Sunday, March 22, 2015

Membaca, Masalah Penglihatan dan Pendidikan

Apabila mata murid tidak bersedia untuk membaca:
  • 25% murid tidak dapat membaca kerana kurang daya penglihatan (National Parents dan Teachers Association of USA, 1999).
  • 66% orang dewasa yang tidak dapat membaca disebabkan oleh masalah penglihatan (National Center on Adult Literacy).
  • 70% daripada kanak-kanak nakal tidak dapat membaca disebabkan oleh defisit penglihatan (CA Youth Authority, 1989).
  • 90% banduan di penjara tidak boleh membaca disebabkan oleh kurang kemahiran penglihatan (Folsom Prison Study).
Penglihatan adalah lebih daripada 20/20

Ibu bapa dan pendidik sering menyalah anggap bahawa jika kanak-kanak melepasi ujian visual di sekolah atau klinik, mereka tidak mempunyai masalah penglihatan. Walau bagaimanapun, ujian penglihatan di sekolah hanya menguji ketajaman penglihatan, bukannya kemahiran penglihatan. Pada hakikatnya, kemahiran penglihatan yang diperlukan untuk membaca dan belajar adalah lebih kompleks. 

Kanak-kanak yang mempunyai daya penglihatan 20/20 masih terdedah kepada masalah kemahiran penglihatan.

Kemahiran penglihatan adalah suatu proses yang agak kompleks. Kemahiran ini memerlukan beberapa kemahiran visual. 65% daripada kemahiran ini mempunayi kaitan dengan proses akal. Satu daripada empat kanak-kanak yang tidak didiagnos mempunyai masalah penglihatan. Mereka menghadapi gangguan pembelajaran dan seterusnya membawa kepada masalah dan tingkah laku akademik. Walau bagaimanapun, mereka tidak pernah mengadu mempunyai masalah penglihatan kerana menyangka semua orang melihat dengan cara yang sama yang mereka lakukan.

Selalunya, kanak-kanak dengan masalah pembelajaran yang disebabkan oleh masalah penglihatan, mempunyai kemahiran lisan yang agak baik. Justeru, ibu bapa dan guru sering menyalah anggap bahawa mereka malas, kurang tumpuan atau mempunyai masalah pembelajaran. Kesilapan mengenal pasti punca boleh berlaku walaupun gejalanya mungkin sama.

Menurut American Public Health Association, 25% murid K-6 (Pra Sekolah 6 Tahun) mempunyai masalah penglihatan yang cukup serius sehingga menghalang mereka mengikuti pembelajaran dengan sempurna.

Apabila masalah penglihatan tidak dikesan, kanak-kanak hampir tidak dapat membaca dengan baik dan tidak mampu menyiapkan kerja sekolah yang diberikan kepada mereka. Mereka sering dilihat keletihan, gelisah dan kecewa ketika berada dalam kelas. Sifat-sifat ini mengundang persepsi negatif guru terhadap mereka. Mereka sering disalah tafsir sebagai nakal dan mempunyai masalah pembelajaran.

Vision Council of America menyatakan bahawa dianggarkan 80% kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran mempunyai masalah penglihatan yang tidak dikenal pasti.

Diagnosis awal dan rawatan penglihatan kanak-kanak merupakan satu komponen penting kepada kesediaan murid untuk mengikuti pembelajaran. Pemeriksaan penglihatan bukan sekadar memeriksa tahap ketajaman penglihatan, tetapi meliputi pemeriksaan mata secara menyeluruh dan komprehensif. Adalah penting untuk semua kanak-kanak yang mula memasuki alam persekolahan mempunyai mata yang sihat serta kemahiran visual yang mencukupi agar mereka berjaya dalam akademik.

Ujian awal untuk masalah penglihatan adalah  penting untuk mencegah masalah pembelajaran. Kajian tiga tahun oleh Dr. Lynn Hellerstein terhadap 540 kanak-kanak mendapati kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan mendapat keputusan yang tidak memuaskan dalam ujian.

Ujian Terhadap Masalah Penglihatan

20/20 kadar penglihatan menentukan kita boleh melihat dengan baik untuk memandu atau membaca perkataan di papan putih. Kadar 20/20 juga memberitahu kita jika kita boleh membaca surat khabar atau melihat paparan komputer dengan baik. Namun, kadar penglihatan 20/20 tidak memberitahu kita perkara-perkara berikut:

Apakah kita berfikir bahawa perkara-perkara di atas penting kepada kanak-kanak? 

Apabila kanak-kanak tidak dapat mengawal pergerakan mata mereka dengan baik ketika melihat dan membaca, mereka akan merasa kecewa.

