan minuman kami masuk dalam sahaja. Pesan terus dari tukang bancuh air di dapur. Penuhlah meja kami dengan gelas-gelas air. Minuman pula pakai ikut sedap pesan sahaja. Kami bukan kisah sangat pun. Kadang-kadang pesan milo 0 ais, kadang-kadang pesan air timun, dan kadang-kadang Radix. Kalau kami pesan milo ais pun dan si pembawa minuman membawa nescaffe pun kami balun juga. Pesan itu pun buat syarat sahaja.

Kalau kami lapar, kami pesanlah nasi yang berlauk ikan siakap atau bawal atau kerapu masak masam-masam manis. Mustafa suka masak pek sak. Aku tidak tahu kenapa dia suka masak pek sak itu. Kerana nama dia macam pepek besaqkah? Dan dia juga suka tomyam pok tek. Aku hairan sungguh. Kalau alang-alang dah pesan ikan siakap tu, pesanlah juga telur dadar yang lebih senang disebut telur dada. Huruf "r" itu memang tidak kedengaran pun. Aku gelak saja bila Mustafa pesan makanan begitu. Dan juga dia pesan kailan ikan masin. Memang begitukah kalau nak makan ikan siakap?

Tapi itu dahululah. Sebelum isteri Mustafa memadukannya. Selepas Mustaffa menjadi madu, hidupnya sudah berubah. Dia sudah tidak keluar minum dengan kami lagi. Dia sudah tidak bersms dan menelefon aku lagi. Aku sms pun dia tidak pernah membalas sms aku. Apabila aku telefon dia, panggilan aku hanya dipesongkan masuk ke dalam peti suara telefonnya sahaja. Dia memendam rasa agaknya. Aku pun tidak pernah lintas langsung di depan rumahnya dengan kesibukan aku ini. Aku malas hendak masuk campur kehidupan orang bermadu ni. Biarlah mereka hendak bermadu ke hendak beracun ke. Bagi aku membina rumah tangga bukan seperti membina reban ayam. Mereka tidak tahukah apa perasaan suami apabila dimadukan?

Memang Mustaffa ada memberitahu aku pada suatu malam ketika kami berbual-bual di Restoran Atima jugalah. Dia memberitahu bahawa isterinya hendak berkahwin lagi. Isterinya hendak memadukannya. Hatinya hancur pada ketika itu. Isterinya tidak ingatkah bahawa perkahwinan yang mereka bina itu masa susah dahulu? Semasa sama-sama hanya berbasikal cabuk dari kampungnya ke kampung Mustaffa. Meniti denai dan jalan ban yang apabila hujan berlopak sana berlopak sini. Kadang-kadang apabila tayar basikal cabuk itu melanggar tahi lembu yang bertompok di sana-sini lalu terpecik terkena muka dan lengan dan belakang mereka. Jarak di antara rumah Mustafa dengan rumah isterinya bukannya dekat. Jauhnya bukan main-main. Kalau bertolak selepas subuh, hampir asar baru hendak sampai. Sampai sahaja di rumah mertua atau di rumahnya, lututnya kebas. Habislah dua tiga botol minyak angin disapunya. Apakah isterinya tidak ingat? Sekarang mereka sudah ada dua tiga buah kereta. Sebuah Nazaria, sebuah Proton Saga dan sebuah lagi Kancil untuk digunakan ke pasar pada hari Sabtu dan Ahad. Memang senang sangatlah kehidupan mereka kini.

Apabila hidup sudah senang, isterinya hanya tahu bermadu sahaja. Siapakah yang mengubah hukum ini? Memang hidup ini tidak perlu madu pun. Bermadu ini hanya merosakkan keluarga. Memporak-perandakan keluarga. Kehidupan yang indah permai menjadi kucar-kacir. Yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Yang menjadi mangsa adalah hati yang hancur berkecai. Memanglah isterinya sudah menjadi kaya setelah tanah isterinya di Sungai Kering diambil oleh kerajaan untuk membina kilang penapis minyak. Memang isterinya sudah banyak duit hasil royalti buku dua tiga buah. Isterinya seolah-seolah telah lupa dengan kesusahan hidup yang mereka lalui dulu. Betapa susahnya mereka membina kehidupan sehingga mencapai tahap ini. Dan apabila sudah senang, dia hendak bermadu pula. Dasar wanita yang tidak mengenang budi.

