Tuesday, January 15, 2013

Allah Untuk Semua

Di dalam bahasa Hebrew, banyak perkataan digunakan merujuk kepada pencipta. al-Quran juga merujuk Allah dengan kata nama lain seperti Ila:hiy, Rabb, Ila:hukum serta al-Asma al-Husna yang lain. Saya membandingkan Kitab Taurat dan al-Quran bukan untuk menyamakan ajaran Islam dengan Yahudi dan Injil. Saya hanya akan menyoroti dari segi sejarah pembentukan kata Allah itu sendiri.

Di antara perkataan yang disebut oleh Taurat ialah אלוהים yang berbunyi Elohim. Yehwah dalam bahasa Hebrew yang ditulis יהוה bermaksud Dia (lihat persamaan bunyi fonetik di antara Wah dengan Huwa yang bermaksud dia dalam bahasa Arab). Yehwah adalah kata nama lain bagi Allah di dalam kitab Taurat. Begitu juga dengan kata Syuday (di dalam bahasa Parsi dan Urdu disebut Khuday) yang bermaksud al-Rab (Pemelihara). Kembali kepada perkataan Elohim, perkataan ini juga disebut Eloah atau Allah. Di dalam Sifir Kejadian, surah pertama Taurat disebutkan: בראשיתבראאלהיםאתהשמיםואתהארץ yang berbunyi "bereshith bara Elohim eth hashshamayim veeth haarets" yang bermaksud Pada permulaannya Allah menjadikan langit dan bumi. (Sifir Kejadian: 1).

Manakala Kitab Injil pula diturunkan di dalam bahasa Suryani yang sama keluarga dengan bahasa Aramiy. Di dalam bahasa tersebut, Allah disebut sebagai Eloy, Ili, Ilu. Di dalam Markus 15:34 disebutkan Ελωΐ, Ελωΐ, λαμμα σαβαχθανι yang berbunyi Eloy! Eloy! Lama Syabakhtaniy? Maksudnya: Allah! Allah! Kenapa Kau tidak datang menolongku?

Kesamaan sebutan fonetik di antara Hebrew, Suryaniy dan Aramiy adalah kerana ketiga-tiga bahasa ini berasal dari kelompok bahasa yang sama iaitu bahasa Semitik.

Di dalam bahasa Arab sendiri, perkataan Allah sudah digunakan oleh para penyair Jahiliyyah. Di antaranya ialah Umru al-Qays di dalam syairnya:

فَقالَتْ: يَمينََ اللَّهِ ما لَكَ حِيْلَةٌ ... وما إنْ أَرَى عَنكَ الغَوَايةَ تَنْجَلي

Wanita itu berkata: Demi Allah
kau tidak mempunyai helah lagi
helahmu akan tersingkap tidak lama lagi

Begitu juga dengan kata-kata Zuhayr bin Abi Sulma:

فَلاَ تَكْتُمُنَّ اللَّهَ ما في صُدُورِكُم ْلِيَخْفَى وَمَهْمَا يُكْتَمِ اللَّهُ يَعْلَمِ

Usahlah kamu melindungi apa yang ada di dalam dada kamu
bagaimana kamu sembunyikan pun Allah akan mengetahuinya.

Umru al-Qays dan Zuhayr adalah dua orang penyair Arab yang hidup sebelum zaman Nabi Muhammad lagi. Dikatakan bahawa Umru al-Qays hidup 200 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad.

Tuhan adalah terjemahan daripada perkataan God. God berasal daripada sebutan Zeus dalam bahasa Yunani. Perkataan Zeus disebut di dalam bahasa Peranchis sebagai Deux atau Dios di dalam bahasa Sepanyol. Menurut lagenda Yunan, Zeus atau Zephes merupakan penghulu segala tuhan orang-orang Yunani. Zeus adalah Tuhan Kilat yang menurunkan hujan dan juga mengirimkan petir. Ayahnya adalah Choronos manakala ibunya adalah Riya. Choronos adalah seorang ayah yang selalu menjadikan anak-anaknya sebagai mangsa. Dia menelan anaknya hidup-hidup. Riya yang amat sayangkan Zeus telah melarikannya ke pulau Crete dan menukarkan Zeus dengan patung batu berupa Zeus.