Senarai semak berikut mungkin dapat membantu kita memahami bagaimana kanak-kanak menggunakan kemahiran penglihatan untuk melakukan aktiviti seharian mereka.

Soalan-soalan yang mungkin dapat membantu kita mengenal pasti kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan:

  • Melihat dengan jelas sepanjang hari.
  • Boleh fokus kepada papan putih dan buku berulang kali.
  • Melihat tunggal bukannya bertindan.
  • Boleh membaca tanpa mengalami sakit kepala.
  • Boleh membaca tanpa rasa mengantuk.
  • Mempunyai mata yang sihat.
  • Keletihan ketika membaca atau tahap kefahaman yang rendah terhadap bacaan.
  • Keliru dengan huruf dan perkataan yang hampir serupa.
  • Meninggalkan beberapa huruf dan perkataan ketika membaca.
  • Kurang tumpuan ketika membaca.
  • Kesukaran menjaga tempat bacaan.
  • Mendekatkan mata dengan buku.
  • Membaca perlahan-lahan kata demi kata.
  • Melangkau baris.
  • Menggunakan jari sebagai penanda ketika membaca.
  • Mengelak untuk membaca.
  • Menyebut perkataan dengan kuat atau menggerakkan bibir ketika membaca.
  • Sukar mengingat apa yang dibaca.
  • Menterbalikkan huruf atau kata.
  • Sukar mengingat perkataan baru.
  • Kedudukan yang tidak betul ketika membaca.
  • Berpaling dengan berlebihan.
  • Marah, mengerdip mata secara berlebihan, mengerut dahi dan muka ketika membaca.
  • Menggosok mata ketika dan selepas membaca.
  • Kepala condong.
  • Menggunakan sebelah mata.
  • Menutup sebelah mata.
  • Memegang kepada hingga terlalu dekat dengan meja.
  • Kedudukan yang tidak betul seperti menyandarkan kepala di sisi, memangku atau menggerakkan kepala.
  • Gelisah ketika duduk.
  • Sukar menyalin perkataan atau ayat dari papan putih.
  • Menyerongkan kepala atau mengerlip mata ketika melihat papan putih.
  • Kepala condong ketika menulis.
  • Menyerongkan kepala dan menggunakan sebelah mata untuk menulis.
  • Mengulang atau meninggalkan beberapa huruf atau kata.
  • Kurang kordinasi antara mata dan tangan.
  • Menulis dengan kemas tetapi perlahan.
  • Merasa berat pada tangan ketika menulis.
  • Tidak menggunakan tangan yang bertentangan untuk memegang kertas.
  • Tidak kemas memegang alat tulis.
  • Pergerakan jari yang lemah ketika menulis.
  • Menukar kertas untuk melukis dalam arah yang berbeza.
  • Sering terhantuk atau terjatuh
  • Membetulkan badan untuk melihat objek yang jauh.
  • Bergerak ke hadapan dan belakang untuk melihat objek yang jauh.
  • Keliru antara kanan dan kiri.
  • Sering beralih atau bergerak-gerak.
  • Mata berair atau merah.
  • Bengkak pada mata atau mempunyai lingkaran merah.
  • Tidak siap kerja rumah.
  • Tumpuan terhad ketika melakukan tugas terutamanya ketika membaca dan menulis.
  • Tidak suka kerja-kerja yang memerlukan tumpuan yang lebih dan berterusan.
  • Takut, bimbang, cepat marah dan gelisah.
  • Sering mengelamun dan hilang fokus.
  • Keletihan yang luar biasa selepas melakukan aktiviti.
  • Merasa tertekan ketika melakukan sesuatu tugas.
  • Adakah kamu merasa kabur secara tiba-tiba?
  • Bolehkah kamu melihatnya dengan jelas?
  • Adakah objek yang kamu lihat bertindan?
  • Adakah kamu merasa pening, sakit kepala, sakit perut ketika melihat?
  • Adakah kamu merasa pening ketika menaiki kenderaan?
  • Adakah mata kamu berasa letih selepas membaca atau menulis?
  • Adakah mata kamu terasa berair atau gatal?
  • Adakah kamu merasa silau dengan cahaya?

