Friday, November 16, 2012

Pertemuan Semula

”Bila kau akan kembali semula ke kampung, Azman?”
”Besok pagi.”
”Jadi kau hendak tinggalkan aku di sini?
”Aku terpaksa, Suziana. Sekarang musim menuai padi. Entah esok entah lusa mesin pada akan masuk ke sawahku. Sekarang pula cuaca tidak menentu. Kalau hujan turun dua tiga hari, alamat padi aku akan rebah menyembah bumi. Sia-sialah usaha aku selama ini.”
”Habis, aku?”
”Insya Allah. Aku akan datang semula ke bandar ini apabila aku kelapangan.”
Mereka terus berjalan beriringan menuju ke Old Town. Azman memesan dua cawan kopi Amerika bersaiz besar untuk mereka berdua. Perlahan-lahan Azman membuka komputer ribanya di atas meja. Kopi yang masih berasap itu diletakkan di depan Suziana. Suziana menghirup perlahan-lahan. Orang yang lalu lalang di sebelah mereka tidak dihiraukan.
Azman tidak sangka di akan bertemu lagi dengan Suziana. Dia datang ke kota untuk mendapatkan kelulusan pinjamannya untuk membeli mesin padi daripada Bank Tani. Ketika dia membuka facebooknya, tiba-tiba dia menjumpai Suziana. Tujuh tahun sudah dia meninggalkan universiti lalu balik ke kampung. Mengusahakan tanah pertanian di kampung. Biarpun rakan-rakannya tidak berminat dengan pertanian, namun Azman mencuba untuk meneruskan hidup di kampung. Baginya di kampung lebih selesa.
”Di mana kau hendak berjumpa dengan aku, Suziana?”
”Aku sekarang berada di Seremban. Di rumah kakak aku. Sekejap lagi aku sampai. Kau tunggu aku di Kentucky Fried Chicken di depan universiti. Aku akan minta pemandu bas menurunkan aku di situ.”
”Baiklah. Aku akan tunggu kau di situ.”
Azman mengelap peluhnya. Cuaca memang panas betul. Turun sahaja daripada bank, dia menuju ke tempat letak kereta. Dia memandu ke arah Jalan Universiti. Dia merasa kekok juga memandu di Kuala Lumpur ini. Kuala Lumpur sudah banyak berubah setelah dia meninggalkannya tujuh tahun dahulu. Dahulu dia sering meronda di sekitar Kuala Lumpur terutama pada malam minggu. Tetapi bukan dengan kereta. Dengan motosikal bersama rakan-rakannya yang lain. Dengan Azam, Johari, Man dan Izham.
”Maafkan aku, Suziana. Aku fikir kau tidak pernah menyintai aku. Yalah. Aku hanya budak kampung. Belajar pula pertanian. Lainlah dengan kau. Belajar kejuruteraan nuklear. Aku ingat kau sudah boleh membuat bom.” Azman ketawa. Dia cuba berlucu dengan Suziana.
”Jom kita makan di KFC di dalam.” Azman mengajak Suziana minum apabila dia menemui Suziana di depan universiti.
”Kita bukan budak-budak lagi. KFC adalah tempat lepak remaja baru belajar bercinta. Sekarang kita sudah tua, Azman. Mari kita cari tempat lain.”
Azman dan Suziana berjalan beriringan tangan menuju ke kereta. Azman memandu perlahan keluar dari Jalan Universiti menuju ke Jalan Kompleks Sukan. Sampai di depan Kedutaan Amerika Syarikat, keretanya tersekat.
”Ada apa pula ni?”
”Hari ini ada tunjuk perasaan menyokong Palestin.”
”Tunjuk perasaan menyokong Palestin? Tetapi kenapa di depan Kedutaan Amerika? Apa yang mereka dapat daripada tunjuk perasaan ini? Apakah dengan tunjuk perasaan ini, rakyat Palestin yang mati dibom oleh Israel boleh hidup semula? Dengan jeritan mereka, bangsa Palestin akan dapat semula tanah air mereka?”
”Kita patut menolong rakyat Palestin. Kita patut membantu mereka dan menunjukkan simpati kita terhadap mereka. Bukankah orang Islam itu bersaudara?”
”Bersaudara? Siapa saudara siapa? Orang-orang Arab saudara kita? Orang Arab adalah saudara orang Israel sahaja. Perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang Yahudi.”
”Kau menuduh mereka sebarangan, Azman.”
”Betul. Kau pergilah ke negeri Arab. Mereka adalah bangsa pengotor. Bukan sahaja kotor jasmani, rohani mereka pun pengotor. Mereka suka menipu. Mereka tidak ubah seperti orang Yahudi juga. Allah turunkan al-Quran kepada mereka, mereka memeluk agama sosialis, komunis dan fahaman kebangsaan. Mereka meletakkan al-Quran di sisi mereka. Sama juga seperti orang-orang Yahudi. Allah turunkan Taurat kepada mereka. Mereka ubah Taurat dengan tangan-tangan mereka. Bahkan orang-orang Yahudi lebih baik daripada orang-orang Arab. Mereka walaupun mengubah ayat Allah, tetapi mereka tetap berpegang teguh dengan ajaran kitab mereka. Tetapi Arab, langsung tidak berpegang kepada al-Quran.”