Apabila agama Kristian sampai ke Rom, mereka telah menterjemah perkataan Allah sebagai Zeus untuk memberi kefahaman kepada penduduk Rom yang selama ini mengenali Zeus dengan dekat. Zeus telah dibunuh oleh Thepheson yang merupakan makhluk berkepala manusia berbadan ular. Sebagai peringatan kepada Zeus, orang-orang Yunani telah mengadakan keramaian sukan Olimpik. Para peserta sukan olimpik yang kalah akan dikorbankan dan diserahkan kepada Zeus. Sekiranya kita benar-benar menolak unsur Kristian dan Yunani dalam budaya Melayu Islam, kenapa kita masih menggunakan simbol agama pagan ini selain menyambut perayaan Tahun Baru Nabi Isa lebih daripada orang Kristian sendiri?

Di kalangan orang-orang Kristian sendiri pun tidak gemarkan perkataan God yang merujuk kepada Zeus ini. Bagi mereka Zeus adalah simbol kepada berhala. Bagi golongan Kristian Timur teruatamanya Kristian Koptik di Mesir, mereka tetap merujuk kalimah Allah dengan perkataan Allah juga.

Hubungan di antara orang-orang Kristian dengan orang-orang Islam amat akrab. Rasulullah sendiri ketika ditindas oleh kaum keluarganya, mengarahkan orang-orang yang tidak mampu menahan kezaliman Quraisy supaya berpindah ke Habsyah. Habsyah ketika itu diperintah oleh Najjasyiy yang merupakan seorang raja beragama Kristian. Ketika golongan Quraisy menghantar wakil untuk mengembalikan orang-orang Islam yang berhijrah itu ke Mekah, Najjasyiy berkata: Adakah kamu membawa ajaran daripada Allah? Jaafar yang merupakan ketua rombongan menjawab dengan membaca permulaan surah Maryam. Mendengar ayat tersebut, air mata Najjasyiy mengalir dan berkata: "Sesunggunya apa yang dibaca tadi dengan apa yang dibawa oleh Isa adalah daripada satu sumber. Kamu berdua baliklah. Demi Allah! Aku tidak akan serahkan mereka kepada kamu berdua". Sambil menggariskan tongkatnya di atas tanah, beliau berkata: "Demi Allah! Ajaran Muhammad dan ajaran Kristian hanya dipisahkan dengan garisan ini sahaja".

Kata-kata Najjasyiy ini disebut oleh buku-buku sejarah. Sekiranya perkataan Allah itu hanya untuk orang-orang Islam atau hak eksklusif orang-orang Islam sahaja, nescaya kata-kata Najjasyiy itu sudah dipadamkan atau buku-buku dibakar supaya tidak menjadi tatapan kita pada hari ini.

Begitu juga dengan hubungan di antara Rasulullah dengan pemerintah Mesir yang bernama Mawquqis. Selepas menerima surat dakwah daripada Rasulullah, Mawquqis amat menghargai pelawaan tersebut. Sebagai balasannya, beliau telah mengirimkan dua orang wanita yang bernama Shereen dan Maria Simon. Sebagai menghargai pemberian itu, Maria Simon dijadikan isteri Rasulullah manakala Shereen dijadikan isteri oleh salah seorang sahabat baginda. Rasulullah pernah berpesan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi sabdanya yang bermaksud: Sekiranya kamu sampai di Iskandariah, bertemulah dengan mereka kerana mereka itu boleh memberi pelindungan kepada kamu dan mereka adalah golongan yang lemah-lembut.

Di dalam al-Quran juga disebutkan bahawa orang-orang Kristian adalah orang yang baik-baik kerana di kalangan mereka terdapat Priest (Qissisin) dan Monk (Rohban) dan mereka itu tidak sombong. (al-Maidah: 82).

Dr. Qahtan al-Duri dalam buku Usul al-Din al-Islamiy letika memperkatakan tentang al-Asl al-Diniy mengatakan bahawa terdapat 3 usul agama yang disepakati oleh orang Islam. Ketiga-tiga usul agama tersebut adalah al-Ilahiyyat (Ketuhanan), al-Nubuwwat (Kenabian) dan al-Ma’ad (Hari Kiamat). Bagi agama Samawiy (Yahudi, Kristian dan Islam) usul pertama dan usul ketiga  adalah usul yang dikongsi bersama oleh ketiga-tiga agama ini. Yahudi tidak mengiktiraf kenabian Nabi Isa manakala Kristian pula tidak mengiktiraf kenabian Nabi Muhammad. Tetapi orang Islam diajar oleh al-Quran untuk mengiktiraf kesemua nabi. La nufarriqu baina ahadin min rusulih. Justeru, mereka terkeluar daripada Islam bukan kerana mereka mempunyai Allah yang lain, tetapi kerana tidak mengiktiraf Nabi Muhammad.

No comments:

Post a Comment