Bermadu bermaksud mereka berkongsi melakukanlah hubungan intim. Isterinya akan digomolilah oleh madunya itu. Mustafa tidak merelai isterinya itu digomoli oleh orang lain. Memang dia tidak boleh menerima. Badan isterinya akan dinakra oleh madunya. Madunya akan melakukan seperti mana yang Mustafa lakukan kepada isterinya pun. Mustafa tidak dapat membayangkan isterinya akan menanggalkan pakaian satu persatu di depan madunya. Selepas sudah selerah, isterinya akan mandi dan esok akan tibalah pula giliran Mustafa. Bolehkah Mustafa menerima keadaan itu? Bolehkah?

Memang susah untuk menerima keadaan itu. Kalau bermadu itu hanya berbual-bual melalui telefon, Mustafa merelakan. Kalau bermadu bermaksud bersms dua tiga kajang Mustafa boleh menerima. Kalau bermadu bermaksud berpegangan tangan sekalipun Mustafa boleh menerima. Tetapi kalau sampai berhubungan intim, Mustafa tidak dapat menerima. Mana mungkin dia merelakan isterinya dinakra oleh madunya. Berkongsi dua dayung di dalam satu tasik? Tidak mungkin.

Malam itu giliran isteri Mustafa bermalam di rumah madunya. Mustafa menelefon aku meminta aku datang ke rumahnya. Aku pun datanglah. Masuk sahaja ke dalam rumah, aku lihat mata Mustafa bengkak. Matanya merah bagaikan mata ceplos sahaja. Dia menangis sungguh-sungguh. Aku langkah sahaja ke dalam rumahnya, dia terus meraung. Aku sudah tidak tahan, Nasri! Aku sudah tidak tahan. Aku tidak mahu bermadu lagi. Aku tidak rela berkongsi tasik lagi. Aku sudah geli berhubungan intim begitu. Biarlah dia lepaskan aku. Biarlah kami berpisah. Aku bagaikan dapat melihat lidah maduku menjalar di setiap inci tubuh isteriku. Aku bagaikan dapat melihat dayung maduku melibas tasik isteriku. Aku geli geleman. Mustafa menangis tersesak-esak bagai budak-budak di depan aku.

Sabarlah Mustafa! Kau hendak aku buat apa dengan isteri kau? Kau mahu aku bunuh dia? Atau kau mahu aku bunuh madu kau? Kau buat pilihanlah. Aku kata kepada Mustafa. Sajalah aku tunjuk garang. Kalau dia minta aku bunuh salah seorang dari mereka pun aku tidak tahu bagaimana hendak membunuhnya. Aku bukan SPRM. Aku tidak pernah belajar bagaimana hendak membunuh orang. Mana mungkin aku bersabar! Suara Mustafa tiba-tiba tinggi. Bagaikan guruh bagaikan halilintar membelah bumi. Anaknya yang sedang tidur di dalam bilik terjaga. Tiba-tiba Mustafa menerkam ke arah anaknya. Mustafa hendak mencekik anaknya kerana terlalu geram, kerana terlalu marahkan isterinya yang sanggup memadukannya. Aku celapak menyambar anaknya. Mustafa cuba merebut anaknya daripada aku. Aku terus memeluk erat anak Mustafa.

Jangan, Mustafa! Jangan jadikan anak kau sebagai tempat melepaskan geram. Kau tidak perlu lepaskan geram kepada kanak-kanak yang masih kecil lagi. Tunggulah isteri kau balik besok. Kita selesaikan dengan baik. Aku cuba memujuk Mustafa supaya menerima kenyataan bahawa dia dimadu. Walaupun aku tahu aku juga tidak mungkin dapat menerima keadaan seperti itu kalau aku dimadu sekalipun.

No comments:

Post a Comment