Thursday, March 14, 2013

Pulang Ke Alam Ruhi

Angin petang membuai daun pokok hujan lebat di depan Masjid Jamik Kulim. Aku singgah untuk bersolat Asar di situ. Aku ke Taman Kencana mencari Hassan, tetapi dia tiada di rumah. Aku telefon Malik untuk mengajaknya minum, juga telefonnya tidak diangkat. Aku memulas stereng keretaku ke segenap ceruk Pekan Kulim, pekan yang sudah aku tinggalkan 10 tahun lalu. Entah berubah entahkan tidak. Entahkan seperti Mafraq yang pernah aku jejaki selepas sepuluh tahun aku mengatur langkah di segenap pelusuknya. Tidak berubah sedikit pun. Walau rumah bertambah. Walau bangunan menyesak tanah, namun kekotoran yang menjadi mercu tanda Arab masih kelihatan di sana sini. Tetapi di Kulim, aku tidak pernah peduli semua itu. Biarlah berubah setakat mana pun, aku tidak peduli. Kulim yang pernah melakar sejarah hitam dalam perkhidmatan aku sebagai guru, tidak akan kumastautin semula.

Walaupun Kulim pernah menjadikan aku seorang guru yang manusiawi, tetapi haiwanis rakan sekerja yang menokak belakang mencerai-beraikan hati dan perasaan aku tidak mudah untuk kulupai. Aku singgah solat di Masjid Jamik Kulim. Pintu gerbangnya masih kukuh seperti dahulu. Aku parkir keretaku baik-baik supaya tidak menyentuh parkir imam, parkir bilal, parkir penceramah atau parkir-parkir AJK masjid yang lain. Bukan apa, aku takut mengganggu mereka. Bukan mudah untuk menjawab sekiranya mereka menyergah aku atau memarkir kereta mereka di belakang kereta aku. Susah pula aku hendak keluar selepas solat nanti. Memang masjid sekarang menjadi tempat eksklusif AJK masjid. Mereka berhak melarang apa yang tidak pernah dilarang oleh Rasulullah dulu pun. Mereka melarang orang tidur di masjid. Mereka melarang orang makan di masjid. Mereka melarang orang mandi di masjid. Mereka melarang kanak-kanak kecil masuk masjid. Itu masjid mereka. Biarlah. Bukankah masjid perlu menjadi tempat bersosial untuk sesiapa sahaja? Tempat menghilangkan penat lelah sang musafir?

Aku berwuduk dengan air kolah yang sejuk dan nyaman itu. Selesai solat, aku berehat sebentar dan cuba lagi mendail Hassan dan Malik. Tetapi entah apa jadahnya pada hari itu, tiada siapa yang teringin menyahut panggilan aku. Aku keluar dari sahn masjid dan mencari tiang untuk menyandar belakang melepaskan penat. Tiba-tiba aku teringat arwah Azizi Haji Abdullah. Di sinilah jenazahnya dimakamkan. Aku keluar dari masjid lalu menyarung seliparku. Aku atur langkah perlahan-lahan ke tanah perkuburan di depan masjid. Aku membelek tiap-tiap nisan yang kutemui. Aku baca satu persatu agar kutemui tanah yang menyimpan jasad arwah Azizi. Walau dia tidak mengenali aku, tetapi jiwanya tetap hidup dalam jiwaku. Aku membaca cerita-ceritanya. Kadang-kadang agak pongah dengan watak-watak panas baran tidak tentu pasal. Kadang-kala air mataku mengalir dengan watak-watak sedih anak-anak miskin seperti dalam Memoir Seorang Guru.

"Encik cari kubur siapa? Bapa encikkah?" Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 50an menegurku. Gayanya seperti orang bekerjaya juga. Bukan seperti gaya orang Kulim. Orang Kulim aku kenal. Gaya seperti Hassan, seperti Malik, seperti Muhsin atau setidak-tidaknya seperti Talib.
"Tidak. Saya mencari kubur Azizi," jawabku ringkas.
"Kenapa encik mencari kuburnya?" Lelaki itu bertanya kepadaku.
"Saja." Aku menjawab.
"Jarang orang melawat kubur dengan tiada tujuan," dia berkata kepadaku.
"Saya minat dengan karya-karyanya. Saya tidak sempat berjumpa dengannya ketika hidup. Jadi saya ingin melawat kuburnya," aku mula membuka mulut.
"Encik siapa?" Aku bertanya kepadanya.

Aku berhenti di sini dulu. Aku hendak pergi menunaikan solat Jumaat.

