Friday, November 16, 2012

Pertemuan Dalam Kepedihan

Aku tidak sangka menerima panggilan daripada dia pada lewat malam 31 Julai yang lalu. Sebenarnya bukan 31 Julai pun. Hari itu Julai sudah berakhir. Memang panggilan itu sampai pada penghujung Julai. Aku hampir memadamkan kenangan lama di antara aku dengan dia. Aku ingat dia sudah melupakan aku setelah percubaan demi percubaan untuk membangkit nostalgia lama tidak berjaya. Aku berusaha menelefonnya tetapi tidak berjawab. Aku cuba bersms pun tidak menerima balasan. Aku juga telah pergi meredah kesesakan dan kesasatan juga tidak berjaya dan akhirnya aku menyerah diri. Upayaku telah tamat. Aku fikir aku hanya mengundang derita lama yang tidak kesampaian. Aku fikir aku telah membuat dirinya terganggu. Penghujung Julai itu aku ingin meletakkan noktah. Julai bermaksud dahan. Biarlah nostalgia di antara aku dengannya menjadi seperti durian dan rambutan dan juga manggis di hujung julai. Yang mana buahnya pun sudah malas hendak gugur. Kampung juga menjadi sepi sesepi hatiku ini. Lori yang keluar masuk kampung mengangkut buah-buah kayu pun jarang menjengah. Akan kubiarkan hatiku menjadi dusun di penghujung julai.

Rupanya tidak. Tidak disangka-sangka aku menerima panggilannya. Esok kita bertemu di Masjid Negara, pukul 1 tengah hari katanya. Esok? Di Masjid Negara? Aku berkata okey walaupun hatiku meminta dia mengubah tarikh dan waktu dan tempat. Hari dan tempat itu amat tidak sesuai. Aku terasa bagaikan ingin memintanya supaya mengubah tarikh itu. Aku manalah ada pengalaman berhimpun di tempat yang menjadi pertemuan orang ramai berpuluh-puluh ribu orang begitu. Kalau kena tangkap bagaimana? Ingin aku bertanya tetapi aku tidak berani. Menerima panggilan dan mendengar suara lunak daripadanya pun aku rasa amat bertuah. Aku mahu menjaga perasaannya. Aku tidak mahu hatinya terluka dan tiba-tiba sahaja dia meletakkan telefon. Apa yang hendak aku lakukan. Aku memang sudah lama menantikan panggilannya pun walaupun musim sudah sampai ke penghujung julai.

Esoknya aku ke stesen komuter UKM. Aku tahu kalau aku ke Masjid Negara dengan kereta, aku akan sampai ke Masjid Negara Uganda atau Masjid Negara Yogoslavialah. Kesesakan yang dijangkakan berlaku akibat penutupan jalan akan membuatkan aku terpaksa duduk di dalam kereta enam hingga tujuh jam menyamai penerbangan dari Kuala Lumpur ke Uganda atau Yogoslavia. Sebab itu aku memilih untuk ke Masjid Negara dengan pengangkutan awam. Apabila sampai di stesen komuter UKM aku dapati manusia beratur begitu panjang sehingga sampai di bawah berdekatan stesen teksi. Nasib baik aku membawa kad Touch&Go aku. Selepas memarkir kereta di atas yang akhirnya sampai pukul 11 malam pun masih tidak dapat keluar kerana dihalang oleh motosikal yang berderet panjang. Aku masuk menggunakan kad T&G itulah. Dan musibahnya KTMB menyapu RM10 deduction kerana apa pun aku tidak tahu. Akhirnya sampai di Kuala Lumpur aku tidak dapat keluar kerana baki tidak mencukupi. Aku terpaksa melompat keluar secara tidak sah apabila pengawal pintu di Kuala Lumpur asyik bersembang dengan polis. Betapa susahnya orang lain yang menggunakan perkhidmatan awam ini. Bukan hendak menyenangkan tetapi lebih merumitkan dan memeningkan kepala.

Di dalam komuter itu aku tidak mendapat tempat duduk. Dan selalulah aku tidak dapat duduk pun kerana komuter selalu penuh. Buatlah lawatan berapa kali pun melihat pengangkutan awam, tetapi tahap dan kondisinya tidak pernah berubah. Samalah seperti Hentian Puduraya juga. Lawatilah berapa kali pun. Hasilnya bagai anjing di pelabuhan yang tetap bercawat ekor biar sepuluh atau seratus jong yang berlabuh. Bagaikan kaldai yang tetap bodoh walau memikul sebeban kitab. Pendingin hawa di dalam komuter itu telah menjadi ketuhar. Aku bersyukurlah kepada Allah kerana dapat menggunakan sauna percuma pada hari tersebut. Di dalam komuter kulihat gadis-gadis jelita sedang berpeluk pinggang dengan kekasih-kekasih mereka. Terdapat juga beberapa kumpulan pemuda yang membawa beg sandang yang berisi topeng muka dan secekak garam. Di dalam kocek seluar aku pun tersimpan topeng muka itu. Dia sudah berpesan kepadaku seupaya membawa topeng muka, segenggan garam dan juga sapu tangan. Selain boleh digunakan sebagai sejadah untuk solat zohor dan asar, boleh dibasahkan untuk membasuh muka nanti. Aku manalah tahu. Aku bawa sahajalah.

Sesampainya aku di stesen Kuala Lumpur aku cuba untuk keluar melalui pintu berTouch&Go. Kucuba berkali-kali tetapi tidak berjaya. Aku rasa pertemuan ini banyak sungguh halangannya. Kucuba berkali-kali tetapi aku masih gagal untuk keluar. Akhirnya setelah aku melihat pengawal pintu itu agak jauh dan berbual pula dengan polis yang mengawal stesen, aku lompat bagaikan yang pernah aku lakukan ketika melompat pagar sekolah suatu ketika dahulu. Aku berjalan meredah bangunan POS Malaysia dan akhirnya aku lepas juga masuk ke Masjid Negara walaupun terdapat kepungan polis. Mungkin kerana aku bersendirian. Polis hanya melihat sahaja.