Wednesday, March 11, 2015

Suara Hati

Sudah lama saya tidak mencoret dinding blog ini. Ketika di Al-Amin baru-baru ini pun ditegur bahawa blog ini sudah berabuk. Memanglah berabuk pun. Mengurus di pejabat ini tidaklah mempunyai waktu yang banyak untuk berfikir pun. Apatah lagi melayan perasaan. Memang tidak sempat. Namun hari digagahi juga kerana saya merasakan kepala ini sudah sendat dengan masalah. Elok diluah sahaja. Kepada yang membaca blog ini, saya minta maaf kerana kekasaran bahasa dalam posting-posting yang lepas. Bahasa yang kasar dan mencarut itu keluar juga dari celah-celah lubuk hati yang letih dan lelah. Yang tidak pantas melihat sesuatu yang melanggari prinsip diri. Kepongahan cepat terjengol tanpa boleh ditahan.

Kepimpinan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main. Memang ramai yang suka menjadi ketua. Kerana naluri manusia yang ada sedikit-sedikit unsur kesyaitanan dan keiblisan ini memang suka menjadi ketua. Sama seperti iblislah. Yang dikatakan adalah ketua para malaikat di syurga. Entah betul entah tidak. Tetapi inilah cerita-cerita yang saya dengar daripada mulur penceramah. Boleh jadi benar. Boleh jadi salah seperti cerita roti jala Ustaz Kazim dan kurma celup tepungnya. Ketika saya kecil dahulu pun, seronok sangat apabila dilantik menjadi ketua. Ketika di sekolah rendah, saya pernah dilantik menjadi ketua darjah. Seronoknya bukan main-main. Apabila menyertai pasukan Pengakap, saya dilantik pula menjadi Ketua Troop. Dan pada Darjah 6, dilantik pula menjadi Ketua Murid. Apabila diri meningkat ke sekolah menengah, memang tidak merasalah menjadi ketua apa-apa. Di Maktab Mahmud, bertemu dengan murid-murid bijak pandai yang datang daripada seluruh pelosok negeri Kedah. Semuanya bijak-bijak belaka. Tidak merasalah saya menjadi ketua apa-apa pun. Sehingga keluar ke sekolah menengah dan memasuki universiti. Satu jawatanlah yang saya pegang ketika menyertai Majlis Pelajar Kedah Jordan. Itu pun jawatan yang tidak penting. Ketua Unit Akademik.

Begitu juga ketika bekerja. Saya tidak menjadi ketua apa-apa. Pernahlah dilantik menjadi ketua panitia Bahasa Arab di SMKA Maahad Hamidiah. Itu pun saya tidak melakukan apa-apa. Jawatan itu pun saya rasakan jawatan yang digilir-gilir antara rakan-rakan. Suatu masa dahulu, saya hanya seronok ingin menjadi ketua. Membayangkan diri menjadi ketua kepada rakan-rakan sekerja, ketua dalam komuniti dan ketua dalam jemaah-jemaah yang macam-macam aksi dan macam-macam ideologi.

Rakan-rakan saya yang masuk kerja bersama-sama saya telah menjadi ketua. Ada yang menjadi ketua unit, ketua sektor dan bermacam-amacam ketualah. Saya yang tidak ada daya kepimpinan ini hanya seronok melihat mereka. Saya juga membayangkan untuk menjadi ketua pada suatu hari nanti. Namun apabila diberi seorang pembantu, saya mula merasakan beratnya amanah yang ditanggung. Itu baharu seorang kerani. Dan kini, saya mempunyai seorang penolong pengarah di bawah saya serta dua orang kerani. Hendak saya berikan kerja yang banyak kepada mereka, saya takut dianggap terlalu mengongkong dan terlalu mengarah. Justeru, banyaklah kerja yang saya buat sendiri tanpa mengarah mereka. Saya lebih seronok melihat mereka bersenang lenang, datang dan balik kerja dengan suka hati. Namun, ada kalanya meresahkan diri saya. Beratkah kerja yang saya berikan dan meminta bantuan mereka? Saya juga mempunyai tanggungjawab terhadap pegawai-pegawai akademik di negeri-negeri. Saya tidak tahu apa perasaaan mereka bekerja bersama-sama saya. Bosankah mereka dengan cara saya? Menyampahkah mereka dengan permohonan dan permintaan saya melalui Whatsapp dan Telegram? Saya tidak tahu.

Tanggungjawab saya bukan terhad kepada pegawai sahaja. Kalau dahulu saya merasa bersalah seandainya murid saya gagal, kini jumlah murid saya semakin bertambah. Dahulu saya hanya bertanggungjawab terhadap 160-200 murid setahun atau sebanyak-banyaknya pun 800 murid di sebuah sekolah. Kini, saya mempunyai kira-kira 11,000 murid UPSR, 27,000 murid PT3, 16,000 murid SPM, 1,800 murid STPM dan 1,800 murid STAM.

Menjadi ketua dan memikul tanggungjawab bukanlah mudah.