Wednesday, March 11, 2015

Suara Hati

Sudah lama saya tidak mencoret dinding blog ini. Ketika di Al-Amin baru-baru ini pun ditegur bahawa blog ini sudah berabuk. Memanglah berabuk pun. Mengurus di pejabat ini tidaklah mempunyai waktu yang banyak untuk berfikir pun. Apatah lagi melayan perasaan. Memang tidak sempat. Namun hari digagahi juga kerana saya merasakan kepala ini sudah sendat dengan masalah. Elok diluah sahaja. Kepada yang membaca blog ini, saya minta maaf kerana kekasaran bahasa dalam posting-posting yang lepas. Bahasa yang kasar dan mencarut itu keluar juga dari celah-celah lubuk hati yang letih dan lelah. Yang tidak pantas melihat sesuatu yang melanggari prinsip diri. Kepongahan cepat terjengol tanpa boleh ditahan.

Kepimpinan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main. Memang ramai yang suka menjadi ketua. Kerana naluri manusia yang ada sedikit-sedikit unsur kesyaitanan dan keiblisan ini memang suka menjadi ketua. Sama seperti iblislah. Yang dikatakan adalah ketua para malaikat di syurga. Entah betul entah tidak. Tetapi inilah cerita-cerita yang saya dengar daripada mulur penceramah. Boleh jadi benar. Boleh jadi salah seperti cerita roti jala Ustaz Kazim dan kurma celup tepungnya. Ketika saya kecil dahulu pun, seronok sangat apabila dilantik menjadi ketua. Ketika di sekolah rendah, saya pernah dilantik menjadi ketua darjah. Seronoknya bukan main-main. Apabila menyertai pasukan Pengakap, saya dilantik pula menjadi Ketua Troop. Dan pada Darjah 6, dilantik pula menjadi Ketua Murid. Apabila diri meningkat ke sekolah menengah, memang tidak merasalah menjadi ketua apa-apa. Di Maktab Mahmud, bertemu dengan murid-murid bijak pandai yang datang daripada seluruh pelosok negeri Kedah. Semuanya bijak-bijak belaka. Tidak merasalah saya menjadi ketua apa-apa pun. Sehingga keluar ke sekolah menengah dan memasuki universiti. Satu jawatanlah yang saya pegang ketika menyertai Majlis Pelajar Kedah Jordan. Itu pun jawatan yang tidak penting. Ketua Unit Akademik.

Begitu juga ketika bekerja. Saya tidak menjadi ketua apa-apa. Pernahlah dilantik menjadi ketua panitia Bahasa Arab di SMKA Maahad Hamidiah. Itu pun saya tidak melakukan apa-apa. Jawatan itu pun saya rasakan jawatan yang digilir-gilir antara rakan-rakan. Suatu masa dahulu, saya hanya seronok ingin menjadi ketua. Membayangkan diri menjadi ketua kepada rakan-rakan sekerja, ketua dalam komuniti dan ketua dalam jemaah-jemaah yang macam-macam aksi dan macam-macam ideologi.

Rakan-rakan saya yang masuk kerja bersama-sama saya telah menjadi ketua. Ada yang menjadi ketua unit, ketua sektor dan bermacam-amacam ketualah. Saya yang tidak ada daya kepimpinan ini hanya seronok melihat mereka. Saya juga membayangkan untuk menjadi ketua pada suatu hari nanti. Namun apabila diberi seorang pembantu, saya mula merasakan beratnya amanah yang ditanggung. Itu baharu seorang kerani. Dan kini, saya mempunyai seorang penolong pengarah di bawah saya serta dua orang kerani. Hendak saya berikan kerja yang banyak kepada mereka, saya takut dianggap terlalu mengongkong dan terlalu mengarah. Justeru, banyaklah kerja yang saya buat sendiri tanpa mengarah mereka. Saya lebih seronok melihat mereka bersenang lenang, datang dan balik kerja dengan suka hati. Namun, ada kalanya meresahkan diri saya. Beratkah kerja yang saya berikan dan meminta bantuan mereka? Saya juga mempunyai tanggungjawab terhadap pegawai-pegawai akademik di negeri-negeri. Saya tidak tahu apa perasaaan mereka bekerja bersama-sama saya. Bosankah mereka dengan cara saya? Menyampahkah mereka dengan permohonan dan permintaan saya melalui Whatsapp dan Telegram? Saya tidak tahu.

Tanggungjawab saya bukan terhad kepada pegawai sahaja. Kalau dahulu saya merasa bersalah seandainya murid saya gagal, kini jumlah murid saya semakin bertambah. Dahulu saya hanya bertanggungjawab terhadap 160-200 murid setahun atau sebanyak-banyaknya pun 800 murid di sebuah sekolah. Kini, saya mempunyai kira-kira 11,000 murid UPSR, 27,000 murid PT3, 16,000 murid SPM, 1,800 murid STPM dan 1,800 murid STAM.

Menjadi ketua dan memikul tanggungjawab bukanlah mudah. 

No comments:

Post a Comment