Sudah agak lama cerita ini terhenti. Aku tidak terdaya hendak menyambung. Lagipun ketika ini aku bersuka-ria. Tanpa ada sebarang masalah dan kesulitan hidup pun. Biasanya aku menulis ketika tertekan. Namun tekanan aku hilang bagai kabut menjelang dhuha yang menipis dan akhirnya hilang apabila matahari menjengulkan dirinya.

"Kalau saya beritahu encik, pasti encik tidak percaya," katanya.
Aku biarkan dia berteka-teki dengan diriku. Bagaimana dia tahu aku percaya atau tidak sedangkan dia tidak memberitahuku apa-apa pun.
"Saya Fikri," katanya ringkas setelah aku tidak memberi respon.

Kali ini memang aku tidak percaya. Fikri adalah anak Tukya dan Besah. Bapa kepada Lamin dan Farid. Suami kepada Fatimah.

"Memang saya sudah menduga encik tidak percaya sekiranya saya memberitahu encik." Dia berbicara sepatah demi sepatah setelah aku terdiam. Mulutku bagai terkunci.

"Apa hubungan encik dengan Azizi?" Aku bertanya setelah agak lama kami berdiam diri. Aku terkejut dan tidak mampu berkata-kata.

"Sebenarnya Azizi adalah ustaz saya. Dia pernah mengajar saya ketika bersekolah rendah dahulu. Kami memang baik walau dia agak garang juga. Dia amat mengenali bapa saya. Dia selalu ke rumah pada waktu petang berbual-bual dengan ayah saya."

Aku bagaikan percaya dengan tidak yang bersama-sama denganku adalah watak yang pernah kubaca.

"Jadi, benarlah cerita Azizi tentang encik yang tidak mahu pulang ke kampung? Tentang dua orang anak encik, Lamin dan Farid. Tentang apa yang saya baca dalam novel tu?" Soalanku mula bertalu-talu selepas aku mula menerima hakikat bahawa aku bertemu dengan watak dalam novel yang pernah aku baca.

"Ada yang benar, ada yang tidak. Ada juga yang benar kemudian ditokok-tambah agar lebih berbunga dan berbuah lebat. Sebenarnya bukan saya tidak pernah balik ke kampung. Saya sentiasa merindui kampung halaman saya. Saya sentiasa merasa aman tenteram di kampung. Apabila saya merasa resah-gelisah dan tertekan dengan kerja, saya akan ke kampung. Sekiranya saya tidak dapat balik ke kampung kerana kesuntukan masa, saya akan memandu ke Kampung Jenderam Hilir menyusuri jalan berliku hingga ke Salak Tinggi melepaskan dendam. Ada kala saya ke Tanjung Karang melihat sawah padi dek kerana rindukan kampung halaman saya." Kami berjalan ke arah sebuah pondok tempat orang mentalkinkan mayat yang disediakan di tanah perkuburan itu. Bunga-bunga kemboja putih menghias bumbung zink pondok itu yang sudah agak reput dimakan karat.

"Apa yang ditulis oleh Ustaz Azizi sebenarnya adalah pandangan luaran orang yang memerhatikan keadaan keluarga kami. Dalam keluarga kami hanya kamilah sahaja yang tahu." Encik Fikri menyambung kata-katanya.

"Saya ada adik-beradik lain, ....... , apa saya hendak panggil anak ini?" Dia baru teringat hendak bertanya namaku setelah berbicara agak panjang.

"Hasmadi." Aku menjawab ringkas. 

Cerita ini belum habis. Sudah lama aku tinggalkan. Dan aku tidak berani pun hendak membuka blog ini. Takut mengundang komen negatif daripada orang ramai. Almaklumlah, semenjak berada di pejabat ini, aku rasa menjadi bahan kutukan, sumpah seranah, tempat melepas kemarahan rakan guru-guru yang terbeban dengan kerja yang banyak dan bertimbun. Menghadiri mesyuarat pula menyaksikan rakan-rakan pembentang kertas dibelasah cukup-cukup oleh ahli-ahli mesyuarat tanpa ehsan dan belas kasihan. Sehingga ada rakan yang mengatakan bahawa sebahagian gaji yang kita perolehi adalah untuk dimarahi untuk menyedapkan rasa.

Aku pun demikian. Tidak berani dimarahi. Sekiranya giliran aku membentang kertas, tidur malam pun tidak lena. Asyik termimpi dan mengimpikan apa yang akan dibelasah oleh rakan-rakan dalam mesyuarat nanti. Aku pasrah.

Selain kemarahan yang menghantui diri, cerita ini juga menghantui diriku. Hidupku tidak menentu selagi tidak menghabiskan cerita ini. Namun, apakan daya. Kerja yang banyak, yang tidak habis-habis membuatkan aku terhenti. Akalku menjadi kematu dan kemetot. Tanganku tidak mampu menekan butir-butir huruf di papan kekunci komputer riba di rumah. Komputer riba pun aku biarkan sahaja dalam kereta. Rumah adalah tempat meletakkan badan, bukan membuka dan menutup komputer lagi seperti dahulu.