”Kau ni Azman! Sejak bila pula kau menyokong Israel?”
”Aku bukan menyokong Israel. Tetapi aku sudah muak dengan orang Arab. Kau tengoklah sikap mereka. Kita sahaja yang terlolong hendak menolong mereka. Kita hantar bantuan tetapi hanya setakat sempadan Rafah sahaja. Mesir tutup sempadan Rafah ke Gaza. Selepas itu Mesir bahagikan bantuan itu kepada rakyatnya kononnya untuk selamatkan bantuan itu sebelum tamat tempoh.”
”Entahlah, Azman. Dunia ini terlalu sukar untuk dimengertikan. Seperti juga hubungan kita ini.”
Azman terus memandu. Mereka sudah terlepas daripada kesesakan lalu lintas. Dari depan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Abidin, Azman mengambil jalan menghala ke Pusat Perubatan Sultan Abdullah. Selepas jejantas di depan Pusat Perubatan Abdullah, Azman membelok kiri lalu masuk ke tempat letak kereta City Mall.
”Apa yang kaulakukan selama tujuh tahun ini?”
”Selepas aku menghabiskan ijazah sarjana muda aku, aku terus menyambung ijazah lanjutan?”
”Di mana? Di Universiti Pertama jugakah?”
”Ya. Di situ juga. Aku ingat aku boleh terus mendapat kerja setelah habis belajar. Tetapi semua permohonan untuk mendapat pekerjaan sia-sia belaka, Azman. Kau pula?”
”Ke mana lagi kalau tidak ke kampung. Aku balik kampung selepas belajar. Ketika aku balik itu kebetulan waktu pilihanraya umum. Aku dilantik menjadi setiausaha kerja bilik gerakan pilihanraya. Sejak dari itu aku aktif juga dalam gerak kerja politik. Kemudian apabila Gerakan Rakyat menang dalam pilihanraya tersebut, aku mendapat projek pertanian di kampung aku. Biasalah dalam politik, mesti ada kontraknya, mesti ada habuannya. Kalau tidak ada habuan, takkanlah orang berebut-rebut hendak masuk politik. Sampai fitnah-memfitnah, cantas-mencantas seolah-olah mereka tidak pernah kenal akhirat. Tapi aku dapat melalui jalan sah. Tanah yang aku usahakan adalah tanah pusaka peninggalan bapa aku. Yang aku dapat hanyalah bantuan benih dan baja. Rasuah jugakah itu?”
”Kau sudah berkahwin?”
”Kalau aku sudah berkahwin, aku tidak akan menerima pelawaan kau untuk bertemu pada hari ini.”
”Kenapa dulu kau tidak memberitahuku bahawa kau tidak berpunya?”
”Kau juga, kenapa tidak pernah berterus-terang denganku?”
”Oh! Bisakah kita mengulangi zaman universiti dulu, Su?”
Kopi di dalam gelas Azman sudah lama kering. Tetapi mereka masih belum mahu berganjak dari kerusi mereka. Di luar cuaca amat sejuk. Walaupun demikian hujan masih juga belum turun. Tahun ini sungguh pelik. Hujan bagaikan malas mahu membersihkan kekotoran yang membaluti setiap batang tubuh penduduk negeri ini. Azman mengagak bahawa tuhan sudah bosan dengan sikap manusia yang hidup di atas bumi ini. Manusia kini sudah lupa siapa diri mereka. Sudah lupa bahawa mereka juga dijadikan daripada setitis air yang hina yang keluar membuak-buak ketika keseronokan melanda dua tiga saat sebelum terkulai keletihan. Kalau ada kudrat disambung semula. Tetapi kalau sudah renggeh, lena terkapas begitu sahaja. Tetapi dari setitis air yang hina itulah, manusia sudah lupa asal-usulnya. Beraja di mata bersultan di hati tanpa memperdulikan kehendak rakyat. Mahu berkuasa dan terus berkuasa. Mahu menunjuk lagak dan megah kononnya disokong rakyat. Tetapi tidak mahu pula menyerah mandat kepada rakyat supaya dipilih semula. Mahu tersungkur. Sudah dua pilihanraya kecil mereka tersungkur. Namun mereka tetap sombong dan bongkak kononnya mereka pejuang rakyat. Konon mereka tidak pernah menderhaka walau sebenarnya mereka durjana besar.
”Izinkan aku pergi, Suziana!”
”Kau berjanji kau akan datang semula menemuimu?”
”Tujuh tahun lagi, Suziana. Sekiranya pada waktu itu, kau masih belum berkahwin, aku akan mengahwinimu.”
”Bolehkah aku percaya janji orang politik sepertimu?”
”Sebab itulah aku berjanji. Janji orang politik di mana-mana pun tidak boleh dipercayai.”
Air mata orang politik gugur juga walaupun lidah mereka bercabang lima. Jumpa lagi, Suziana.

10 Mac 2009

No comments:

Post a Comment