Aku di tepi kolam di pintu utama ni, kau di mana? Aku menelefon dia seusai aku solat zohor. Bayangan mukanya pun aku tidak nampak. Aku mencari-carinya di antara ribuan wanita yang berbaris panjang di atas tangga, di dataran dan di mana-mana. Aku di bawah pokok palma berdekatan dengan tulisan La Ilaaha IllaLllah. Kau turun di sini. Aku tunggu kau di sini. Memang betullah pertemuan itu akan terjadi. Dan dia tidak memungkiri janjinya seperti selalu, seperti semasa aku menelefonnya, seperti semasa aku mengsmsnya. Aku turun dan aku lihat dia sedang menungguku memakai baju merah.

Sekarang kita ikut mereka, katanya. Mahu sahaja aku ajaknya bersenang lenang di Mid Valley sambil menghirup segelas dua gelas kopi mocha. Tetapi aku ikut sahaja kerana aku tidak mahu melukakan hatinya. Kami berjalan beriringan dan sekali sekala aku mengelap peluh yang sudah mula mengalir. Sudah lama aku tidak berjalan di dalam panas terik matahari. Petugas-petugas sukarela mengarahkan kami turun ke bawah apabila tiba di jejambat berdekatan Bank Rakyat. Kepala ketumbukan sudah melepasi bulatan tetapi aku dengan dia masih berada berhampiran gerai makan apabila tiba-tiba sebuah trak penyembur air menyembur air dan seterusnya diiringi oleh tembakan bom asap. Turun ke sebelah sana, dia mengarahku. Jom kita ke berlindung di tepi bangunan sana. Dia memegang tangan aku lalu mengheret aku ke dalam kawasan gerai. Beberapa kanak-kanak kecil aku lihat sudah muntah-muntah tetapi aku masih belum merasakan apa-apa. Seketul lagi bom asap tiba dan jatuh di depan tempat kami berteduh dan seorang anak muda mana yang gagah berani datang dan membaling bom asap itu kembali. Aku mula merasa kerongkongku perit. Aku bagai hendak pitam. Dia melihat aku dan berkata, Nah! Makan sedikit garam ini. Ambil tuala ini dan basahkan muka. Aku ambil garam dari tapak tangannya dan mengunyah lalu menelan. Bagaikan ubat ajaib pula. Rasa perit itu hilang tiba-tiba.

Jom kita balik sahaja. Aku tidak tahan. Aku berkata kepada dia. Nantilah dahulu. Ini baru permulaan. Drama belum bermula. Kau sudah hendak menyerah kalah. Kau sudah tidak tahan dengan kepedihan ini dengan keperitan ini? Kaulihat makcik-makcik itu! Mereka tidak mengalah pun bahkan terus berzikir dan membasahkan muka mereka dengan air dan mengunyah garam untuk menghilangkan keperitan. Aku tidak pernah menghadapi keadaan ini pun. Kalau kita ke Mid Valley tadi pun keadaannya lebih selesa. Mengapa perlu mendedahkan diri dengan suasana yang tidak selesa ini. Peniaga-peniaga pun tidak selesa jika kita mengganggu mereka. Kau kata kita mengganggu mereka? Aku rasa tidak pun. Aku sudah berkali-kali datang. Kaulihat para peniaga di sana tu! Bahkan mereka yang menawarkan garam kepada kita. Sanggup mengeluarkan balang garam mereka kepada kita pun. Mereka membantu moga-moga Allah membantu mereka pada hari akhirat nanti. Wah! Hebat sungguh kepercayaan mereka dan juga kepercayaanmu juga. Mereka tidak gusar pun tentang perniagaan mereka. Mereka bukanlah pemuja-pemuja kapitalis yang hanya memikirkan untung perut sahaja, katanya. Mereka berniaga sebagai fardhu ain mencari rezeki buat keluarga. Sekiranya orang di dalam kesusahan mereka akan membantu. Hanya peniaga kapitalis sahaja yang memikirkan untung dan tidak memikirkan akhirat. Dia terus mengelap mukaku dengan kain tuala yang dibasahkan. Aku terasa bagaikan bayi kecil pula membiarkan dia membasahi mukaku.

Kenapa kau bawa aku ke sini sebagai tempat pertemuan kita? Aku bertanya kepadanya. Supaya kautahu beginilah kepedihan yang aku rasa apabila aku tiba-tiba sahaja mendapat tahu bahawa kau hadir kembali di dalam hidupku. Bohonglah aku kalau aku katakan aku tidak mengingatimu. Tetapi apakan daya. Pertemuan itu telah direncanakan Allah. Perpisahan juga Allahlah yang menetukannya. Apabila kauhubungi aku pada ketika itu, aku keliru dan tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku terkasima. Pedihnya aku mahu kaurasakan sendiri. Pedihnya bagaikan water canon inilah, bagaikan asap dari kelongsong peluru inilah. Bagaikan kepedihan hati anak dan isteri mereka yang ditahan itulah. Aku mahu kaurasainya. Aku wanita. Fahamilah diriku. Aku faham. Sebab itu aku biarkan kau tanpa bersms lagi dan tiba-tiba kau pula menghubungiku. Aku bukan mahu menyambung perhubungan lalu. Aku hanya ingin memulakan semula sebuah pertemuan atas nama persahabatan. Oh! Tidak. Mana mungkin aku dapat membohongi hatiku.

2 Ogos 2009

No comments:

Post a Comment