"Kata orang apalah yang ada, Encik Hasmadi. Kami anak beranak sahajalah yang tahu hidup kami. Kasih sayang yang tidak sama antara kami membuat saya membawa diri dan tidak balik-balik ke kampung. Orang berkata adil itu memberi apa yang diperlukan, bukan memberi sama banyak kepada setiap orang. Saya tidak pernah dilayan dengan adil. Bukan saya tidak pernah balik ke kampung. Bukan saya tidak pernah balik membawa buah tangan, kain baju, beras, gula, sabun. Semuanya saya belikan. Saya belikan mesin basuh untuk kegunaan ibu dan bapa saya. Tetapi, apakah mereka menghargai? Sebut nama saya pun tidak pernah. Yang mereka sanjung adik saya." Aku menadah telinga mendengar luahan rasa Fikri.

"Asyik-asyik jasa adik sayalah yang disebut-sebut. Adik saya membelikan mee sebungkus untuk emak saya. Adik saya membeli seluar dalam dan baju dalam untuk emak saya menjelang hari raya. Sebungkus mee itu disebut-sebut, dizikir-zikir sedangkan saya membeli beras, gula, kopi dan teh setiap bulan tidak pernah disebut pun."

"Anak-anak saya bukan seperti cucunya. Ketika anak adik saya dihulur duit raya berkeping-keping, anak-anak saya hanya memerhatikan. Kadang-kadang mereka mendapat duit raya dua tiga kali. Bercemperalah mereka ke kedai membeli ais krim dengan duit raya itu. Anak-anak saya hanya melihat. Tidak mengapalah. Mereka pun faham perangai nenek mereka. Akhirnya mereka keluar rumah bermain bola dengan jiran-jiran."

"Setiap kali saya balik, emak saya mengadu duitnya hilang. Saya beri lagi, tetapi hilang lagi. Akhirnya, saya ketahui, duit itu tidak hilang. Tetapi dihulurkan senyap-senyap kepada adik saya. Kadang-ladang untuk memperbaharui cukai jalan keretanya. Kadang-kadang untuk beli baju raya anaknya. Kadang-kadang untuk beli baju sekolah anaknya. Kadang-kadang untuk bayar duit bil hospital isterinya bersalin."

Encik Fikir terus bercerita. Aku terus mendengar sambil menanti panggilan telefon dari Hassan. Atau dari Malik. Atau dari Mutalib. "Akhirnya anak saya terus tidak mahu balik ke kampung kerana nenek mereka tidak adil dengan mereka. Itu saya boleh terima lagi. Saya jadi hairan dengan mereka berdua di kampung, seguni beras boleh habis dalam masa dua bulan sahaja. Akhirnya saya ketahui bahawa beras yang saya belikan kepada mereka juga dihulur secara senyap-senyap kepada adik saya. Pernah suatu ketika saya membeli belacan, asam jawa, ikan bilis dan ragi untuk saya bawa balik ke Kuala Lumpur. Bukannya barang itu tidak ada di sana. Tetapi, sajalah. Hendak makan barangan dari kampung. Saya letakkan sekejap barang-barang saya di penjuru rumah. Saya keluar sekejap bertemu rakan-rakan dan jiran. Apabila saya balik, untuk mengemas barang, semua barang-barang itu sudah lesap. Dan seperti sebelum-sebelum ini juga, barang-barang itu diambil dan diberikan kepada adik saya."

Banyak sangat luahan hati Fikri ini. Aku hanya mendengar sayup-sayup luahan perasaannya. Entah apa lagi cerita yang dia bawa. Ceritanya bagai puing-puing yang terbang dan singgah sekejap-sekejap sahaja di telingaku. Kepalaku tidak dapat lagi menerima cerita-cerita itu.

"Woi! Mangkit! Sorilah. Aku lambat. Masa hang telefon tadi aku bawa anak dan bini aku pi makan. Malik demam. Aku ajak dia mai, dia tak boleh mai. Dah lamakah hang tidur di sini?"

"Aku tidur ka? Fikri mana?"

"Fikri mana pulak ni? Mana kita ada kawan nama Fikri. Oh! Fikri! Dia mengajar di SMK Lunas sekarang."

Oh! Fikrinya tidak sama dengan Fikriku. Mimpiku tidak sama dengan mimpi Hassan. Mimpi Hassan mimpi orang kaya. Mimpi aku mimpi orang yang berduka lara.

No comments:

Post a Comment